Sabtu, 21 November 2015

BERTEMU AIMAN BANNA DI MASJID TUANKU MIZAN

Sumber : Google

Aiman Banna – kalau nama ini disebut sudah pasti belia belia Melayu Islam kenal dengan lelaki ini. Seorang pendakwah muda yang comel, berkarisma, berani dan berwawasan. Memang Aiman Banna – setahu saya – tidak pernah masuk ke dalam mana mana program televisyen namun remaja yang berusia 19 tahun ini sangat terkenal di dunia Twitter dan mungkin juga di dunia blog (jika saya tidak silap).

Baru baru ini, persatuan PEMBINA UiTM Shah Alam menganjurkan sebuah forum berkenaan dengan remaja Islam (saya lupa nama tajuk forum dalam Bahasa Inggeris itu) di mana Aiman Banna menjadi salah seorang daripada panelisnya. Seorang lagi panel adalah Ustaz Abdul Rahman – juga seorang pendakwah yang popular – tetapi saya tidak mengenalinya. Saya pada awalnya sekadar suka suka sahaja datang ke majlis ilmu itu. Tidak sangka pula dapat bertemu dengan Aiman Banna di sana.

Saya mengenali Aiman Banna melalui Twitter. Pada awalnya saya tidak kenal siapakah pemilik akaun Twitter yang mempunyai ribuan malah ratusan ribu pengikut (followers) itu, tetapi saya tahu dia acapkali menulis berkenaan dengan dakwah melalui tweet tweetnya. Kemudian saya mendapat tahu dia menulis buku dakwah yang berjudul Henshin (saya tidak sempat membeli buku ini) yang merupakan sebuah buku yang agak laris di pasaran. Mungkin berada di tempat ketiga sebagai buku paling laris di kedai buku MPH (jika saya tidak silap).

Sabtu, 7 November 2015

FENOMENA DOKTOR KACAK DAN ISTERI GERSANG

Sumber : Google

Dr. Shazril Shaharuddin memanglah tidak popular seperti mana Remy Ishak atau Fahrin Ahmad namun ketampanan dan kesasaan tubuhnya memang tidak terkalah dengan dua orang pelakon kacak itu. Dia pernah beberapa kali muncul dalam iklan televisyen dan majalah majalah tempatan sebagai ikon pertandingan badan cantik yang sudah menjadi satu trend kegemaran lelaki masa kini. Sebagai seorang doktor, jarang sekali golongan professional sepertinya mahu menceburi bidang sebegitu (jika saya tidak silap).

Saya mengetahui nama Dr. Shazril melalui majalah majalah yang saya baca. Namanya seangkatan dengan nama ikon badan cantik yang lain antaranya Faez Nick, Dino Azizi dan ramai lagi. Anda boleh tahu mengenai mereka jika anda mempunyai akaun Instagram atau membaca majalah Maskulin, Mangga dan Lelaki selain ‘bertanya sendiri’ dengan Dr. Google.

Nama Dr. Shazril yang selama ini hanya ‘suam suam kuku’ sahaja tiba tiba panas apabila diundang menjadi tetamu jemputan dalam satu rancangan sebuah stesen radio popular iaitu Hot FM. Orang tidak pertikaikan kehadirannya sebagai tetamu di stesen radio itu tetapi orang pertikaikan panggilan yang dibuat oleh sekumpulan pendengar wanita kepadanya melalui stesen radio tersebut. Masyarakat menjadi bingung mengapa pendengar wanita terutama dari golongan ibu sanggup bertindak ‘liar’ sebegitu?