Ahad, 2 November 2014

MENCARI MAKNA CINTA BAB 2

      


I
                     
             Sahiril memandu keretanya membelah jalan raya pada pagi itu untuk menuju ke RaHa Hotel. Pada malam esok ada jamuan yang akan diadakan di hotelnya sempena perkahwinan anak Tan Sri Baharom Ismail dan Puan Sri Rohana Borhan. Majlis perkahwinan yang gilang gemilang itu amat mahal harganya. Dikhabarkan kos jamuan itu bernilai lebih kurang 2.5 juta ringgit.
           Itu satu jumlah yang amat besar. Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif RaHa Hotel dia perlu memastikan bahawa perjalanan majlis itu berjalan dengan lancar. Jika tidak nama RaHa Hotel akan menjadi busuk dan menjejaskan prestasi perniagaan perhotelan yang dimiliki oleh ibunya. Bukan itu sahaja, dia juga perlu berjumpa dengan beberapa orang klien dari luar negara untuk membincangkan pembinaan beberapa cawangan hotel di Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan beberapa lagi buah negara lain lagi.
          Apabila dia sampai sahaja di lobi hotel dia melihat beberapa orang kakitangan sudah menunggunya. Salah seorangnya ialah Ramli. Pengurus Besar RaHa Hotel itu. 
            “Selamat datang Encik Sahiril.” Ucap Ramli. Mereka  berjabat tangan.
          “Boleh saya tahu di mana saya akan menginap dalam masa seminggu ni?” soal Sahiril kepada Ramli.
           “Ya. Sila ikut saya.” Kata Ramli.
            Dia mengarahkan beberapa orang kakitangan untuk membawa barang barang milik Sahiril. Mereka menuju ke tingkat 16 yang menempatkan suite untuk Sahiril menginap. Ramli membuka pintu suite itu. Sebuah bilik yang mempunyai sebuah ruang tamu yang lengkap dengan pelbagai peralatan seperti televisyen dan peti sejuk terpapar di depan mata Sahiril. Bilik itu juga dihias indah dan tersusun rapi.
            “Encik Sahiril puas hati dengan keadaan bilik ini? Jika tidak saya boleh tukarkan dengan bilik lain.” Soal Ramli.
           “Tak apa! Bilik ini sudah cukup bagus untuk saya. Terima kasih Encik Ramli.” Ujar Sahiril.
          “Sama sama. Encik Sahiril berehatlah. Saya keluar dahulu. Kalau ada apa apa Encik Sahiril boleh panggil saya.” Kata Ramli.
            “Baiklah.” Balas Sahiril pendek. Ramli terus menuju ke pintu dan terus keluar untuk memberi peluang Sahiril berehat.

II

           Mahmudah keluar dari pejabatnya pada tengah hari itu. Dia sudah berjanji dengan Mahani untuk makan tengah hari bersama. Sudah agak lama juga dia tidak bertemu dengan Mahani. Walaupun mereka berdua tinggal di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur namun mereka jarang dapat bertemu. Mungkin kerana dia sibuk dengan urusannya dan Mahani pula sibuk dengan kehidupannya maka mereka jarang dapat bertemu.
           Dia memandu kereta Myvinya menuju ke RaHa Hotel dengan berhati hati. Mahmudah sebenarnya tidaklah cekap memandu. Perasaan takut sentiasa menyerang hatinya ketika berada di jalan raya. Dia takut ditimpa dengan kemalangan yang sering dilihatnya di televisyen. Dia masih ingat lagi ketika dia menjalani ujian memandu suatu ketika dahulu. Bagaimana dia telah melanggar tiang semasa ujian mendaki bukit. Sejak itu dia takut untuk memandu.
             Dia berjaya mendapatkan lesen setelah dua puluh jam belajar memandu. Semuanya gara gara perasaan takut dan cemerkap yang sentiasa menyelubungi dirinya. Dia masih ingat lagi bagaimana kali pertama dia memandu di jalan raya tanpa pengawasan guru memandunya. Dia masih ingat lagi bagaimana perasaanya sewaktu sebuah teksi melanggar bahagian belakang keretanya sewaktu mahu keluar dari simpang.
Dia sentiasa berhati hati apabila memandu di jalan raya kerana kebanyakkan pengguna jalan raya tidak mematuhi undang undang yang sedia ada. Mereka membuat jalan raya itu seperti ibu dan bapa mereka yang punya. Kebanyakkan pemandu di Malaysia tidak sabar, tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri. Mereka hanya memikirkan diri mereka sahaja tanpa mempedulikan keselamatan orang lain.
              Dia masih ingat lagi pesanan guru memandunya iaitu Cikgu Ahmad. Cikgu Ahmad sering berpesan padanya supaya bertimbang rasa ketika memandu. Seorang pemandu perlu mempunyai sikap timbang dan rasa sewaktu memandu kerana jalan raya itu bukanlah kita seorang sahaja yang menggunakannya. Tapi sayang seribu kali sayang, kebanyakkan pemandu jalan raya tidak mempunyai sikap seperti ini.
            Natijahnya banyak kemalangan jalan raya berlaku dalam negara ini dan Malaysia mencatatkan antara negara yang mengalami kemalangan jalan raya tertinggi di dunia. Dia seboleh boleh tidak mahu termasuk dalam statistik itu.
            Apabila dia melihat sahaja papan tanda yang menunjukkan RaHa Hotel dia terus membelok ke kanan. Dia memandang ke arah hotel yang tersergam indah itu. “Sungguh cantik hotel ni.” Desis hatinya. Dia sentiasa bercita cita untuk bermalam di hotel itu namun apakan daya, gajinya hanya RM1700 sebulan sedangkan untuk tinggal di hotel itu semalaman, dia perlu mengeluarkan gajinya sebanyak dua bulan. Dia benar benar tidak mempunyai kemampuan untuk tinggal di hotel semewah itu.
            Dia melihat Mahani sudah menunggunya di satu sudut tepi hotel itu. Dia memberhentikan keretanya di hadapan Mahani. Mahani pula terus mengambil tempat di sebelahnyah
          “Apa khabar kak long?  Kak long sihat?” Soal Mahani setelah berada di dalam perut kereta. Dia terus bersalam dengan kakak sulungnya itu.
          “Khabar baik. Alhamdulillah. Kau apa khabar? Aku nampak kau macam kurus je. Kau tak makan ke?” Soal Mahmudah pula sambil terus memandu keretanya untuk keluar dari kawasan hotel tersebut. Mereka berdua merancang untuk makan tengah hari di Restoran Seenak Rasa.
         Menurut kebanyakkan pelanggan yang pernah mencuba makanan di restoran itu, rasanya amat sedap. Asam pedas yang dimasaknya adalah asli dari negeri Melaka.
          “Saya sihatlah cuma mungkin saya penat sikit. Sekarang ni ramai pekerja dari Indonesia sudah dihantar pulang. Jadi saya perlu menggantikan tempat mereka sebelum pekerja baru sampai.” Jawab Mahani jujur.
            “Kau ni pun satu. Kerja kerja juga. Kesihatan kena diutamakan. Jangan asyik kerja saja sampai kesihatan pun terjejas.” Nasihat Mahmudah. Mahani sekadar mengangguk. Sikap Mahmudah sama seperti ibunya. Suka berleter dan memberi nasihat yang panjang lebar.
            “Irfan macam mana? Sihat? Lama aku tak jumpa dia.” Soal Mahmudah memecah kesunyian antara mereka.
            “Dia sihat kak long cuuma sekarang ni dia asyik malas pergi sekolah saja. Dia cakap  guru kelas dia tu garang sangat. Selalu sangat ketuk kepala dia dengan kerusi.” Ujar Mahani. Berderai ketawa Mahmudah pada waktu itu. Mahani turut sama ketawa apabila teringat tentang anaknya itu.
          “Budak budak zaman sekarang ni memang pandai betul bercakap. Kalau nak menipu nombor satu. Tapi aku tak sangka pula yang dia boleh menipu sampai macam tu sekali.” Kata Mahmudah di hujung tawanya.
          “Budak budak kak long. Yang sebenarnya dia malas nak pergi sekolah. Dia nak duduk rumah nak tengok cerita kartun.” Ujar Mahani.
           “Sikap Irfan tu sama macam kau dulu. Macam macam alasan kau bagi sebab tak nak pergi sekolah. Kenalah dengan peribahasa Melayu bagaimana acuan begitulah kuihnya.” Kata Mahmudah.
         “Itulah kak long. Saya menyesal sangat tak belajar betul betul dulu. Kalau tak tentu hidup saya dah senang sekarang.” Ujar Mahani dengan nada sedih.
           “Sudahlah tu. Tak guna kau menyesal lagi. Nasi dah jadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.” Nasihat Mahmudah. Mahani mengangguk setuju. Dia benar benar menyesal. Dia bukan seorang pelajar yang tidak pandai cuma dia malas. Dia terlalu memikirkan cita citanya yang mahu menjadi seorang model selepas tamat sekolah.
            Oleh itu, dengan duit belanja yang diberi oleh ibunya, dia gunakan untuk membeli alat alat solek. Kemudian dia bersolek untuk pergi ke sekolah. Tidak dinafikan yang dia mempunyai rupa paras yang cantik. Jika diperhatikan betul betul, wajahnya ada mirip mirip pelakon Hollywood iaitu Nicole Kidman. Oleh itu, dia sentiasa menjadi rebutan pelajar lelaki di sekolah. Salah seorangnya ialah Bakri. 
      Walaubagaimanapun, dia tidak pernah menjalinkan hubungan dengan mana mana lelaki ketika dia menuntut di sekolah menengah. Dia tidak pernah tertarik dengan mana mana lelaki di sekolahnya kecuali Sahimi Sahiril. Dia suka melihat rupa Sahiril yang seperti Ryan Reynolds itu. Dia suka melihat enam ketulan yang berada di abdomen Sahiril ketika jejaka itu tidak memakai baju semasa bermain bola sepak.
          Namun dia tidak pernah berjaya memikat lelaki itu. Lelaki itu anak orang kaya. Sudah tentulah dia memilih gadis yang setaraf dengannya sahaja. Selepas memperoleh keputusan SPM, Mahani memutuskan untuk bekerja sahaja memandangkan keputusannya tidaklah sebagus mana. Dia tidak mengikut jejak langkah Mahmudah yang menyembung pelajaran pada peringkat diploma di politeknik.
            Dia sudah tidak ada minat untuk belajar sebaliknya dia mahu ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Pada awalnya ibu cukup menentang dengan keputusan yang dia ambil. Puan Salmah begitu berkeras mahu dirinya menyambung pembelajaran di universiti. Pada waktu itu dia sudah mendapat tawaran dari UiTM untuk menyambung pengajian dalam Diploma Kulinari tetapi tekadnya sudah teguh walaupun telah dinasihat berkali kali oleh Puan Salmah dan Mahmudah sendiri.
           Dia mahu juga bekerja di Kuala Lumpur. Oleh itu, Puan Salmah telah meletakkan satu syarat. Dia harus berkahwin terlebih dahulu dengan Bakri jika dia mahu juga bekerja di Kuala Lumpur. Tanpa berfikir panjang dia terus bersetuju. Setelah Bakri menghantar rombongan meminang ibunya terus bersetuju. Beberapa minggu selepas itu dia telah melangsungkan perkahwinan dengan Bakri pada usia lapan belas tahun.
             Setelah itu, dia dibawa oleh Bakri untuk tinggal di Kuala Lumpur. Di awal perkahwinan, mereka berdua sangat bahagia walaupun dia tidak pernah mencintai Bakri. Bakri bekerja sebagai seorang despatch manakala dirinya bekerja sebagai housekeeping di RaHa Hotel.  Kebahagian itu bertambah apabila mereka dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Muhammad Irfan.
             Tetapi panas tidak membawa ke petang, hujan juga di tengah hari. Perkahwinan yang disangka bahagia pada awalnya musnah dalam sekelip mata. Sedikit demi sedikit Bakri sudah mula berubah. Dia menjadi seorang yang pemarah dan panas baran. Bakri juga sudah berani mengasari dirinya. Semuanya berpunca dari rasa tertekan yang mereka berdua hadapi.
           Mereka berdua sering kesempitan wang sehingga mereka tidak mempu membayar sewa rumah, bil air dan bil elektrik. Setelah dua tahun mendirikan rumahtangga, akhirnya dia meminta fasakh di mahkamah syariah. Hak penjagaan Irfan diberikan kepada dirinya. Dia benar benar menyesal kerana tidak mahu mendengar nasihat Puan Salmah dan Mahmudah.
            “Mahani! Mahani! Kenapa kau menangis ni? Kau sakit ke?” Soal Mahmudah sambil menggocang bahu Mahani dengan tangan kirinya sedang tangan kanannya masih kejap memegang stereng kereta. Terpancung lamunan Mahani pada waktu itu. Dia mengesat air mata yang sudah mula jatuh dari kelopak matanya.
           “Tak ada apa apa kak long. Saya cuma teringat pada kisah lama.” Ujar Mahani.
           “Yang sudah tu sudahlah. Tak payah nak dikenang lagi.” Nasihat Mahmudah. “ kak long, kau ingat tak dengan Sahimi Sahiril?” soal Mahani. “Sahimi Sahiril? Macam pernah dengar nama tu. Tu bukan ke budak lelaki yang handsome masa kita kat sekolah dulu?” soal Mahmudah pula. “Betul tu.” Kata Mahani dalam nada berpuas hati. “Kenapa dengan dia? Meninggal ke?” soal Mahmudah lagi.
“Ish! Kak long ni. Ada pula sampai ke situ. Sekarang dia dah jadi CEO kat hotel saya kerja tu. Saya tengok dia makin kacak sekarang ni.” Ujar Mahani. “Oh begitu. Untung dia kan? Sudah pasti dia akan dapat semua harta ibu dia nanti. Maklumlah anak tunggal. Kau masih suka kat dia lagi ke?” soal Mahmudah lagi. Mahani menjawab pertanyaan Mahmudah  dengan anggukkan.

        “Kenapa kau tak lupakan dia? Dia takkan pandang kau la. Kalau betul dia suka kau sejak zaman sekolah lagi dia dah bersama dengan kau. Agaknya sekarang ni kau dah kahwin pun dengan dia. Tak payah la kau nak harapkan cinta dia lagi. Kau tu pun bukannya anak dara lagi.” ujar Mahmudah dengan panjang lebar. “Saya tahu kak long. Tapi saya masih tak dapat lupakan dia. Saya masih cintakan dia walaupun saya pernah berkahwin dengan Bakri.” Kata Mahani. Ada riak sedih dalam nada suaranya. 

1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.