Sudah tiga hari Fauziah dan Razali tinggal di rumah Hafizah. Tiada apa yang
berlaku di rumah itu kecuali pergaduhan besar di antara mereka berlaku di malam
pertama Fauziah dan Razali di rumah itu. Fauziah seperti biasa sahaja berada di
rumah itu walaupun hatinya masih terguris dengan kata kata Hafizah terhadapnya
pada malam pergaduhan itu. Razali yang sememangnya tidak bersetuju mereka
datang ke rumah Hafizah itu telah mengambil sikap silent treatment
terhadap Hafizah yang dianggapnya kurang ajar dan melampau terhadapnya dan
Fauziah selama beberapa hari itu. Hafizah pula terus terseksa dengan kehadiran
kedua dua orang tua itu namun dia cuba berlagak gembira tatkala berada di
hadapan mereka.
Pada pagi Khamis itu. Hafizah menyapu
halaman rumahnya memandangkan hari tersebut adalah hari cuti bagi Malaysia
sempena menyambut Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Memang itulah rutin hariannya pada hari cuti. Di samping berkebun, dia akan
menyapu daun daun yang berguguran di halaman rumah. Daun daun yang berterbangan
dari pokok pokok yang berada di sekitar taman perumahan itu akan jatuh ke
kawasan rumahnya apabila ditiup angin. Jika tidak disapu, akan menyemakkan
pandangan seterusnya akan memperlihatkan rumahnya seperti rumah tinggal!
Ketika sedang leka memasukkan
daun daun yang sudah siap disapu dan dilonggokkan itu ke dalam sehelai plastik
hitam, dirinya dikejutkan dengan suara Nora, jiran sebelah rumah.
“Hafizah, akak nak cakap sikit
dengan kau!” Lantang sekali suara Nora yang sedang berdiri di pagar sebelah
rumahnya. Hafizah menjadi bingung melihat wajah Nora. Wajah jirannya itu masam
mencuka sahaja memandang dirinya. Kenapa macam dia marah je? Aku ada buat
salah ke?” Bisik hati Nora.
“Ada apa kak? Macam serius je?”
Soal Hafizah sambil menuju ke arah Nora. Dia membuka sarung tangan putihnya
yang digunakan untuk mengangkat sampah sarap yang berbentuk daun tadi.
“Memang serius. Kau tahu tak mak
dan bapak kau tu dah melampau? Ada ke patut mak kau pergi cabut bunga aku yang
kat depan tu. Hei, bunga tu mahal tau. Aku beli kat luar negeri. Sedap sedap je
dia cabut. Bila aku tanya nak buat apa, dia kata nak tanam kat rumah anak dia
yang bongsu pastu blah macam tu je. Dah la tak minta izin, pastu cabut bunga orang
sesuka hati.” Luah Nora tidak puas hati. Hafizah hanya terkulat kulat mendengar
luahan tidak puas hati Nora.
“Bapak kau pula, boleh dia jerit
jerit marah anak aku main kat depan rumah aku ni. Dia siapa nak marah marah
anak aku? Selama aku duduk kat sini, tak pernah tau orang marah anak aku main
kat kawasan rumah. Bila bapak kau sampai je sini, terus nak marah marah. Sampai
anak aku nak main pun tak senang.” Ujar Nora menghamburkan kemarahannya. Dia
benar benar marah pada waktu itu. Dari nada suaranya jelas yang dia memang
marah. Walaupun tidak tinggi, namun nada suara itu keras!
“Saya minta maaf banyak banyak la
kak atas apa yang mak dan bapak saya dah buat. Saya minta maaf banyak banyak.
Saya memang tak tahu menahu pasal hal ni. Takpe, pasal bunga akak tu nanti saya
ganti. Berapa harga bunga tu kak?” Kata Hafizah dengan wajah yang penuh rasa
bersalah.
“Tak payah! Aku tak nak pun duit
kau tu. Aku nak kau cakap dengan mak bapak kau jangan buat macam tu lagi,
faham?” Hafizah mengangguk perlahan. Kemudian Nora terus berpusing masuk ke
dalam rumah dengan perasaan marah dan tidak puas hati. Hafizah melepaskan
keluhan berat. Kedua dua orang tua itu sudah melampau.
Tanpa melengahkan masa lagi, Hafizah lantas
masuk ke rumah. Dia menemui Fauziah yang khusuk menonton televisyen di ruang
tamu. Ayahnya tidak kelihatan. Barangkali orang tua itu ada dalam bilik air.
“Ibu, saya nak tanya, kenapa ibu
pergi cabut bunga jiran sebelah ni semalam tanpa minta izin dulu? Ibu tahu tak
Kak Nora tu marah saya tadi.” Soal Hafizah sambil memandang ibunya dengan
pandangan tidak puas hati.
“Ala...ibu cabut satu je. Bunga
dia banyak. Takkan satu pun tak boleh ambil.” Fauziah menjawab.
“Ibu, bunga dia tu mahal. Beli
kat luar negeri. Kalau ibu nak ambil pun, minta la izin dulu. Jangan la pakai
ambil je. Itu mencuri namanya.”
“Allah...kedekut betul jiran kau
tu. Ambil satu je nak berkira. Bunga kat mana mana pun sama je. Luar negeri ke,
dalam negeri ke, sama je semua. Bunga juga. Tak payah la jiran kau nak sombong
sangat.”
“Ibu...ini bukan soal sombong
atau tak sombong. Ini soal ibu petik bunga dia tanpa kebenaran.”
“Alah, ibu bagilah balik bunga
tu. Ambil satu pun kecoh, bukan sepuluh." ”Jar Fauziah sambil bangun untuk
mengambil bunga yang dipetiknya semalam di dalam bilik.
“Tak payah la bu. Ibu simpan je.
Lain kali nak apa apa, jangan pakai ambil je. Nanti orang marah. Orang bukan
marah ibu, orang marah saya. Faham?”
“Yalah, kedekut betul. Bunga
sekuntum pun nak berkira.” Kata Fauziah sambil matanya memandang televisyen.
Mukanya mempamerkan riak meluat. Ambil bunga pun nak marah. Aku bukan ambil
duit. Bisik Fauziah di dalam hati.
Hafizah memandang ibunya
kegeraman. Dia benar benar marah dengan sikap Fauziah yang memalukannya di
hadapan Nora. Hubungan baiknya dengan Nora retak kerana sikap ibunya yang karut
marut itu. Hafizah kembali semula ke luar rumah untuk menyambung tugas tugasnya
yang tergendala tadi.
Hafizah benar benar kegeraman.
Sudah banyak onar yang telah dilakukan oleh dua orang itu terhadapnya. Bermula
dengan menyepahkan barang barang dapurnya, kemudian membaling nasi goreng yang
dibelinya ke muka, membasikan nasi yang dimasaknya, makan dengan cara yang
kotor dan memalukan dirinya dihadapan jiran.
Dia benar benar sudah tidak tahan
lagi. Itu hanya sebahagian kelakuan kelakuan orang tua itu yang tidak
disenanginya. Jika dicampur semua termasuklah kelakukan kelakuan yang lain
seperti acapkali mentertawakannya, menghinanya, memperlekehkannya dan banyak
lagi, tidak terhitung banyaknya kesalahan kedua kedua mereka terhadap dirinya.
Dia benar benar sudah tidak tahan lagi. Dia mahu kedua dua mereka segera keluar
dari rumahnya.
Dia memang sudah tidak sabar lagi
mahu kedua dua mereka berambus dari rumahnya! Ya, esok dia akan menghubungi
Hafreez untuk mengambil kedua dua mereka dari rumahnya.
.................................................................................................................
Sudah berkali kali Hafizah
menghubungi Hafreez namun sehingga kini masih lagi tidak dijawab. Dia sudah pun
menghantar pesanan melalui aplikasi whatsapp namun yang ada hanya satu grey
tick sahaja di situ maksudnya pesanan itu belum diterima dan belum lagi
dibaca oleh Hafreez. Jika sudah diterima dan sudah dibaca, sudah pasti akan ada
blue tick di situ.
“Mana pula mangkuk ni? Whatsapp
tak balas, call tak angkat. Menyusahkan betul la budak ni. Adoii...”
Hafizah merungut. Sudah lenguh tangannya memegang telefon pintar kepunyaannya
untuk menghubungi Hafreez tetapi sampai sekarang masih tidak dapat. Hafizah
benar benar sebal pada waktu itu.
“Kenapa ni Cikgu Hafizah? Stress
semacam je...” Tegur Cikgu Hafidz. Dia yang dari tadi duduk di sebelah meja
Hafizah di bilik guru itu begitu runsing melihat keadaan Hafizah yang tidak
keruan. Biasanya Hafizah tidak begitu walaupun dia jarang bertegur sapa dengan
guru wanita itu. Ya, mereka memang jarang bertegur sapa. Mereka hanya bertegur
sapa sekali sekala sahaja dan itu pun jika ada perkara perkara yang penting.
Ini kerana, Hafizah bukanlah seorang guru yang peramah di sekolah itu. Dia suka
menyendiri dan membuat halnya sendiri. Justeru, dia tidak punya ramai kawan di
sekolah dan ramai pelajar tidak menyukainya sebagai seorang guru.
“Kau tak payah sibuklah! Kau
buat je kerja kau. Aku bukan kacau kau pun.” Jerkah Hafizah. Dia malas mahu
melayan guru lelaki kacak dan diminati ramai dalam kalangan pelajar dan guru
perempuan di sekolah itu. Itulah sikapnya yang ramai orang tidak suka. Pemarah
dan tidak mesra. Cikgu Hafidz hanya mendengus kecil. Dia menyambung semula
menyiapkan kerja kerjanya yang tertangguh. Dia bukan mahu menyibuk tentang hal
Hafizah cuma mahu membantu jika Hafizah mempunyai masalah. Tetapi oleh kerana
Hafizah sendiri tidak mahu melayannya, dia fikir lebih baik dia tidak perlu mengendahkan
guru wanita itu.
Oleh kerana Hafizah gagal
menghubungi Hafreez, dia mula mencari nombor telefon milik isteri Hafreez –
Haliza di dalam telefon pintarnya. Mujur nombor telefon milik Haliza ada di
dalam telefon pintarnya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana nombor telefon adik
ipar angkatnya ada di dalam telefon pintar itu tetapi apa yang pasti, dia benar benar bersyukur saat itu.
Dia segera menghubungi Haliza dan
berharap agar Haliza akan menjawab panggilan telefonnya. Selepas beberapa kali
telefon telefon Haliza berdering, tiba tiba dia mendengar suara Haliza yang
lembut itu di hujung talian.
“Hello. Assalamualaikum kak long.
Ada apa?” Haliza memulakan mukadimah perbualan di dalam talian telefon. Dia
menjadi bingung apabila Hafizah menghubunginya. Sangat jarang sekali kakak ipar
angkatnya itu mahu menghubungi dirinya.
“Waalaikumussalam. Baguslah kau
angkat telefon tu. Ni nak tanya, puas aku telefon suami kau. Dia kat mana?
Kenapa dia tak angkat telefon? Kenapa aku whatsapp dia tak balas? Dia dah
mampus ke apa?” Soal Hafizah bertalu talu. Haliza beristighfar di dalam hati
mendengar ucapan yang keluar dari mulut Hafizah. Begitu juga dengan Cikgu
Hafidz di sebelah Hafizah. Dia sendiri tidak menyangka ada juga guru di sekolah
itu yang berperwatakan seperti Hafizah. Kasar dan tidak tahu menghormati orang
lain.
“Abang Hafreez outstation
kak long kat Sabah ni. Saya dan Hazim pun ikut sekali. Bulan depan kami balik
la. Mungkin sebab line kat sini tak bagus kot, tu yang abang Hafreez tak
angkat tu. Kenapa kak long?” Haliza bertanya.
“Oh...patutlah tak angkat
angkat. Dia tak ada dengan kau la sekarang ni?” Soal Hafizah lagi.
“Takde kak long. Dia keluar...ada
kerja yang kena selesaikan. Kenapa kak long cari abang Hafreez?”
“Aku bukan apa...aku dah tak sanggup dah nak jaga
binatang dua ekor tu kat rumah. Kau suruhlah Hafreez ambil balik binatang dua
ekor tu. Sakit hati aku tengok.” Hafizah menjawab sambil menjeling Cikgu Hafidz
di sebelahnya. Harap Cikgu Hafidz tidak tahu siapa ‘binatang’ yang dia
maksudkan.
“Astagfirullahalazim kak
long...tak baik kak long cakap macam tu kot ye pun kak long tak suka diaorang.
Itu kan ibu dan ayah kak long.” Haliza benar benar terkejut dengan kata kata yang
keluar dari mulut Hafizah. Dia tidak sangka wujud juga anak biadap kepada ibu
bapa seperti Hafizah di dunia realiti ini. Dia sangkakan hanya ada di dalam
drama atau filem Melayu sahaja.
“Kau tak payah nak nasihat aku!
Aku telefon ni bukan nak dengar nasihat percuma dari kau tu. Aku suruh kau
kutip balik makhluk dua ekor yang bersarang kat rumah aku tu, bukan suruh kau
ceramah aku. Aku tahulah apa aku buat. Aku ni cikgu sekolah kot.” Hafizah
bercakap dengan nada angkuh. Haliza yang mendengar sekadar menggelengkan
kepala. Dia begitu kesal dengan sikap Hafizah.
“Kami minta maaf kak long. Kami
tak boleh nak ambil ibu dan ayah buat masa ni. Abang Hafreez outstation
selama sebulan kat Sabah ni. Lepas sebulan nanti baru kami balik semananjung.
Buat masa ni kak long jagalah dulu ibu dan ayah ye.” Haliza memujuk.
“Sebulan? Lamanya...adoii...macam
macam alasan la korang ni! Kalau tak nak ambil, cakap je la...tak payah nak
menipu bagai. Tunjuk baik konon...dahlah! Huh!” Hafizah lantas mematikan talian
telefon tersebut. Dia betul betul bengang dengan Haliza kerana adik ipar
angkatnya itu sengaja memberi alasan tidak mahu mengambil semula kedua dua
orang tuanya di di rumah. Dia sangat yakin yang Hafreez dan Haliza sengaja mahu
menyusahkan dirinya.
“Siapa yang cikgu telefon tadi
tu?” Soal Cikgu Hafidz sambil memandang wajah Hafizah. Dia memerhatikan wajah
wanita gempal yang bermulut celupar itu. Kadang kala dia berasa pelik dengan
Hafizah. Wanita itu bukan sahaja kasar malah suka menyendiri. Tentu ada sebab
yang kukuh mengapa Hafizah boleh jadi sebegitu dan sebagai kawan, dia mahu
mengetahui sebab sebab yang menyebabkan Hafizah menjadi pemarah, bermulut
celupar, dan kasar itu.
“Adik ipar aku. Kenapa?” Soal
Hafizah. Dia mula memandang Cikgu Hafidz dengan rasa jengkel. Dia tahu Cikgu
Hafidz ingin menyibuk tentang hal peribadinya.
“Cakap dengan adik ipar macam tu
punya kasar? Lagi satu, saya tahu binatang yang cikgu cakap kat orang dalam
telefon tu bukannya binatang yang saya faham. Siapa binatang tu yang cikgu
maksudkan? Kenapa tergamak cikgu cakap kat dia macam tu?” Soal Cikgu Hafidz.
“Amboi, sejak bila kau tukar
kerja jadi wartawan ni? Sibuk sangat nak tahu perihal hidup aku. Suka hati la
aku nak cakap apa dan macam mana sekalipun...kau apa peduli? Aku ada kacau
hidup kau?” Hafizah menyoal dengan angkuh. Dia menjeling Cikgu Hafidz dengan
jelingan maut. Dia tidak suka dengan manusia penyibuk. Mengapalah ramai benar
manusia yang bergelar perempuan di sekolah ini tergila gilakan Cikgu Hafidz?
Padahal pada pandangan matanya Cikgu Hafidz ini tidaklah kacak mana.
Menjengkelkan itu dia pasti. Dia sendiri berasa meluat untuk menatap wajah guru
lelaki di sebelahnya itu.
“Saya tak ada niat nak menyibuk
hal Cikgu Hafizah cuma saya pelik kenapa guru bahasa Melayu macam cikgu ni,
boleh cakap perkara perkara tak baik macam tu. Yalah, guru bahasa Melayu ni
biasanya lemah lembut dan sopan santun. Cikgu ni lain sangat dengan guru bahasa
Melayu lain yang saya jumpa. Hati hati Cikgu Hafizah. Jangan kerana pulut
santan binasa, jangan kerana mulut badan binasa.” Cikgu Hafidz memberi nasihat
walaupun dia tahu satu sen nasihatnya tidak akan dipakai oleh Hafizah.
“Wah...tak cukup ceramah kat anak
murid sendiri, ceramah kat aku pula? Terima kasihlah atas ceramah itu Cikgu
Hafidz. Aku ni dah lama mengajar kat sini daripada kau. Jadi, tak payahlah nak
nasihat nasihat aku. Tahulah aku jaga diri aku sendiri. Kau jaga je diri kau
tu. Tak payah nak menyibuk hal aku.” Kata Hafizah sambil menjeling Cikgu
Hafidz. Kemudian dia bingkas bangun dari tempat duduknya dan terus keluar dari
bilik guru. Cikgu Hafidz sekadar memandang langkah Hafizah dengan gelengan
kepala. Dia sangat berharap agar Hafizah akan segera sedar akan kekhilafannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.