Rabu, 15 Jun 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 9



       

        Norin memakirkan kereta mewahnya yang terletak tepi rumah agam miliknya itu. Setelah memastikan semuanya berkunci, dia melangkang masuk ke dalam rumah. Dia melihat jam yang terletak di pergelangan tangan kirinya. Jam baru menunjukkan pada pukul 5 petang dan dia sudah pun pulang dari tempat kerjanya.

     Kebiasaanya, selagi jam tidak menunjukkan pada pukul lapan malam, selagi itulah dia tidak akan berganjak dari pejabat. Tetapi oleh kerana pada hari itu banyak kerjanya sudah dibereskan dan semua urusannya sudah diselesaikan, maka dapatlah dia pulang awal ke rumah.

     Ketika dia masuk ke dalam rumah, dia melihat kedua dua orang tuanya sedang khusyuk menonton televisyen. Dia tidak menyapa mereka berdua sebaliknya dia terus menuju ke dapur untuk membasahkan tekak. Dia membuka peti ais lalu mengambil sebotol jus oren lalu menuangkan jus tersebut ke dalam sebuah gelas yang agak tinggi. Norin meneguk rakus jus oren tersebut kerana terlalu dahaga.

     “Puan, Mak Jah dah siapkan minum petang. Cheese cake yang puan beli hari tu pun Mak Jah dah sediakan. Semuanya ada kat depan.” Beritahu Mak Jah, pembantu rumah kepada Norin dan Shuib yang sudah lima tahun berkhidmat di rumah tersebut.

     “Okey, terima kasih Mak Jah.” Ucap Norin sambil tersenyum.
“Hmmm...Mak Jah, hari ni diaorang dua ada buat perangai pelik pelik tak?”


     “Perangai pelik pelik? Maksud puan?” Soal Mak Jah kebingungan.

     “Perangai pelik pelik la? Terkencing ke? Terberak kat ruang tamu ke? Meroyan tak tentu pasal ke? Ada?”

     “Takde pula puan. Saya tengok ibu dan ayah puan tu okey je.”

     “Hmmm...okeylah kalau macam tu.” Balas Norin. Mak Jah sekadar mengangguk kemudian menyambung semula tugasannya yang masih berbaki lagi di dapur itu.

     Setelah membasuh gelas yang telah digunakan dan menyimpan semula di tempat yang asal, Norin melangkah ke ruang tamu. Dia melihat ibu dan ayahnya masih lagi menonton televisyen. Sesekali mereka berbual bual tentang rancangan yang mereka tonton itu.

     Norin duduk di salah satu sofa yang ada di ruang tamu rumah agam itu. Dia memerhatikan cheese cake dan teh O panas yang terletak di atas meja kopi. Terdapat cheese cake yang tidak habis di makan dan sebiji cawan yang sudah habis air kopi susunya.

     “Eh, bila masa kamu balik Norin? Ibu tak dengar pun kamu masuk rumah. Kamu biasanya balik lambat kan?” Soal Fauziah kebingungan. Razali yang duduk di sebelah isterinya turut berasa bingung namun dia diam sahaja. 

     “Macam mana ibu nak sedar, ibu asyik tengok tv je.” Balas Norin acuh tak acuh. Fauziah malas mahu bertanya lagi. Begitu juga dengan Razali. Maka, mereka pun kembali menumpukan perhatian kepada televisyen.

     “Kenapa ada cheese cake yang tak habis tu?” Soal Norin. Pandangan Fauziah dan Razali tertumpu semula kepada Norin.

     “Ibu ingat kek tu sedap tapi lain macam pula rasa dia. Nak muntah pula bila ibu makan. Tak boleh nak masuk la kek cheese ni.” Fauziah menjawab.

     “Habis tu nak buang macam tu je? Ibu ingat cheese cake ni murah? Suka sangat membazir ibu ni. Dulu masa saya kecik kecik selalu sangat cakap membazir tu amalan syaitan. Suka bandingkan dengan orang Palestin yang tak dapat makan tu. Sekarang ibu membazir ni boleh pula?” Norin menghentam ibunya dengan kata kata. Baru puas hatinya melihat wajah ibunya berubah.

     “Ibu tak tahu Norin yang tu cheese cake. Kalau ibu tahu ibu takkan makan. Ibu dah masuk mulut baru ibu tahu. Bila ibu tanya dengan Mak Jah ni kek apa, dia cakap ni cheese cake. Jadi ibu tak makan la sebab ibu memang tak makan cheese.” Fauziah membela diri.

     “Eleh, tu semua alasan. Ibu tanya la Mak Jah dulu sebelum makan. Ini tak, main belasah je pastu tak habis. Pastu buang buang. Kalau beli kek tu pakai air liur takpe juga. Ni pakai duit tahu tak!”

     “Kau ni Norin, takkan pasal kek pun kau nak kurang ajar dengan ibu kau. Berapa harga kek ni? Biar aku bayar harga dia. Kau tak payah nak kurang ajar dengan ibu kau pasal dia tak habis makan kek ni. Cakap cepat berapa harga dia! Aku bayar sekarang juga.” Razali sudah mula meninggikan suara. Dia mula mengeluarkan dompetnya untuk membayar harga cheese cake tersebut.

     Razali benar benar kesal dengan sikap Norin. Hanya kerana cheese cake sahaja dia sudah memarahi ibunya sendiri. Norin benar benar anak yang tidak cukup diajar.

     “Tak payah la ayah. Simpan je la duit tu. Saya tak hadap pun duit ayah tu. Duit saya pun banyak. Tapi saya nak cakap satu je. Lain kali makan biar sampai habis. Kalau tak boleh habis, jangan makan tahu. Membazir je. Ni la rupanya sahabat sahabat syaitan yang selalu ibu cakap kat saya kalau saya membazir tu.” Kata Norin dengan penuh berbisa. Kemudian dia bangun dari tempat duduknya untuk naik ke bilik.

     Fauziah yang mendengar kata kata Norin tadi berasa sebak. Mulut Norin sebenarnya lebih berbisa daripada mulut Hafizah. Jelas Norin memang tidak suka akan kehadiran mereka di rumah itu. Jelas Norin membenci diri mereka sejak dulu.

     “Sabarlah Fauziah. Bawalah banyak banyak bersabar. Dah nasib kita nak dapat anak yang kurang ajar macam tu. Doalah banyak banyak supaya Allah beri petunjuk dan hidayah kat dia.” Razali memujuk.

     “Saya sungguh tak sangka bang. Anak yang saya kandung, saya lahir dan saya besarkan selama ni boleh cakap macam tu dengan saya. Saya memang tak sangka.” Fauziah berkata dengan nada sebak. Bergenang air matanya di tubir mata dan bila bila masa sahaja air mata itu boleh menuruni pipi tuanya yang sudah banyak berkedut itu. Razali tidak berkata apa apa. Sekadar satu keluhan kekesalan dilepaskan.

.................................................................................................................

     “Mak Jah...tolong ambilkan air teh O petang tadi ke sini.” Norin memberi arahan kepada Mak Jah yang berada di dapur. Beberapa minit kemudian muncul Mak Jah dari arah dapur sambil membawa satu teko air teh O yang tidak habis pada petang tadi ke ruang makan.

     “Awal mama balik hari ni. Biasa macam ni mama kat pejabat lagi.” Ujar Khairil yang duduk disebelah Norin dan berhadapan dengan Fauziah di meja makan besar yang terletak di ruang makan rumah agam itu.

     “Hari ni semua kerja mama dah siap jadi mama balik la awal. Kenapa? Ril tak suka ke mama balik awal?” Balas Norin.
     
     “Bukan tak suka cuma rasa pelik je. Biasanya kalau makan malam, Ril dengan papa je. Malam ni ada mama, ada atuk, ada nenek dengan ada papa sekali. Rasa macam best pula makan malam ni. Lauk yang Mak Jah masak pun banyak yang sedap sedap.” Khairil menjawab.

     “Oh macam tu. Sorry la sayang mama jarang ada masa untuk Ril. Mama minta maaf banyak banyak. Takpe, nanti mama amik cuti pastu nanti kita cuti satu keluarga ye.” Norin mengusap kepada anak terunanya itu. Fauziah, Razali, dan Shuib yang turut berada di meja makan itu sekadar memandang sahaja kelakuan anak beranak itu.

     “Kamu percayalah cakap mama kamu tu Ril. Dia mana ada masa nak cuti. Kalau tak sibuk dengan kerjanya sebagai peguam tu, dia sibuk dengan CUCI. Mana ada dia ada masa nak pergi bercuti semua.” Kata Shuib dengan nada bergurau. Dia menyendukkan nasi putih ke dalam pinggannya. Kemudian dia mengambil beberapa lauk yang terhidang di depannya lalu diletakkan ke dalam pinggan.

     “Abang ni sibuk je la. Papa melawak je tu. Insha Allah...nanti kalau mama betul betul free, mama amik cuti pastu kita pergi melancong ke mana mana ye.” Norin mengukir sebuah senyuman harapan buat Khairil.

     “Okey ma.” Balas Khairil sambil tersenyum. Dia turut menyendukkan nasi ke dalam pinggan. Fauziah dan Razali pula sudah dua tiga suap nasi masuk ke dalam perut mereka.

     Norin menuangkan teh O sejuk yang dibancuh oleh Mak Jah pada petang tadi ke dalam cawan. Biasanya begitulah. Jika ada minuman petang yang masih berbaki, Norin tidak buang begitu sahaja. Dia akan minum minuman itu pada waktu makan malam. Dia tidak suka membazir kerana dia tahu, membazir itu amalan syaitan dan menyebabkan kerugian. Sebab itulah, dia tidak membenarkan pembaziran berlaku di rumah itu terutama kepada Khairil. Dia sangat marah jika Khairil membazir makanan atau apa sahaja barang yang mereka miliki. 

     Ketika Norin menuang teh O sejuk itu ke dalam cawan, dia mendapati air teh O itu tidak berwarna coklat keperangan sebaliknya berwarna coklat terang. Dia menjadi bingung melihat keadaan air teh O yang dibancuh oleh Mak Jah petang tadi. Kenapa pula air teh ni jadi macam ni? Bisik hati kecilnya.

     “Kenapa awak pergi tenung air teh tu? Ada cicak masuk ke?” Shuib bertanya kerana bingung melihat sikap Norin yang merenung air teh O itu terlalu lama.

     “Cuba awak tengok air teh ni. Kenapa dia jadi macam ni ea? Keruh semacam.” Norin menunjukkan air teh yang berada di dalam cawan itu kepada Shuib. Shuib sendiri menjadi bingung melihat keadaan air teh itu.

     “Ni macam kopi susu ni. Mari sini abang rasa.” Shuib mencicip sedikit air teh itu untuk merasa. Ya, tepat tekaannya, air yang terkandung dalam teko itu bukan air teh tetapi kopi susu.

     “Kan betul abang cakap. Ni kopi susu tapi ada rasa teh sikit. Macam pelik pun ada rasa air ni. Air apa yang Mak Jah buat ni?” Ujar Shuib yang masih dalam kebingungan. Bukan hanya dia dan Norin sahaja, Khairil yang ada di situ turut berasa bingung. Dia mencicip sedikit air teh itu. Air itu agak pelik sedikit rasanya. Hanya Fauziah dan Razali sahaja yang berlagak tenang pada waktu itu.

     “Mak Jah...Mak Jah...mari sini kejap. Ada benda saya nak tanya ni.” Norin melaungkan nama pembantu rumahnya. Tidak lama kemudian muncul Mak Jah di ruang makan rumah agam itu.     
     “Ada apa puan?” Soal Mak Jah yang berwajah ketakutan. Dia sangat risau jika dia melakukan kesalahan di rumah itu. Walaupun Norin dan Shuib bukanlah seorang majikan yang garang, namun dia seboleh-bolehnya tidak mahu menimbulkan masalah di rumah itu. Dia sangat suka bekerja dengan Norin dan Shuib. Walaupun mereka kaya, namun mereka sangat baik dengan dirinya. Mereka jarang memarahinya sebaliknya menegur segala kesilapannya dengan teguran yang baik.

     “Mak Jah, saya nak tanya, kenapa air teh yang Mak Jah buat petang tadi tu rupa dia macam ni? Apa yang Mak Jah letak dalam air ni?” Norin bertanya dengan nada lembut tetapi tegas. Dia menunjukkan air teh yang ada di dalam cawannya kepada Mak Jah.

     “Saya tak tahu puan. Masa saya buat petang tadi okey je.” Jawab Mak Jah.

     “Macam mana Mak Jah boleh tak tahu? Kan Mak Jah yang buat air ni petang tadi. Biasa Mak Jah buat air teh okey je. Kenapa hari ni jadi macam ni?” Norin mula menyoal siasat pembantu rumahnya.

     “Bukan salah Mak Jah air tu jadi macam tu. Salah ayah sebenarnya. Air kopi susu yang Mak Jah bancuh tu tak sedap. Jadi ayah masukkan dalam teko tu sebab ayah ingat air tu air kopi susu rupanya air teh O.” Razali membuat pengakuan atas kesalahannya. Semua yang ada di situ tertumpu ke arahnya.  

     “Oh...jadi ayahlah yang buat air ni jadi macam ni. Ya Allah...mana la ayah letak otak ayah tu. Kenapa bebal sangat sejak dah tua ni? Tengoklah dulu dalam teko ni air apa...kopi susu ke? Air teh ke? Ayah dengan ibu ni memang suka membazir kan? Petang tadi bazirkan cheese cake, malam ni bazirkan air teh O yang masih banyak ni. Esok nak bazir apa pula? Ayah ingat saya ni kaya sangat ke nak membazir itu ini?” Norin menghamburkan kemarahannya. Suaranya yang lembut tadi bertukar keras walaupun tidak tinggi.

     “Dah la tu Norin. Tak baik cakap macam tu dekat ayah awak. Dah tak boleh minum sudahlah. Tak payah nak marah marah. Tak elok sayang.” Shuib cuba memujuk untuk mententeramkan keadaan.

     No! Saya tak boleh terima ni semua. Abang tahu tak, masa saya kecil dan remaja dulu, kalau saya membazir sikit je contoh macam tak makan sayur dalam nasi goreng yang diaorang masak, saya kena marah tau dari pagi sampai ke petang. Habis semua benda nak ungkit masa tu. Konon duit banyak habis la, kerja penat penat nak bagi makan la, tak reti bersyukur la, membazir la, sekarang ni bila diaorang membazir, takkan saya nak diam macam tu je?” Norin membidas.      

     “Ayah minta maaflah sebab ayah buat macam tu. Ayah betul betul tak tahu yang air tu air teh O bukan kopi susu.” Ujar Razali yang penuh rasa bersalah. Dia sebenarnya memang tidak tahu yang air itu adalah air teh O. Tetapi, salah dia juga sebenarnya. Sama ada air itu air teh O atau air kopi susu, memang tidak sepatutnya dia mencampurkan air yang telah dia minum sedikit ke dalam teko yang belum lagi diminum oleh sesiapa. Perbuatan itu adalah tidak sopan sama sekali.

     “Alasan!” Norin mencebik. “Tak payah bagi alasan la ayah. Ayah kalau nak membankrupkan saya nombor satu kan? Tak puas puas ke hati ayah seksa hidup saya dulu? Sekarang pun nak seksa juga lagi? Manusia jenis apa ayah ni?!”

     “Norin! What wrong with you?! This is your father! Why you say like that huh?” Jerkah Shuib yang sudah mula berang dengan sikap isterinya yang tidak pandai menghormati orang tua dan terlalu kurang ajar. Fauziah, Mak Jah, dan Khairil yang berada di situ mula kecut perut melihat keadaan yang semakin tegang itu.

     “Yang abang nak bela sangat orang tua ni kenapa? Dia ni bapak abang ke?”

     “Dia bapak mertua abang! Awak kalau tak suka sekalipun, tunjukkan rasa hormat tu sikit boleh tak? Jangan melampau sangat please!”

     “Tsk, bagusnya dah ada tukang bela dalam rumah ni. Hahaha. Abang, abang dengar sini baik baik ye. Abang tak pernah duduk di bawah jagaan diaorang, abang tak pernah rasa seksa dibesarkan oleh diaorang, so abang tak tahu apa apa. Kalau abang pernah rasa macam apa yang saya rasa, abang boleh cakap banyak. Abang tahu tak, saya jadi macam ni, sebab diaorang tau. Diaorang yang didik saya jadi macam ni!” Norin membentak.

     “Abang tahu tapi diaorang tetap ibu dan ayah awak. Walau macam mana teruk pun diaorang, awak kena hormat. Awak tak boleh lawan atau kurang ajar dengan diaorang macam tu. Berdosa besar tahu tak. Awak tahu kan redha Allah tu datangnya dari redha mak bapak?” Shuib cuba memberi nasihat dengan cara memujuk. Tidak guna bertegang leher dengan Norin kerana isterinya itu memang sentiasa mahu menang sementelahan dia adalah seorang peguam yang terhebat dan tersohor.

     “Sudahlah tu Shuib. Ayah yang salah dalam hal ni. Memang patut pun Norin cakap macam tu kat ayah.” Razali cuba menteteramkan keadaan yang semakin tegang itu.

     “Tak ayah. Kalau ayah salah sekalipun, Norin tak patut cakap macam tu kat ayah. Norin, please, I’m begging you. Tolong minta maaf sekarang kat ayah. please sayang...” Shuib memujuk lagi. 

     “Eleh, nak tunjuk baik konon. Nak minta simpati la tu.” Sindir Norin.

     “Norin, tolong jangan tunjuk keras kepala kat sini boleh tak. Ini ayah dan ibu tau. Jangan nak biadap sangat. Tak cium bau syurga nanti.” Shuib memberi amaran dan peringatan.

     “Saya tak kebulur la nak dapat ibu dan ayah macam ni. Ibu dan ayah yang baik takkan seksa hidup anak anak diaorang.” Norin membalas.

     “Norin, jaga kata kata tu please. Kalau betul diaorang seksa hidup awak, kenapa diaorang hantar awak sekolah sampai boleh masuk ke universiti? Kalau betul diaorang seksa awak, awak takkan dapat apa yang awak ada sekarang. Jangan nak sombong sangat Norin. Tolonglah berhenti jadi paranoid.”

     “Yang awak nak bela diaorang ni sangat kenapa? Siapa isteri awak sekarang ni? Saya ke diaorang?”

     “Ini bukan soal siapa isteri siapa bukan. Ni soal hormat pada ibu bapa. Saya cuma nak awak minta maaf dengan ayah awak lepas tu berhenti kurang ajar. Itu je. Kenapa susah sangat nak faham ni.”

     “Sudahlah Shuib. Kalau dia tak nak, tak payah la paksa dia. Lagipun memang ayah yang salah.” Ujar Razali.

     “Ye la bang...awak je yang betul. Saya ni anak derhaka. Saya nak halang pembaziran dalam rumah ni pun susah. Saya nak tegakkan hak saya sebagai anak pun tak boleh. Takpelah bang. Saya ni perempuan jahat. Bakal ahli nerakan kan...” Norin berkata dengan sebak. Kemudian dia tinggalkan meja makan lalu berlari menuju ke biliknya. Sepanjang perjalanan menuju ke bilik, air matanya tumpah membasahi pipinya yang gebu.

     “Norin...” Fauziah cuba menghalang namun sempat ditegah oleh Shuib.

     “Biarkan dia ibu. Tahulah nanti saya nak pujuk dia macam mana. Mak Jah, tolong buangkan air tu ye. Khairil, ayah, dan ibu, mari kita makan. Kita lupakan hal tadi. Lauk pun dah sejuk dah ni.” Kata Shuib lalu menyambung semula menikmati makan malamnya yang tertangguh tadi. Begitu juga dengan Khairil, Razali, dan Fauziah. Mereka makan tanpa berkutik sedikit pun. Khairil makan dengan rasa terkejut. Fauziah makan dengan rasa tidak senang hati manakala Razali pula makan dengan penuh rasa bersalah.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.