Jumaat, 10 Jun 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 5




         Sudah tiga hari Fauziah dan Razali tinggal di rumah Hafizah. Tiada apa yang berlaku di rumah itu kecuali pergaduhan besar di antara mereka berlaku di malam pertama Fauziah dan Razali di rumah itu. Fauziah seperti biasa sahaja berada di rumah itu walaupun hatinya masih terguris dengan kata kata Hafizah terhadapnya pada malam pergaduhan itu. Razali yang sememangnya tidak bersetuju mereka datang ke rumah Hafizah itu telah mengambil sikap silent treatment terhadap Hafizah yang dianggapnya kurang ajar dan melampau terhadapnya dan Fauziah selama beberapa hari itu. Hafizah pula terus terseksa dengan kehadiran kedua dua orang tua itu namun dia cuba berlagak gembira tatkala berada di hadapan mereka. 

     Pada pagi Khamis itu. Hafizah menyapu halaman rumahnya memandangkan hari tersebut adalah hari cuti bagi Malaysia sempena menyambut Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Memang itulah rutin hariannya pada hari cuti. Di samping berkebun, dia akan menyapu daun daun yang berguguran di halaman rumah. Daun daun yang berterbangan dari pokok pokok yang berada di sekitar taman perumahan itu akan jatuh ke kawasan rumahnya apabila ditiup angin. Jika tidak disapu, akan menyemakkan pandangan seterusnya akan memperlihatkan rumahnya seperti rumah tinggal!

     Ketika sedang leka memasukkan daun daun yang sudah siap disapu dan dilonggokkan itu ke dalam sehelai plastik hitam, dirinya dikejutkan dengan suara Nora, jiran sebelah rumah.


     “Hafizah, akak nak cakap sikit dengan kau!” Lantang sekali suara Nora yang sedang berdiri di pagar sebelah rumahnya. Hafizah menjadi bingung melihat wajah Nora. Wajah jirannya itu masam mencuka sahaja memandang dirinya. Kenapa macam dia marah je? Aku ada buat salah ke?” Bisik hati Nora.

     “Ada apa kak? Macam serius je?” Soal Hafizah sambil menuju ke arah Nora. Dia membuka sarung tangan putihnya yang digunakan untuk mengangkat sampah sarap yang berbentuk daun tadi.

     “Memang serius. Kau tahu tak mak dan bapak kau tu dah melampau? Ada ke patut mak kau pergi cabut bunga aku yang kat depan tu. Hei, bunga tu mahal tau. Aku beli kat luar negeri. Sedap sedap je dia cabut. Bila aku tanya nak buat apa, dia kata nak tanam kat rumah anak dia yang bongsu pastu blah macam tu je. Dah la tak minta izin, pastu cabut bunga orang sesuka hati.” Luah Nora tidak puas hati. Hafizah hanya terkulat kulat mendengar luahan tidak puas hati Nora.

     “Bapak kau pula, boleh dia jerit jerit marah anak aku main kat depan rumah aku ni. Dia siapa nak marah marah anak aku? Selama aku duduk kat sini, tak pernah tau orang marah anak aku main kat kawasan rumah. Bila bapak kau sampai je sini, terus nak marah marah. Sampai anak aku nak main pun tak senang.” Ujar Nora menghamburkan kemarahannya. Dia benar benar marah pada waktu itu. Dari nada suaranya jelas yang dia memang marah. Walaupun tidak tinggi, namun nada suara itu keras!

     “Saya minta maaf banyak banyak la kak atas apa yang mak dan bapak saya dah buat. Saya minta maaf banyak banyak. Saya memang tak tahu menahu pasal hal ni. Takpe, pasal bunga akak tu nanti saya ganti. Berapa harga bunga tu kak?” Kata Hafizah dengan wajah yang penuh rasa bersalah.

     “Tak payah! Aku tak nak pun duit kau tu. Aku nak kau cakap dengan mak bapak kau jangan buat macam tu lagi, faham?” Hafizah mengangguk perlahan. Kemudian Nora terus berpusing masuk ke dalam rumah dengan perasaan marah dan tidak puas hati. Hafizah melepaskan keluhan berat. Kedua dua orang tua itu sudah melampau. 

      Tanpa melengahkan masa lagi, Hafizah lantas masuk ke rumah. Dia menemui Fauziah yang khusuk menonton televisyen di ruang tamu. Ayahnya tidak kelihatan. Barangkali orang tua itu ada dalam bilik air.

     “Ibu, saya nak tanya, kenapa ibu pergi cabut bunga jiran sebelah ni semalam tanpa minta izin dulu? Ibu tahu tak Kak Nora tu marah saya tadi.” Soal Hafizah sambil memandang ibunya dengan pandangan tidak puas hati.

     “Ala...ibu cabut satu je. Bunga dia banyak. Takkan satu pun tak boleh ambil.” Fauziah menjawab.

     “Ibu, bunga dia tu mahal. Beli kat luar negeri. Kalau ibu nak ambil pun, minta la izin dulu. Jangan la pakai ambil je. Itu mencuri namanya.”

     “Allah...kedekut betul jiran kau tu. Ambil satu je nak berkira. Bunga kat mana mana pun sama je. Luar negeri ke, dalam negeri ke, sama je semua. Bunga juga. Tak payah la jiran kau nak sombong sangat.”

     “Ibu...ini bukan soal sombong atau tak sombong. Ini soal ibu petik bunga dia tanpa kebenaran.”

     “Alah, ibu bagilah balik bunga tu. Ambil satu pun kecoh, bukan sepuluh." ”Jar Fauziah sambil bangun untuk mengambil bunga yang dipetiknya semalam di dalam bilik.

     “Tak payah la bu. Ibu simpan je. Lain kali nak apa apa, jangan pakai ambil je. Nanti orang marah. Orang bukan marah ibu, orang marah saya. Faham?”

     “Yalah, kedekut betul. Bunga sekuntum pun nak berkira.” Kata Fauziah sambil matanya memandang televisyen. Mukanya mempamerkan riak meluat. Ambil bunga pun nak marah. Aku bukan ambil duit. Bisik Fauziah di dalam hati.   

     Hafizah memandang ibunya kegeraman. Dia benar benar marah dengan sikap Fauziah yang memalukannya di hadapan Nora. Hubungan baiknya dengan Nora retak kerana sikap ibunya yang karut marut itu. Hafizah kembali semula ke luar rumah untuk menyambung tugas tugasnya yang tergendala tadi.

     Hafizah benar benar kegeraman. Sudah banyak onar yang telah dilakukan oleh dua orang itu terhadapnya. Bermula dengan menyepahkan barang barang dapurnya, kemudian membaling nasi goreng yang dibelinya ke muka, membasikan nasi yang dimasaknya, makan dengan cara yang kotor dan memalukan dirinya dihadapan jiran.

     Dia benar benar sudah tidak tahan lagi. Itu hanya sebahagian kelakuan kelakuan orang tua itu yang tidak disenanginya. Jika dicampur semua termasuklah kelakukan kelakuan yang lain seperti acapkali mentertawakannya, menghinanya, memperlekehkannya dan banyak lagi, tidak terhitung banyaknya kesalahan kedua kedua mereka terhadap dirinya. Dia benar benar sudah tidak tahan lagi. Dia mahu kedua dua mereka segera keluar dari rumahnya.

     Dia memang sudah tidak sabar lagi mahu kedua dua mereka berambus dari rumahnya! Ya, esok dia akan menghubungi Hafreez untuk mengambil kedua dua mereka dari rumahnya.

.................................................................................................................

     Sudah berkali kali Hafizah menghubungi Hafreez namun sehingga kini masih lagi tidak dijawab. Dia sudah pun menghantar pesanan melalui aplikasi whatsapp namun yang ada hanya satu grey tick sahaja di situ maksudnya pesanan itu belum diterima dan belum lagi dibaca oleh Hafreez. Jika sudah diterima dan sudah dibaca, sudah pasti akan ada blue tick di situ.

     “Mana pula mangkuk ni? Whatsapp tak balas, call tak angkat. Menyusahkan betul la budak ni. Adoii...” Hafizah merungut. Sudah lenguh tangannya memegang telefon pintar kepunyaannya untuk menghubungi Hafreez tetapi sampai sekarang masih tidak dapat. Hafizah benar benar sebal pada waktu itu.

       “Kenapa ni Cikgu Hafizah? Stress semacam je...” Tegur Cikgu Hafidz. Dia yang dari tadi duduk di sebelah meja Hafizah di bilik guru itu begitu runsing melihat keadaan Hafizah yang tidak keruan. Biasanya Hafizah tidak begitu walaupun dia jarang bertegur sapa dengan guru wanita itu. Ya, mereka memang jarang bertegur sapa. Mereka hanya bertegur sapa sekali sekala sahaja dan itu pun jika ada perkara perkara yang penting. Ini kerana, Hafizah bukanlah seorang guru yang peramah di sekolah itu. Dia suka menyendiri dan membuat halnya sendiri. Justeru, dia tidak punya ramai kawan di sekolah dan ramai pelajar tidak menyukainya sebagai seorang guru.

       “Kau tak payah sibuklah! Kau buat je kerja kau. Aku bukan kacau kau pun.” Jerkah Hafizah. Dia malas mahu melayan guru lelaki kacak dan diminati ramai dalam kalangan pelajar dan guru perempuan di sekolah itu. Itulah sikapnya yang ramai orang tidak suka. Pemarah dan tidak mesra. Cikgu Hafidz hanya mendengus kecil. Dia menyambung semula menyiapkan kerja kerjanya yang tertangguh. Dia bukan mahu menyibuk tentang hal Hafizah cuma mahu membantu jika Hafizah mempunyai masalah. Tetapi oleh kerana Hafizah sendiri tidak mahu melayannya, dia fikir lebih baik dia tidak perlu mengendahkan guru wanita itu.   

     Oleh kerana Hafizah gagal menghubungi Hafreez, dia mula mencari nombor telefon milik isteri Hafreez – Haliza di dalam telefon pintarnya. Mujur nombor telefon milik Haliza ada di dalam telefon pintarnya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana nombor telefon adik ipar angkatnya ada di dalam telefon pintar itu tetapi apa yang pasti,  dia benar benar bersyukur saat itu.

     Dia segera menghubungi Haliza dan berharap agar Haliza akan menjawab panggilan telefonnya. Selepas beberapa kali telefon telefon Haliza berdering, tiba tiba dia mendengar suara Haliza yang lembut itu di hujung talian.

     “Hello. Assalamualaikum kak long. Ada apa?” Haliza memulakan mukadimah perbualan di dalam talian telefon. Dia menjadi bingung apabila Hafizah menghubunginya. Sangat jarang sekali kakak ipar angkatnya itu mahu menghubungi dirinya.

     “Waalaikumussalam. Baguslah kau angkat telefon tu. Ni nak tanya, puas aku telefon suami kau. Dia kat mana? Kenapa dia tak angkat telefon? Kenapa aku whatsapp dia tak balas? Dia dah mampus ke apa?” Soal Hafizah bertalu talu. Haliza beristighfar di dalam hati mendengar ucapan yang keluar dari mulut Hafizah. Begitu juga dengan Cikgu Hafidz di sebelah Hafizah. Dia sendiri tidak menyangka ada juga guru di sekolah itu yang berperwatakan seperti Hafizah. Kasar dan tidak tahu menghormati orang lain. 

     “Abang Hafreez outstation kak long kat Sabah ni. Saya dan Hazim pun ikut sekali. Bulan depan kami balik la. Mungkin sebab line kat sini tak bagus kot, tu yang abang Hafreez tak angkat tu. Kenapa kak long?” Haliza bertanya. 

       “Oh...patutlah tak angkat angkat. Dia tak ada dengan kau la sekarang ni?” Soal Hafizah lagi.

     “Takde kak long. Dia keluar...ada kerja yang kena selesaikan. Kenapa kak long cari abang Hafreez?”

“Aku bukan apa...aku dah tak sanggup dah nak jaga binatang dua ekor tu kat rumah. Kau suruhlah Hafreez ambil balik binatang dua ekor tu. Sakit hati aku tengok.” Hafizah menjawab sambil menjeling Cikgu Hafidz di sebelahnya. Harap Cikgu Hafidz tidak tahu siapa ‘binatang’ yang dia maksudkan.  

     “Astagfirullahalazim kak long...tak baik kak long cakap macam tu kot ye pun kak long tak suka diaorang. Itu kan ibu dan ayah kak long.” Haliza benar benar terkejut dengan kata kata yang keluar dari mulut Hafizah. Dia tidak sangka wujud juga anak biadap kepada ibu bapa seperti Hafizah di dunia realiti ini. Dia sangkakan hanya ada di dalam drama atau filem Melayu sahaja. 

     “Kau tak payah nak nasihat aku! Aku telefon ni bukan nak dengar nasihat percuma dari kau tu. Aku suruh kau kutip balik makhluk dua ekor yang bersarang kat rumah aku tu, bukan suruh kau ceramah aku. Aku tahulah apa aku buat. Aku ni cikgu sekolah kot.” Hafizah bercakap dengan nada angkuh. Haliza yang mendengar sekadar menggelengkan kepala. Dia begitu kesal dengan sikap Hafizah.

     “Kami minta maaf kak long. Kami tak boleh nak ambil ibu dan ayah buat masa ni. Abang Hafreez outstation selama sebulan kat Sabah ni. Lepas sebulan nanti baru kami balik semananjung. Buat masa ni kak long jagalah dulu ibu dan ayah ye.” Haliza memujuk. 

     “Sebulan? Lamanya...adoii...macam macam alasan la korang ni! Kalau tak nak ambil, cakap je la...tak payah nak menipu bagai. Tunjuk baik konon...dahlah! Huh!” Hafizah lantas mematikan talian telefon tersebut. Dia betul betul bengang dengan Haliza kerana adik ipar angkatnya itu sengaja memberi alasan tidak mahu mengambil semula kedua dua orang tuanya di di rumah. Dia sangat yakin yang Hafreez dan Haliza sengaja mahu menyusahkan dirinya.

     “Siapa yang cikgu telefon tadi tu?” Soal Cikgu Hafidz sambil memandang wajah Hafizah. Dia memerhatikan wajah wanita gempal yang bermulut celupar itu. Kadang kala dia berasa pelik dengan Hafizah. Wanita itu bukan sahaja kasar malah suka menyendiri. Tentu ada sebab yang kukuh mengapa Hafizah boleh jadi sebegitu dan sebagai kawan, dia mahu mengetahui sebab sebab yang menyebabkan Hafizah menjadi pemarah, bermulut celupar, dan kasar itu.

     “Adik ipar aku. Kenapa?” Soal Hafizah. Dia mula memandang Cikgu Hafidz dengan rasa jengkel. Dia tahu Cikgu Hafidz ingin menyibuk tentang hal peribadinya. 

     “Cakap dengan adik ipar macam tu punya kasar? Lagi satu, saya tahu binatang yang cikgu cakap kat orang dalam telefon tu bukannya binatang yang saya faham. Siapa binatang tu yang cikgu maksudkan? Kenapa tergamak cikgu cakap kat dia macam tu?” Soal Cikgu Hafidz.

     “Amboi, sejak bila kau tukar kerja jadi wartawan ni? Sibuk sangat nak tahu perihal hidup aku. Suka hati la aku nak cakap apa dan macam mana sekalipun...kau apa peduli? Aku ada kacau hidup kau?” Hafizah menyoal dengan angkuh. Dia menjeling Cikgu Hafidz dengan jelingan maut. Dia tidak suka dengan manusia penyibuk. Mengapalah ramai benar manusia yang bergelar perempuan di sekolah ini tergila gilakan Cikgu Hafidz? Padahal pada pandangan matanya Cikgu Hafidz ini tidaklah kacak mana. Menjengkelkan itu dia pasti. Dia sendiri berasa meluat untuk menatap wajah guru lelaki di sebelahnya itu.

     “Saya tak ada niat nak menyibuk hal Cikgu Hafizah cuma saya pelik kenapa guru bahasa Melayu macam cikgu ni, boleh cakap perkara perkara tak baik macam tu. Yalah, guru bahasa Melayu ni biasanya lemah lembut dan sopan santun. Cikgu ni lain sangat dengan guru bahasa Melayu lain yang saya jumpa. Hati hati Cikgu Hafizah. Jangan kerana pulut santan binasa, jangan kerana mulut badan binasa.” Cikgu Hafidz memberi nasihat walaupun dia tahu satu sen nasihatnya tidak akan dipakai oleh Hafizah.

     “Wah...tak cukup ceramah kat anak murid sendiri, ceramah kat aku pula? Terima kasihlah atas ceramah itu Cikgu Hafidz. Aku ni dah lama mengajar kat sini daripada kau. Jadi, tak payahlah nak nasihat nasihat aku. Tahulah aku jaga diri aku sendiri. Kau jaga je diri kau tu. Tak payah nak menyibuk hal aku.” Kata Hafizah sambil menjeling Cikgu Hafidz. Kemudian dia bingkas bangun dari tempat duduknya dan terus keluar dari bilik guru. Cikgu Hafidz sekadar memandang langkah Hafizah dengan gelengan kepala. Dia sangat berharap agar Hafizah akan segera sedar akan kekhilafannya.    


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.