Sumber : Google |
Setiap manusia biasa di dunia ini
pasti akan melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang tidak pernah buat silap
tidak kira sama ada dia adalah seorang guru, pelajar, ahli politik, ustaz,
ataupun wartawan. Jika dia adalah seorang manusia biasa, kesilapan atau
kesalahan itu sudah menjadi resam dalam kehidupannya.
Namun begitu, jika kita melakukan
kesilapan, kita sewajarnya mengaku kesilapan kita. Jangan sesekali menegakkan
benang yang basah dengan mempertahankan kesilapan atau kesalahan yang telah
kita lakukan. Sangat merbahaya jika kita mempercayai kesilapan yang kita buat
itu adalah suatu perkara yang betul. Jika perkara itu berlaku, bermakna kita
berada dalam kesesatan yang nyata.
Apabila kita telah membuat salah atau
silap terutama kepada individu lain, kita wajar untuk meminta maaf dan mengaku
salah. Kita mesti berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan tidak baik itu
lagi. Kita mesti benar benar menyesal atas kesilapan yang kita lakukan. Sama
ada orang itu mahu memaafkan kita ataupun tidak itu menjadi soal kedua tetapi
apa yang penting kita mesti mengaku salah dan memohon kemaafan kepada orang
yang telah kita buat silap.