Fauziah melontarkan
pandangannya ke luar jendela. Matahari pagi baru sahaja muncul di ufuk timur. Matanya
tiba tiba diliarkan ke jam bulat yang terletak di dinding rumah tersebut. Jam
menunjukkan pukul 7.15 pagi. Kemudian dia melontarkan semula pandangannya ke
luar jendela. Sebatang jalan yang terletak di hadapan rumah itu masih lengang
lagi. Sesekali kelihatan beberapa buah kereta melalui jalan itu. Kemungkinan
pemandu kereta tersebut mahu menghantar anak mereka ke sekolah ataupun mereka
mahu bergegas pergi ke pejabat.
Tiba tiba mindanya teringat
akan ketiga tiga orang anaknya yang sudah agak lama tidak menjenguknya di rumah
itu. Dia menjadi pilu dan sedih dengan sikap anak anaknya. Mereka seolah olah
membenci dan berdendam dengannya. Mereka cuba menjauhi dirinya dengan
membiarkan dirinya dan suaminya tinggal di rumah Hafreez – anak angkatnya yang
diambilnya ketika anak itu berusia 13 tahun. Mujur ada Hafreez dan isteri yang
sudi menjaga dirinya yang sudah tua itu. Jika tidak ada Hafreez, mungkin dia
sudah dihantar ke rumah orang tua tua ataupun ditinggalkan di tepi jalan seperti
mana yang biasa dia tonton di kaca televisyen dan di dada dada akhbar.
Dia tahu bahawa ketiga tiga
anaknya memang memasang dendam terhadapnya. Ini semua berpunca daripada
layanannya dan suami yang teruk terhadap anak anak sewaktu mereka kecil dahulu.
Namun, itu semua dia lakukan kerana dia mahu mendidik anak anaknya untuk
menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara. Tetapi, niat
yang murni itu telah disalahertikan oleh anak anaknya. Anak anaknya yang tiga
orang itu beranggapan dia cuba mengawal dan mendera mereka.
“Ibu, mari kita makan.”
Lembut suara Hafreez memanggilnya. Serta merta lamunannya terpancung. Dia
menoleh ke arah Hafreez yang berada di belakang. Lelaki kacak itu sedang
tersenyum memandang dirinya.
“Ibu menung apa tu? Ayah dah
tunggu kat meja makan. Mari kita makan bu. Kesian ayah. Lapar dia.” Lembut
sungguh suara Hafreez memanggil dirinya. Lelaki kacak itu kemudian menghampiri
dirinya. Dia memapah Fauziah yang sudah tidak berapa larat mahu berjalan itu
turun ke tingkat bawah untuk menikmati sarapan yang disediakan oleh isteri
Hafreez.
Hafreez memang anak yang baik
dan soleh. Sebenarnya Hafreez adalah anak jirannya di kampung dahulu. Ketika
Hafreez berada di tingkatan satu, rumahnya terbakar. Semua ahli keluarganya
mati termasuk ibu bapanya. Oleh kerana Fauziah kasihankan Hafreez, dia dan
Razali mengambil Hafreez menjadi anak angkat mereka. Mereka membesarkan Hafreez
seperti anak sendiri.
Sebagai seorang anak angkat,
Hafreez memang tahu membalas budi. Walaupun Fauziah dan Razali bukanlah ibu
bapa kandungnya, namun dia tetap menghormati ibu bapa angkatnya itu seperti
mana dia menghormati ibu bapa kandungnya. Dan dia memang sayang akan mereka
berdua. Sebab itulah dia meminta mereka berdua untuk tinggal bersamanya di
Kuala Lumpur. Dia tidak sanggup melihat ibu bapa angkatnya itu tinggal di
kampung berdua sahaja.
Sampai sahaja di meja
makan, Hafreez menarik kerusi bagi membolehkan Fauziah duduk. Razali yang
kelaparan sudah menikmati mihun goreng yang dimasak oleh isteri Hafreez –
Haliza. Haliza yang yang sudah berada di
meja makan sedang melayan kerenah anak tunggal mereka – Hazim yang baru berusia
tiga tahun itu menikmati sarapan.
Hafreez menyendukkan mihun
goreng yang masih panas itu ke dalam pinggan Fauziah. Aroma mihun goreng yang
dimasak oleh Haliza itu sungguh memikat selera. Tidak dinafikan, Haliza memang
pandai memasak. Wanita itu bukan sahaja cantik dan solehah, malah pandai pula
menguruskan rumah tangga. Sesungguhnya Haliza memang sesuai untuk menjadi
isteri Hafreez. Mereka bagai pinang dibelah dua. Sama cantik dan sama padan.
“Terima kasih Hafreez.” Ucap Fauziah sambil
tersenyum.
“Ibu makan ye. Kalau nak
tambah lagi cakap je, nanti saya tambahkan.” Hafreez membalas senyuman Fauziah
tadi dan dia mula menyendukkan mihun ke dalam pinggannya. Fauziah pula mula
menyuapkan mihun goreng itu ke dalam mulutnya dengan menggunakan garfu yang
disediakan sambil memerhatikan suaminya dengan ekor mata. Dia tersenyum
memandang suaminya yang agak panas baran itu menikmati juadah pagi yang
disediakan.
“Lajunya awak makan. Tak
tunggu saya pun.” Fauziah menegur suaminya yang sedang ralit menikmati mihun
goreng.
“Awak lambat sangat. Saya
tengah lapar. Saya makan dulu la.” Ujar Razali acuh tak acuh. Fauziah dan
Hafreez tersenyum memandang Razali. Razali memang begitu sejak muda. Dia akan
bersarapan tepat pada waktunya. Dia tidak suka dengan orang yang lambat. Dia
memang sangat menghargai masa kerana baginya, masa itu emas.
“Hafreez, ibu nak cakap sikit
boleh?” Fauziah memandang Hafreez yang baru hendak menyuapkan mihun goreng ke
dalam mulut. “Nak cakap apa bu? Cakaplah.” Hafreez memandang Fauziah.
“Kalau kau tak keberatan,
ibu ingat ibu nak duduk rumah kak long
seminggu dua.” Fauziah menjawab tenang. Tersedak Razali mendengar kata kata isterinya.
Terbatuk batuk orang tua itu. Segera dia mencapai teh suam yang dibancuh oleh
Haliza tadi untuk menghilangkan makanan yang tersekat di kerongkongnya. Hafreez
dan Haliza juga terkejut mendengar kata kata Fauziah. Mereka berpandangan
sesama sendiri.
“Kenapa ibu nak pergi rumah kak long? Rumah
Hafreez ni tak best ke ibu? Ibu ada yang tak cukup ke? Kalau ada yang
tak cukup atau ada yang tak selesa, ibu cakap je. Nanti Hafreez dengan Haliza
akan ikhtiarkan.” Hafreez merenung wajah ibu angkatnya untuk mencari jawapan.
“Bukan macam tu Hafreez. Ibu
memang selesa duduk rumah ni. Ibu suka sangat. Takde apa yang kurang bila ibu duduk
kat sini. Tapi...itulah. Ibu rindu sangat dekat kak long. Lama ibu tak jumpa
dia. Lagipun ibu tak pernah tidur rumah dia walaupun sekali. Ibu ingat ibu nak
beralih angin pula. Nak duduk rumah kak long
seminggu dua. Lepas tu ibu balik semua ke sini.” Balas Fauziah. Hafreez
mendengar dengan tekun.
“Kenapa awak nak susahkan
diri? Awak tahukan yang si Hafizah tu tak suka kita? Kenapa nak duduk rumah dia
pula? Rumah ni dah cukup bagus dah untuk kita. Tak payah nak mengada-ngada nak
duduk sana sini. Duduk saja kat rumah ni. Awak tu pun bukan sihat sangat nak
bergerak ke sana ke mari.” Razali membangkang cadangan Fauziah.
“Tapi bang saya rindu
sangat dekat along. Dah lama saya jumpa dia. Salah ke saya nak jumpa dengan
anak saya.” Fauziah membalas.
“Memanglah tak salah. Saya tak cakap salah
pun. Tapi awak tahukan budak tu macam mana? Nanti kita susahkan dia je.” Razali
merengus.
“Kalau awak tak nak ikut
takpe. Biar saya sorang je yang pergi. Hafreez, nanti Hafreez hantar ibu ke
rumah kak long ye nak.” Fauziah memujuk Hafreez.
“Kau jangan dengar cakap ibu
kau ni Hafreez. Dia melawak je tu. Dah buang tebiat agaknya.” Kata Razali. Dia
tidak senang dengan cadangan Fauziah itu. Baginya permintaan Fauziah itu
terlalu melebih. Untuk apa Fauziah harus ke rumah anak anak mereka yang lain
sedangkan dia sudah pun mendapat layanan yang baik di rumah Hafreez.
“Abang, ini bukan perkara lawak
tau. Sampai bila kita nak jauhkan diri kita daripada mereka? Sampai bila awak
nak biarkan anak anak berdendam dengan kita? Bang, kita ni dah tua bang. Esok
lusa kita akan pergi. Takkan awak nak mati nanti dalam keadaan anak anak awak
benci awak? Abang, kita kena buat sesuatu supaya diaorang sayang kita semula
macam dulu dulu.” Fauziah melontarkan isi hatinya.
“Diaorang nak benci kita
atau nak suka kita itu hak diaorang. Kalau diaorang benci kita, diaorang yang
berdosa. Kita ni ibu bapa, diaorang tu anak anak. Sepatutnya diaorang yang kena
jenguk kita, bukan kita yang jenguk diaorang.”
Razali membidas.
“Abang, awak tu dah tua.
Tolonglah buang ego tu sikit. Sampai bila kita nak ego dengan anak anak?
Tolonglah, untuk sekali ni, tolonglah buang ego awak tu demi anak anak dan
kehidupan kita. Mereka anak anak kita juga. Bukan orang lain. Saya tak nak mati
dalam keadaan anak anak saya benci saya.” Ujar Fauziah. Ada riak sedih dalam
nada suaranya.
Hafreez dan Haliza sekadar
memandang sahaja kedua dua orang tua itu bergaduh. Mereka tidak mampu untuk
melarang. Hazim yang masih kecil dan tidak tahu apa apa itu terkebil kebil
memandang datuk dan neneknya bertengkar pada pagi itu.
“Suka hati awaklah apa awak
nak buat. Jadi apa apa nanti jangan salahkan saya. Tanggung sendiri.” Razali
malas mahu bertengkar dengan isterinya pagi pagi sebegitu. Dia menikmati semula
mihun goreng yang masih berbaki di pinggannya.
Hafreez dan Haliza mula berasa
tidak sedap hati. Mereka faham yang Fauziah sangat rindukan anak anaknya namun
anak anaknya pula yang tidak mahu melayan ibu bapa mereka sendiri. Akibat
perasaan dendam dan salah faham, mereka menghukum ibubapa mereka sebegitu rupa.
Memang tidak sepatutnya dua
orang kakak angkat dan abang angkatnya itu melakukan perkara sebegitu kepada
Fauziah dan Razali. Ibu dan bapa angkatnya itu telah bersusah payah membesarkan
mereka dan menghantar mereka untuk masuk ke universiti hingga mereka boleh
menjadi orang yang berjaya sekarang. Tidak dinafikan, dua orang kakak angkatnya
itu memang seorang manusia yang tidak mengenang budi. Hafreez mengeluh
mengenang perkara itu.
“Nanti Hafreez telefon kak long ye. Bagitahu yang ibu nak datang dan
nak duduk rumah dia seminggu dua.” Ujar Fauziah kepada Hafreez. Hafreez
melepaskan keluhan berat. Dia berada dalam keadaan serba salah sekarang.
Sejujurnya dia lebih suka jika Fauziah terus tinggal di rumahnya. Dia sangat khuatir
apabila memikirkan ibu angkatnya itu di bawah jagaan along Hafizah.
Bukan dia tamak mahu membolot
kasih sayang Fauziah dan Razali. Tidak sama sekali. Cuma dia risau adakah kak long Hafizah mampu untuk menjaga Fauziah
dan Razali seperti mana dia menjaga dua warga emas itu? Dia risau jika along
Hafizah tidak menjaga kedua dua ibu bapa angkatnya itu seperti yang
sewajarnya.
“Baiklah bu. Nanti Hafreez
telefon dia.” Kata Hafreez. Fauziah tersenyum mendengar persetujuan Hafreez.
Hafreez mula memandang ibunya dengan rasa tidak sedap hati. Dia memandang pula
wajah bapa angkatnya, Razali. Orang tua itu terus makan dengan wajah yang masam
mencuka. Dia berdoa agar along Hafizah dapat menjaga ibu dan bapa angkatnya itu
dengan baik.
.............................................................................................................
Hafreez membelah jalan raya
pada pagi Sabtu itu untuk ke rumah along Hafizah dengan menaiki Proton
Pesonanya. Di sebelahnya terdapat Razali yang berwajah kelat. Di bahagian
belakang, Fauziah sedang duduk bersandar dengan rasa teruja. Dia sudah tidak
sabar sabar mahu bertemu dengan anak sulungnya, Hafizah.
Razali pada awalnya memang
tidak mahu mengikut Fauziah untuk ke rumah Hafizah. Dia lebih suka tinggal di
rumah Hafreez. Berkali kali dia memujuk Fauziah supaya membatalkan hasrat
tersebut kerana dia tahu bagaimana layanan Hafizah kepada mereka berdua nanti.
Namun, Fauziah tetap berdegil. Isterinya itu tetap mahu tinggal juga di rumah
Hafizah selama seminggu.
Memandangkan dia begitu
khuatir dengan keadaan Fauziah yang tidak berapa sihat itu, dia gagahkan diri
juga untuk mengikut Fauziah ke rumah anak sulung mereka. Dia risau jika Hafizah
melakukan sesuatu yang tidak betul terhadap Fauziah.
Kadang kadang dia pelik dengan
Fauziah. Dia sedar bahawa Fauziah tahu akan sikap ketiga tiga anak mereka itu
terhadap mereka. Namun, Fauziah tetap menyayangi ketiga tiga manusia itu.
Itulah sikap Fauziah sebagai seorang ibu yang dia tidak fahami. Walaupun ketiga
tiga anak itu telah membenci Fauziah kerana salah faham, namun Fauziah tidak
henti henti menyayangi mereka. Sesungguhnya kasih sayang seorang ibu itu mengatasi
segala-galanya.
Kereta Hafreez sudah pun
masuk ke jalan yang menuju ke rumah Hafizah. Lagi beberapa minit lagi mereka
akan sampai ke rumah kakak angkatnya. Tiba tiba fikirannya menerawang ke udara
mengingati bagaimana sukarnya untuk dia memujuk
kak long Hafizah supaya dapat menjaga ibu bapa mereka selama seminggu.
Pada awalnya, along Hafizah membantah keras. Dihamburnya lahar kemarahan ke telinga
Hafreez. Kak long Hafizah mengatakan bahawa dia tidak boleh menjaga kedua dua
orang tua itu kerana dia sibuk. Namun, Hafreez berusaha memujuk kakak angkatnya
itu supaya meluangkan sedikit masa menjaga kedua dua warga emas itu. Hafreez
tidak sanggup untuk menghampakan permintaan Fauziah itu kerana ibu angkatnya
itu acapkali mengingatkannya tentang perkara tersebut. Setelah dipujuk berkali
kali, barulah along Hafizah bersetuju dengan keadaan separuh rela.
Kereta Hafreez berhenti betul
betul dihadapan pintu pagar sebuah rumah teres satu tingkat milik along
Hafizah. Pintu pagar rumah itu sudah terbuka. Mungkin along Hafizah sudah tahu
yang mereka mahu datang jadi dia sudah membuka pintu pagar itu awal awal.
Hafreez meninjau-ninjau di kawasan rumah itu untuk melihat kelibat along
Hafizah, namun hampa. Matanya tertancap pada pintu utama rumah itu. Pintu rumah
tersebut terkatup rapat.
“Si Hafizah ni takde kat
rumah ke Hafreez? Kau tak bagitahu dia ke yang kita nak datang?” Soal Razali
yang turut sama meninjau-ninjau kawasan rumah teres yang sederhana besar itu.
Dia khuatir jika mereka datang pada waktu itu tetapi Hafizah tidak ada di
rumah.
“Saya rasa dia ada kat rumah ni
ayah. Kalau tak, takkan pintu pagar ni terbuka. Jom la kita turun.” Hafreez
melangkah turun keluar dari perut kereta. Kemudian dia ke bonet kereta untuk
mengeluarkan beg pakaian Fauziah dan Razali. Razali dan Fauziah pun sudah
melangkah turun.
Kemudian mereka sama sama
melangkah masuk ke kawasan rumah teres itu. Mereka meninjau-ninjau ke dalam
rumah melalui tingkap yang terbuka untuk mencari kelibat Hafizah. Tiba tiba
pintu utama rumah itu terbuka. Terpacul wajah Hafizah yang lengkap berbaju
kurung berwarna putih dan bercorak bunga berwarna biru yang besar besar.
Dikepalanya ditutup dengan sehelai tudung bawal yang berwarna biru.
“Oh, dah sampai rupanya. Ya
Allah... Kenapa tak bagi salam. Masuklah.” Hafizah mempelawa sambil tersenyum
manis. Sukar Hafreez mahu mentafsirkan makna senyuman itu sama ada ikhlas atau
lakonan. Dia melupakan perkara itu buat seketika dan masuk ke rumah teres milik
Hafizah yang mempunyai tiga bilik itu bersama sama dengan Fauziah dan Razali.
“Apa khabar ibu? Apa khabar ayah?” Hafizah
bersalaman dengan kedua-dua orang tuanya. Jelas kelihatan kekok situasi itu
pada pandangan Hafreez.
“Khabar baik. Ibu dan ayah
sihat sihat je. Kalau sakit sakit tu, biasalah, orang tua...kau apa khabar nak?
Lama sungguh kau tak lawat ibu. Sibuk sangat ke?” Fauziah bertanya sambil duduk
di sofa empuk berwarna hitam yang ada di ruang tamu rumah itu. Razali dan
Hafreez turut melakukan perkara yang sama.
“Memang sibuk ibu. Banyak buku
yang saya kena tanda. Banyak betul program program kat sekolah yang saya kena
pergi. Sebab tu saya tak sempat nak lawat ibu.” Kata Hafizah.
“Orang lain pun kerja juga
tapi ada je masa nak lawat mak dan ayah diaorang. Kau ni sibuk sangat sampai
tiga tahun sekali nak jumpa pun susah. Kau ni sibuk ke atau benci dengan mak
bapak kau ni?” Razali berkata tajam. Fauziah dan Hafreez berpandangan sesama
sendiri. Hafizah yang baru melabuhkan punggungnya di atas sofa yang terletak
berhampiran dengan Fauziah tersenyum kelat.
“Tak baik awak cakap macam tu
kat dia. Dia memang sibuklah. Awak kenalah faham. Lagipun Hafizah ni bukan guru
sekolah kerajaan. Dia guru sekolah swasta. Cara bekerja kat sekolah kerajaan
tentulah berbeza dengan cara bekerja kat sekolah swasta. Awak ni cubalah faham
keadaan anak sulung awak ni.” Fauziah cuba membela Hafizah. Razali pula sekadar
mencebik. Hafreez mula berfikir apakah yang akan terjadi dalam rumah ini jika
dia pulang nanti.
“Betul cakap ibu tu ayah.
Saya ni guru sekolah swasta. Kerja dengan sekolah swasta berbeza kerja dengan
sekolah kerajaan. Ayah kena faham tu. Ayah tak boleh la buat tuduhan yang bukan
bukan.” Ujar Hafizah dengan lembut. Segaris senyuman separuh ikhlas
dilemparkan. Namun, di dalam hatinya sudah lama berasap melihat wajah tua
ayahnya. Sakit hatinya kepada kedua dua orang tua itu tidak pernah padam.
Tetapi, dia cuba berlagak baik selama seminggu ini. Dia tidak mahu mempamerkan
sikap kurang ajar dihadapan ibu bapanya. Dia tahu, dia boleh menjadi anak
derhaka jika melakukan itu semua. Anak derhaka maka nerakalah tempatnya. Jadi,
selama seminggu itu, dia akan cuba melayan kedua dua orang tua itu sebaik
mungkin seperti yang diminta oleh Hafreez beberapa hari yang lalu.
“Ayah bukan tak faham tapi
ayah tak percaya. Entahlah, malas nak cakap banyak banyak. Cakap banyak nanti
ada pula yang terguris hati sampai merajuk membawa diri.” Sindir Razali. Fauziah
lekas lekas menyiku Razali tanda protes dengan sindiran Razali itu. Hafizah
mula tindak senang duduk. Lahar kemarahannya semakin membuak buak. Dia
memandang wajah Hafreez yang duduk bertentangan dengan dirinya. Lelaki itu
menggelengkan kepala tanda tidak membenarkannya melawan ayah mereka.
“Okeylah, ibu, ayah dan
Hafreez duduk dulu ye. Saya nak pergi bancuh air kejap. Tiba tiba haus pula
tekak ni.” Kata Hafizah dan dia berlalu ke dapur. Tidak boleh dia berlama lama
dia ruang tamu rumahnya sendiri pada waktu itu. Hatinya sakit tidak terkata
terutama selepas mendengar sindiran tajam ayahnya. Jika tidak difikirkan yang
Razali itu ayahnya, sudah lama dia menghalau orang tua itu keluar dari rumah.
Dia cuba bersabar pada waktu itu. Dan dia sendiri tidak pasti mampukah dia
bersabar berhadapan dengan kedua dua orang tua itu selama seminggu mereka
berada di rumahnya.
“Awak ni boleh tak jaga sikit
mulut awak tu? Ini rumah dia tau. Jangan nak tunjuk ego sangat.” Fauziah
memarahi Razali. Dia berasa berang dengan sikap Razali tadi. Jika beginilah
sikap Razali, sampai bila pun Hafizah akan membenci mereka berdua. Dia tidak
mahu perkara itu berlaku. Dia cuba sedaya upaya untuk menjernihkan kembali
hubungan kekeluargaan mereka yang retak kerana salah faham itu.
“Awak percaya sangat la
dengan anak awak tu. Awak tahu tak yang dia tu tak suka kita. Cara dia sambut
kita tadi pun saya dah tahu yang dia tak bersedia nak terima kedatangan kita.
Awak je yang terhegeh hegeh nak datang rumah dia. Dia tak suka pun kita datang
rumah dia.” Razali menjawab.
“Sebab tu kita kena datang
rumah dia. Kita kena jernihkan kembali hubungan kita dengan dia. Sampai bila
kita nak bermasam muka? Sampai kiamat?” Fauziah mula hilang sabar dengan sikap
ego Razali yang tidak sudah sudah itu.
“Susah cakap dengan awak ni.
Saya tak tahulah awak ni tak faham ke atau sengaja buat buat tak faham. Suka
hati awaklah!” Razali mengalah. Dia malas mahu bertekak dengan isterinya kerana
hal hal yang seremeh itu. Dia cuma berharap agar seminggu ini berlalu dengan
cepat supaya dia boleh pulang semula ke rumah Hafreez.
“Ayah cubalah berbaik baik dengan along
Hafizah tu. Janganlah marah marah atau sindir sindir dia. Cuba cakap dengan dia
elok elok. Tentu dia akan baik dengan ayah dan ibu nanti.” Hafreez mencelah.
“Awak dengar cakap Hafreez
tu. Awak janganlah nak tunjuk garang awak kat sini. Cuba cakap elok elok. Ni
nak marah saja. Tak cukup ke awak marah dia masa dia kecil dan remaja dulu?
Takkan dia dah tua bangka ni pun awak nak marah marah juga.” Fauziah memberi
nasihat. Razali diam cuma. Matanya tertancap pada peti televisyen yang sedang
terpasang di ruang tamu rumah itu. Entah rancangan apa yang ditontonnya, dia
sendiri tidak tahu. Fikirannya menerawang entah ke mana.
Beberapa minit kemudian
Hafizah muncul dari dapur sambil menatang sebuah dulang yang di atasnya
terdapat sebuah jag kecil yang berisi air oren dan empat biji cawan. Dia
meletakkan empat biji cawan itu di atas meja yang sederhana besar di hadapan
ahli keluarganya. Kemudian dia menuangkan air oren itu ke dalam empat biji
cawan tersebut.
“Jemput minum ibu, ayah,
Hafreez.” Hafizah mempelawa. Hafreez dan Fauziah segera mencapai cawan yang
berisi air oren itu dan meminumnya perlahan. Hanya Razali sahaja yang diam tak
berkutik. Matanya masih lagi memandang peti televisyen.
“Ibu harap kau tak kisah ibu dan ayah duduk kat
sini seminggu dua. Bukan apa, ibu tak pernah tidur rumah kau. Nak jugalah
merasa sekali sekala. Asyik duduk Hafreez je pun bosan juga.” Kata Fauziah
sambil memandang Hafizah. Setelah habis meminum air oren yang dibancuh oleh
Hafizah tadi, dia meletakkan cawan tersebut di atas meja.
“Oh...ibu bosan rupanya duduk
rumah Hafreez. Patutlah asyik cakap je nak duduk rumah along.” Ujar Hafreez
seakan akan merajuk. Dia sengaja membuat mimik muka sedih. Kemudian dia tertawa
kecil tanda dia bergurau.
“Bukan macam tu maksud ibu.
Ibu suka duduk rumah Hafreez tapi ibu nak jugalah duduk rumah anak anak ibu
yang lain. Nak beralih angin pula. Minggu ni duduk rumah Hafizah. Minggu depan
duduk rumah Norin pula. Pastu duduk rumah Hamad pula. Macam tu la.” Kata
Fauziah.
“Ibu duduk la berapa lama pun yang ibu nak.
Saya tak kisah. Cuma kalau saya pergi kerja nanti, Ibu kena duduk berdua dengan
ayahlah. Tapi takpe, sebelum saya pergi kerja, saya akan sediakan segala
keperluan ibu dengan ayah nanti.” Ujar Hafizah.
“Baguslah kalau macam tu long.
Hafreez harap along boleh jaga ibu dan ayah dengan baik. Yalah, diaorang ni
orang tua. Masa ni la kita nak berbakti dan menjaga mereka pula setelah sekian
lama mereka menjaga dan membesarkan kita.” Hafreez berkata dengan maksud yang
penuh mendalam. Dia berharap agar Hafizah dapat memahami maksud yang cuba dia
sampaikan.
“Insha Allah...yang tu Hafreez
jangan bimbang. Along akan pastikan yang mak dan ayah akan baik baik sahaja kat
sini.” Hafizah memberi jaminan yang dia sendiri tidak pasti. Mampukah dia
menjaga kedua-dua manusia yang dibencinya itu dengan sempurna? Dia tidak punya
jawapan untuk soalan itu namun apa yang pasti dia berharap agar seminggu itu berlalu
dengan segera. Dan dia berharap agar tiada sebarang masalah yang bakal tiba
tatkala kedua-dua ibu bapanya berada di sini.
“Baguslah kalau macam tu. Lega
Hafreez mendengarnya. Okeylah, kalau takde pape lagi, Hafreez balik dulu la.
Ada kerja sikit kat rumah tu yang kena siapkan.” Hafreez berdiri lalu bersalam
dengan Razali dan Fauziah. Hafizah sekadar memandang sahaja pelakuan Hafreez
itu. Dapat dirasakannya kasih sayang Hafreez terhadap Fauziah dan Razali.
Yalah, walaupun Hafreez itu hanya sekadar anak angkat, namun dia amat disayangi
oleh ibu bapanya. Hafreez itu umpama anak emas dalam keluarganya. Oleh sebab
itulah, mengapa wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarganya
sehingga ke hari ini.
“Long, kalau ada apa apa, just
call je Hafreez okay. Ibu dan ayah pun sama. Kalau ada apa apa, tepon saja
Hafreez. Nanti Hafreez datang.” Hafreez berpesan.
“Baiklah nak. Tapi Hafreez
telefon la ibu selalu. Tapi ibu akan baik baik sahaja kat sini. Kak long kau kan
ada nak tengok tengok kan ibu dan ayah.” Kata Fauziah sambil memandang Hafizah
dengan segaris senyuman.
“Kak long, jaga ibu dan ayah
baik baik ye. Kalau ada masalah call Hafreez tau.” Pesan Hafreez lagi
kepada Hafizah.
“Ya Hafreez. Kau janganlah risau.
Tahulah kak long apa nak dibuat.” Ujar Hafizah.
“Okeylah kalau macam tu. Hafreez
balik dulu ye. Assalamualaikum.” Ucap Hafreez dan dia lantas menuju ke
keretanya. Setelah menghidupkan enjin kereta, dia memandu pergi meninggalkan
rumah Hafizah. Setelah menjawab salam yang diberi, Hafizah, Fauziah dan Razali
sekadar menghantar Hafreez dengan pandangan mata sahaja. Mereka memandang
kereta Hafreez sehingga hilang dari pandangan. Tatkala itu, ia adalah satu
permulaan baru dalam kehidupan Fauziah dan Razali di rumah Hafizah, anak sulung
mereka yang bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah swasta itu.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.