Ahad, 15 April 2018

ADAKAH KARYA SASTERA ANTI ILMU?

Image result for gagasan persuratan baru
Sumber : Google


Sekian lama Mohd Affandi Hassan, seorang pengkritik sastera paling lantang di Malaysia memperjuangkan Gagasan Persuratan Baru. Gagasan Persuratan Baru adalah sebuah gagasan yang menilai (baca : mengkritik) dan menjadi panduan kepada penulis di Malaysia untuk menghasilkan sesebuah karya kreatif berasaskan konsep ilmu. 

Dalam Gagasan Persuratan Baru, sesebuah karya yang dihasilkan oleh seseorang penulis berada pada tiga kumpulan. Kumpulan pertama ialah kumpulan karya persuratan, kumpulan kedua ialah kumpulan karya kesusasteraan, dan kumpulan ketiga ialah kumpulan karya erotik atau picisan.

Berdasarkan kumpulan-kumpulan karya yang telah dinyatakan, jelas memperlihatkan kedudukan karya persuratan lebih tinggi daripada karya kesusasteraan. Oleh sebab itulah, Affandi sebagai seorang pengkritik acapkali menghentam karya-karya kesusasteraan terutama yang dihasilkan oleh para Sasterawan Negara. Bagi Affandi, karya-karya para Sasterawan Negara ialah karya yang bersifat khayalan dan langsung tidak mempunyai nilai apa-apa.  Hal ini kerana, menurut beliau, tiada langsung nilai ilmu dalam karya-karya para Sasterawan Negara. Tidak cukup dengan itu, Panel Anugerah Sastera Negara yang menilai karya Sasterawan Negara pun turut dihentam sama. 

Antara (ulang : antara) karya sastera yang ditulis oleh para Sasterawan Negara yang acapkali ‘dibelasah’ oleh Affandi dalam tulisan-tulisannya ialah Salina karya A. Samad Said, Kuala Lumpur Kita Punya karya Abdullah Hussain, Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, dan Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan. 

Dalam Persuratan Baru, pembinaan sesebuah karya (sama ada novel atau cerpen) tidak hanya memfokuskan kepada cerita tetapi juga ilmu. Cerita dan ilmu mesti bergerak seiringan. Cerita dan ilmu menjadi wadah penting dalam sesebuah karya persuratan. 

Selain itu, karya persuratan juga mesti menggunakan watak orang yang baik dan terpelajar sahaja. Watak pelacur, orang miskin, penyamun, bomoh, ahli politik yang rasuah dan sebagainya tidak boleh diterima. Kemudian, unsur khutbah adalah dibolehkan yang ternyata berbeza dengan karya kesusasteraan. Karya persuratan juga turut membicarakan darihal Islam dan keagamaan.   

Dalam karya kesusasteraan, pembinaan cerita yang menarik dan kreatif amat dipentingkan. Namun, nilai ilmu bukanlah dikesampingkan cuma kurang diberi penekanan. Walau bagaimanapun, bukan semua karya kesusasteraan tidak mempunyai nilai ilmu. Novel Salam Maria karya Fatimah Busu dan novel Imam karya Abdullah Hussain juga (bagi saya) adalah sebuah novel ilmu. Namun, dalam Gagasan Persuratan Baru, kedua-dua novel tersebut bukanlah novel ilmu.  

Ramai penulis menyatakan bahawa karya sastera bukan buku ilmu. Jika mahu ilmu, janganlah baca karya sastera sebaliknya baca sahajalah karya ilmu (seperti buku akademik, tesis, jurnal dan sebagainya). Walau bagaimanapun, pandangan itu kelihatan janggal selalu. Hal ini kerana, pengajian sastera di universiti adalah sebuah pengajian ilmu. Jika karya sastera bukan karya ilmu, maka apakah sastera yang diajarkan di sekolah dan di unversiti itu bukan ilmu?

Apa yang dicetuskan oleh Affandi itu pastilah sukar diterima oleh para penulis dan para Sasterawan Negara. Hal ini kerana, sudah sekian lama para penulis dan para sasterawan telah mengikuti tradisi penulisan novel yang sedia ada yakni memfokuskan sepenuhnya kepada cerita. Tambahan pula, itulah yang dilakukan oleh semua penulis besar dunia seperti Haruki Murakami, Ernest Hemingway, Orhan Pamuk, Frank Kafka, Gabriel Garcia Marquez, dan Boris Pasternak misalnya. 

Jika penilaian dibuat dengan menggunakan Gagasan Persuratan Baru terhadap semua karya para Sasterawan Negara, pastilah karya-karya mereka hanya layak masuk bakul sampah sahaja. Maka, menjadi tanda tanya, apa gunanya gelaran Sasterawan Negara itu diberikan kepada mereka? Sudah pastilah perkara sebegini sukar untuk diterima. Dan sudah pastilah para penulis yang mengidolakan para Sasterawan Negara akan terkejut tidak terkira. 

Saranan Affandi untuk menjadikan karya sastera sebagai sebuah karya ilmu sangat baik sebenarnya. Hal ini kerana, karya sastera tersebut akan memberi lebih faedah kepada para pembaca. Walau bagaimanapun, saranan beliau itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Hal ini kerana, bukan semua penulis berupaya untuk berbuat sedemikian.

Masalah Affandi ialah beliau gemar meremehkan karya kesusasteraan. Beliau juga gemar memaksa para penulis menghasilkan karya persuratan. Bagi beliau, gagasan beliau itu langsung tiada cacat cela dan mesti diterima. Jika tidak diterima, maka seseorang penulis itu akan dianggap sebagai penulis yang anti ilmu dengan sewenang-wenangnya. 

Saya sama sekali tidak menolak Gagasan Persuratan Baru. Saya juga tidak menolak karya kesusasteraan yang dihasilkan oleh ramai penulis dan sasterawan sejak lama dahulu. Karya persuratan dan karya kesusasteraan mestilah diterima kedua-duanya. Merendahkan salah satu daripadanya adalah sesuatu yang malang bagi diri kita. 

Meskipun karya kesusasteraan tidak mempunyai nilai ilmu di dalamnya, tetapi masih ada pengajaran yang kita boleh diambil daripadanya. Karya kesusasteraan bukanlah kosong semata-mata. Karya kesusasteraan ialah karya yang memaparkan perkara sebenar dari segi jiwa, emosi, psikologi, dan sosial manusia dalam bentuk cerita. Ada pelbagai perkara yang kita boleh pelajari daripada karya kesusasteraan sebenarnya.  

Tidak salah mana-mana penulis memilih untuk menulis karya persuratan. Dan tidak salah juga mana-mana penulis memilih untuk menulis karya kesusasteraan. Karya persuratan mampu memberikan ilmu kepada pembaca. Karya kesusasteraan pula mampu memberikan apa yang tidak mampu diberikan oleh karya persuratan kepada pembaca. Ingatlah, baik karya persuratan mahupun karya kesusasteraan, kedunya-duanya tidak sempurna. Hal ini kerana, kedua-duanya ditulis oleh manusia.