Ahad, 11 Februari 2018

SEKITAR KOREA YANG SAYA TEKUNI


Image result for pulau jeju
Sumber : Google


Ketika saya sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Jeju, Korea Selatan baru-baru ini, muncul banyak pertanyaan di dalam diri. Apa sebenarnya yang membawa saya ke sini? Dan mengapa saya begitu teruja sekali? Adakah semata-mata kerana ingin bermain salji?

Saya mula mengenali secara dekat dengan negara Korea Selatan setelah saya menonton beberapa buah rancangan (Running Man khususnya) dan drama daripada negara itu. Kemudian, sedikit sebanyak telah timbul minat di hati saya untuk mengunjungi negara itu. Sudah tentulah bukan negara itu sahaja yang ingin saya kunjungi. Namun, kerana terpengaruh dengan rancangan dan drama daripada negara itulah yang menyebabkan keinginan tersebut semakin melonjak-lonjak di sanubari. 

Bukan sahaja keinginan untuk pergi ke negara itu muncul dalam diri saya, mempelajari bahasa Korea juga turut sama menjelma. Entah mengapa saya merasakan bahasa Korea lebih indah berbanding bahasa Inggeris. Jadi keinginan saya untuk mempelajari bahasa Korea melebihi bahasa Inggeris.  

Dalam lingkungan lima ke sepuluh tahun kebelakangan ini, negara Korea Selatan menjadi tumpuan di segenap segi. Begitu ramai penduduk dunia mahu pergi dan melancong ke Korea Selatan. Rakyat Melaysia juga sudah pastilah tidak mahu ketinggalan. 

Semua ini berlaku adalah disebabkan oleh dunia hiburan. Saya dan sekian ramai penduduk dunia tertarik dengan Korea Selatan adalah kerana terpengaruh dengan dunia hiburan (seperti lagu, rancangan, dan drama) Korea Selatan. Penduduk Korea Selatan amat bijak menggunakan dunia hiburan mereka. Dengan menggunakan dunia hiburan sahaja mereka sudah mampu ‘menawan’ dunia.  

Dengan menggunakan hiburan juga, berjuta-juga penduduk dunia mahu melancong ke negara mereka. Dengan menggunakan hiburan juga, begitu ramai orang ingin menguasai bahasa mereka.

Lihat sahaja rancangan Running Man dan Family Outing sebagai misalan. Rancangan itu bukan sahaja menghiburkan, malah turut sama memaparkan banyak keistimewaan seperti tempat-tempat menarik, makanan, budaya, dan bahasa yang ada di Korea Selatan. Rancangan itu sedikit sebanyak telah memperkenalkan negara mereka kepada penduduk dunia. Terbuktilah bahawa dunia hiburan bukan sahaja mampu menjadikan sesebuah negara itu terkemuka, malah pada masa yang sama turut berupaya meningkatkan ekonomi negara. 

Memandangkan esei ini tidak sampai ke tahap keagamaan (religious), maka unsur negatif dalam dunia hiburan itu saya ketepikan (buat seketika). Saya cuba mencari segi-segi positif dalam dunia hiburan. 

Kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh sekadar melihat sahaja. Kita perlu belajar daripada Korea Selatan juga. Kita perlu belajar untuk menggunakan dunia hiburan kita bagi menjadikan negara kita lebih terkemuka. Kita perlu belajar untuk menggunakan dunia hiburan kita bagi memperkenalkan bahasa dan budaya yang wujud di negara kita. 

Bukanlah saya mahu kata negara, bahasa, dan budaya kita ini tidak terkemuka. Namun, keadaan sekarang masih belum cukup sebenarnya.

Sudah tiba masanya segala filem, drama, dan rancangan yang ada di negara kita, perlu dibuat semakan semula. Segala produk hiburan di negara kita tidak hanya sekadar menghiburkan, tetapi lebih molek jika mampu untuk mencerdikkan pemikiran. Lebih bagus, dalam produk-produk hiburan kita, segala keistimewaan yang ada di dalam negara (seperti bahasa, budaya, tempat-tempat menarik dan makanan) boleh dipaparkan dengan sebanyaknya.   

Kekuatan sebenar produk hiburan Korea Selatan tidak sekadar menghiburkan sahaja, malah kreatif dan luar biasa. Identiti bangsa dan negara juga begitu tebal dalam kebanyakan (ulang : kebanyakan) produk hiburan mereka. Oleh sebab itulah mereka mampu memperkenalkan produk-produk hiburan mereka ke seluruh pelusuk dunia di samping memperkenalkan bahasa dan budaya mereka. 

Pemain-pemain industri hiburan di Malaysia perlu belajar daripada pemain-pemain industri hiburan di Korea Selatan tentang cara-cara memperkenalkan produk-produk hiburan kita ke seluruh pelusuk dunia. Pemain-pemain industri hiburan di Malaysia perlu belajar daripada mereka untuk menghasilkan produk-produk hiburan yang kreatif, menghiburkan, dan bersifat luar biasa (baca : berbeza). Selain itu, produk-produk hiburan kita juga mesti tebal dengan identiti bangsa dan negara bagi memperkenalkan budaya dan bahasa kita. 

Bagi mencapai maksud itu, segala produk-produk hiburan (seperti drama, filem, lagu, dan rancangan) di Malaysia yang memperlihatkan kebodohan, perlulah segera diketepikan. Rancangan-rancangan seperti Motif Viral, Kau Rasa, Dalang Prank dan sebagainya tidak perlulah diwujudkan. Hal ini kerana, rancangan tersebut bukan sahaja tidak mencambahkan intelektualiti rakyat Malaysia, malah membuatkan rakyat Malaysia menjadi semakin dungu sebenarnya. 

Filem, lagu, dan drama kita juga perlulah dibikin bukan sekadar memaparkan nilai-nilai murni, tetapi pada masa yang sama boleh mendidik pemikiran masyarakat serba-serbi. Filem-filem yang berkualiti seperti Hanyut, Jibam, Jagat, Tombiruo, dan sebagainya hendaklah dibikin dengan banyak sekali. Filem Train To Busan yang popular dari Korea Selatan itu bolehlah sedikit sebanyak dicontohi.      

Tidak salah untuk mengagumi Korea Selatan, tetapi belajar daripada mereka juga adalah suatu keutamaan. Jika Korea Selatan boleh menjadi sebuah negara maju, kita juga boleh begitu. Cuma produk hiburan kita yang perlu diubah bagi mencapai maksud itu.

Rabu, 7 Februari 2018

POLITIK DALAM SASTERA DAN SENI

Image result for novel shit
Sumber : Google

Apabila selebriti Fathia Latiff bercakap tentang masalah negara di laman Twitter miliknya (tidak lama dahulu), sebilangan anggota masyarakat menganggap (ulang : menganggap) dia berbicara tentang politik negara. Bukan sahaja anggota masyarakat bercakap mengenai perkara itu, exco Pergerakan Puteri UMNO yang juga seorang pelakon iaitu Dira Abu Zahar turut mengecam apa yang dibuat oleh Fathia itu. Serta-merta keadaan yang tegang menjadi semakin haru-biru.

Golongan selebriti (pelakon, penyanyi, dan pengarah) yang bercakap atau terjun dalam politik bukanlah perkara yang baru. Beberapa orang selebriti di dalam negara kita dilihat sudah ada yang mengambil tindakan itu. Bob Lokman, Dayangku Intan, Aishah dan beberapa orang lagi selebriti lagi adalah di antaranya. Sudah pasti apa yang dibuat oleh mereka itu telah menggemparkan masyarakat yang ada di dalam negara.

Bukan golongan selebriti sahaja yang dilihat bercakap dan terlibat dalam politik negara, golongan sasterawan pun ada juga. Shahnon Ahmad dan A. Samad Said adalah di antaranya. Mereka bukan sahaja berbicara tentang politik dalam karya-karya mereka, malah terlibat secara langsung sebenarnya. Shahnon Ahmad sendiri misalnya, pernah bertanding dalam pilihan raya (mewakili PAS di Parlimen Sik dalam Pilihan Raya Umum 1999).

Dalam dunia kesusasteraan, bicara politik bukanlah suatu kedangkalan. Telah ramai penulis dan sasterawan kita berbicara tentang soal politik dalam karya-karya mereka. Shahnon Ahmad sendiri pernah menghasilkan novel satira berjudul Shit manakala A. Samad Said menulis sajak Peludah Warna. Selain mereka, penulis lain yang menulis karya sastera yang berunsur politik ialah Hassan Ibrahim dan Yahaya Ismail misalnya. Hassan Ibrahim menulis novel Tikus Rahmat manakala Yahaya Ismail menulis novel Beruk Tua.

Memandangkan pemikiran sebilangan anggota masyarakat kita belum terbuka sepenuhnya, maka pernyertaan selebriti dan sasterawan dalam politik negara menimbulkan kegemparan dengan sebanyaknya. Di negara-negara lain yang mempunyai kematangan demokrasi, keterlibatan selebriti dan sasterawan (sama ada sekadar bercakap atau benar-benar terlibat) dalam politik bukanlah asing sama sekali.

Apabila selebriti dan sasterawan bercakap atau terlibat dalam politik kepartian, reaksi yang timbul akan sengaja dilebihkan. Pihak yang menyokong akan menyokong dengan bersungguh-sungguh. Pihak yang menentang pula pastilah akan menentang dengan bersungguh-sungguh.

Selebriti dan sasterawan yang sekadar bercakap atau benar-benar terlibat dalam politik bukanlah suatu kesalahan. Hal ini kerana, demokrasi sendiri telah memberi kebenaran. Oleh yang demikian, reaksi yang timbul tidak perlulah berlebihan. Tambahan pula, selebriti dan sasterawan itu kadang-kadang bukan bercakap tentang politik sebenarnya. Mereka sebenarnya lebih bercakap tentang masalah negara. Cuma kebetulan apa yang mereka sebut itu selari dengan apa yang acapkali disebut oleh tokoh parti pembangkang. Justeru, mereka dilihat seperti menyokong parti pembangkang (atau sebaliknya).

Mungkin ada sebilangan anggota masyarakat beranggapan bahawa selebriti dan sasterawan tidak perlulah terlibat dalam politik kepartian. Kebanyakkan mereka mahu selebriti dan sasterawan terus kekal dalam dunia seni dan kesusasteraan. Pandangan sebegitu barangkali ada betulnya. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) dengannya.

Seperti yang telah disebut di atas tadi, keterlibatan selebriti dan sasterawan dalam politik telah lama dijamin oleh demokrasi. Mereka sebenarnya bebas untuk mengeluarkan apa sahaja pandangan yang berkaitan dengan politik dan negara. Mereka juga bebas untuk terlibat dan bertanding dalam pilihan raya.

Namun begitu, menjadi masalah apabila selebriti dan sasterawan yang mempunyai pengaruh tersendiri mula terlibat dalam politik kepartian. Segala pandangan mereka demi rakyat dan negara mula dipengaruhi oleh pandangan parti politik yang mereka memberi sokongan. Lalu keadilan sejagat sudah tidak lagi diperjuangkan.

Keadilan adalah sesuatu yang penting apabila memberi pandangan. Jika wujud perkara yang betul dan baik yang dibuat oleh parti lawan haruslah diberi pujian. Sebaliknya jika wujud perkara yang salah dan buruk haruslah diberi teguran. Namun, perkara sebegitu tidak berlaku kepada selebriti dan sasterawan (yang menyertai politik). Semua perkara yang dibuat oleh parti lawan (meskipun baik) adalah suatu kesalahan manakala semua perkara yang dibuat oleh parti sendiri (meskipun buruk) akan diberi pujian.

Oleh sebab itulah ramai anggota masyarakat mahu selebriti dan sasterawan tidak perlu terlibat dalam politik kepartian. Mereka tidak mahu pemikiran selebriti dan sasterawan yang dianggap suci itu dicemari dengan pandangan untuk memenangkan parti politik dan bukannya rakyat bawahan.

Selebriti dan sasterawan tidak salah untuk menyertai politik kepartian. Namun, keadilan dalam memberi pandangan mestilah dititikberatkan. Jika parti sendiri membuat kebaikkan perlulah diberi sokongan. Namun, jika membuat kesalahan mestilah diberi teguran. Sikap memilih dalam menyatakan kebenaran lebih mendatangkan banyak kemudharatan. Oleh yang demikian, sikap tersebut hendaklah dielakkan.