Isnin, 27 November 2017

HADIAH KEADILAN

Image result for keadilan
Sumber : Google


 Ketika kau beri sejambak bunga cinta,
Tubuh munggilku kau nikmati sepuasnya,
Lalu kau kongsi bersama teman-teman,
Yang tidak ubah seperti barang mainan. 


Kau yang sedang berdiri di sana,
Sedang bebas bergelak ketawa,
Aku pula yang terus merana,
Setelah tujuh kali diperkosa,
Akibat percaya dengan cinta dusta. 


Hadiahkan aku sebuah keadilan,
Yang dibungkus oleh hakim Mahkamah Persekutuan,
Namun kerana jelik manipulasi perundangan,
Aku tewas gara-gara kerelaan. 


Sungguh tenang ketika diri membenam belati,
Di atas sekujur tubuh terkaku mati,
Untuk membebas dendam yang terkurung di hati,
Setelah sisa keadilan begitu sukar dicari.

Isnin, 20 November 2017

MEMANG DIA RAJA BLOGGER MALAYSIA!


Image result for raja petra blog
Sumber : Google


Antara kegemaran saya adalah membaca. Membaca bukan sahaja boleh menambah pengetahuan malah menambah idea untuk menulis (blog) juga. Selain membaca buku dan kolum-kolum di akhbar arus perdana, membaca blog juga adalah antara kegemaran saya. Blog Malaysia Today yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamaruddin adalah antara blog yang saya suka baca.

Raja Petra Kamaruddin atau RPK adalah antara blogger yang cukup kontroversi suatu ketika dahulu. Tulisan-tulisan atau pendedahan pendedahan yang dibuat oleh beliau dalam blog mengenai politik Malaysia cukup disukai malah digeruni selalu. Ada yang suka dan ada yang benci beliau sejak dari dahulu. Bergantung kepada pihak mana dalam politik yang beliau sokong dan setuju.

Beliau memang seorang blogger yang tulen. Beliau tidak menulis semata mata untuk jadi terkenal. Beliau tidak menulis perkara perkara yang boleh dibakulsampahkan. Beliau menulis untuk berhujah, memberi pandangan, dan menjawab persoalan. Sama ada orang suka atau benci apa yang beliau tuliskan, sedikit pun beliau tidak pernah kisahkan.

Jika benarlah beliau seorang blogger yang mengejar populariti, pastilah sampai sekarang beliau menulis perkara yang ampu dan puji. Tetapi kini beliau menulis untuk menghentam mana mana pihak yang tidak betul sama ada di belah kanan atau di belah kiri. Untuk apa beliau menulis perkara yang boleh membuatkan diri beliau dicaci dan dibenci? Adalah lebih baik beliau menggunakan blog Malaysia Today itu untuk bercakap perihal diri sendiri.

Bagi manusia yang tidak suka politik (atau cuba menjarakkan diri daripada politik), blog beliau beliau bukanlah satu pilihan untuk dibaca. Begitu juga dengan manusia yang suka membaca blog blog yang menyediakan bahan bacaan yang ringan (bertaraf sampah) atau mempunyai pemikiran yang tidak kritis sentiasa. Blog RPK itu memang tidak akan sesekali pernah dibuka.

Blog RPK sekarang tidaklah serancak dahulu. Dahulu, semasa di era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, blog beliau itu memang ramai orang cari. Ini kerana blog beliau banyak menyediakan bahan berita yang berani dan kontroversi.

Apa yang istimewanya blog beliau itu adalah penulisannya yang sedap dan hujahnya yang mantap. Kadang kadang tidak ramai oleh boleh berfikir hujah sebegitu tetapi beliau sudah fikir dahulu. Susah orang mahu cantas hujahnya jika tidak punya banyak ilmu.

Saya tidak kata segala hujahnya saya setuju semua. Ada juga hujahnya yang dangkal di mata saya. Tetapi mana mana hujahnya yang boleh diterima, maka ia adalah suatu yang saya suka baca dan membuat rujukan juga.

Walaupun cara hidupnya banyak yang tidak kena, tetapi dia tetap berani mempertahankan Islam, Melayu, dan Malaysia. Hujahnya lebih bernas dan lebih berani daripada ulamak dan cendekiawan semua. Beliau bukanlah ulamak atau cendekiawan tetapi beliau adalah blogger yang berani untuk mempertahankan apa yang beliau percaya.

Bagi pembaca yang berfikiran kritis, mahu tahu tentang perkembangan dunia politik, blog beliau adalah antara blog yang perlu pembaca baca dan cari. Janganlah terima semua apa yang beliau kata. Mana yang baik itu pembaca boleh terima untuk dijadikan rujukan dalam memahami dan menghadapi segala masalah yang melanda negara.

Ya, dia memang Raja Blogger Malaysia. Mengapa dia boleh jadi ‘raja’? Kerana dia berani, kreatif, kritis, dan mempunyai penulisan yang hebat sentiasa. Tidak ramai blogger boleh jadi sepertinya. Hanya manusia yang kritis dan cinta ilmu sahaja yang suka membaca blog miliknya.