|
Setelah tamat program Generasi Bumi Hijau Kolej Teratai |
Jarang sekali saya mahu
menulis tentang catatan peribadi mengenai diri sendiri di dalam blog ini.
Tetapi memandangkan ia adalah suatu perkara yang penting dan menyeronokkan,
maka saya tulis juga sebagai panduan dan pedoman. Moga moga catatan ini memberi
anda semua sedikit ilham dan pencerahan.
Entah mengapa sejak akhir
akhir ini saya sangat suka dengan kerja kerja sebagai sukarelawan. Walaupun
saya bukanlah seorang yang suka membuat kerja kerja berat, tetapi saya tertarik
hati untuk menceburkan diri dalam dunia kesukarelawanan yang tidak dapat lari
daripada melakukan kerja kerja berat. Mungkin kerana di dalam kerja kerja
sukarelawan itu ada nilai nilai kemanusiaan, maka saya dengan penuh berani
terjun ke dalam bidang yang biasanya saya jauhkan.
|
Sebelum aktiviti mengindahkan kawasan kolej dimulakan |
Saya tidak menganggap
diri saya sebagai seorang pejuang kemanusiaan. Tetapi saya suka menganggap diri
saya sebagai aktivis kemanusiaan. Melihat penderitaan yang begitu banyak di
negara negara Islam, maka hati saya memberontak untuk memberi bantuan. Selain daripada
menderma, bantuan juga boleh dihulurkan dengan menjadi seorang sukarelawan.
Langkah pertama saya
sebagai sukarelawan buat masa sekarang adalah dengan menyertai seberapa banyak
aktiviti sukarelawan yang boleh. Dan baru baru ini saya menyertai satu aktiviti
sukarelawan yang dibuat oleh pihak kolej - Kolej Teratai UiTM Shah Alam. Saya anggap ini adalah langkah awal
saya untuk menjadi seorang sukarelawan pada masa akan datang.
|
Gambar diambil ketika sedang membersihkan outdoor gim sebelum dicat |
Aktiviti sukarelawan yang
dianjurkan oleh kolej saya itu mudah sahaja tetapi ia tetap memberi saya satu
pengalaman yang cukup berharga. Saya dan beberapa orang rakan lagi membantu
pihak kolej untuk membersih dan menceriakan kawasan kolej. Kami mengecat,
mengutip sampah, dan melakukan beberapa lagi aktiviti untuk membantu
mengindahkan kolej.
Seperti yang telah saya
sebut di atas tadi, sukarelawan sangat berkait rapat dengan kemanusiaan.
Menjadi sukarelawan boleh mendekatkan diri kita dengan nilai nilai kemanusiaan.
|
Menang hadiah kerana menghantar gambar selfie terbaik |
Kolej di sesebuah
universiti diduduki oleh para pelajar. Dan sekalian pelajar yang tinggal di
kolej itu sudah semestinya seorang manusia. Dengan membantu pihak kolej, kita
membantu ramai manusia. Dan membantu ramai manusia itu adalah salah satu bentuk aktiviti
kemanusiaan.
Menyertai aktiviti
sukarelawan yang dibuat oleh pihak kolej itu, ia bukan sahaja mendekatkan diri
saya dengan kemanusiaan, malah merapatkan hubungan antara kawan dan menambah
jaringan persahabatan. Sebelum ini kita tidak kenal dengan ramai kawan, dengan
menyertai aktiviti sukarelawan, kita boleh menambah seorang dua kawan. Dan
antara cara untuk menjadi orang yang hebat adalah dengan mengumpul kawan.
Saya memang suka berkawan
tetapi saya ada masalah dalam mencari kawan. Ini kerana, saya ada sikap malu
dalam diri yang sukar untuk dilawan. Dengan menjadi seorang sukarelawan, ia
adalah peluang terbaik untuk menambah kawan.
Walaupun aktiviti
sukarelawan yang dibuat oleh kolej itu tidaklah menunjukkan jalan jalan untuk
bertemu dengan ketulenan nilai nilai kemanusiaan, tetapi ia tetap juga boleh
memberi saya pengalaman berkenaan kemanusiaan. Dan ia adalah satu langkah awal
untuk saya bergelar sukarelawan pada masa hadapan.
Menjadi seorang
sukarelawan memang menyeronokkan walaupun ia menuntut kesabaran dan
pengorbanan. Tetapi bagi mana mana orang yang mahu hampir dengan pengalaman
kemanusiaan, menjadi seorang sukarelawan adalah salah satu jalan.