Ahad, 31 Mei 2015

ORANG MELAYU DAN KRISIS IDENTITI

Sumber : Google
Memandangkan orang Melayu telah memasuki zaman moden, cara kehidupan mereka juga sudah bertukar menjadi moden. Serba serbinya moden. Jika dahulu orang Melayu tidak tahu apa itu telefon pintar, androids, Whatsapp, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya, kini semuanya sudah berada di hujung jari orang Melayu. Orang Melayu sudah begitu ramai yang menguasai penggunaan media media dan teknologi baru pada hari ini.

Dari satu sudut, saya berasa bangga dengan pencapaian orang Melayu itu. Setidak-tidaknya orang Melayu tidak dianggap kuno atau ketinggalan zaman. Namun, kemajuan teknologi pada masa kini bukan sahaja mengubah gaya hidup orang Melayu tetapi juga turut menghilangkan jati diri mereka.

Dalam pemerhatian saya, sifat sifat orang Melayu yang lemah lembut, bersopan santun dan berbudi pekerti tinggi sudah tidak wujud lagi. Apabila orang Melayu sudah menjadi kaya atau sudah mencapai kedudukan tertinggi dalam masyarakat, perasaan sombong mula menular dalam hati mereka. Mereka memandang orang di bawah mereka dengan pandangan hina dan gemar memperlekehkan. Cara percakapan mereka sudah mula berubah menjadi bongkak memandangkan mereka telah diuji oleh Allah dengan harta kekayaan yang melimpah ruah.

Sabtu, 30 Mei 2015

KITA MASIH TIDAK SEDAR

sumber : Google

Ramai politikus, ahli akademik, wartawan dan rakyat marhaen yang beragama Islam dan sudah tentunya berbangsa Melayu masih tidak sedar atau pura pura tidak sedar akan terancamnya Islam dan Melayu pada bila bila masa sahaja. Justeru itu, ramai diantara mereka masih alpa dan leka dengan kuasa, dendam, dan hiburan. Masih ramai lagi yang berfantasi di luar sana menikmati penipuan duniawi yang jelas sementara ini.

Mereka menggunakan hujah hujah dangkal dengan mengatakan Islam dan Melayu tidak akan terancam di bumi Malaysia tanpa membuat sebarang kajian holistik berkenaan hal itu. Mereka masih beranggapan bahawa Islam dan Melayu akan kekal terpelihara walaupun sesiapa sahaja yang memerintah Malaysia.

Kita harus mengakui bahawa ada gerakan gerakan tertentu di negara ini yang berusaha keras untuk menghapuskan Melayu dan Islam di negara ini. Mereka bukan sahaja mahu meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu, dan Agama Islam malah berusaha pula untuk menggulingkan Raja Raja Melayu. Tidak mustahil agenda mereka itu akan terlaksa jika orang Melayu terus alpa dan leka seperti sekarang.

Jumaat, 29 Mei 2015

PEMIMPIN DAH AHLI UMNO PERLU BERANI

Sumber : Google

Pelbagai masalah telah melanda parti UMNO sejak belakangan ini. Masalah masalah ini dilihat seperti tidak boleh dimaafkan dan diterima oleh kebanyakkan rakyat. Mereka merasakan UMNO bukanlah sebuah parti yang relevan pada masa kini. Aspirasi mereka jelas, mahu menukar segera UMNO dengan parti pembangkang setelah duduk di bawah pemerintahan UMNO sejak sekian lama.

Masalah masalah ini berlaku kerana ketamakkan pemimpin dan penyokong UMNO terhadap populariti, harta dan kuasa! Oleh sebab itulah, kebanyakkan pemimpin UMNO tidak melaksanakan agenda pembangunan rakyat dan negara dengan sebaik mungkin kerana tujuan mereka menyertai politik bukan untuk itu sebaliknya untuk tujuan yang lain.

Oleh kerana sikap ramai pemimpin UMNO sebegitu, maka pelbagai masalah rakyat dan negara gagal diselesaikan. Mereka bukan sahaja gagal, malah menambahkan lagi masalah yang sedia ada. Oleh sebab itu, rakyat semakin benci dan meluat pada UMNO. Keinginan mereka untuk menumbangkan UMNO pada PRU yang akan datang sudah tidak dapat ditahan tahan lagi.

NAJIB MASIH TIDAK SEDAR DIRI

Sumber : Google

Kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO masih kukuh walaupun digoncang kuat oleh Tun Mahathir, rakyat, dan pemimpin pembangkang. Dengan segala isu yang menghambat dirinya, seperti GST, 1MDB, Altantuya, Rosmah dan sebagainya, Najib memang kukuh bertahan di singgahsana kuasanya namun lain pula yang terjadi kepada UMNO. UMNO pula yang terpaksa menerima bahana di atas segala kesalahan yang dilakukan oleh Najib dan kabilahnya.

Najib masih berfantasi atau masih tidak sedar diri dengan mengatakan bahawa partinya UMNO dan rakyat jelata masih menyokong beliau. Atas sebab itu, Najib tidak mahu meletak jawatan sehingga keluarlah cerita hebatnya sebagai orang Bugis yang kita semua sedia maklum satu suku yang berani, cekal, bijak dan tabah.

Saya tidak pasti mengapa Najib beranggapan rakyat masih menyokongnya. Saya percaya kebanyakkan orang UMNO masih menyokongnya kerana mereka akan mendapat habuan daripada sokongan itu cuma saya berasa pelik bagaimana Najib bisa tahu majoriti rakyat menyokongnya? Jika dilihat dalam keputusan PRU13, BN hanya mendapat 133 kerusi Parlimen dan sudah pasti majoriti dua per tiganya dinafikan di samping undi popularnya turun dengan begitu mendadak sekali.

Jika dilihat daripada keputusan itu, jelas menunjukkan sokongan rakyat kepada Najib begitu negatif. Jelas mejoriti rakyat tidak menyokong beliau. Beliau menjadi Perdana Menteri adalah kerana beliau adalah Presiden UMNO dan UMNO pula menang di kawasan luar bandar sahaja (kebanyakkannya) sehingga boleh membentuk kerajaan dalam PRU yang lalu.

Dengan pelaksanaan cukai GST yang bermula 1 April lalu, jelas sokongan rakyat kepada Najib tambah mengecil! Lebih memburukkan keadaan apabila isu 1MDB terbongkar dan Dr. Mahathir terus memperhebatkan serangan beliau kepada Najib. Faktor faktor ini akan dan telah membuatkan rakyat menjadi benci dan meluat pada diri Najib.