I
Seawal pukul 5.30 pagi, Mahani telah bangun dari tidurnya. Dia terus
mencapai tuala yang berada di atas ampaian di sudut bilik tidur itu.
Walaupun mata masih lagi diserang rasa mengantuk namun Mahani tetap
menggagahkan diri untuk bangun dan mandi. Seusai mandi, dia
menunaikan solat fardhu Subuh dua rakat seterusnya mengejutkan anak
lelakinya Irfan.
“Irfan… bangun…. Hari dah subuh. Pergi mandi cepat.
Nanti lambat pergi sekolah.” Kata Mahani sambil menepuk nepuk kaki
Irfan. Beberapa saat kemudian Irfan mula terjaga.
“Ibu, Irfan malaslah nak pergi sekolah. Cikgu Aida tu
garang sangat. Dia suka marah kat Irfan.” Kata Irfan seraya
memandang ke arah Mahani untuk meminta simpati.
“Irfan, boleh tak Irfan jangan buat perangai pagi pagi
macam ni. Kalau kamu tak pergi sekolah, kamu nak jadi apa kalau besar
nanti. Sudah! Jangan nak mengada ngada. Pergi ambil tuala lepas tu
terus masuk bilik air.” Kata Mahani tegas.
Irfan terus mangambil tuala mandinya dengan wajah yang
masam. Dia sengaja menghentak hentakkan kakinya dilantai ketika pergi
ke bilik air. Setelah melipat kain telekung dengan kemas dan
menyangkutnya di ampaian Mahani terus menyediakan sarapan untuk
mereka berdua. Dia melihat ada sebungkus roti Gardenia dan setin
sardin. Dia tersenyum sendirian kerana dia tahu hendak masak apa pada
pagi itu.
Dia terus memotong bawang merah, cili, bawang putih dan
menyediakan bahan bahan untuk memasak sambal sardin. Kemudian dia
menumis semua bahan tersebut ke dalam kuali. Sambal itu boleh dicecah
bersama roti. Setelah siap memasak dan menghidangkan di atas meja
makan, Mahani terus bersiap. Jam sudah menunjukkan pukul 7.15 minit
pagi.
Dia tidak mahu terlambat ke tempat kerja. Dia tidak suka
mendengar Encik Ramli memarahinya pada waktu pagi sekiranya dia
lambat sampai ke tempat kerja. Dia mengenakan baju kurung berwarna
kelabu yang bercorak bunga biru. Baju itu dipadankan dengan tudung
bawal yang juga berwarna biru. Walaupun dia hanya bertugas sebagai
tukang cuci bangunan hotel sahaja namun penampilan diri perlu dijaga.
Itulah yang sering dipesan oleh arwah ibunya yang sudah
meninggal dunia kira kira tiga bulan yang lalu. Sesudah siap, dia
terus ke meja makan. Dia melihat Irfan sudah duduk menunggu dirinya.
Wajah kanak kanak berusia tujuh tahun itu cukup kelat. Irfan malas
mahu pergi ke sekolah pada hari itu. Dia lebih suka tinggal di rumah
sambil menonton cerita kartun yang ditayangkan di televisyen tetapi
Mahani tidak membenarkannya.
Jika dia tidak menghantar Irfan ke sekolah, siapa yang mahu
menjaganya di rumah. Dia tidak mahu membiarkan kanak kanak berusia
tujuh tahun itu tinggal di rumah seorang diri.
“Kenapa tak makan roti dengan sardin tu? Penat ibu masak
pagi tadi.” Soal Mahani sambil memandang kepada Irfan.
“Sarapan ni tak sedap. Irfan tak suka. Irfan suka
makan nugget
ayam tu.” Jawab Irfan.
“Hari ni nugget
ayam dah habis. Ibu lupa nak beli kat supermarket
malam tadi. Hari ni ibu beli nanti esok
Irfan boleh makan nugget
ayam ye. Sekarang Irfan makan roti dengan sambal sardin ni. Irfan
kena sarapan kalau tak nanti Irfan sakit perut. Makan ye sayang.”
Mahani memujuk. Irfan memang cerewet terutama dalam bab makanan.
Sikapnya sama seperti bekas suaminya. Bakri suka mengkritik makanan
yang tidak digemarinya. Selama lima tahun dia berkahwin dengan Bakri
dia tidak tahan dengan sikap Bakri yang panas baran itu. Ketika dia
berkahwin dengan Bakri dahulu, tubuhnya umpama punching
bag bagi Bakri. Dia sering dipukul dan
dibelasah jika ada perkara yang tidak berkenan yang dia lakukan di
mata Bakri.
Setelah berfikir dengan semasak masaknya, dia meminta cerai
dari Bakri. Mahkamah menetapkan Irfan akan berada di bawah jagaannya
tetapi Bakri boleh melawat anak itu sekali sekala. Setelah
bersarapan, Mahani terus menghantar Irfan ke sekolah dengan manaiki
bas.
“Belajar elok elok ye sayang. Jangan nakal nakal. Dengar
cakap cikgu.” Pesan Mahani ketika menghantar Irfan di pintu pagar
sekolah itu.
“Baik ibu.” Jawab Irfan sambil menyalami ibunya.
Mahani memerhatikan Irfan berjalan ke kelasnya. Dia berdoa kepada
Allah supaya suatu hari nanti Irfan akan menjadi seorang manusia yang
berjasa kepada agama, bangsa dan negaranya. Setelah menghantar Irfan
ke sekolah, Mahani terus manaiki bas untuk ke tempat kerjanya iaitu
di RaHa Hotel. Sebuah hotel bertaraf tujuh bintang yang dimiliki oleh
Datuk Hasanah Aliman. Seorang ahli perniagaan wanita paling berjaya
di Malaysia.