Sabtu, 4 Ogos 2018

BAHASA MELAYU KOMUNIKASI PROFESIONAL

Image result for akademi pengajian bahasa uitm
Sumber


Artikel ini saya tulis khusus untuk membantu mahasiswa-mahasiswi yang akan mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Melayu Komunikasi Profesional di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. 

Diharapkan artikel ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran kepada anda tentang kursus ini. 

Saya ialah bekas mahasiswa yang mengambil kursus ini dari tahun 2015 sehingga tahun 2018. Saya sebenarnya tidak merancang menulis artikel ini tetapi seorang kawan telah mencadangkan kepada saya supaya artikel ini ditulis untuk memudahkan bakal mahasiswa-mahasiswi yang akan mengambil kursus ini jika mereka membuat carian di internet. 

Kursus ini akan dijalankan di Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam. Kursus ini mendidik anda tentang ilmu bahasa, linguistik dan komunikasi yang diajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, anda perlu juga mengambil subjek-subjek bahasa Inggeris dan subjek-subjek bahasa ketiga seperti bahasa Arab, bahasa Jerman, bahasa Korea, bahasa Jepun dan sebagainya.

Sebagai peringatan, anda tidak diajar untuk bergelar seorang guru bahasa Melayu dalam kursus ini. Untuk bergelar seorang guru di sekolah milik kerajaan, anda perlu menyambung Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) selepas anda tamat kursus ini. Jika anda mahu bekerja sebagai seorang guru juga sejurus selepas anda tamat kursus ini (tanpa mengambil DPLI), anda boleh memohon untuk menjadi guru di sekolah swasta atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).    

Kursus ini sebenarnya lebih memberi penekanan kepada anda untuk bergelar seorang editor, pensyarah, penterjemah, perancang bahasa dan sebagainya. Walau bagaimanapun, di zaman ini, tidak semestinya anda belajar dalam bidang bahasa maka anda mesti bekerja dalam bidang bahasa juga. Anda juga boleh bekerja di bank dengan kursus ini. Jangan sempitkan fikiran anda atau berfikir seperti anda berada di tahun 70an!

Secara umumnya, dalam kursus ini anda akan belajar tentang tatabahasa, budaya, terjemahan, protokol serta subjek-subjek komunikasi seperti perucapan, penghujahan dan perundingan. Selain itu, anda akan turut belajar tentang subjek-subjek linguistik seperti Sosiolinguistik, Semantik, Pragmatik, Linguistik Am dan sebagainya.

Kebanyakan mahasiswa dan mahasiswa yang akan menjadi rakan-rakan anda dalam kursus ini adalah baik-baik belaka. Perlu diingatkan bahawa jumlah mahasiswi adalah lebih ramai daripada jumlah mahasiswa dalam kursus ini.

Selain berkawan dengan rakan-rakan yang satu kursus dengan anda, anda juga akan berkawan dengan mahasiswa-mahasiswi yang mengambil kursus Bahasa Inggeris Komunikasi Profesional dan Bahasa Arab Komunikasi Profesional. Mereka merupakan rakan-rakan satu fakulti dengan anda.   

Dari segi pensyarah pula, kesemua pensyarah dalam kursus ini baik-baik belaka. Kesemua mereka bukan sahaja berdedikasi, malah akan membantu anda sehabis baik. Walau bagaimanapun, tetaplah ada juga pensyarah yang tegas.

Walau bagaimanapun, ketegasan mereka tidaklah sehingga sukar mahu bertolak ansur dengan anda. Mereka masih boleh dibawa berbincang jika terdapat masalah yang timbul. Kesemua mereka akan mengajar anda secara profesional. Jika anda mempunyai sebarang masalah, jangan sesekali segan untuk berhubung dengan mereka kerana mereka pasti boleh membantu.

Dalam kursus ini, terdapat sebuah persatuan yang mesti (ulang : mesti) anda sertai iaitu Persatuan Bahasa Melayu Komunikasi Profesional. Aktifkan diri anda dengan persatuan ini dan bantulah persatuan ini supaya menjadi persatuan yang hebat untuk masa kini dan akan datang.

Jika anda tidak mampu untuk menyewa rumah, maka aktifkan diri anda dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan pihak kolej. Namun, jika anda malas, anda boleh memilih untuk tinggal di rumah sewa.

Di universiti, anda perlu menjadi mahasiswa dan mahasiswi yang aktif. Jika anda pasif, anda akan rugi. Aktiflah dalam mana-mana persatuan yang anda suka dan sertailah mana-mana aktiviti yang dianjurkan sama ada di peringkat fakulti, kolej atau universiti. Percayalah, jika anda aktif, anda akan beruntung selepas anda tamat belajar nanti.

Berkawanlah dengan semua orang terutama kawan-kawan daripada fakulti yang lain. Jangan hanya berkawan dengan rakan-rakan sekelas atau satu fakulti dengan anda sahaja.

Diharapkan artikel yang serba ringkas ini dapat membantu anda mendapat gambaran tentang suasana pembelajaran seandainya anda terpilih untuk mempelajari kursus ini. Kursus ini sangat bagus dan sangat seronok untuk dipelajari. Berbanggalah jika anda terpilih untuk mempelajari kursus ini.
 

8 ulasan:

  1. zaman u dulu, saya ada roommate yang ambil kursus bahasa melayu..memang menarik kursus ni

    BalasPadam
  2. semoga bermanfaat untuk mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang berkenaan :)

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum nk tnya syarat lepas stam nk DPT apa

    BalasPadam
  4. boleh kongsikan tempat latihan yang boleh kita pilih untuk kos ini?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Untuk kursus ini hanya ada UiTM Shah Alam. Latihan Industri boleh pilih mana mana jabatan kerajaan atau syarikat swasta seperti TV3, DBP, ITBM, dan sebagainya.

      Padam
  5. Ulasan yg sgt menarik . Doakan sy agar terpilih utk masuk kos ini 🤍

    BalasPadam
  6. Kursus ni ada temuduga, temuduga nanti panel tanya soalan apa je

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.