Jam sudah
menunjukkan pada pukul 11.30 pagi. Hamad, Farah, Iman, dan Fauziah sedang
berada di dalam teksi untuk menghadiri majlis perkahwinan anak Kak Suraya,
sahabat Farah yang bekerja di pusat membeli belah Paradigma Mall bersama sama
dengan Farah itu. Sejak dua minggu lalu lagi, Kak Suraya sudah beritahu kepada
Farah supaya hadir ke majlis perkahwinan anak keduanya itu sementelahan Farah
tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan anak sulungnya kerana Farah pada waktu
itu kurang sihat.
“Jauh lagi ke rumah tu bang?” Soal
Farah sambil matanya tetap memandang ke hadapan. Sudah hampir satu jam mereka
berada di atas jalan raya namun tidak juga sampai sampai ke rumah Kak Suraya.
Mahu kata jalan sesak, keadaan traffik pada masa itu biasa biasa sahaja. Mahu
kata mereka sesat, sedari tadi Hamad tidak berkata apa apa pun. Tambahan pula,
Hamad agak biasa dengan jalan tersebut.
“Tak jauh dah. Lagi lima belas minit
kita sampai la.” Hamad menjawab. Farah sekadar mengangguk tanda faham. Matanya
menjeling ke bahagian tempat duduk belakang untuk melihat Iman dan Fauziah.
“Ibu kat belakang tu okay?” Farah
bertanya kepada Fauziah yang hampir hampir mahu tertidur itu kerana dibalut
dengan kebosanan.
“Okay.” Balas Fauziah pendek. Dia
tidak ada hati mahu bercakap pada waktu itu. Dia benar benar rasa mengantuk.
Fikirannya pada waktu itu juga terkenangkan Razali yang berada di rumah.
Diajaknya untuk ikut serta tidak mahu pula orang tua itu. Alasannya malas.
Katanya dia mahu makan di kedai sahaja.
“Mad, berhenti kat mana mana Mad. Ibu
nak terkecing ni. Dah tak tahan rasanya.” Pinta Fauziah.
“Aduhh ibu ni. Menyusahkanlah! Saya
baru je lepas Petronas tadi. Kenapa tak cakap awal awal? Sekarang ni tak tahu
ada lagi ke tak stesen minyak untuk kita berhenti.” Hamad merungut dengan suara
yang agak keras.
“Abang ni...tak baik tau cakap dengan
ibu macam tu. Nanti si Iman tu ikut nanti baru tahu. Kat depan tu lagi 500
meter ada stesen minyak, kita boleh berhenti kat sana.” Ujar Farah. Hamad
sekadar melepaskan keluhan berat. Dia malas mahu berhenti di mana mana. Dia
mahu segera sampai ke rumah Kak Suraya kerana dia mahu makan memandangkan
perutnya sudah lapar benar.
Sampai sahaja ke stesen minyak,
Fauziah segera ke tandas untuk melepaskan hajat. Farah pula masuk ke kedai
serbaneka yang ada di stesen minyak itu bersama Iman untuk membeli minuman
memandangkan dia dan Iman berasa sangat dahaga pada waktu itu. Hamad yang
kelaparan sekadar duduk di dalam teksi sambil memerhatikan orang dan kenderaan
yang lalu lalang di sekitarnya.
Beberapa minit kemudian, Farah dan
Iman masuk ke dalam teksi sambil menjinjing satu beg plastik yang berisi dengan
air minuman yang manis. Hamad meninjau kelibat Fauziah namun tidak muncul
muncul juga. Mana pula orang tua ni? Bisik hati kecik Hamad.
“Ibu tak masuk lagi ke?” Soal Farah
ketika punggungnya mencecah di kusyen tempat duduk teksi tersebut.
“Belum...entah mana entah orang tua
tu. Menyusahkan betul. Nak terkencing la...apa la...” Hamad merungut lagi.
“Tak baik la cakap macam tu. Biasalah
orang tua. Nanti kita tua pun macam tu juga agaknya.” Kata Farah.
“Tsk.” Hamad tersenyum sinis. “Saya
harap bila saya tua nanti saya tak jadi macam tu. Menyusahkan hidup anak anak
je.”
Tidak lama kemudian Fauziah muncul
bersama dengan beg tangannya dari dalam tandas. Dia berjalan secara perlahan
lahan kerana lututnya sakit. Farah dan Hamad yang berada di dalam kereta
sekadar memerhatikan gerak langkah Fauziah yang lambat itu. Hamad terus
mengutuk ibunya yang telah tua itu dari dalam teksi.
“Abang, cuba awak tengok kat seluar
ibu tu. Basah habis.” Ujar Farah sambil matanya memandang tajam ke arah Fauziah
yang semakin menghampiri teksi Hamad.
“Haah la. Itu basah sebab air ke sebab
kencing?” Hamad bertanya dalam keadaan bingung. Matanya juga masih tertancap
pada seluar Fauziah yang berwarna coklat cair itu. Seluar itu kelihatan basah
dari celah kelangkang Fauziah hinggalah ke kaki seluar. Farah dan Hamad mula
berasa tidak sedap hati melihat keadaan Fauziah itu.
“Ibu, kenapa seluar ibu basah? Ibu
terkencing dalam seluar ke?” Soal Hamad ketika Fauziah baru sahaja melabuhkan
punggungnya di dalam teksi.
“Taklah. Seluar ibu terkena air.”
Fauziah tersengih sengih malu.
“Buat malu orang je la ibu ni. Macam
mana seluar boleh basah? Cuba la basuh elok elok. Hishh. Menyusahkan!” Marah
Hamad.
“Dah la tu. Tak payah la marah marah.
Benda nak jadi nak buat macam mana.” Kata Farah.
“Habis tu macam mana nak makan rumah
orang kenduri ni? Dengan seluar basah macam tu. Aduhh. awak tak malu ke?” Balas
Hamad.
“Ala...dalam perjalanan nanti kering
la tu agaknya. Cepatlah jalan kereta ni. Saya dah lapar ni.” Hamad mendengus
marah. Dia menekan clutch di kaki lalu memasukkan gear satu. Kemudian
menekan minyak bagi membolehkan teksinya bergerak seiringan dengan kenderaan
lain di atas jalan raya itu.
Fauziah yang berada di tempat duduk
belakang hanya memerhatikan sahaja perbualan antara Hamad dan Farah. Dia
memandang seluarnya yang basah itu. Perasaan bersalah dan takut bercampur baur
di dalam sanubarinya.
“Eii...busuknya...bau kencing la dalam
kereta ni.” Kata Iman yang duduk di sebelah Fauziah. Budak lelaki berusia
sembilan tahun itu memincit hidungnya kerana tidak tahan dengan bau hancing
yang entah datang dari mana.
Farah dan Hamad yang mendengar kata
kata Iman itu terus menggerak gerakkan hidung mereka untuk mengesan bau kencing
seperti yang didakwa oleh Iman. Ya, memang ada bau kencing yang sangat kuat di
dalam teksi itu. Serta merta fikiran Farah dan Hamad teringat akan seluar
Fauziah yang basah tu.
“Ibu! Ibu kencing dalam seluar ke?!” Soal
Hamad kemarahan sambil menjeling Fauziah dari cermin pandang belakang. Farah di
sebelahnya lantas memusingkan badan untuk melihat keadaan diri Fauziah.
“Haah, maafkan ibu.” Kata Fauziah
takut takut.
“Arghh!” Hamad menjerit marah sambil
menghentakkan tangannya di stereng teksi. Semua yang berada di dalam teksi itu
mula kecut perut.
“Kenapa la ibu ni bodoh sangat pergi
kencing dalam seluar? Macam budak budak la. Adoii bangangnya...” Hamad membebal
dalam keadaan marah sambil mencarut carut. Farah disebelahnya tidak mampu untuk
berkata apa apa lagi untuk membela Fauziah. Dia diam sahaja sambil memandang
kereta yang lalu lalang dari tingkap cermin teksi itu.
“Kan ibu pergi tandas tadi kan? Macam
mana pula boleh terkencing dalam seluar?” Hamad bertanya dalam keadaan marah.
“Ibu tak tahan sangat tadi. Memang ibu
pergi tandas tapi belum sempat ibu nak buka seluar, kencing dah keluar dulu.”
Fauziah menjawab.
“Bangang la...menyusahkan orang betul!
Adoii...ibu ni kan memang tau. Dari saya kecil sampai saya dah beranak sekarang
ni ibu tak habis habis menyusahkan saya. Sebab tu kak long dan kak ngah tak
suka ibu, ibu banyak menyusahkan kitaorang.” Hamad membebel lagi dalam keadaan
marah namun cuba dikawalnya supaya tidak memberi kesan kepada pemanduannya.
“Saya rasa kita balik je la bang.
Takpelah. Saya whatsapp Kak Suraya nanti...cakap kita ada hal. Tak boleh datang
majlis kahwin anak dia.” Ujar Farah.
“La...kenapa nak balik pula?” Soal
Hamad sambil memandang tajam ke arah Farah.
“Macam mana nak pergi majlis orang
dengan keadaan ibu macam tu. Nanti semua orang tak nak dekat dengan kita sebab
bau hancing tu. Dah la seluar ibu basah bukan main ketara lagi. Buat malu kita
je nanti.” Jawab Fauziah.
“Okay la okay la. Menyusahkan orang
betul la orang tua ni. Kecik kecik tak nak mampus, dah besar menyusahkan aku.”
Hamad memaki hamun ibunya sendiri. Fauziah yang berada di tempat duduk belakang
sekadar mengetap bibir. Dia mahu menangis di situ namun cuba ditahannya. Kata
kata Hamad tadi bagai belati tajam yang membelah jantung hatinya.
..................................................................................................................
Malam itu seperti biasa Hamad memandu
teksinya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur untuk mencari pelanggan. Tujuan dia
memandu teksi pada waktu malam itu bukan sahaja untuk mencari rezeki lebih
untuk menampung hidupnya sekeluarga tetapi juga untuk membayar hutang piutangnya
yang sudah keliling pinggang itu. Semalam
Abang Hussein ada memberi amaran kepadanya supaya segera membayar hutang. Serta
merta perbualannya bersama Abang Hussein kembali menerpa di kotak memorinya.
“Bila kau nak bayar hutang aku ni Mad?
Dah berbulan bulan dah ni kau buah pekak je. Aku pun ada perut juga nak kena
isi.” Soal Hussein ketika dia dan Hamad sedang menunggu pelanggan di pondok bas
berhadapan dengan Kolej Putri itu.
“Sorry
la bang. Saya betul betul takde duit sekarang ni. Ada duit nanti saya bayar
la.” Hamad cuba meraih simpati Hussein.
“Dengan aku kau cakap macam ni. Dengan
Dollah pun kau cakap macam ni juga. Asyik takde duit je kau ni. Mana pergi duit
kau Mad? Kau main judi ea?” Hussein mula serkap jarang.
“Hish, abang Hussein ni. Tak baik tau
tuduh saya macam tu. Saya takde duit sebab saya nak bayar macam macam benda.
Belanja rumah lagi, belanja teksi lagi, bayar hutang lagi, macam macam benda
saya kena bayar bang. Dah settle hutang hutang saya nanti, saya bayarlah
duit abang. Tapi sebelum tu saya nak minta tangguh dululah.”
“Ye ke duit kau habis sebab nak bayar
semua tu? Bukan habis sebab lain ke?” Hussein mula memasang curiga terhadap
Hamad.
“Sebab tu la bang. Sebab apa lagi?”
Hamad sudah mula tidak keruan apabila Hussein mencurigainya.
“Bukan sebab kau berjudi ke, main
nombor ekor ke, main perempuan ke, apa ke?”
“Astaghfirullahalazim...bang, saya
tahu la saya ni takde la baik sangat. Tapi jangan la abang nak tuduh tuduh saya
buat benda tak baik tu bang. Saya masih ada iman la bang nak buat semua benda
benda tak baik tu.”
“Kalau kau tak buat takpe la. Ingat
Mad, kalau aku tahu kau tak bayar hutang aku sebab buat benda bukan bukan, kau
tahulah nasib kau. Aku tak marah takpe Mad. Aku kalau marah, aku tak kira siapa
dah. Aku nak ‘potong’, aku ‘potong’ je.” Hussein memberi amaran. Hamad meneguk
liur pahitnya mendengar amaran dari Hussein itu.
“Janganlah abang risau. Saya takkan la
buat benda benda terkutuk tu. Tapi saya janji bang, lepas dah settle
semua, saya bayar hutang hutang abang.” Hamad membuat janji dan Hussein
mengangguk sambil tersenyum sinis.
Lamunan Hamad terpancung apabila dia
terdengar bunyi hon dari sebuah kereta di belakangnya. Kenderaan itu
membunyikan hon kepadanya kerana teksinya dipandu terlalu perlahan. Sabarlah
sikit. Nak menyempat nyempat. Bukan mati pun kalau jalan perlahan. Bangang punya
kereta! Hamad memaki di dalam hati. Kemudian dia melihat kenderaan yang
membunyikan hon tadi memotong teksinya.
Hamad terus memandu membelah jalan
raya Kuala Lumpur itu untuk mencari pelanggan yang mahu menggunakan
perkhidmatan teksinya. Matanya sesekali meliar ke tepi jalan untuk melihat
jikalau ada orang yang menahan teksinya namun hampa. Orang di tepi jalan itu
ada tetapi kesemuanya sedang menunggu bas atau sedang berjalan kaki, tidak ada
yang mahu menahan teksi.
Sepuluh minit kemudian, Hamad melihat
seorang budak lelaki yang sedang membawa beg sandang menahan teksinya. Hamad
terus memandu keretanya ke sebelah kiri jalan untuk mengambil budak lelaki
tersebut tanpa mempedulikan kereta yang lalu lalang. Dia berharap budak lelaki
itu sudi menjadi pelanggannya.
“Nak ke mana dik?” Soal Hamad kepada
budak lelaki itu setelah tingkap di tempat duduk penumpang di sebelah kiri di
bahagian depan diturunkan.
“Kampung Baru?” Kata budak lelaki itu.
“RM30!” Ujar Hamad tanpa rasa
bersalah.
“Mahalnya! Biasa saya pergi sana baru
RM12 je. Kenapa mahal sangat?” Budak lelaki itu tidak berpuas hati dengan harga
yang ditawarkan oleh Hamad tanpa menggunakan meter itu.
“Kau nak ke tak nak. Tak nak takpe.
Kau tunggu je la teksi kat sini. Teksi kat sini tak banyak tau.” Hamad sengaja
menakut-nakutkan budak lelaki itu supaya budak itu mahu menaiki teksinya.
“Okaylah bang.” Budak lelaki itu
mengalah. Dia membuka pintu di bahagian belakang lalu masuk ke dalam teksi itu.
Hamad tersenyum gembira. Dia berjaya memperdayakan budak lelaki itu. Setelah
pintu ditutup, Hamad memandu teksinya bergerak ke atas jalan raya yang sudah
tidak banyak kenderaan yang lalu di atasnya.
“Saya rasa kalau abang gunakan meter
takdelah mahal sampai macam tu sekali.” Budak lelaki itu bersuara.
“Tak, sekarang ni kau nak naik teksi
aku ni ke tak nak? Tak nak aku turunkan kau kat sini.” Hamad mengugut dengan
keadaan marah. Dia cukup tidak suka dengan pelanggan yang cuba untuk
mempersoalkan tindakannya.
“Okaylah okaylah. Cekik darah betul.”
Budak lelaki itu merungut marah. Hamad cuma diam sahaja. Padanya terpulanglah
kepada budak lelaki tersebut. Seandainya budak lelaki itu tidak bersetuju,
budak lelaki itu boleh sahaja tidak mahu menaiki teksinya. Hamad sengaja
meletakkan harga yang tinggi supaya dia boleh mendapat rezeki lebih malam itu.
Bukan dia seorang sahaja yang melakukan perbuatan sebegitu, ramai lagi pemandu
teksi yang lain pernah melakukan perkara yang sama.
Hamad memandu dengan tenang menuju ke
destinasi yang diingini oleh budak lelaki itu. Meternya sengaja tidak dipasang.
Memang betul kata budak lelaki itu. Jika dia memasang meter, sudah pasti harga
yang dipaparkan di meter lebih rendah dari harga yang ditawarkan dan sudah
pasti dia akan mendapat sedikit keuntungan pada malam itu. Untuk mendapat
untung lebih, dia sengaja mengambil kesempatan ke atas penumpang penumpang yang
terdesak untuk ke sesuatu destinasi bagai menahan lukah di pergentingan.
Dalam perjalanan untuk menuju ke
Kampung Baru itu, Hamad melihat seorang lelaki Arab menahan teksinya. Tanpa
melengahkan masa lagi, Hamad terus memberhentikan teksinya dihadapan lelaki
Arab itu tanpa melihat ke kiri atau ke kanan terlebih dahulu sehingga ada
kenderaan yang membunyikan hon kepada teksi Hamad memandangkan cara Hamad
memandu sangat merbahaya sehingga boleh meragut nyawa orang lain namun perkara
itu tidak diendahkan olehnya. Hamad terus menurunkan tingkat di tempat duduk
penumpang bahagian hadapan.
“Yes sir, where you want to go?”
Soal Hamad dalam Bahasa Inggeris. Dia sendiri tidak tahu sama ada grammarnya
betul ataupun tidak.
“Seri Menanti Hotel?” Jawab lelaki itu
dalam keadaan terhuyung hayang. Hamad dapat menghidu bau masam yang keluar dari
mulut lelaki itu. Tahulah Hamad bahawa lelaki Arab itu telah mabuk.
“RM50 sir!” Hamad meletakkan harga
kepada lelaki tersebut untuk sampai ke tempat yang ingin dituju oleh lelaki
tersebut.
“Okay.” Jawab lelaki itu yang sedang
memegang pintu teksi Hamad. Jika tidak ada teksi Hamad, mungkin lelaki itu
sudah meniarap atas laluan pejalan kaki itu. Mata lelaki itu tidak tahu sama
ada terbuka atau tertutup. Lelaki itu menjawab seperti hendak tidak hendak
sahaja kerana terlalu mabuk.
“Come in sir.” Hamad membukakan
pintu teksinya kepada lelaki Arab tersebut. Tanpa melengahkan masa lagi, lelaki
Arab tersebut terus merebahkan punggungnya di tempat duduk penumpang bahagian
hadapan. Dia menyerahkan RM50 kepada Hamad dan Hamad sudah tersenyum nakal.
Setelah memastikan pintu teksi telah
ditutup, Hamad menggerakkan keretanya untuk menuju ke destinasi. Budak lelaki
yang berada di belakang teksi Hamad yang berjenama Proton Saga itu hanya diam
sahaja tetapi lelaki Arab itu pula yang meracau entah apa apa. Dia asyik
bercakap dalam bahasa Arab yang Hamad tidak fahami. Tidak lama kemudian dia
mendiamkan diri kerana tertidur.
Setelah hampir 10 minit teksi Hamad
telah berada di atas jalan raya untuk menuju ke Kampung Baru, dia berhenti di
sebatang jalan yang kurang dilalui oleh kenderaan lain. Hamad melihat ke kiri
dan ke kanan terlebih dahulu sebelum melakukan apa yang telah terlintas di
fikirannya.
“Kenapa abang berhenti kat sini bang?”
Soal budak lelaki yang berada di bahagian belakang itu. Hamad tidak menjawab
pertanyaan budak lelaki itu. Dia terus membuka tali pinggang keledar yang
dipakainya lalu mengejutkan penumpang Arab yang duduk disebelahnya.
“Sir, we had arrive.” Kata
Hamad sambil menepuk badan lelaki Arab itu. Lelaki arab yang separuh sedar
tersebut lantas terbangun dan telah bercakap dalam bahasa yang tidak Hamad
fahami. Kemudian dia membuka pintu dan keluar dari teksi Hamad. Oleh kerana
terlalu mabuk, dia telah terjatuh dan termuntah di tepi jalan. Hamad yang gemar
menipu dalam berniaga itu lantas menutup pintu teksi tersebut dan meluncur
pergi meninggalkan lelaki Arab tersebut terbaring kemabukan di tepi jalan.
Budak lelaki yang duduk di bahagian tempat duduk belakang teksi Hamad itu
sekadar menggelengkan kepada melihat sikap Hamad.
“Kenapa abang tipu lelaki Arab tu?
Kita tak sampai lagi Hotel Seri Menanti tapi kenapa abang kata dah sampai?
Kenapa abang tinggalkan dia kat tepi jalan? Bukan ke dia bayar abang untuk
hantar dia pergi hotel dia? Kenapa abang buat dia macam tu?.” Budak lelaki itu
mula mempersoalkan tindakan Hamad tadi.
“Tsk.” Hamad tersenyum sinis. “Kita
nak hidup ni dik kena pandai. Jangan selalu jadi bodoh kalau tak memang kena
pijak la dengan orang. Kau ingat bagus ke bawa orang mabuk dalam teksi? Buatnya
dia muntah dalam teksi aku, siapa yang nak cuci? Engkau? Dah la susah nak pergi
Hotel Seri Menanti tu. Aku nak kena patah patah balik pula lepas hantar kau
nanti. Tak kuasa aku.” Balas Hamad sambil terus meluncur elok di atas jalan
raya untuk menghantar budak lelaki tersebut.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.