Isnin, 12 Ogos 2024

PESAKIT FROZEN SHOULDER

 


Beberapa bulan lepas, aku ada buat part time urut kat pusat rawatan. Masa nak balik tu, admin pusat rawatan tahan aku.

"Tuan, ada pesakit call. Dia kata dia buat urut dengan tuan tadi. Dia kata tangan dia makin sakit lepas buat urut dengan tuan." Kata admin.

"Pesakit yang mana satu ye?" Soal aku. Masa tu kalau tak salah aku, aku ada urut tiga orang pesakit. Tak tahu yang mana satu.

"Pesakit yang nama Razali (bukan nama sebenar)." Admin memberitahu.

Tiba-tiba aku teringat pada pesakit tu. Pesakit tu ada masalah frozen shoulder di sebelah kanan.

"Tuan cakap dengan dia boleh? Dia tengah sakit tu. Dia nak cakap dengan tuan." Admin serah phone pusat rawatan ke tangan aku.

Aku ambil phone tu dan sapa Encik Razali tadi dengan perasaan cuak campur takut.

"Hello." Sapa aku dengan lembut dan sopan.

"Hello, tuan ke yang urut saya tadi?" Soal Razali di hujung talian. Lembut sahaja suaranya. Bagaimana bertemu di depan, begitulah juga dalam telefon. 

"Betul encik." Balas aku.

"Sekarang ni tangan saya sakit sangat lepas urut dengan tuan. Tak boleh nak angkat ni. Nak bawa kereta pun susah. Saya nak kena buat apa ye?"  Dia menyoal. Dengar suara dia sayu sahaja. 

"Encik tuam dengan ais ye. Buat empat jam sekali. Dalam empat jam tu, tuam selama 15 minit kat tempat yang sakit. Sambil-sambil tu boleh buat regangan yang macam saya ajar tadi." Jawab aku.

"Ohh...ye ke? Saya sekarang tengah kerja. Saya pemandu tuan. Bawa boss. Balik nanti kot baru saya tuam. Untuk masa sekarang tak boleh buat apa ye untuk kurangkan sakit ni?" Soal dia lagi. 

"Itu je cara dia tuan. Takpe, balik nanti tuan tuam dengan ais dulu. Buat tiga hari berturut-turut. Pastu lagi dua minggu datang semula. Kita tengok keadaan tuan masa tu macam mana." Balas aku. 

"Okay, baik tuan." Dia pun memutuskan panggilan telefon. 

Lepas panggilan telefon tu, aku tunggu juga dia datang dalam masa dua minggu. Tapi dia tak datang. Aku ada tanya admin, dia ada whatsapp apa-apa tak. Admin kata tak ada. Aku cuma berharap pada masa itu bahu kanan dia dah okay. 

Tiga bulan kemudian dia tempah waktu rawatan untuk buat rawatan dengan aku. Terkejut juga aku. Tiada angin dan tiada ribut, tiba-tiba mahu datang. Sebagai perawat, aku mengalu-alukan kedatangan dia. Aku nak tahu juga keadaan dia selepas tiga bulan. 

"Macam mana dengan bahu tuan lepas buat rawatan tempoh hari?" Soal aku semasa sesi konsultasi. 

"Ada kurang tapi masih sakit lagi. Lepas buat rawatan hari tu, sakit dia, nak angkat tangan pun tak boleh. Lepas tiga hari baru lega. Semalam ada angkat barang. Itu yang sakit balik ni." Dia menjawab. 

"Kenapa encik tak datang lepas dua minggu hari tu?" Soal aku lagi. 

"Takde masa encik. Saya busy. Boss asyik outstation je. Saya pun kena ikut sekali." Jawab dia. 

"Encik ada tak buat regangan macam saya ajar hari tu?" Tanya aku. 

"Kadang-kadang je buat. Kalau ingat saya buat la. Kalau tak ingat, saya tak buat." Dia membalas. 

"Saya harap lepas ni encik boleh buat hari-hari. Kalau harapkan rawatan sahaja payah nak sembuh. Takpelah, hari ni kita buat urut dan bekam angin ye. Balik rumah nanti boleh tuam dengan ais kalau rasa sakit sangat dan terus buat senaman hari-hari." Kata aku. 

"Okay." Balas dia pendek.

PESAKIT MIGRAIN

 



Tengah-tengah lepak tengok drama Korea, dapat call dari seorang pesakit.

"Bang, saya nak datang sekarang boleh tak? Kepala sakit sangat la. Ingat nak buat bekam." Tanya dia melalui telefon. 

"Kenapa kepala sakit?" Soal aku. Risau kalau dia jatuh atau kemalangan. Kalau terjadi dua hal tu, aku nak minta dia pergi hospital dulu. 

"Saya rasa saya kena migrain. Rasa macam nak pecah kepala otak saya ni. Rasa macam nak hantuk kepala kat dinding sebab sakit sangat." Dia mengadu. 

"Okay encik datang sekarang ye." Aku bagi alamat rumah untuk memudahkan dia datang.

Sampai rumah aku, nampak muka dia tengah tahan sakit yang teramat sangat. Aku persilakan dia masuk dan terus buat rawatan.

"Saya ni memang ada migrain. Dah dua tahun saya berhenti minum nescafe. Semalam try la minum. Ingat takde apa. Hari ni datang balik migrain saya." Ujar pesakit itu lagi masa aku tengah urut tengkuk dia.

Habis urut tengkuk, aku bekam kepala dia. Aku fokus pada tempat yang sakit. Habis bekam, sakit dia dah berkurang banyak. Nampak muka dia sedikit lega. 

"Encik jangan minum nescafe atau kopi tau. Takut nanti jadi balik migrain encik." Pesan aku sebelum dia balik. 

"Okay bang. Terima kasih bang sebab tolong saya." Ucap pesakit itu sambil tersenyum gembira.

CERPEN : TERPERANGKAP DENGAN KERJA


"Sakitnya kaki aku." Kata Soleh sambil tunduk mengurut-ngurut kakinya. Dia masa itu sedang lepak di kedai mamak bersama kawannya, Johari. Mereka sedang menunggu mi goreng mamak mereka siap. 

"Kenapa kaki kau sakit?" Soal Johari sambil menyedut teh ais mangkuknya. 

"Aku berdiri lama sangat tadi. Pelanggan ramai betul datang hari ni. Aku duduk masa rehat je." Soleh menjawab. 

"Haih, kesian kau. Nanti ada masa kita pergi urut kaki kau tu untuk bagi lega sikit sakit tu." Ujar Johari. 

"Itulah. Aku pun nak cari tukang urut ni. Lenguh kaki aku ni berdiri lama sangat hari-hari." Kata Soleh. 

"Aku sebenarnya kagum dengan kau sebab boleh jadi cashier. Aku tak boleh jadi cashier. Sebab aku ni tak mahir sangat bab kira-kira ni. Silap kira nanti duit short. Duit short nanti kita kena ganti dengan duit kita sendiri. Lagi satu aku ni cemerkap. Nanti duit ke mana. Barang ke mana." Ujar Johari. 

"Aku sebetulnya tak minat pun jadi cashier. Tapi tu la. Dah tak ada kerja lain. Yang ada kerja ni je. Kalau ada kerja lain yang lebih baik, dah lama aku berhenti." Balas Soleh. 

"Itulah. Kadang kita tak suka kerja tu tapi kita terpaksa bertahan. Kalau tak kerja, kita nak makan apa." Kata Johari. 

"Apa pun, kita layan je la kerja kita. Nak buat macam mana. Rezeki kita kat situ." Ujar Soleh dengan nada pasrah.

"Sebenarnya kat luar sana ada ramai orang tak suka dengan kerja mereka tapi mereka terpaksa bertahan untuk meneruskan kehidupan. Kalau diberi pilihan, mereka sendiri tak mahu buat kerja yang mereka lakukan sekarang." Balas Johari. 

"Betul tu. Ramai antara mereka terperangkap dengan pekerjaan itu dan susah untuk keluar dari pekerjaan tersebut. Suka atau tidak, mereka terpaksa bertahan dengan pekerjaan yang mereka tak suka itu dalam tempoh masa yang lama. Contohnya macam aku la." Ujar Soleh. 

"Sebab itulah kita kena bersyukur kalau kita dapat pekerjaan yang kita sukai. Hargai pekerjaan kita dan laksanakanlah kerja kita dengan penuh amanah dan kejujuran." Kata Johari.

Apabila mi goreng mamak mereka sampai, mereka pun makan sambil mengenang nasib diri mereka sendiri.