Tepat pukul lima petang, Hafizah segera mengemaskan buku buku pelajarnya
yang berselerak di atas meja kemudian memasukkannya ke dalam sebuah beg besar
berwarna hitam yang terletak di atas kerusi. Dia kemudiannya bergegas keluar
dari bilik guru dan menuju ke kereta. Setelah menghidupkan enjin kereta dan
menunggu selama beberapa minit, kereta kepunyaan Hafizah itu segera meluncur di
jalan raya untuk pulang ke rumah.
Sedang dia memandu itu, dia
mendengar alunan muzik yang dipancarkan dari corong radio. Terdengar muzik
muzik klasik sekitar tahun 50an dan 60an dari radion Klasikfm. Mendengar lagu
lagu klasik itu mengingatkannya kepada Razali – bapanya yang sedang berada di
rumah. Bapanya memang suka mendengar lagu lagu klasik sejak dahulu. Apabila
teringat tentang bapanya, tiba tiba kenangan ketika dia masih kanak kanak dan
remaja kembali menerjah kotak fikirannya.
Dia teringat lagi ketika dia
masih kecil, dia acapkali dimarahi oleh ibu bapanya sekiranya dia bergaduh
dengan adiknya, Norin. Ibu bapanya selalu membela Norin walaupun kadang kadang
Norin yang salah atas alasan dia sudah besar. Lebih parah lagi apabila bapa
atau ibunya akan percaya dengan tuduhan Norin terhadap dirinya sehingga dia
dimarahi dengan teruk oleh kedua dua orang tua itu.
Pernah satu ketika dia
bergaduh dengan Norin kerana Norin tidak mahu menghantar pinggan yang telah
digunakannya ke dapur. Jika dia tidak mendesak Norin untuk menghantar pinggan
itu, sudah pasti ibunya akan menyuruh dirinya untuk menghantar pinggan tersebut
ke dapur walaupun dia tidak menggunakan pinggan itu. Sebagai anak manja, Norin
tidak mahu mendengar kata katanya malah budak itu buat tidak tahu sahaja.
Kelakuan Norin itu mengundang kemarahannya lalu mereka bergaduh dan sudah pasti
dia yang menang kerana dia sudah besar. Apabila ibu mereka datang, Norin
membuat tuduhan dengan mengatakan bahawa dia mengetuk kepala Norin dengan
pinggan itu walhal sebenarnya tidak. Oleh kerana ibunya percaya dengan kata
kata Norin, tanpa usul periksa kepalanya pula diketuk oleh ibunya dengan
menggunakan pinggan tersebut. Norin menuduhnya kerana budak itu tidak puas hati
apabila kalah bergaduh dengan dirinya.
Walaupun perbuatan itu
dilakukan oleh Norin itu ketika budak itu masih kecil, namun dia tetap tidak
berpuas hati. Dia bukan tidak berpuas hati kepada Norin, tetapi kepada ibunya
yang gemar menyebelahkan Norin atas alasan Norin masih kecil dan dia sudah
besar. Dia yang sepatutnya mengalah kepada Norin walaupun budak itu yang salah.
Dia juga tidak berpuas hati kerana ibu selalu menghukumnya tanpa usul periksa.
Perasaan tidak puas hati itu semakin menebal apabila dia sudah meningkat dewasa
sebelum bertukar menjadi dendam kesumat sehingga ke hari ini.
Namun, itulah bukan punca
utama dia membenci kedua dua orang tua itu. Banyak lagi perbuatan kedua dua
orang tua itu yang dia tidak boleh terima. Mereka mendidiknya dengan kasar
sehingga dia tidak merasa kasih sayang daripada dua warga emas itu sebagai ibu
bapanya. Jika diceritakan satu persatu kesalahan dua orang tua itu, buku
setebal 500 muka surat pun belum tentu dapat menamatkannya. Kerana didikan
kasar dan berat sebelah kedua dua orang tua itulah yang menyebabkan dia menjadi
benci kepada mereka berdua.
Memang dia tahu bahawa
membenci ibu bapa menjadikannya seorang anak derhaka. Namun, sehingga kini
sukar dia mahu lupakan apa yang telah
mereka lakukan kepada dirinya. Dia sangat sedih kerana dikurniakan oleh Allah
dua orang tua itu sebagai ibu bapanya. Dia selalu berasa cemburu melihat orang
lain yang dapat menyayangi ibu bapa mereka sepenuh hati – tidak seperti
dirinya.
Kerana didikan kedua dua
orang tua itulah yang telah menyebabkan dia menjadi manusia yang penakut dan
introvert. Dia menjadi manusia yang sukar untuk bercampur dan berkomunikasi
dengan orang lain dengan sempurna. Kerana kelemahannya itu, menjadikannya sukar
untuk mendapatkan pekerjaan. Nasib baik kerjaya sebagai seorang guru ini
diminatinya. Jika tidak, sudah tentu nasibnya sama seperti bapa saudaranya yang
acapkali bertukar tukar kerja sehingga hidup melarat sampai ke hari ini.
Dia melepaskan keluhan berat.
Dia sendiri tidak tahu sampai bila dendam kesumat yang wujud dalam hatinya ini
terhadap kedua dua ibu bapanya itu boleh padam. Mungkin apabila melihat mereka
berdua menderita atau sengsara, baru hatinya puas. Tetapi masakan dia mahu
menyeksa orang tuanya sendiri semata mata untuk melihat mereka menderita. Dia
boleh dilaknat oleh Allah jika melakukan perbuatan itu. Namun, dia tidak boleh
menipu dirinya. Sampai bila pun dia akan benci kepada dua makhluk itu.
Setelah memandu selama 15
minit, dia sampai ke pintu pagar rumahnya. Dia segera keluar dari kereta untuk
membuka pintu pagar rumah tersebut. Setelah pintu pagar dibuka, dia masuk
semula ke dalam kereta dan memandu kereta itu masuk ke dalam kawasan rumah
serta memakirkan keretanya di dalam garaj. Sebelum masuk ke dalam rumah, dia
mengunci terlebih dahulu pintu pagar yang dibukanya tadi.
Dia meninjau-ninjau ke dalam
rumah untuk mencari tahu apa yang ibu dan ayahnya sedang buat di dalam rumah.
Terdengar suara dari peti televisyen berkumandang di dalam rumah itu.
“Assalamualaikum...” Dia
memberi salam tatkala kaki kanannya mencecah lantai rumah. Dilihatnya Fauziah
sedang makan kuaci yang dibelinya semalam sambil menonton televisyen. Dia juga
melihat kulit kulit kuaci bertaburan di
atas meja yang terletak di tengah tengah ruang tamu rumah itu.
“Waalaikumussalam. Dah balik
kau nak. Ayah kau tak ada. Dia keluar minum minum kat kedai. Dia kata rumah kau
takde kopi. Jadi dia pergi kedai sebab nak minum kopi.” Ujar Fauziah berbelit
belit. Dia memasukkan isi kuaci terakhir ke dalam mulutnya kemudian membuang
kulit kuaci tersebut di atas meja.
Melihat kulit kuaci bertaburan di atas
meja itu, hati Hafizah mendidih dengan serta merta. Lahar kemarahannya sudah
melonjak-lonjak ke kepala. Baru sehari ibunya tinggal di rumah, orang tua itu
sudah mula menyakitkan hatinya.
“Kenapa ibu buang kulit kuaci
tu kat atas meja?! Kenapa tak masuk dalam plastik?!” Hafizah bertanya dengan
nada marah. Namun cuba dikawal nada suaranya itu supaya tidak tinggi. Dia cuba bersabar
dan beristighfar di dalam hati.
“Ibu tak jumpa plastik nak
tampung kulit kulit kuaci ni. Takpe, nanti ibu kemas. Jangan risau ye. Kau
pergilah berehat. Ibu nak masak makan malam tadi tapi tak tahu nak masak apa.
Rumah kau ni banyak barang dapur yang tak ada.” Kata Fauziah tenang. Hafizah
melepaskan keluhan kasar. Kemudian kakinya melangkah ke dapur. Dia bersungut di
dalam hati.
Sampai sahaja di dapur, hatinya
semakin sakit dan geram. Pinggan dan cawan yang digunakan oleh dua orang tua
itu semasa makan tengah hari tadi tidak dibasuh. Dan sudah pasti dia tidak
biasa dengan keadaan itu. Lazimnya apabila dia pulang ke rumah pada waktu
petang, keadaan rumahnya sama seperti ketika dia pergi mengajar di sekolah pada
waktu pagi. Sekarang keadaan itu berbeza dan menyakitkan matanya.
Matanya tiba tiba tertancap
pada rak paling besar yang ada di dapur itu. Rak itu menyimpan barang barang
runcit yang kering seperti gula, minyak masak, garam, milo dan sebagainya. Dia
melihat begitu banyak barang barang yang dikeluarkan dari rak itu tidak disusun
dan dimasukkan semua ke dalam rak tersebut. Barang barang itu hanya diletakkan
di atas meja. Kemudian dia melihat tumpahan serbuk teh dan serbuk milo di atas
meja juga tidak dibersihkan. Hatinya benar benar mendidih pada waktu itu. Dia
sudah tidak boleh tahan lagi. Segera dihayunkan kakinya ke ruang tamu.
“Ibu, kenapa dapur tu macam
kapal pecah? Ibu dan ayah cari apa kat dapur tu? Harta karun?” Hafizah
menyindir. Mencerlang matanya memandang wajah tua ibunya yang sudah mencecah
usia 70 tahun itu.
“Oh...tadi ayah kau cari kopi.
Tapi tak jumpa. Tu yang dia pergi minum kopi kat kedai tu.” Fauziah menjawab.
“Habis tu tak reti kemas
balik? Biar je macam tu. Siapa nak kemas tu?” Hafizah bertanya dengan nada
kasar. Dia benar benar geram dengan kedua dua orang tua itu. Baru tinggal satu
hari di rumah, sudah tunggang langgang jadinya. Jika tinggal lagi seminggu,
silap silap hari bulan terbakar rumahnya.
“Kau tahu je la ayah kau tu.
Suka buat kerja cincai cincai. Dari muda sampai ke tua macam tu. Penat ibu nasihatkan
dia.” Fauziah membalas. Mendengar jawapan bena tak bena ibunya itu menambahkan
lagi rasa geram dan sakit di hatinya.
“Huh, menyusahkan orang betul
la orang tua tu!” Hafizah mendengus. Segera dia masuk ke dalam bilik tidur.
Dicampaknya beg tangannya ke atas katil lalu segera dia menuju ke dapur untuk
mengemas apa yang patut. Oleh kerana terlalu marah, tudung bawal yang terletak
elok di kepalanya pun tidak ditanggalkan. Mungkin kerana dia tidak sedar.
Hafizah segera mengambil kain lalu
mengelap tumpahan milo dan nescafe di atas meja. Kemudian dia menyusun kembali
barang barang dapur yang bersepah tadi ke dalam rak besar yang dibelinya dua
tahun lalu. Hatinya pula tidak putus putus melafazkan sumpah seranah kepada
ayah dan ibunya.
“Kau faham je la perangai
ayah kau tu. Dia orang tua. Janganlah kau ambil hati sangat dengan perangai
dia. Ibu pun kadang kadang geram juga dengan dia. Tapi nak buat macam mana. Dah
macam tu caranya. Ikut je la.” Kata Fauziah yang entah bila dia muncul di dapur
itu. Segera dia membuang kulit kuaci yang dimakannya tadi ke dalam tong sampah.
Kemudian di menuju ke arah Hafizah untuk membantu anaknya itu mengemas.
“Mari sini ibu tolong.”
Fauziah cuba untuk mengambil dua bungkusan gula yang terletak di atas meja itu
untuk disimpan di tempat yang sepatutnya namun tangannya ditepis oleh Hafizah
dengan kasar.
“Tak payah tolong la! Ibu
pergi duduk kat depan tu. Tak payah nak menyibuk kat sini. Ibu tu pun bukan
sihat sangat. Tolong tolong nanti sakit pula. Tak pasal pasal kena hantar
hospital.” Hafizah menyindir. Akibat sindiran Hafizah itu, Fauziah tidak jadi
untuk menolong. Hatinya terusik dengan kata kata Hafizah. Namun, dia cuba
bersabar. Dia memahami keadaan anak sulungnya.
“Ibu pergilah depan! Yang
tercegat kat sini macam berhala tu nak buat apa? Pergi depan sana!” Hafizah
separuh menjerit sambil menghentak hentak barang barang yang disimpannya tanda
kegeraman.
“Ibu bukan apa. Ibu nak tolong
kau masak. Malam ni kau masak apa?” Hampir gugur air mata Fauziah pada waktu
itu mengenangkan sikap kasar Hafizah terhadapnya. Namun, dia cuba menahan
dengan cara bertanya soalan kepada Hafizah.
“Tak payahlah nak tunjuk rajin
kat rumah ni. Masa muda dulu tak nak pula tunjuk rajin. Asyik suruh aku je buat
itu ini. Dah tua tua ni tunjuk rajin pula. Buang tebiat agaknya orang tua ni.
Tak payah nak tolong tolong bu. Saya tak masak hari ni. Beli kat kedai je
senang.” Jawab Hafizah acuh tak acuh. Mimik mukanya jelas dia tidak suka akan
kehadiran Fauziah di situ. Fauziah cuba bersabar. Dia tidak sampai hati untuk
memarahi Hafizah. Dia tahu, semakin dia marah pada Hafizah, semakin benci
Hafizah kepada dirinya.
“Kan membazir beli kat kedai
selalu. Buang duit je. Baik kita masak. Lagipun masakan kat kedai tu bukannya
bersih sangat.” Fauziah berkata. Dia bersungguh sungguh mahu menolong Hafizah
memasak kerana dengan cara itu, dia boleh bermesra dengan Hafizah. Bukan mudah
mahu bermesra dengan anak sulungnya itu lebih lebih lagi Hafizah selalu sibuk
dengan kerja kerja di sekolah.
“Yang terbuang duit saya,
bukan duit ibu! Kalau duit ibu, ibu boleh cakap banyak. Ini duit saya. Ibu nak
makan, ibu makan. Tak nak makan, ibu tengok je.” Balas Fauziah sambil
meletakkan sebungkus bawang besar ke dalam rak itu. Kemudian dia berlalu ke
biliknya untuk mengambil tuala mandi dan meninggalkan Fauziah yang
termanggu-manggu di dapur.
Fauziah bungkam sahaja di
situ buat beberapa ketika. Kemudian segera dia menuju ke ruang tamu dan duduk
di salah sebuah sofa yang ada di situ. Diperhatikan peti televisyen yang sedang
menayangkan sebuah drama Cina. Tanpa dapat ditahan tahan lagi, air matanya
merembes keluar. Dia benar benar sedih mengenangkan sikap kasar Hafizah
terhadapnya.
Dia sendiri tidak tahu apakah
dia yang bersalah mendidik Hafizah dan anak anaknya yang lain? Adakah cara
didikannya itu salah sehingga mewujudkan rasa benci anak anak terhadapnya? Pada
fikirannya, dia mendidik anak anaknya itu semata mata untuk mendisiplinkan
mereka. Untuk menjadikan mereka manusia yang boleh menyumbang jasa kepada
agama, bangsa dan negara. Dia tahu bahawa apa yang telah dia lakukan kepada
anak anaknya itu sepanjang mereka membesar adalah untuk menjadikan diri mereka
sebagai seorang manusia yang berguna. Dia tahu bahawa dia telah bertindak
dengan betul cuma anak anaknya sahaja yang tidak boleh terima.
Dia yakin yang anak anaknya
telah salah faham. Dia yakin itu. Dia cuba menerangkan tentang perkara itu
beberapa kali tetapi tidak diterima oleh anak anaknya. Dia tidak tahu sampai
bila mereka akan terus berdendam dengan dirinya.
Tiba tiba dia melihat
suaminya muncul di muka pintu utama rumah itu. Ditangan suaminya terdapat
sebungkus pisang goreng dan sebungkus keropok lekor. Razali meletakkan
bungkusan pisang goreng dan keropok lekor itu dihadapannya sambil duduk di
sebelahnya.
“Tadi masa saya minum kat
warung depan tu, saya cuba la pisang goreng dengan keropok lekor ni. Sedap pula
rasanya. Tu yang saya beli tu. Awak rasalah. Sedap...” Kata Razali. Dia
memerhatikan wajah isteri yang berada disebelahnya. Terdapat riak keruh pada
wajah itu.
“Kenapa macam sedih je ni?
Awak sakit ke?” Soal Razali dengan nada risau. Diletakkan belakang tapak
tangannya di dahi Fauziah. Tidak ada tanda tanda yang isterinya demam kerana
badan isterinya tidak panas.
“Tak demam pun. Awak kenapa ni
Fauziah? Awak rindu Hafreez ke? Apa yang tak kena? Cuba cerita dengan saya.”
Razali menyoal bertalu talu. Dia sangat risau jika isterinya sakit.
“Takde apa apa bang. Saya okey
je. Awak jangan la risau sangat.” Fauziah menjawab sambil mengukir senyuman
paksa untuk suaminya.
“Awak ingat saya ni baru kenal
awak baru sehari dua? Tak payah la awak nak bohong dengan saya. Saya dah lama
kahwin dengan awak. Saya tengok muka awak tu pun saya tahu mesti ada yang tak
kena. Terus terang je la.” Razali mendesak. Dia tahu isterinya berbohong. Dia
sudah kenal amat dengan tingkah laku dan gerak geri isterinya. Fauziah memejamkan
mata dan melepaskan nafas berat. Dia merasakan seperti ada batu besar yang
bersarang di dadanya.
“Saya sedih bang. Hafizah
cakap kasar dengan saya tadi. Saya tak sangka Hafizah cakap macam tu dengan
saya.” Fauziah mengadu. Air matanya sudah mula bertakung semula di kelopak
mata.
“Apa yang dia cakap?! Cuba
awak cerita dengan saya. Nak kena budak ni. Dasar manusia tak mengenang budi!
Dengan mak sendiri pun nak kurang ajar!” Razali mula naik berang apabila
mendengar cerita isterinya. Mahu sahaja dia mencari Hafizah sekarang dan
melempang muka perempuan itu sekuat kuat hatinya seperti mana yang pernah dia
lakukan ketika Hafizah masih kecil dan masih remaja dahulu.
“Dia marah sebab kita sepah-sepahkan
dapur dia. Tapi awak janganlah marah dia. Cakaplah elok elok dengan dia. Kalau
awak marah dia, makin benci dia dengan kita.” Ujar Fauziah. Disekanya air mata
yang sudah mula tumpah semula di pipi. Dia cuba menahan tangisannya sebaik
mungkin.
“Lantaklah dia nak marah ke nak benci
ke. Saya peduli apa! Awak tu mak dia. Dia kena hormat awak. Apa nak jadi dengan
budak ni. Menyesal aku hantar belajar sampai masuk universiti. Bodoh tetap
macam tu juga!” Razali menghamburkan kemarahannya. Hatinya meluap-luap marah
kepada Hafizah. Tidak sepatutnya Hafizah bercakap kasar dengan Fauziah kerana
Fauziah adalah ibu kandungnya. Wanita yang telah melahirkannya dan telah
membesarkan dirinya.
“Sudahlah tu bang. Makin kita
marah dia, makin buruk jadinya. Saya dah maafkan dia. Saya tahu dia tak
sengaja. Awak tak payah la marah dia.” Fauziah cuba menenangkan keadaan. Dia
tidak mahu keadaan yang lebih buruk berlaku. Jika Razali mula memarahi Hafizah,
alamatnya akan berlaku ‘perang besar’ di rumah itu tidak lama lagi.
“Awak jangan cakap banyak.
Tahulah macam mana saya nak ajar dia. Anak tak reti kenang jasa. Tampar muka tu
baru tahu. Kurang ajar! Awaklah bagi lemak banyak sangat. Tengok apa yang dia
dah buat dekat awak.” Razali mula membebel. Fauziah diam cuma namun dia tetap sedih
atas apa yang diucapkan oleh Hafizah terhadapnya tadi. Sebagai ibu dan orang
tua, dia memang terasa dengan kata kata Hafizah cuma dia tidak mahu keadaan
bertambah keruh jika Razali mula bersuara. Suaminya itu jika berkata kata
memang tidak ingat dunia dan tidak kira siapa. Dia semakin takut keadaan akan
kembali seperti sedia kala.
Dan dia cuba berdoa supaya keadaan baik baik sahaja....
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.