Hafizah pulang seperti biasa pada hari itu. Walaupun hatinya masih marah
dan geram dengan kejadian semalam, tetapi dia cuba juga untuk berbaik baik
dengan ibu bapanya. Dia cuba juga untuk bercakap dengan cara yang baik dengan
kedua dua orang tua itu yang sudah pun mencecah usia 80 tahun. Dia berasa tidak
wajar dia mencari gaduh dengan ibu bapanya sendiri. Usianya sudah pun mencecah
52 tahun. Esok lusa mungkin dia pun akan pergi menghadap Ilahi. Jika dia
bersikap kurang ajar dengan ibu bapa, pasti Allah murka dengan dirinya. Apabila
Allah murka, maka nerakalah tempatnya di akhirat nanti.
Maka, pada hari itu dia cuba
mempamerkan sikap yang baik dengan kedua dua orang tua itu. Dia sudah memohon
maaf kapada ibunya pagi tadi dan ibunya telah pun memaafkan sambil menjuraikan
air mata. Dia juga sudah memohon maaf dengan bapanya, namun disambut dengan
dingin sahaja. Biarlah, dia sudah pun memohon keampunan dan kemaafan. Jika
mereka tidak mahu memaafkan, terpulanglah kepada mereka.
“Assalamualaikum...” Ucap Hafizah
sambil masuk ke dalam rumah. Seperti biasa, dia melihat ibunya sedang tercokol
di hadapan teelvisyen. Itulah rutin harian Fauziah sejak dia bersara. Menonton
televisyen adalah satu cara bagaimana dia mahu menghilangkan kebosanan dan cara
dia menghabiskan hari hari tuanya. Pelbagai drama yang ditontonnya bagi
menghilangkan kebosanan tidak kira drama itu datang dari negara mana sama ada
Indonesia, Filipina, Thailand apatah lagi dari Malaysia. Pendek kata, apa
sahaja drama yang ditayangkan di televisyen itu, ditontonnya dengan penuh
khusyuk.
“Waalaikumussalam...dah balik kau
Hafizah.” Sapa Fauziah dengan senyuman. Dia memandang anak sulungnya itu menuju
ke arahnya untuk bersalam. Semalam dia benar benar marah dengan Hafizah. Namun,
setelah Hafizah memohon kemaafannya pagi tadi, dia telah pun memaafkan dan
melupakan perbuatan Hafizah terhadapnya. Yalah, ibu mana di dunia ini yang
tidak mahu mengampunkan kesalahan anak?
“Ayah mana bu?” Soal Hafizah
sambil duduk di salah satu sofa yang berada di ruang tamu itu untuk
menghilangkan lelah.
“Ayah kau macam biasalah, borak
borak kosong kat warung depan rumah kau
ni dengan kawan kawan dia.” Fauziah menjawab.
“Cepatnya dia dapat kawan. Mana
dia jumpa kawan kawan dia tu?” Hafizah bertanya lagi.
“Ayah kau kan kaki masjid. Kawan
kawan masjid la tu agaknya.” Jawab Fauziah. “Hmm, kau beli apa tu?” Fauziah
memuncungkan mulutnya tanda menunjuk bungkusan plastik yang berada di tangan
Hafizah.
“Lauk untuk makan malam ni. Sedap
bu lauk lauk ni. Saya selalu makan. Nasi tengah hari tadi masih ada lagi kan?” Hafizah
menyoal.
“Ada, tadi ibu sorang je makan
tengah hari tadi kat rumah. Ayah kau makan kat kedai.” Fauziah menjawab.
“Kenapa ayah makan kat kedai? Kan
saya dah masak pagi tadi untuk ayah dan ibu makan tengah hari.” Hafizah menjadi
bingung dengan jawapan ibunya.
“Ayah kau kata kau masak tak
sedap. Sebab tu dia makan kat kedai.” Fauziah menjawab dengan jujur. Memang
Hafizah tidak pandai memasak dan sudah pasti masakannya tidak sedap. Oleh
kerana menghargai penat lelah Hafizah bangun pada waktu pagi untuk memasak, dia
makan juga apa yang Hafizah masak. Dia khuatir Hafizah berkecil hati pula jika
dia tidak menjamah sedikit apa yang Hafizah masak.
Hafizah agak sentap dengan kata
kata Fauziah. Namun, dia cuba berlagak tenang. Ibu dan bapanya memang kuat
mengkritik dan menghina. Sejak kecil lagi, dia sudah biasa dihina oleh mereka
berdua. Jadi, apabila dihina pada masa sekarang, walaupun pahit untuk menerima
penghinaan itu, namun ditelannya dengan lapang dada dan fikiran terbuka.
“Takpelah kalau macam tu. Saya
masuk dulu. Nak mandi dan nak tukar baju.” Kata Hafizah. Fauziah sekadar
mengangguk dan kemudian perhatiannya kembali ke peti televisyen yang sedang
menayangkan sebuah drama Tamil yang entah apa judulnya.
Hafizah bergerak ke dapur. Dia
meletakkan bungkusan lauk yang dibelinya tadi untuk ke bawah tudung salji.
Kemudian dia bergerak ke periuk nasi untuk memanaskan nasi yang dimasaknya pagi
tadi untuk makan tengah hari ibu dan ayahnya. Dia sengaja masak nasi itu dengan
kuantiti yang banyak supaya mereka boleh makan sampai ke malam. Apabila dibuka
sahaja periuk nasi itu, satu bau yang tidak enak keluar secara tiba tiba. Dia
melihat satu lubang yang agak besar dan bulat ada di tengah tengah nasi yang
berada di dalam periuk itu.
Dia mendekatkan nasi itu ke
hidungnya. Ya, nasi itu sudah basi. Dia yakin yang ibunya tidak menggunakan
senduk semasa mengambil nasi itu. Bagi mendapatkan kepastian, dia bergerak ke
sinki. Dia melihat pinggan ibunya makan tengah hari tadi tidak dibasuh tetapi
senduk untuk mengambil nasi tidak ada di dalam sinki. Memang sah ibunya
mengambil nasi itu tanpa menggunakan senduk sebaliknya menggunakan tangan. Dia
melihat senduk nasi yang sepatutnya digunakan terletak elok di atas rak. Dia tahu ibunya yang melakukan perbuatan itu
kerana menurut ibunya, hanya dia sahaja yang makan tengah hari tadi. Hafizah lantas
membawa periuk yang mengandungi nasi basi itu ke ruang tamu.
“Ibu, tadi ibu ambil nasi ni
pakai tangan ea?” Soal Hafizah. Dia cuba mengawal nada suaranya supaya tidak
kelihatan marah namun sebenarnya kemarahan sudah mencanak canak di dalam hati.
“Haah, ibu cari senduk tapi tak
jumpa jadi ibu pakai tanganlah. Kenapa?”
“Nasi ni basi...” Hafizah
menunjukkan nasi basi itu kepada Fauziah.
“Oh...maafkan ibu...” Kata
Fauziah dengan rasa bersalah. Hanya itu sahaja yang keluar dari mulut Fauziah
kemudian dia menyambung semula menonton televisyen. Bukan dia sengaja tidak
mahu mengambil nasi itu dengan menggunakan senduk, tetapi dia tidak menjumpai
senduk nasi itu. Sepatutnya Hafizah meletakkan senduk nasi itu di atas periuk
tetapi itu tidak dilakukan. Memandangkan dia sudah lapar tengah hari tadi, dia
hanya mengambil nasi itu menggunakan tangan. Setahunya nasi yang diambil
menggunakan tangan tidak akan basi secepat itu, tetapi entahlah...mungkin
Hafizah tidak membasuh beras itu dengan betul sebelum menanak nasi.
Hafizah benar benar sebal dengan
sikap ibunya. Dia menyumpah-nyumpah wanita tua itu di dalam hati. Sudahlah
membuat nasi yang banyak itu menjadi basi, kemudian buat tidak tahu sahaja.
Sakit hatinya tidak terkata pada waktu itu. Mahu sahaja dia menghamburkan kata
kata makian kepada wanita tua itu namun cuba ditahankan. Dia tidak mahu kejadian
semalam berulang lagi.
Hafizah
kembali semula ke dapur dan menghumban nasi yang banyak itu ke dalam tong
sampah. Hatinya sangat sakit dan geram. Mahu sahaja dibalingnya periuk nasi itu
ke muka ibunya namun dia cuba bersabar. Dia beristighfar beberapa kali. Dia
marah kerana nasi itu masih banyak lagi dan jika ibunya tidak cuai, pasti nasi
itu boleh dimakan dan dia tidak perlu lagi menanak nasi pada malam itu.
Hafizah menuju ke tong beras. Dimasukkan tiga cawan
beras ke dalam periuk. Kemudian dia bergerak ke sinki untuk membersihkan beras
tersebut. Dia mengacau beras itu beberapa kali kemudian membuang air
basuhannya. Tiba tiba Fauziah muncul di dapur. Dia segera mendapatkan Hafizah.
“Maafkan ibu nak...takpe, mari ibu basuhkan beras
tu. Kau pergilah mandi. Kau penat kan?” Fauziah menawarkan bantuan.
“Eh takpe bu. Saya boleh buat. Ibu pergi la rehat
ruang tamu. Takpe, sikit je ni.” Hafizah menghalang. Dia mengukir sebuah
senyuman manis tetapi palsu buat ibunya. Hatinya yang sakit pada waktu itu tidak
henti henti menyumpahseranah orang tua itu.
“Ibu minta maaf sekali lagi. Ibu bukan sengaja. Ibu
tak jumpa senduk nasi tadi.” Fauziah memohon maaf sekali lagi. Rasa bersalah
mula menyelubungi hatinya.
“Takpe bu, saya tahu ibu tak sengaja. Lagipun salah
saya sebab tak letak senduk kat atas periuk tu untuk memudahkan ibu.” Ujar
Hafizah. Dia menyambung semula membasuh beras itu.
“Betul kau tak nak ibu tolong ni?” Fauziah bertanya
untuk meminta kepastian. Dia tahu yang Hafizah marah atas kejadian itu namun
anaknya itu cuba berlagak tenang dihadapannya.
“Takpe bu...ibu pergilah depan. Dah nak siap pun
ni.” Kata Hafizah kemudian terus membawa periuk nasi itu ke atas dapur untuk
ditanak. Sesudah itu, dia terus menuju ke bilik meninggalkan Fauziah yang terkulat
kulat di dapur.
......................................................................................................................
Hanya Fauziah dan Hafizah sahaja yang
menikmati makan malam di rumah pada malam itu. Razali tidak turut serta kerana
dia mahu makan di kedai sahaja selepas solat Isyak. Hafizah tahu Razali sengaja
tidak mahu makan malam di rumah kerana masih marah dengan kejadian pada malam
semalam. Cuma orang tua itu tidak mahu tunjuk sahaja yang dia sedang marah. Merajuk
la tu. Dah nak mampus pun masih merajuk lagi. Getus hati Hafizah.
“Betul cakap kau Hafizah, sedap betul lauk yang kau
beli ni.” Kata Fauziah sambil mengambil lauk ayam masak halia itu dengan
menggunakan tangannya yang dilekati dengan nasi padahal ada sahaja sudu di
dalam mangkuk yang mengandungi ayam masak halia itu. Geli geleman Hafizah
memandang cara ibunya makan. Macam budak kecil. Kutuk Hafizah di
dalam hati.
“Kau janganlah ambil hati dengan sikap ayah kau tu.
Dia memang macam tu. Kalau marah kat seseorang, makan makanan orang tu beli pun
dia tak nak.” Kata Fauziah lagi sambil menghirup kuah tom yam yang masam masam
pedas itu. Kemudian dia mengambil isi tom yam seperti ayam, daging, sotong,
udang dan sayur kobis itu menggunakan tangannya yang dilekati dengan nasi.
Hafizah tidak menjawab atau membalas. Dia sekadar
memerhati sahaja cara ibunya makan. Kembang tekaknya pada waktu itu. Dia tidak
tahu mengapa ibunya boleh jadi begitu sejak akhir akhir ini. Dahulu ketika dia masih
kecil, ibunya selalu mengajarnya supaya mengambil lauk dengan menggunakan sudu
untuk menghormati orang yang makan bersama kita. Entah mengapa, bila ibunya
sudah tua, ibunya sendiri yang lupa apa yang telah dia ajar kepada Hafizah
suatu ketika dahulu.
“Kau ni bila nak kahwin Hafizah? Umur kau dah 52
tahun tahu? Kau tak rasa nak berlaki ke?” Soal Fauziah sambil memandang ke arah
Hafizah.
“Dah tak ada jodoh bu. Nak buat macam mana.” Balas
Hafizah acuh tidak acuh. Selera makannya tiba tiba mati melihat cara ibunya
makan. Tambah mati apabila ibunya bercakap soal jodoh pada waktu itu.
“Bukan tak ada jodoh. Ibu yakin jodoh tu ada cuma
kau je yang tak pandai cari. Dulu aku suruh kahwin dengan Jamal anak Haji
Hussein tu kau tak nak. Kau kata gemuk sangat la, apa la, sekarang kau tengok.
Budak tu dah bahagia dah dengan tiga anak dia. Kau? Sampai sekarang jadi
andartu!” Hentam Fauziah. Dia berasa mahu menambah nasi lagi. Segera dia
mengambil nasi yang ada di dalam periuk itu dengan menggunakan tangan yang
belum lagi dibasuh.
“Ibu! Ambillah nasi tu guna senduk! Jangan guna
tangan...basi la nasi tu!” Hafizah mula meninggikan suara. Kemarahannya tiba
tiba memuncak pada waktu itu.
“Opps, maaf. Ibu lupa la. Ibu dah terbiasa. Maafkan
ibu ye nak. Hehehe.” Fauziah tersengih sengih sambil meletakkan nasi yang
diambilnya dari dalam periuk itu ke dalam pinggan. Kemudian dia menuangkan kuah
tom yam ke atas nasi itu. Tidak cukup dengan itu, dia mencekau lagi telur
bungkus itu dengan menggunakan tangan walaupun sudu ada di dalam pinggan
tersebut.
“Ibu, kenapa ibu ambil lauk tu dengan tangan? Kan
ada sudu tu.” Soal Hafizah kegeraman. Kenapa perempuan tua ni pengotor
sangat? Hafizah bertanya di dalam hati.
“Ala...apa salahnya. Ibu ni mak kau juga. Takkan
geli dengan tangan mak sendiri. Dulu kecil kecil mak suap nasi kat mulut kau,
kau okey je. Kenapa dah besar geli pula?” Fauziah membalas.
“Ini bukan soal geli ke tidak tetapi ini soal sopan
santun. Kan saya ada ni. Kalau ibu nak makan macam tu, ibu makan sorang sorang
boleh. Kalau ada saya, ibu kena makan macam yang sepatutnya. Ibu tak boleh guna
tabiat tu. Nanti kalau datang kenduri rumah orang, ibu buat perangai macam tu,
tak ke memalukan.” Ujar Hafizah.
“Ala...sekarang ni bukan kat rumah orang pun. Kat
rumah kau. Takpelah ibu makan macam ni. Leceh la pakai sudu nak ambil lauk.
Takpe, kat rumah orang nanti ibu ambil lauk guna sudu ye.” Fauziah menyambung
semula menikmati makan malam itu. Hafizah melepaskan keluhan berat memandang
ibunya. Dia benar benar sudah tidak tahan lagi menghadap orang tua itu. Aku
marah nanti, aku yang berdosa. Tak marah...dia pijak kepala. Haih, tak tahulah
nak cakap apa. Bisik Hafizah di dalam hati.
Oleh kerana tidak mahu melakukan dosa memarahi orang
tua sendiri, Hafizah bergerak ke sinki. Dia membasuh pinggannya dan mangkuk
mangkuk yang telah digunakan. Pandangannya teralih memandang ibunya makan. Nasi
yang berada di pinggan ibunya sudah melambak lambak di atas meja itu kerana
tertumpah. Tanpa membasuh tangan, ibunya mencapai bekas yang mengandungi air
masak lalu menuangkan air tersebut ke dalam gelas kemudian dia meneguk air itu
dengan rakus. Sisa sisa kuah sudah melekat pada bekas air masak itu. Hafizah
sekadar menggelengkan kepala. Dia tidak tahu bagaimana ibunya boleh bertukar
menjadi pengotor sebegitu.
“Sikit kau makan hari ni. Mari sini ibu tolong kau
basuh pinggan tu.” Fauziah menawarkan bantuan. Dia meletakkan pinggan dan
mangkuk yang baru digunakan ke dalam sinki.
“Takpe takpe bu. Ibu basuh je tangan pastu ibu pergi
depan. Saya boleh buat semua ni.” Balas Fauziah sambil tangannya rancak
membasuh pinggan dan mangkuk yang ada di dalam sinki itu.
“Betul ni? Kalau macam tu takpelah, ibu gi depan
dulu ye.” Pinta Fauziah.
“Okey.” Pendek sahaja jawapan Hafizah sambil
mengukir sebuah senyuman palsu. Dalam hati hanya dia sahaja yang tahu betapa
sakit hatinya pada waktu itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.