Sumber Gambar |
Peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir. Sudah pastilah calon-calon
peperiksaan SPM semakin berdebar-debar untuk menanti hari yang cukup bersejarah
itu.
Berdebar-debar
dalam peperiksaan itu perkara biasa. Semua orang yang mengambil peperiksaan
pasti akan berdebar walaupun mereka telah mengambil peperiksaan berpuluh-puluh
kali.
Semua
orang yang mengambil peperiksaan pastilah mahu lulus dengan cemerlang. Justeru,
saya ingin kongsikan kepada anda semua tips untuk cemerlang dalam peperiksaan.
Tips-tips ini tidak terhad kepada pelajar SPM sahaja tetapi juga untuk pelajar
UPSR, PT3, dan siswa siswi yang mengambil peperiksaan di universiti. Tips-tips
tersebut ialah :
Banyakkan membuat latihan
Jika
anda hendak mahir akan sesuatu perkara, maka anda perlu selalu melakukannya.
Jika anda hendak mahir dengan subjek Matematik, maka anda hendaklah banyak
membuat latihan Matematik. Begitu juga jika anda hendak mahir menulis karangan
bahasa Melayu. Anda perlu banyakkan menulis karangan dan minta guru anda untuk
semak karangan anda itu.
Tumpukan perhatian semasa guru
mengajar
Sebenarnya
pelajar tidak perlu study hard jika
mereka menumpukan sepenuh perhatian semasa guru sedang mengajar di hadapan.
Namun begitu, tidak ramai pelajar menumpukan sepenuh perhatian semasa guru
mengajar. Semasa guru mengajar, beri perhatian sepenuhnya. Jika ada sesuatu perkara yang tidak difahami,
segeralah bertanya kepada guru.
Buat nota ringkas
Jika
anda seorang yang malas untuk membaca buku dari kulit ke kulit, disarankan anda
membuat nota ringkas. Tulis nota ringkas itu di atas kertas yang kecil dan
bawalah ke mana-mana. Bacalah nota tersebut semasa anda sedang menunggu bas,
semasa menunggu guru masuk ke kelas, semasa menunggu perhimpunan pagi bermula
dan sebagainya. Jika anda tidak tahu membuat nota ringkas, sila rujuk kepada
guru anda.
Menghormati guru dan ibu bapa
Hormatilah
guru dan ibu bapa anda kerana mereka sering berkorban untuk anda. Doa mereka
untuk kejayaan anda pasti akan dimakbulkan Tuhan. Jika anda tidak menghormati
mereka, keberkatan dalam belajar itu tidak ada maka anda sukar untuk berjaya.
Belajar dalam kumpulan
Jika
anda jenis pelajar yang suka belajar dalam kumpulan, maka ajaklah kawan bijak
untuk belajar bersama anda. Begitu juga jika anda lemah dalam sesuatu subjek
seperti subjek Matematik misalnya. Ajaklah kawan yang mahir dalam subjek itu
untuk belajar bersama anda. Jika anda tidak faham tentang sesuatu perkara, maka
anda boleh terus bertanya kepadanya. Namun begitu, bukan semua subjek boleh
dipelajari secara dalam kumpulan. Subjek yang membaca atau memerlukan anda
menghafal biasanya tidak sesuai.
Lawan diri sendiri
Musuh
kejayaan semua orang di dunia ini ialah diri mereka sendiri. Jika anda malas,
maka pastilah kejayaan sukar anda kecapi. Anda perlu melawan perasaan malas
anda itu untuk terus membuat ulangkaji pelajaran atau membuat latihan.
Ingatlah, perasaan malas itu tidak seberapa berbanding nikmat kejayaan yang
akan anda kecapi setelah anda berusaha bersungguh-sungguh.
Itulah
antara tips untuk cemerlang dalam peperiksaan daripada kami. Ikutilah tips yang
kami berikan ini jika anda ingin cemerlang dalam peperiksaan. Percayalah, untuk
mendapat kecemerlangan itu tidak mudah. Jika anda hendak cemerlang, anda perlu berusaha
dengan bersungguh-sungguh. Semoga berjaya!
Artikel ini telah disunting dan disiarkan di portal Free Malaysia Today. Ini ialah versi artikel asal.