Hafizah benar benar buntu pada hari itu. Segala apa yang dibuatnya di
sekolah menjadi tidak menentu. Hendak mengajar bahasa Melayu pun dia sudah
tidak punya hati. Dia benar benar dalam masalah sekarang. Masalah apa? Masalah
mahu mengeluarkan dua manusia bedebah yang telah menyakitkan hatinya itu dari
rumah! Dia memang sudah tidak tahan lagi. Melihat wajah mereka berdua hatinya
bukan lagi bertambah sakit malah bertambah benci. Jadi, sekarang dia sedang
mencari cara bagaimana untuk orang tua itu keluar dari rumahnya.
Pada mulanya dia bercadang untuk
meminta agar Hafreez mengambil semula kedua dua orang tua itu tetapi Hafreez
pula tidak berada di Kuala Lumpur sekarang. Haliza pun tidak ada kerana
mengikut suaminya itu ke Sabah. Dia benar benar buntu sekarang.
Tiba tiba dia teringat akan
Norin. Ya Norin. Adik keduanya yang bekerja sebagai seorang peguam. Norin
adalah peguam yang tersohor di Malaysia setaraf dengan mendiang Karpal Singh
dan Tan Sri Shafie Abdullah. Dia sangat yakin yang Norin pasti dapat menjaga
kedua dua orang tua itu. Justeru, dia segera menghubungi Norin untuk meminta
adiknya itu supaya menjaga kedua dua orang tersebut sementara menunggu Hafreez
pulang. Namun, usahanya hanya sia sia kerana panggilannya tidak diangkat.
Berkali kali dia cuba menghubungi Norin tetapi gagal. Dia telah menghantar
pesanan kepada Norin menggunakan aplikasi Whatsapp namun tidak dibalas. Dia
benar benar kegeraman pada waktu itu. Ni sorang lagi. Aku call tak angkat,
aku whatssap tak balas. Macam dah janji janji dengan si Hafreez tu nak
menyusahkan aku. Menyusahkan orang betul. Hafizah merungut di dalam hati.
Tiba tiba satu ilham yang baik
muncul di kotak fikirannya. Ilham yang cukup bernas. Senyuman nakal terpamer di
bibirnya. Dia teringat akan Shuib, suami Norin. Shuib adalah seorang usahawan Bumiputra yang berjaya
dan kaya raya di negara ini. Walaupun kaya, Shuib seorang yang baik, dermawan,
dan mudah bertolak ansur. Tentu Shuib dapat membantunya menjaga kedua dua orang
tua tersebut. Segera Shuib dihubungi dan nasibnya baik kali ini, panggilannya
bersambut.
Setelah memberi salam dan
bertanya apa yang perlu, Hafizah lantas menceritakan tujuannya menghubungi
Shuib pada tengah hari itu. Dia meminta Shuib untuk menjaga ibu bapanya sehingga
Hafreez pulang dari Sabah. Dia sangat lega kerana adik iparnya itu bersetuju. Dia
benar benar sangat bersyukur saat itu. Ada juga orang yang mahu membantunya
melepaskan diri dari kedua dua orang tua itu.
Walau bagaimanapun, Shuib ada
juga bertanya mengapa Hafizah mahu menghantar kedua dua orang tua itu ke
rumahnya. Hafizah agak terkedu dengan soalan Shuib itu namun dia dapat menjelaskan
sambil berbohong bahawa dia diarahkan untuk pergi satu kursus secara mengejut
oleh pihak sekolah di Janda Baik, Pahang, dan kursus itu akan bermula esok.
Walaupun alasan itu kelihatan dangkal, namun Shuib tetap menerimanya cuma dia
meminta Hafizah sendiri yang menghantar kedua dua orang tua itu ke rumah kerana
dia tidak dapat mengambil mereka memandangkan dia ada mesyuarat yang perlu dia
hadiri dan menyuarat itu berlangsung sampai ke petang. Oleh kerana terlalu
gembira, Hafizah bersetuju sahaja walaupun pada hakikatnya dia sangat malas.
Biarlah dia menghantar kedua dua makhluk itu ke rumah Shuib – tidak mengapa – asalkan makhluk dua ekor itu boleh
keluar dari rumahnya.
Apabila tamat sahaja sesi
persekolahan, Hafizah bergegas pulang ke rumah. Walaupun pada hakikatnya dia
begitu benci dengan kedua dua makhluk itu namun dia perlu juga bercakap dengan
mereka. Dia meminta Fauziah dan Razali agar mengemas barang kerana dia mahu
menghantar mereka ke rumah Norin. Walaupun pada awalnya, Fauziah banyak
bertanya itu dan ini, namun setelah ditemberang olehnya dengan mengemukakan
alasan yang mantap maka Fauziah pun bersetuju. Dia begitu gembira sekali. Ini
bermakna, dia akan duduk berseorangan semula selepas ini tanpa ada gangguan
dari sesiapa.
Setelah semuanya siap, dia lantas
menuju ke rumah Norin dengan menaiki kereta. Ketika dia sampai, Shuib dan Norin
tiada di rumah. Yang ada hanyalah Khairil, anak saudaranya yang berusia 19
tahun. Anak tunggal pasangan Norin dan Shuib yang berwajah jambu tetapi kacak
itu sedang menuntut dalam pengurusan perniagaan di sebuah universiti swasta
yang tersohor bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Khairil yang sememangnya sopan dan tidak sombong seperti ibunya itu menjemput
mereka masuk ke dalam rumah sebaik sahaja mereka sampai ke rumah agam milik
Shuib.
“Atuk dengan nenek apa khabar?
Sihat? Lama dah Ril tak jumpa datuk dengan nenek. Dah dekat dua tahun rasanya.”
Ujar Khairil sambil bersalaman dengan Fauziah dan Razali ketika mereka sedang
berehat di ruang tamu rumah agam milik Shuib itu.
“Nenek dengan atuk sihat.
Alhamdulillah. Kalau sakit sakit tu, biasalah, sakit orang tua tua. Nenek
dengan atuk rindu sangat dengan Ril. Dah besar dan makin kacak Ril sekarang.
Mesti dah ada makwe ni kan?” Soal Fauziah sambil tersenyum nakal. Semua yang
ada di situ tertawa mendengar kata Fauziah.
“Mana ada la nenek. Ril masih
belajar lagi. Takkan nak cari makwe dah kot.” Kata Khairil yang agak malu
diusik begitu oleh neneknya.
“Kenapa Ril tak datang jenguk
nenek dengan atuk kat rumah pakcik Hafreez? Kami berdua rindu dengan Ril. Dah
lama kami tak jumpa Ril.” Soal Razali yang duduk disebelah Fauziah.
“Ril bukan tak nak datang tuk
tapi mama dan papa sibuk sangat. Hari raya pun diaorang kerja. Mama tak bagi
Ril jalan sorang sorang keluar dari rumah ni, takut kena culik katanya. Kalau
boleh, lama dah Ril naik teksi gi rumah pakcik Hafreez jumpa atuk dengan nenek,
tapi tu la...mama tak bagi. Dua tahun lepas Ril raya sorang sorang je kat rumah
ni.” Khairil berkata jujur. Fauziah dan Razali sekadar menggelengkan kepala
mendengar kata kata Khairil.
Kebisaannya setiap tahun, Fauziah
dan Razali pasti dapat bertemu dengan cucu kesayangan mereka itu apabila tiba
hari raya Aidilfitri. Khairil pasti akan datang bersama ayahnya, Shuib melawat
Fauziah dan Razali di rumah Hafreez walaupun Norin tidak pernah datang walaupun
sekali sejak peristiwa pergaduhan pada malam itu. Namun, sejak dua tahun lepas,
Khairil tidak lagi datang bersama Shuib memandangkan Shuib begitu sibuk dengan
perniagaannya.
“Atuk pelik dengan mama dan papa
kau tu. Asyik kerja je 24 jam. Kaya dah kaya dah. Apa lagi yang diaorang nak.
Diaorang kerja sampai tak ingat dunia. Anak sendiri pun terabai.
Astaghfirullahalazim.” Razali mengucap panjang. Dia benar benar kesal dengan
sikap Norin dan Shuib yang asyik benar bekerja sehingga melupakan satu satunya
anak mereka di rumah ini.
Hafizah yang ada di situ sekadar
diam sahaja. Dia memang tidak rapat dengan Khairil seperti mana ayah dan ibunya
jadi tidak banyak yang dapat dibualnya pada waktu itu. Dia umpama orang asing
dalam kalangan mereka berempat. Entahlah, hubungan kekeluargaan mereka retak
sejak peristiwa malam itu. Dia bukan sahaja memutuskan hubungan silaturrahim
dengan Razali dan Fauziah, malah dengan Hamad dan Norin sekeluarga.
Mata Hafizah
meliar memandang setiap inci ruang tamu rumah tersebut. Ya, sangat mewah. Ruang
tamu itu bukan sahaja dihiasi dengan perabot perabot yang mewah malah dihiasi
juga dengan lukisan lukisan yang mahal mahal. Lampu yang menghiasi ruang tamu
rumah itu pun sudah kelihatan mewah. Harga lampu itu tentu sama banyak dengan
gajinya jika dikumpul selama setahun!
Dalam kalangan keluarganya,
Norinlah yang paling beruntung sekali. Dia bukan sahaja mempunyai kerjaya yang
hebat malah bekerja pula di sebuah firma guaman yang besar. Dia juga berkahwin
dengan Shuib yang kaya raya itu dan dikurniakan dengan seorang anak lelaki yang
comel dan kacak. Tidak ketinggalan, Norin mempunyai banyak kereta mahal dan
beberapa rumah agam yang sangat mewah. Hidup Norin benar benar diberkati Tuhan.
Jika hendak dibandingkan antara
dirinya dan Hamad dengan Norin, mereka bagai pipit dengan enggang. Memanglah
dia mempunyai kerjaya yang hebat dan pulangan gaji yang lumayan namun dia tidak
mampu mengecapi kekayaan seperti Norin. Hamad lagi parah. Dia bukan sahaja
bekerja sebagai pemandu teksi dan sering kesempitan wang, hutangnya pun
keliling pinggang. Lebih memeritkan apabila anak sulung Farah dan Hamad iaitu Iman telah masuk ke sekolah rendah. Kehidupan Hamad tambah susah lagi. Dia
sendiri tidak tahu mengapa nasib adiknya boleh jadi begitu. Dia mengeluh
mengenangkan nasib Hamad..
“Mana papa dan mama Ril ni? Dah
petang macam ni pun tak balik lagi?” Soal Fauziah sambil memandang jam yang
tersangkut di dinding rumah agam itu. Jam sudah menunjukkan pada pukul 6.30
petang.
“Papa kejap lagi baliklah tu.
Mama biasanya balik malam. Takpelah. Atuk dengan nenek duduk je la kat sini.
Ril kan ada.” Kata Khairil dengan senyuman tersungging di bibir. Razali dan
Fauziah tersenyum mendengar kata kata cucu kesayangan mereka.
“Haa, Hafizah, kau bila pula nak
balik? Nanti lari pula rumah tu. Lepas ni tenang la hidup kau duduk rumah tu
sorang sorang. Kami kan dah takde.” Razali memerli. Dia menghantar jelingan
maut kepada Hafizah. Dia masih tidak dapat menerima dan memaafkan kesalahan
Hafizah padanya. Baginya, Hafizah memang tidak pernah berubah. Dari dulu
sehingga sekarang, budak itu memang kurang ajar.
“Hisy, apa cakap macam tu kat
dia. Biarlah dia duduk sini lama sikit. Ni kan rumah adik dia. Awak ni...”
Fauziah menegur Razali yang bercakap kasar dengan Hafizah. Baginya, tidak wajar
Razali berkata sebegitu. Razali sekadar mencebik sahaja mendengar teguran
isterinya.
“Kejap lagi saya balik la. Saya
tengah tunggu Shuib. Nak jumpa dengan dia kejap.” Hafizah membalas dengan nada
acuh tak acuh. Dia malas mahu melayan sindiran ayahnya. Makin dilayan makin dia
yang sakit hati. Balik balik orang tua itu juga yang menang.
Razali sekadar mencebik mendengar
kata kata Hafizah. Memandang perempuan itu pun dia sudah jelak. Dia tidak
sangka Hafizah boleh berubah secara mendadak setelah lama tidak bertemu
dengannya. Selama ini pun sikap Hafizah memang kurang ajar, tetapi sekarang
kurang ajarnya semakin berlebihan pula. Dan dia sendiri tidak dapat menahan
rasa sakit hati terhadap perbuatan Hafizah. Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja
dia menumbuk muka Hafizah. Namun, iman masih tersemat kukuh di sanubari. Jadi,
dia tidak jadi untuk melakukan perbuatan itu.
Sedang suasana hening
menyelubungi mereka berempat, terdengar suara Shuib memberi salam dari luar
rumah. Pandangan mereka berempat tertumpu ke muka pintu. Muncul seorang lelaki
yang segak berkemeja, berkot dan bertali leher di muka pintu itu. Ditangannya
terdapat sebuah briefcase yang mahal dan berwarna hitam.
“Assalamualaikum ibu...ayah...”
Shuib bersalaman dengan Razali dan Fauziah. Razali dan Fauziah amat menyenangi
menantu mereka itu. Walaupun kaya, namun sifat hormat pada orang tua dan rendah
dirinya tetap ada. Sikapnya sama seperti Hafreez. Sebut tentang Hafreez,
Fauziah dan Razali benar benar rindu dengan anak itu. Hafreez sahaja yang
sanggup melayan kerenah mereka berdua berbanding dengan Hafizah yang baru
sehari semalam sudah mula mahu mencari pasal dengan mereka.
“Ibu dengan ayah apa khabar?
Sihat?” Shuib bertanya. Dia duduk di sebelah Khairil. Dilonggarkannya sedikit
tali leher berwarna coklat yang menjerut lehernya itu supaya lebih selesa.
“Macam ni je la Shuib. Kadang
kadang sihat, kadang kadang sakit. Maklumlah, orang tua...kamu apa khabar? Lama
tak dengar khabar berita?” Razali bertanya. Susah mahu meneka maksud soalan
Razali itu sama ada berbentuk soalan yang sebenarnya atau soalan yang berbentuk
sindiran namun Shuib cuba berlagak tenang.
“Sihat ayah. Alhamdulillah. Tu
lah, saya sibuk sangat ayah. Tak sempat nak lawat ayah kat rumah Hafreez.”
Shuib memberi alasan yang difikirkan logik pada waktu itu. Tetapi memang benar
dia sibuk pun. Banyak projek besar masuk ke syarikatnya sekarang ini.
“Ahli perniagaan
kan...sibuklah...takpe...ayah faham. Tapi kesian ayah tengok Ril sorang sorang
kat rumah. Kau asyik kerja je...Ril kau abaikan. Mana boleh macam tu. Kerja
kerja juga. Anak anak tak boleh abai.” Razali memberi nasihat walaupun dia tahu
nasihatnya itu tidak akan dipakai.
“Tu la, tapi nak buat macam mana
ayah, dah kerja banyak kat pejabat tu. Banyak benda yang saya kena uruskan.
Lagipun Ril dah besar. Dia pandai jaga diri.” Balas Shuib sambil mengusap
rambut Khairil. Khairil sekadar tersenyum sahaja di sebelah ayahnya.
Razali diam cuma. Dia tahu tidak
guna dia menasihati menantunya itu. Alasannya tetap sama. Sibuk dengan kerja.
Dia tidak tahu bagaimana keluarga itu mahu dibina dengan sempurna jika begitu
sikap Shuib dan Norin.
“Ayah kalau nak duduk sini lama
sikit pun takpe. Ayah buat je la rumah ni macam rumah ayah. Ibu pun sama. Kalau
ayah betul betul bosan, ayah nak balik rumah Hafreez pun boleh juga. Pintu
rumah ni sentiasa terbuka untuk ayah dan ibu. Kalau ayah dan ibu ada kat sini
pun bagus juga. Boleh temankan Ril. Dia asyik cakap je nak jumpa dengan ayah
dan ibu.” Kata Shuib yang sengaja mahu menukar topik perbualan. Dia menepuk
bahu Khairil beberapa kali. Dia malas mahu bercerita panjang tentang pengurusan
rumahtangga dan pengurusan anak anak.
Dia tahu bahawa memang tidak
sepatutnya dia membiarkan Khairil membesar sendirian. Sejak kecil lagi dia sudah
membesarkan Khairil sebgitu. Meninggalkan anak itu membesar secara
bersendirian. Oleh sebab itu, Khairil lebih rapat dengan pengasuh berbanding
dirinya. Bukan dia tidak sayang pada Khairil. Dia sangat sayang. Khairil itu
satu satunya zuriat yang dia ada dan bakal mewarisi empayar perniagaannya.
Namun, dia tidak boleh lari daripada tugas di pejabat yang berlambak lambak
itu. Dia sendiri tidak pasti sampai bila keadaan itu akan berterusan
begini.
“Ayah dan ibu duduk sini kejap
je. Hafreez dah balik nanti, ayah dan ibu baliklah semula ke sana.” Razali
membalas.
“Mana mana pun boleh ayah. Ayah
pilih la mana yang terbaik untuk ayah. Saya tak kisah. Yang penting ayah dan
ibu sihat dan selamat.” Ujar Shuib.
“Tapi ayah pelik la. Lama sangat
si Hafreez tu outstation. Sampai sebulan lamanya.” Kata Razali.
“Hafreez ada cakap dengan saya
sebelum sebelum ni yang dia akan ke Sabah selama dua minggu untuk outstation
memandangkan ada cawangan baru syarikatnya yang hendak dibuka di Sabah.”
Fauziah menambah.
“Oh...” Itu sahaja yang mampu
keluar dari mulut Razali. Dia mengetahui pemergian Hafreez ke Sabah setelah
diberitahu oleh Hafizah sebelum mereka datang ke rumah Shuib lagi.
“Biasalah tu ayah. Orang zaman
sekarang ni bekerja...macam tu la. Outstation dan berkursus tu perkara
biasa. Kak long pun berkursus esok kan?” Soal Shuib. Dia juga mengetahui
tentang pemergian Hafreez ke Sabah ketika Hafizah menghubunginya tengah hari
tadi.
“Haah. Kak long kena berkursus
selama seminggu. Sebab tu kak long hantar ibu dan ayah kat sini. Cadangnya nak
hantar gi rumah Hafreez, tapi Hafreez ke Sabah pula. Jadi terpaksalah hantar ke
rumah kau dulu. Kak long harap kau boleh la jaga ibu dan ayah buat sementara
ni. Pastu bila Hafreez dah balik, kau hantarlah balik diaorang ke rumah
Hafreez.” Hafizah menjawab.
“Boleh...boleh...takde masalah.
Bukan kata nak duduk sebulan, nak duduk setahun pun takpe. Takut ibu dan ayah
bosan je sebab duduk sini lama lama.” Shuib berkata.
“Betul ke ni Shuib? Ayah risau
kalau kau kata okey, tapi Norin pula kata tak okey. Yalah, kau faham faham je
la sikap Norin tu terhadap kami.” Ujar Fauziah.
“Janganlah ayah dan ibu risau
pasal Norin tu. Tahulah saya nak cakap dengan dia macam mana. Ayah dengan ibu
duduk je sini macam biasa. Buat macam rumah sendiri.” Shuib membalas.
“Okeylah, kalau takde apa apa
lagi, kak long nak balik. Nak kemas kemas barang. Esok kan nak berangkat ke
Janda Baik.” Hafizah berkata tiba tiba. Dia seterusnya menuju ke arah Fauziah
dan bersalaman dengan ibunya itu.
“Terima kasih ye nak sebab sudi
tumpangkan ibu dan ayah selama seminggu kat rumah kau. Maaflah kalau ada
perangai kami ni yang kau tak suka.” Kata Fauziah.
“Okay bu. Ibu duduk sini baik
baik ye. Kalau ada masa nanti saya akan lawat ibu.” Balas Hafizah sambil
mencium ibunya. Razali sekadar mencebik mendengar kata kata Hafizah sebentar
tadi.
Hafizah kemudiannya bersalaman
dengan ayahnya namun disambut dingin oleh orang tua itu. Setelah mengucapkan
selamat tinggal, Hafizah meninggalkan rumah agam milik Shuib itu untuk menuju
ke rumahnya.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.