Sumber : Google |
Tiada ramai orang di dunia ini yang
tidak suka akan populariti. Yang tidak suka populariti itu ada tetapi mereka
adalah golongan minoriti. Ahli politik, ahli perniagaan, dan selebriti adalah
golongan manusia yang suka akan populariti. Mengapa mereka amat suka dengan
populariti? Kerana dengan popularitilah mereka boleh mendapat bermacam perkara
di dunia ini. Wang dan kuasa misalnya, boleh disedut dengan sebanyaknya melalui
populariti.
Sebab itulah kebanyakkan manusia
berusaha untuk meraih populariti. Mereka meraih populariti itu dengan bermacam
cara. Sama ada cara itu baik atau buruk itu sudah jatuh ke soal yang nombor
dua. Yang penting populariti itu mesti datang segera agar mereka boleh
memanfaatkannya.
Di zaman moden ini untuk meraih
populariti itu mudah sahaja. Dengan berbekalkan wajah kacak dan cantik, anda
sudah boleh meraih populariti dengan sebanyaknya. Cuma anda perlu tahu cara
sahaja untuk menyalurkan wajah kacak dan cantik yang anda ada itu untuk meraih
populariti dengan segera.
Kebanyakkan anak muda yang berwajah
kacak dan cantik ini, mereka menggunakan media sosial untuk meraih populariti.
Cukup sekadar mereka tempelkan wajah kacak atau cantik mereka di media sosial
seperti Twitter misalnya, kemudian mereka tulis atau taip perkara perkara yang
ramai orang suka, pasti mereka akan meraih populariti dengan segera. Yang
penting wajah kacak dan cantik itu memang perlu ada.
Jika mahu meraih populariti yang
lebih tinggi, cetuskanlah perkara-perkara yang bersifat kontroversi. Hinalah
mana-mana agama dan bangsa orang lain (misalnya) tanpa sekelumit pun perasaan
berdosa atau bersalah di dalam hati. Dengan penuh yakin, dalam tempoh satu hari
sahaja anda akan meraih begitu banyak populairiti. Populariti itu datang
daripada orang ramai yang menyokong dan menghentam anda di media sosial dengan
begitu banyak sekali.
Manusia yang meraih populariti dengan
cara sebegini risikonya amat tinggi. Selain dimaki hamun oleh orang ramai
setiap hari, dikenakan tindakan undang-undang itu sudah pasti. Orang yang
meraih populariti dengan cara begini adalah orang yang berani mati!
Satu lagi cara mudah untuk meraih
populariti adalah dengan menjadi selebriti. Menjadi selebriti pada zaman
sekarang tidak susah seperti dahulu lagi. Jika anda punya bakat sebagai
penyanyi, dikurniakan pula dengan wajah yang kacak atau cantik sekali, pasti
anda mudah untuk meraih populariti. Gunalah media sosial seperti Youtube dan
Smule misalnya, untuk pamerkan bakat yang anda ada. Bagi meraih populariti
dengan cara begini, bakat sahaja tidak mencukupi, wajah kacak atau cantik itu
pun diperlukan sekali. Jika wajah anda tidak cantik atau tidak kacak, sukar
untuk populariti anda naik dengan mendadak.
Seorang selebriti memang sangat
sangat memerlukan populariti. Bermacam cara untuk seseorang selebiriti itu
boleh meraih populariti. Sama ada mereka memperagakan wajah kacak atau cantik
mereka, atau cukup mereka mencetuskan kontroversi sahaja, itu sudah cukup untuk
mereka meraih populairiti dengan sebanyaknya. Dengan menggunakan bakat mereka
sebagai selebriti juga boleh membantu mereka untuk meraih populariti. Tetapi
itu pun terpulang kepada tuah nasib tuan empunya diri.
Selebriti yang bergantung kepada
bakat sahaja dan tidak paras rupa, ada di antara mereka yang boleh bertahan lama.
Tetapi selebriti begini memang tidak ramai di dalam dunia. Kebanyakkan
selebriti memang bergantung kepada rupa semata-mata untuk meraih populariti dan
bertahan lama. Tetapi bakatnya sebagai selebriti itu langsung tidak boleh
dibawa ke mana-mana.
Yang paling penting dalam dunia seni
ini adalah bakat dan kualiti sebenarnya. Tetapi mesyarakat kita ini lebih suka
memandang paras rupa selebriti itu sahaja. Selebriti yang kacak atau cantik
tetapi tidak berbakat dan berkualiti lebih mudah diterima. Selebriti yang tidak
kacak atau cantik tetapi berbakat dan berkualiti akan terpinggir begitu sahaja.
Sebab itulah seni hiburan kita tidak ke mana mana dan masih lagi berada di
takuk yang lama.
Selebriti yang mempunyai wajah yang
kacak dan cantik serta berbakat dan berkualiti pula, selebriti inilah yang
mesti diterima dan disokong oleh semua. Untuk mencari selebriti sebegini pun
begitu sukar sebenarnya. Tetapi jika ada, pastilah selebriti sebegini adalah
selebriti yang amat berjaya. Contoh
terdekat adalah Datuk Siti Nurhaliza misalnya.
Populariti itu memang dikehendaki. Ia
bertujuan untuk meningkatkan kemajuan diri dalam sesuatu pekerjaan yang
diceburi. Tetapi populariti itu perlu dilihat bagaimana cara ia diperolehi.
Jika cara mendapatkan populariti itu adalah dengan cara yang tidak baik, maka
populariti yang diperolehi itu pun pastinya datang dengan amat jelik!