Khamis, 9 Jun 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 4



 

         Hafizah pulang seperti biasa pada hari itu. Walaupun hatinya masih marah dan geram dengan kejadian semalam, tetapi dia cuba juga untuk berbaik baik dengan ibu bapanya. Dia cuba juga untuk bercakap dengan cara yang baik dengan kedua dua orang tua itu yang sudah pun mencecah usia 80 tahun. Dia berasa tidak wajar dia mencari gaduh dengan ibu bapanya sendiri. Usianya sudah pun mencecah 52 tahun. Esok lusa mungkin dia pun akan pergi menghadap Ilahi. Jika dia bersikap kurang ajar dengan ibu bapa, pasti Allah murka dengan dirinya. Apabila Allah murka, maka nerakalah tempatnya di akhirat nanti.

     Maka, pada hari itu dia cuba mempamerkan sikap yang baik dengan kedua dua orang tua itu. Dia sudah memohon maaf kapada ibunya pagi tadi dan ibunya telah pun memaafkan sambil menjuraikan air mata. Dia juga sudah memohon maaf dengan bapanya, namun disambut dengan dingin sahaja. Biarlah, dia sudah pun memohon keampunan dan kemaafan. Jika mereka tidak mahu memaafkan, terpulanglah kepada mereka.

     “Assalamualaikum...” Ucap Hafizah sambil masuk ke dalam rumah. Seperti biasa, dia melihat ibunya sedang tercokol di hadapan teelvisyen. Itulah rutin harian Fauziah sejak dia bersara. Menonton televisyen adalah satu cara bagaimana dia mahu menghilangkan kebosanan dan cara dia menghabiskan hari hari tuanya. Pelbagai drama yang ditontonnya bagi menghilangkan kebosanan tidak kira drama itu datang dari negara mana sama ada Indonesia, Filipina, Thailand apatah lagi dari Malaysia. Pendek kata, apa sahaja drama yang ditayangkan di televisyen itu, ditontonnya dengan penuh khusyuk.


     “Waalaikumussalam...dah balik kau Hafizah.” Sapa Fauziah dengan senyuman. Dia memandang anak sulungnya itu menuju ke arahnya untuk bersalam. Semalam dia benar benar marah dengan Hafizah. Namun, setelah Hafizah memohon kemaafannya pagi tadi, dia telah pun memaafkan dan melupakan perbuatan Hafizah terhadapnya. Yalah, ibu mana di dunia ini yang tidak mahu mengampunkan kesalahan anak? 

     “Ayah mana bu?” Soal Hafizah sambil duduk di salah satu sofa yang berada di ruang tamu itu untuk menghilangkan lelah.

     “Ayah kau macam biasalah, borak borak kosong kat warung depan  rumah kau ni dengan kawan kawan dia.” Fauziah menjawab.

     “Cepatnya dia dapat kawan. Mana dia jumpa kawan kawan dia tu?” Hafizah bertanya lagi.

     “Ayah kau kan kaki masjid. Kawan kawan masjid la tu agaknya.” Jawab Fauziah. “Hmm, kau beli apa tu?” Fauziah memuncungkan mulutnya tanda menunjuk bungkusan plastik yang berada di tangan Hafizah.

     “Lauk untuk makan malam ni. Sedap bu lauk lauk ni. Saya selalu makan. Nasi tengah hari tadi masih ada lagi kan?” Hafizah menyoal.

     “Ada, tadi ibu sorang je makan tengah hari tadi kat rumah. Ayah kau makan kat kedai.” Fauziah menjawab.

     “Kenapa ayah makan kat kedai? Kan saya dah masak pagi tadi untuk ayah dan ibu makan tengah hari.” Hafizah menjadi bingung dengan jawapan ibunya.

     “Ayah kau kata kau masak tak sedap. Sebab tu dia makan kat kedai.” Fauziah menjawab dengan jujur. Memang Hafizah tidak pandai memasak dan sudah pasti masakannya tidak sedap. Oleh kerana menghargai penat lelah Hafizah bangun pada waktu pagi untuk memasak, dia makan juga apa yang Hafizah masak. Dia khuatir Hafizah berkecil hati pula jika dia tidak menjamah sedikit apa yang Hafizah masak.

     Hafizah agak sentap dengan kata kata Fauziah. Namun, dia cuba berlagak tenang. Ibu dan bapanya memang kuat mengkritik dan menghina. Sejak kecil lagi, dia sudah biasa dihina oleh mereka berdua. Jadi, apabila dihina pada masa sekarang, walaupun pahit untuk menerima penghinaan itu, namun ditelannya dengan lapang dada dan fikiran terbuka.

     “Takpelah kalau macam tu. Saya masuk dulu. Nak mandi dan nak tukar baju.” Kata Hafizah. Fauziah sekadar mengangguk dan kemudian perhatiannya kembali ke peti televisyen yang sedang menayangkan sebuah drama Tamil yang entah apa judulnya.

     Hafizah bergerak ke dapur. Dia meletakkan bungkusan lauk yang dibelinya tadi untuk ke bawah tudung salji. Kemudian dia bergerak ke periuk nasi untuk memanaskan nasi yang dimasaknya pagi tadi untuk makan tengah hari ibu dan ayahnya. Dia sengaja masak nasi itu dengan kuantiti yang banyak supaya mereka boleh makan sampai ke malam. Apabila dibuka sahaja periuk nasi itu, satu bau yang tidak enak keluar secara tiba tiba. Dia melihat satu lubang yang agak besar dan bulat ada di tengah tengah nasi yang berada di dalam periuk itu.

     Dia mendekatkan nasi itu ke hidungnya. Ya, nasi itu sudah basi. Dia yakin yang ibunya tidak menggunakan senduk semasa mengambil nasi itu. Bagi mendapatkan kepastian, dia bergerak ke sinki. Dia melihat pinggan ibunya makan tengah hari tadi tidak dibasuh tetapi senduk untuk mengambil nasi tidak ada di dalam sinki. Memang sah ibunya mengambil nasi itu tanpa menggunakan senduk sebaliknya menggunakan tangan. Dia melihat senduk nasi yang sepatutnya digunakan terletak elok di atas rak.  Dia tahu ibunya yang melakukan perbuatan itu kerana menurut ibunya, hanya dia sahaja yang makan tengah hari tadi. Hafizah lantas membawa periuk yang mengandungi nasi basi itu ke ruang tamu.

     “Ibu, tadi ibu ambil nasi ni pakai tangan ea?” Soal Hafizah. Dia cuba mengawal nada suaranya supaya tidak kelihatan marah namun sebenarnya kemarahan sudah mencanak canak di dalam hati.

     “Haah, ibu cari senduk tapi tak jumpa jadi ibu pakai tanganlah. Kenapa?”

     “Nasi ni basi...” Hafizah menunjukkan nasi basi itu kepada Fauziah.

     “Oh...maafkan ibu...” Kata Fauziah dengan rasa bersalah. Hanya itu sahaja yang keluar dari mulut Fauziah kemudian dia menyambung semula menonton televisyen. Bukan dia sengaja tidak mahu mengambil nasi itu dengan menggunakan senduk, tetapi dia tidak menjumpai senduk nasi itu. Sepatutnya Hafizah meletakkan senduk nasi itu di atas periuk tetapi itu tidak dilakukan. Memandangkan dia sudah lapar tengah hari tadi, dia hanya mengambil nasi itu menggunakan tangan. Setahunya nasi yang diambil menggunakan tangan tidak akan basi secepat itu, tetapi entahlah...mungkin Hafizah tidak membasuh beras itu dengan betul sebelum menanak nasi.

     Hafizah benar benar sebal dengan sikap ibunya. Dia menyumpah-nyumpah wanita tua itu di dalam hati. Sudahlah membuat nasi yang banyak itu menjadi basi, kemudian buat tidak tahu sahaja. Sakit hatinya tidak terkata pada waktu itu. Mahu sahaja dia menghamburkan kata kata makian kepada wanita tua itu namun cuba ditahankan. Dia tidak mahu kejadian semalam berulang lagi.

 Hafizah kembali semula ke dapur dan menghumban nasi yang banyak itu ke dalam tong sampah. Hatinya sangat sakit dan geram. Mahu sahaja dibalingnya periuk nasi itu ke muka ibunya namun dia cuba bersabar. Dia beristighfar beberapa kali. Dia marah kerana nasi itu masih banyak lagi dan jika ibunya tidak cuai, pasti nasi itu boleh dimakan dan dia tidak perlu lagi menanak nasi pada malam itu.

Hafizah menuju ke tong beras. Dimasukkan tiga cawan beras ke dalam periuk. Kemudian dia bergerak ke sinki untuk membersihkan beras tersebut. Dia mengacau beras itu beberapa kali kemudian membuang air basuhannya. Tiba tiba Fauziah muncul di dapur. Dia segera mendapatkan Hafizah.

“Maafkan ibu nak...takpe, mari ibu basuhkan beras tu. Kau pergilah mandi. Kau penat kan?” Fauziah menawarkan bantuan.

“Eh takpe bu. Saya boleh buat. Ibu pergi la rehat ruang tamu. Takpe, sikit je ni.” Hafizah menghalang. Dia mengukir sebuah senyuman manis tetapi palsu buat ibunya. Hatinya yang sakit pada waktu itu tidak henti henti menyumpahseranah orang tua itu.  

“Ibu minta maaf sekali lagi. Ibu bukan sengaja. Ibu tak jumpa senduk nasi tadi.” Fauziah memohon maaf sekali lagi. Rasa bersalah mula menyelubungi hatinya.

“Takpe bu, saya tahu ibu tak sengaja. Lagipun salah saya sebab tak letak senduk kat atas periuk tu untuk memudahkan ibu.” Ujar Hafizah. Dia menyambung semula membasuh beras itu.

“Betul kau tak nak ibu tolong ni?” Fauziah bertanya untuk meminta kepastian. Dia tahu yang Hafizah marah atas kejadian itu namun anaknya itu cuba berlagak tenang dihadapannya.

“Takpe bu...ibu pergilah depan. Dah nak siap pun ni.” Kata Hafizah kemudian terus membawa periuk nasi itu ke atas dapur untuk ditanak. Sesudah itu, dia terus menuju ke bilik meninggalkan Fauziah yang terkulat kulat di dapur. 

......................................................................................................................

          Hanya Fauziah dan Hafizah sahaja yang menikmati makan malam di rumah pada malam itu. Razali tidak turut serta kerana dia mahu makan di kedai sahaja selepas solat Isyak. Hafizah tahu Razali sengaja tidak mahu makan malam di rumah kerana masih marah dengan kejadian pada malam semalam. Cuma orang tua itu tidak mahu tunjuk sahaja yang dia sedang marah. Merajuk la tu. Dah nak mampus pun masih merajuk lagi. Getus hati Hafizah. 

“Betul cakap kau Hafizah, sedap betul lauk yang kau beli ni.” Kata Fauziah sambil mengambil lauk ayam masak halia itu dengan menggunakan tangannya yang dilekati dengan nasi padahal ada sahaja sudu di dalam mangkuk yang mengandungi ayam masak halia itu. Geli geleman Hafizah memandang cara ibunya makan. Macam budak kecil. Kutuk Hafizah di dalam hati.

“Kau janganlah ambil hati dengan sikap ayah kau tu. Dia memang macam tu. Kalau marah kat seseorang, makan makanan orang tu beli pun dia tak nak.” Kata Fauziah lagi sambil menghirup kuah tom yam yang masam masam pedas itu. Kemudian dia mengambil isi tom yam seperti ayam, daging, sotong, udang dan sayur kobis itu menggunakan tangannya yang dilekati dengan nasi.

Hafizah tidak menjawab atau membalas. Dia sekadar memerhati sahaja cara ibunya makan. Kembang tekaknya pada waktu itu. Dia tidak tahu mengapa ibunya boleh jadi begitu sejak akhir akhir ini. Dahulu ketika dia masih kecil, ibunya selalu mengajarnya supaya mengambil lauk dengan menggunakan sudu untuk menghormati orang yang makan bersama kita. Entah mengapa, bila ibunya sudah tua, ibunya sendiri yang lupa apa yang telah dia ajar kepada Hafizah suatu ketika dahulu.

“Kau ni bila nak kahwin Hafizah? Umur kau dah 52 tahun tahu? Kau tak rasa nak berlaki ke?” Soal Fauziah sambil memandang ke arah Hafizah.

“Dah tak ada jodoh bu. Nak buat macam mana.” Balas Hafizah acuh tidak acuh. Selera makannya tiba tiba mati melihat cara ibunya makan. Tambah mati apabila ibunya bercakap soal jodoh pada waktu itu.

“Bukan tak ada jodoh. Ibu yakin jodoh tu ada cuma kau je yang tak pandai cari. Dulu aku suruh kahwin dengan Jamal anak Haji Hussein tu kau tak nak. Kau kata gemuk sangat la, apa la, sekarang kau tengok. Budak tu dah bahagia dah dengan tiga anak dia. Kau? Sampai sekarang jadi andartu!” Hentam Fauziah. Dia berasa mahu menambah nasi lagi. Segera dia mengambil nasi yang ada di dalam periuk itu dengan menggunakan tangan yang belum lagi dibasuh.   
         
“Ibu! Ambillah nasi tu guna senduk! Jangan guna tangan...basi la nasi tu!” Hafizah mula meninggikan suara. Kemarahannya tiba tiba memuncak pada waktu itu.

“Opps, maaf. Ibu lupa la. Ibu dah terbiasa. Maafkan ibu ye nak. Hehehe.” Fauziah tersengih sengih sambil meletakkan nasi yang diambilnya dari dalam periuk itu ke dalam pinggan. Kemudian dia menuangkan kuah tom yam ke atas nasi itu. Tidak cukup dengan itu, dia mencekau lagi telur bungkus itu dengan menggunakan tangan walaupun sudu ada di dalam pinggan tersebut.

“Ibu, kenapa ibu ambil lauk tu dengan tangan? Kan ada sudu tu.” Soal Hafizah kegeraman. Kenapa perempuan tua ni pengotor sangat? Hafizah bertanya di dalam hati.

“Ala...apa salahnya. Ibu ni mak kau juga. Takkan geli dengan tangan mak sendiri. Dulu kecil kecil mak suap nasi kat mulut kau, kau okey je. Kenapa dah besar geli pula?” Fauziah membalas.

“Ini bukan soal geli ke tidak tetapi ini soal sopan santun. Kan saya ada ni. Kalau ibu nak makan macam tu, ibu makan sorang sorang boleh. Kalau ada saya, ibu kena makan macam yang sepatutnya. Ibu tak boleh guna tabiat tu. Nanti kalau datang kenduri rumah orang, ibu buat perangai macam tu, tak ke memalukan.” Ujar Hafizah.

“Ala...sekarang ni bukan kat rumah orang pun. Kat rumah kau. Takpelah ibu makan macam ni. Leceh la pakai sudu nak ambil lauk. Takpe, kat rumah orang nanti ibu ambil lauk guna sudu ye.” Fauziah menyambung semula menikmati makan malam itu. Hafizah melepaskan keluhan berat memandang ibunya. Dia benar benar sudah tidak tahan lagi menghadap orang tua itu. Aku marah nanti, aku yang berdosa. Tak marah...dia pijak kepala. Haih, tak tahulah nak cakap apa. Bisik Hafizah di dalam hati.

Oleh kerana tidak mahu melakukan dosa memarahi orang tua sendiri, Hafizah bergerak ke sinki. Dia membasuh pinggannya dan mangkuk mangkuk yang telah digunakan. Pandangannya teralih memandang ibunya makan. Nasi yang berada di pinggan ibunya sudah melambak lambak di atas meja itu kerana tertumpah. Tanpa membasuh tangan, ibunya mencapai bekas yang mengandungi air masak lalu menuangkan air tersebut ke dalam gelas kemudian dia meneguk air itu dengan rakus. Sisa sisa kuah sudah melekat pada bekas air masak itu. Hafizah sekadar menggelengkan kepala. Dia tidak tahu bagaimana ibunya boleh bertukar menjadi pengotor sebegitu.

“Sikit kau makan hari ni. Mari sini ibu tolong kau basuh pinggan tu.” Fauziah menawarkan bantuan. Dia meletakkan pinggan dan mangkuk yang baru digunakan ke dalam sinki.

“Takpe takpe bu. Ibu basuh je tangan pastu ibu pergi depan. Saya boleh buat semua ni.” Balas Fauziah sambil tangannya rancak membasuh pinggan dan mangkuk yang ada di dalam sinki itu.

“Betul ni? Kalau macam tu takpelah, ibu gi depan dulu ye.” Pinta Fauziah.

“Okey.” Pendek sahaja jawapan Hafizah sambil mengukir sebuah senyuman palsu. Dalam hati hanya dia sahaja yang tahu betapa sakit hatinya pada waktu itu. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.