Isnin, 6 Jun 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 1



 

         Fauziah melontarkan pandangannya ke luar jendela. Matahari pagi baru sahaja muncul di ufuk timur. Matanya tiba tiba diliarkan ke jam bulat yang terletak di dinding rumah tersebut. Jam menunjukkan pukul 7.15 pagi. Kemudian dia melontarkan semula pandangannya ke luar jendela. Sebatang jalan yang terletak di hadapan rumah itu masih lengang lagi. Sesekali kelihatan beberapa buah kereta melalui jalan itu. Kemungkinan pemandu kereta tersebut mahu menghantar anak mereka ke sekolah ataupun mereka mahu bergegas pergi ke pejabat.

       Tiba tiba mindanya teringat akan ketiga tiga orang anaknya yang sudah agak lama tidak menjenguknya di rumah itu. Dia menjadi pilu dan sedih dengan sikap anak anaknya. Mereka seolah olah membenci dan berdendam dengannya. Mereka cuba menjauhi dirinya dengan membiarkan dirinya dan suaminya tinggal di rumah Hafreez – anak angkatnya yang diambilnya ketika anak itu berusia 13 tahun. Mujur ada Hafreez dan isteri yang sudi menjaga dirinya yang sudah tua itu. Jika tidak ada Hafreez, mungkin dia sudah dihantar ke rumah orang tua tua ataupun ditinggalkan di tepi jalan seperti mana yang biasa dia tonton di kaca televisyen dan di dada dada akhbar.

         Dia tahu bahawa ketiga tiga anaknya memang memasang dendam terhadapnya. Ini semua berpunca daripada layanannya dan suami yang teruk terhadap anak anak sewaktu mereka kecil dahulu. Namun, itu semua dia lakukan kerana dia mahu mendidik anak anaknya untuk menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara. Tetapi, niat yang murni itu telah disalahertikan oleh anak anaknya. Anak anaknya yang tiga orang itu beranggapan dia cuba mengawal dan mendera mereka.

         “Ibu, mari kita makan.” Lembut suara Hafreez memanggilnya. Serta merta lamunannya terpancung. Dia menoleh ke arah Hafreez yang berada di belakang. Lelaki kacak itu sedang tersenyum memandang dirinya.

        “Ibu menung apa tu? Ayah dah tunggu kat meja makan. Mari kita makan bu. Kesian ayah. Lapar dia.” Lembut sungguh suara Hafreez memanggil dirinya. Lelaki kacak itu kemudian menghampiri dirinya. Dia memapah Fauziah yang sudah tidak berapa larat mahu berjalan itu turun ke tingkat bawah untuk menikmati sarapan yang disediakan oleh isteri Hafreez.


       Hafreez memang anak yang baik dan soleh. Sebenarnya Hafreez adalah anak jirannya di kampung dahulu. Ketika Hafreez berada di tingkatan satu, rumahnya terbakar. Semua ahli keluarganya mati termasuk ibu bapanya. Oleh kerana Fauziah kasihankan Hafreez, dia dan Razali mengambil Hafreez menjadi anak angkat mereka. Mereka membesarkan Hafreez seperti anak sendiri.

       Sebagai seorang anak angkat, Hafreez memang tahu membalas budi. Walaupun Fauziah dan Razali bukanlah ibu bapa kandungnya, namun dia tetap menghormati ibu bapa angkatnya itu seperti mana dia menghormati ibu bapa kandungnya. Dan dia memang sayang akan mereka berdua. Sebab itulah dia meminta mereka berdua untuk tinggal bersamanya di Kuala Lumpur. Dia tidak sanggup melihat ibu bapa angkatnya itu tinggal di kampung berdua sahaja. 
       
           Sampai sahaja di meja makan, Hafreez menarik kerusi bagi membolehkan Fauziah duduk. Razali yang kelaparan sudah menikmati mihun goreng yang dimasak oleh isteri Hafreez – Haliza. Haliza yang  yang sudah berada di meja makan sedang melayan kerenah anak tunggal mereka – Hazim yang baru berusia tiga tahun itu menikmati sarapan.

        Hafreez menyendukkan mihun goreng yang masih panas itu ke dalam pinggan Fauziah. Aroma mihun goreng yang dimasak oleh Haliza itu sungguh memikat selera. Tidak dinafikan, Haliza memang pandai memasak. Wanita itu bukan sahaja cantik dan solehah, malah pandai pula menguruskan rumah tangga. Sesungguhnya Haliza memang sesuai untuk menjadi isteri Hafreez. Mereka bagai pinang dibelah dua. Sama cantik dan sama padan.    

       “Terima kasih Hafreez.” Ucap Fauziah sambil tersenyum.

       “Ibu makan ye. Kalau nak tambah lagi cakap je, nanti saya tambahkan.” Hafreez membalas senyuman Fauziah tadi dan dia mula menyendukkan mihun ke dalam pinggannya. Fauziah pula mula menyuapkan mihun goreng itu ke dalam mulutnya dengan menggunakan garfu yang disediakan sambil memerhatikan suaminya dengan ekor mata. Dia tersenyum memandang suaminya yang agak panas baran itu menikmati juadah pagi yang disediakan.   

        “Lajunya awak makan. Tak tunggu saya pun.” Fauziah menegur suaminya yang sedang ralit menikmati mihun goreng.

       “Awak lambat sangat. Saya tengah lapar. Saya makan dulu la.” Ujar Razali acuh tak acuh. Fauziah dan Hafreez tersenyum memandang Razali. Razali memang begitu sejak muda. Dia akan bersarapan tepat pada waktunya. Dia tidak suka dengan orang yang lambat. Dia memang sangat menghargai masa kerana baginya, masa itu emas.

       “Hafreez, ibu nak cakap sikit boleh?” Fauziah memandang Hafreez yang baru hendak menyuapkan mihun goreng ke dalam mulut. “Nak cakap apa bu? Cakaplah.” Hafreez memandang Fauziah.
       
           “Kalau kau tak keberatan, ibu ingat ibu nak duduk rumah  kak long seminggu dua.” Fauziah menjawab tenang. Tersedak Razali mendengar kata kata isterinya. Terbatuk batuk orang tua itu. Segera dia mencapai teh suam yang dibancuh oleh Haliza tadi untuk menghilangkan makanan yang tersekat di kerongkongnya. Hafreez dan Haliza juga terkejut mendengar kata kata Fauziah. Mereka berpandangan sesama sendiri.

         “Kenapa ibu nak pergi rumah kak long? Rumah Hafreez ni tak best ke ibu? Ibu ada yang tak cukup ke? Kalau ada yang tak cukup atau ada yang tak selesa, ibu cakap je. Nanti Hafreez dengan Haliza akan ikhtiarkan.” Hafreez merenung wajah ibu angkatnya untuk mencari jawapan.

         “Bukan macam tu Hafreez. Ibu memang selesa duduk rumah ni. Ibu suka sangat. Takde apa yang kurang bila ibu duduk kat sini. Tapi...itulah. Ibu rindu sangat dekat kak long. Lama ibu tak jumpa dia. Lagipun ibu tak pernah tidur rumah dia walaupun sekali. Ibu ingat ibu nak beralih angin pula. Nak duduk rumah  kak long seminggu dua. Lepas tu ibu balik semua ke sini.” Balas Fauziah. Hafreez mendengar dengan tekun.   

         “Kenapa awak nak susahkan diri? Awak tahukan yang si Hafizah tu tak suka kita? Kenapa nak duduk rumah dia pula? Rumah ni dah cukup bagus dah untuk kita. Tak payah nak mengada-ngada nak duduk sana sini. Duduk saja kat rumah ni. Awak tu pun bukan sihat sangat nak bergerak ke sana ke mari.” Razali membangkang cadangan Fauziah.

          “Tapi bang saya rindu sangat dekat along. Dah lama saya jumpa dia. Salah ke saya nak jumpa dengan anak saya.” Fauziah membalas.
    
          “Memanglah tak salah. Saya tak cakap salah pun. Tapi awak tahukan budak tu macam mana? Nanti kita susahkan dia je.” Razali merengus.

       “Kalau awak tak nak ikut takpe. Biar saya sorang je yang pergi. Hafreez, nanti Hafreez hantar ibu ke rumah kak long ye nak.” Fauziah memujuk Hafreez.

       “Kau jangan dengar cakap ibu kau ni Hafreez. Dia melawak je tu. Dah buang tebiat agaknya.” Kata Razali. Dia tidak senang dengan cadangan Fauziah itu. Baginya permintaan Fauziah itu terlalu melebih. Untuk apa Fauziah harus ke rumah anak anak mereka yang lain sedangkan dia sudah pun mendapat layanan yang baik di rumah Hafreez.  

      “Abang, ini bukan perkara lawak tau. Sampai bila kita nak jauhkan diri kita daripada mereka? Sampai bila awak nak biarkan anak anak berdendam dengan kita? Bang, kita ni dah tua bang. Esok lusa kita akan pergi. Takkan awak nak mati nanti dalam keadaan anak anak awak benci awak? Abang, kita kena buat sesuatu supaya diaorang sayang kita semula macam dulu dulu.” Fauziah melontarkan isi hatinya.

         “Diaorang nak benci kita atau nak suka kita itu hak diaorang. Kalau diaorang benci kita, diaorang yang berdosa. Kita ni ibu bapa, diaorang tu anak anak. Sepatutnya diaorang yang kena jenguk kita, bukan kita yang jenguk diaorang.”  Razali membidas.

       “Abang, awak tu dah tua. Tolonglah buang ego tu sikit. Sampai bila kita nak ego dengan anak anak? Tolonglah, untuk sekali ni, tolonglah buang ego awak tu demi anak anak dan kehidupan kita. Mereka anak anak kita juga. Bukan orang lain. Saya tak nak mati dalam keadaan anak anak saya benci saya.” Ujar Fauziah. Ada riak sedih dalam nada suaranya.

         Hafreez dan Haliza sekadar memandang sahaja kedua dua orang tua itu bergaduh. Mereka tidak mampu untuk melarang. Hazim yang masih kecil dan tidak tahu apa apa itu terkebil kebil memandang datuk dan neneknya bertengkar pada pagi itu. 

        “Suka hati awaklah apa awak nak buat. Jadi apa apa nanti jangan salahkan saya. Tanggung sendiri.” Razali malas mahu bertengkar dengan isterinya pagi pagi sebegitu. Dia menikmati semula mihun goreng yang masih berbaki di pinggannya.

      Hafreez dan Haliza mula berasa tidak sedap hati. Mereka faham yang Fauziah sangat rindukan anak anaknya namun anak anaknya pula yang tidak mahu melayan ibu bapa mereka sendiri. Akibat perasaan dendam dan salah faham, mereka menghukum ibubapa mereka sebegitu rupa.

       Memang tidak sepatutnya dua orang kakak angkat dan abang angkatnya itu melakukan perkara sebegitu kepada Fauziah dan Razali. Ibu dan bapa angkatnya itu telah bersusah payah membesarkan mereka dan menghantar mereka untuk masuk ke universiti hingga mereka boleh menjadi orang yang berjaya sekarang. Tidak dinafikan, dua orang kakak angkatnya itu memang seorang manusia yang tidak mengenang budi. Hafreez mengeluh mengenang perkara itu.    

         “Nanti Hafreez telefon  kak long ye. Bagitahu yang ibu nak datang dan nak duduk rumah dia seminggu dua.” Ujar Fauziah kepada Hafreez. Hafreez melepaskan keluhan berat. Dia berada dalam keadaan serba salah sekarang. Sejujurnya dia lebih suka jika Fauziah terus tinggal di rumahnya. Dia sangat khuatir apabila memikirkan ibu angkatnya itu di bawah jagaan along Hafizah.

         Bukan dia tamak mahu membolot kasih sayang Fauziah dan Razali. Tidak sama sekali. Cuma dia risau adakah  kak long Hafizah mampu untuk menjaga Fauziah dan Razali seperti mana dia menjaga dua warga emas itu? Dia risau jika along Hafizah tidak menjaga kedua dua ibu bapa angkatnya itu seperti yang sewajarnya. 

       “Baiklah bu. Nanti Hafreez telefon dia.” Kata Hafreez. Fauziah tersenyum mendengar persetujuan Hafreez. Hafreez mula memandang ibunya dengan rasa tidak sedap hati. Dia memandang pula wajah bapa angkatnya, Razali. Orang tua itu terus makan dengan wajah yang masam mencuka. Dia berdoa agar along Hafizah dapat menjaga ibu dan bapa angkatnya itu dengan baik.

.............................................................................................................

        Hafreez membelah jalan raya pada pagi Sabtu itu untuk ke rumah along Hafizah dengan menaiki Proton Pesonanya. Di sebelahnya terdapat Razali yang berwajah kelat. Di bahagian belakang, Fauziah sedang duduk bersandar dengan rasa teruja. Dia sudah tidak sabar sabar mahu bertemu dengan anak sulungnya, Hafizah.

       Razali pada awalnya memang tidak mahu mengikut Fauziah untuk ke rumah Hafizah. Dia lebih suka tinggal di rumah Hafreez. Berkali kali dia memujuk Fauziah supaya membatalkan hasrat tersebut kerana dia tahu bagaimana layanan Hafizah kepada mereka berdua nanti. Namun, Fauziah tetap berdegil. Isterinya itu tetap mahu tinggal juga di rumah Hafizah selama seminggu.

       Memandangkan dia begitu khuatir dengan keadaan Fauziah yang tidak berapa sihat itu, dia gagahkan diri juga untuk mengikut Fauziah ke rumah anak sulung mereka. Dia risau jika Hafizah melakukan sesuatu yang tidak betul terhadap Fauziah.

       Kadang kadang dia pelik dengan Fauziah. Dia sedar bahawa Fauziah tahu akan sikap ketiga tiga anak mereka itu terhadap mereka. Namun, Fauziah tetap menyayangi ketiga tiga manusia itu. Itulah sikap Fauziah sebagai seorang ibu yang dia tidak fahami. Walaupun ketiga tiga anak itu telah membenci Fauziah kerana salah faham, namun Fauziah tidak henti henti menyayangi mereka. Sesungguhnya kasih sayang seorang ibu itu mengatasi segala-galanya.     

         Kereta Hafreez sudah pun masuk ke jalan yang menuju ke rumah Hafizah. Lagi beberapa minit lagi mereka akan sampai ke rumah kakak angkatnya. Tiba tiba fikirannya menerawang ke udara mengingati bagaimana sukarnya untuk dia memujuk  kak long Hafizah supaya dapat menjaga ibu bapa mereka selama seminggu. Pada awalnya, along Hafizah membantah keras. Dihamburnya lahar kemarahan ke telinga Hafreez. Kak long Hafizah mengatakan bahawa dia tidak boleh menjaga kedua dua orang tua itu kerana dia sibuk. Namun, Hafreez berusaha memujuk kakak angkatnya itu supaya meluangkan sedikit masa menjaga kedua dua warga emas itu. Hafreez tidak sanggup untuk menghampakan permintaan Fauziah itu kerana ibu angkatnya itu acapkali mengingatkannya tentang perkara tersebut. Setelah dipujuk berkali kali, barulah along Hafizah bersetuju dengan keadaan separuh rela.

       Kereta Hafreez berhenti betul betul dihadapan pintu pagar sebuah rumah teres satu tingkat milik along Hafizah. Pintu pagar rumah itu sudah terbuka. Mungkin along Hafizah sudah tahu yang mereka mahu datang jadi dia sudah membuka pintu pagar itu awal awal. Hafreez meninjau-ninjau di kawasan rumah itu untuk melihat kelibat along Hafizah, namun hampa. Matanya tertancap pada pintu utama rumah itu. Pintu rumah tersebut terkatup rapat.

        “Si Hafizah ni takde kat rumah ke Hafreez? Kau tak bagitahu dia ke yang kita nak datang?” Soal Razali yang turut sama meninjau-ninjau kawasan rumah teres yang sederhana besar itu. Dia khuatir jika mereka datang pada waktu itu tetapi Hafizah tidak ada di rumah.

      “Saya rasa dia ada kat rumah ni ayah. Kalau tak, takkan pintu pagar ni terbuka. Jom la kita turun.” Hafreez melangkah turun keluar dari perut kereta. Kemudian dia ke bonet kereta untuk mengeluarkan beg pakaian Fauziah dan Razali. Razali dan Fauziah pun sudah melangkah turun.

       Kemudian mereka sama sama melangkah masuk ke kawasan rumah teres itu. Mereka meninjau-ninjau ke dalam rumah melalui tingkap yang terbuka untuk mencari kelibat Hafizah. Tiba tiba pintu utama rumah itu terbuka. Terpacul wajah Hafizah yang lengkap berbaju kurung berwarna putih dan bercorak bunga berwarna biru yang besar besar. Dikepalanya ditutup dengan sehelai tudung bawal yang berwarna biru.

      “Oh, dah sampai rupanya. Ya Allah... Kenapa tak bagi salam. Masuklah.” Hafizah mempelawa sambil tersenyum manis. Sukar Hafreez mahu mentafsirkan makna senyuman itu sama ada ikhlas atau lakonan. Dia melupakan perkara itu buat seketika dan masuk ke rumah teres milik Hafizah yang mempunyai tiga bilik itu bersama sama dengan Fauziah dan Razali.

       “Apa khabar ibu? Apa khabar ayah?” Hafizah bersalaman dengan kedua-dua orang tuanya. Jelas kelihatan kekok situasi itu pada pandangan Hafreez.
      “Khabar baik. Ibu dan ayah sihat sihat je. Kalau sakit sakit tu, biasalah, orang tua...kau apa khabar nak? Lama sungguh kau tak lawat ibu. Sibuk sangat ke?” Fauziah bertanya sambil duduk di sofa empuk berwarna hitam yang ada di ruang tamu rumah itu. Razali dan Hafreez turut melakukan perkara yang sama. 

       “Memang sibuk ibu. Banyak buku yang saya kena tanda. Banyak betul program program kat sekolah yang saya kena pergi. Sebab tu saya tak sempat nak lawat ibu.” Kata Hafizah.

        “Orang lain pun kerja juga tapi ada je masa nak lawat mak dan ayah diaorang. Kau ni sibuk sangat sampai tiga tahun sekali nak jumpa pun susah. Kau ni sibuk ke atau benci dengan mak bapak kau ni?” Razali berkata tajam. Fauziah dan Hafreez berpandangan sesama sendiri. Hafizah yang baru melabuhkan punggungnya di atas sofa yang terletak berhampiran dengan Fauziah tersenyum kelat.

       “Tak baik awak cakap macam tu kat dia. Dia memang sibuklah. Awak kenalah faham. Lagipun Hafizah ni bukan guru sekolah kerajaan. Dia guru sekolah swasta. Cara bekerja kat sekolah kerajaan tentulah berbeza dengan cara bekerja kat sekolah swasta. Awak ni cubalah faham keadaan anak sulung awak ni.” Fauziah cuba membela Hafizah. Razali pula sekadar mencebik. Hafreez mula berfikir apakah yang akan terjadi dalam rumah ini jika dia pulang nanti.

         “Betul cakap ibu tu ayah. Saya ni guru sekolah swasta. Kerja dengan sekolah swasta berbeza kerja dengan sekolah kerajaan. Ayah kena faham tu. Ayah tak boleh la buat tuduhan yang bukan bukan.” Ujar Hafizah dengan lembut. Segaris senyuman separuh ikhlas dilemparkan. Namun, di dalam hatinya sudah lama berasap melihat wajah tua ayahnya. Sakit hatinya kepada kedua dua orang tua itu tidak pernah padam. Tetapi, dia cuba berlagak baik selama seminggu ini. Dia tidak mahu mempamerkan sikap kurang ajar dihadapan ibu bapanya. Dia tahu, dia boleh menjadi anak derhaka jika melakukan itu semua. Anak derhaka maka nerakalah tempatnya. Jadi, selama seminggu itu, dia akan cuba melayan kedua dua orang tua itu sebaik mungkin seperti yang diminta oleh Hafreez beberapa hari yang lalu.   

       “Ayah bukan tak faham tapi ayah tak percaya. Entahlah, malas nak cakap banyak banyak. Cakap banyak nanti ada pula yang terguris hati sampai merajuk membawa diri.” Sindir Razali. Fauziah lekas lekas menyiku Razali tanda protes dengan sindiran Razali itu. Hafizah mula tindak senang duduk. Lahar kemarahannya semakin membuak buak. Dia memandang wajah Hafreez yang duduk bertentangan dengan dirinya. Lelaki itu menggelengkan kepala tanda tidak membenarkannya melawan ayah mereka.

       “Okeylah, ibu, ayah dan Hafreez duduk dulu ye. Saya nak pergi bancuh air kejap. Tiba tiba haus pula tekak ni.” Kata Hafizah dan dia berlalu ke dapur. Tidak boleh dia berlama lama dia ruang tamu rumahnya sendiri pada waktu itu. Hatinya sakit tidak terkata terutama selepas mendengar sindiran tajam ayahnya. Jika tidak difikirkan yang Razali itu ayahnya, sudah lama dia menghalau orang tua itu keluar dari rumah. Dia cuba bersabar pada waktu itu. Dan dia sendiri tidak pasti mampukah dia bersabar berhadapan dengan kedua dua orang tua itu selama seminggu mereka berada di rumahnya.

       “Awak ni boleh tak jaga sikit mulut awak tu? Ini rumah dia tau. Jangan nak tunjuk ego sangat.” Fauziah memarahi Razali. Dia berasa berang dengan sikap Razali tadi. Jika beginilah sikap Razali, sampai bila pun Hafizah akan membenci mereka berdua. Dia tidak mahu perkara itu berlaku. Dia cuba sedaya upaya untuk menjernihkan kembali hubungan kekeluargaan mereka yang retak kerana salah faham itu.

         “Awak percaya sangat la dengan anak awak tu. Awak tahu tak yang dia tu tak suka kita. Cara dia sambut kita tadi pun saya dah tahu yang dia tak bersedia nak terima kedatangan kita. Awak je yang terhegeh hegeh nak datang rumah dia. Dia tak suka pun kita datang rumah dia.” Razali menjawab.   

       “Sebab tu kita kena datang rumah dia. Kita kena jernihkan kembali hubungan kita dengan dia. Sampai bila kita nak bermasam muka? Sampai kiamat?” Fauziah mula hilang sabar dengan sikap ego Razali yang tidak sudah sudah itu.

         “Susah cakap dengan awak ni. Saya tak tahulah awak ni tak faham ke atau sengaja buat buat tak faham. Suka hati awaklah!” Razali mengalah. Dia malas mahu bertekak dengan isterinya kerana hal hal yang seremeh itu. Dia cuma berharap agar seminggu ini berlalu dengan cepat supaya dia boleh pulang semula ke rumah Hafreez.

        “Ayah cubalah berbaik baik dengan along Hafizah tu. Janganlah marah marah atau sindir sindir dia. Cuba cakap dengan dia elok elok. Tentu dia akan baik dengan ayah dan ibu nanti.” Hafreez mencelah.

        “Awak dengar cakap Hafreez tu. Awak janganlah nak tunjuk garang awak kat sini. Cuba cakap elok elok. Ni nak marah saja. Tak cukup ke awak marah dia masa dia kecil dan remaja dulu? Takkan dia dah tua bangka ni pun awak nak marah marah juga.” Fauziah memberi nasihat. Razali diam cuma. Matanya tertancap pada peti televisyen yang sedang terpasang di ruang tamu rumah itu. Entah rancangan apa yang ditontonnya, dia sendiri tidak tahu. Fikirannya menerawang entah ke mana.

         Beberapa minit kemudian Hafizah muncul dari dapur sambil menatang sebuah dulang yang di atasnya terdapat sebuah jag kecil yang berisi air oren dan empat biji cawan. Dia meletakkan empat biji cawan itu di atas meja yang sederhana besar di hadapan ahli keluarganya. Kemudian dia menuangkan air oren itu ke dalam empat biji cawan tersebut.

       “Jemput minum ibu, ayah, Hafreez.” Hafizah mempelawa. Hafreez dan Fauziah segera mencapai cawan yang berisi air oren itu dan meminumnya perlahan. Hanya Razali sahaja yang diam tak berkutik. Matanya masih lagi memandang peti televisyen.

       “Ibu harap kau tak kisah ibu dan ayah duduk kat sini seminggu dua. Bukan apa, ibu tak pernah tidur rumah kau. Nak jugalah merasa sekali sekala. Asyik duduk Hafreez je pun bosan juga.” Kata Fauziah sambil memandang Hafizah. Setelah habis meminum air oren yang dibancuh oleh Hafizah tadi, dia meletakkan cawan tersebut di atas meja.

      “Oh...ibu bosan rupanya duduk rumah Hafreez. Patutlah asyik cakap je nak duduk rumah along.” Ujar Hafreez seakan akan merajuk. Dia sengaja membuat mimik muka sedih. Kemudian dia tertawa kecil tanda dia bergurau.

       “Bukan macam tu maksud ibu. Ibu suka duduk rumah Hafreez tapi ibu nak jugalah duduk rumah anak anak ibu yang lain. Nak beralih angin pula. Minggu ni duduk rumah Hafizah. Minggu depan duduk rumah Norin pula. Pastu duduk rumah Hamad pula. Macam tu la.” Kata Fauziah.

        “Ibu duduk la berapa lama pun yang ibu nak. Saya tak kisah. Cuma kalau saya pergi kerja nanti, Ibu kena duduk berdua dengan ayahlah. Tapi takpe, sebelum saya pergi kerja, saya akan sediakan segala keperluan ibu dengan ayah nanti.” Ujar Hafizah.

       “Baguslah kalau macam tu long. Hafreez harap along boleh jaga ibu dan ayah dengan baik. Yalah, diaorang ni orang tua. Masa ni la kita nak berbakti dan menjaga mereka pula setelah sekian lama mereka menjaga dan membesarkan kita.” Hafreez berkata dengan maksud yang penuh mendalam. Dia berharap agar Hafizah dapat memahami maksud yang cuba dia sampaikan.

      “Insha Allah...yang tu Hafreez jangan bimbang. Along akan pastikan yang mak dan ayah akan baik baik sahaja kat sini.” Hafizah memberi jaminan yang dia sendiri tidak pasti. Mampukah dia menjaga kedua-dua manusia yang dibencinya itu dengan sempurna? Dia tidak punya jawapan untuk soalan itu namun apa yang pasti dia berharap agar seminggu itu berlalu dengan segera. Dan dia berharap agar tiada sebarang masalah yang bakal tiba tatkala kedua-dua ibu bapanya berada di sini.

       “Baguslah kalau macam tu. Lega Hafreez mendengarnya. Okeylah, kalau takde pape lagi, Hafreez balik dulu la. Ada kerja sikit kat rumah tu yang kena siapkan.” Hafreez berdiri lalu bersalam dengan Razali dan Fauziah. Hafizah sekadar memandang sahaja pelakuan Hafreez itu. Dapat dirasakannya kasih sayang Hafreez terhadap Fauziah dan Razali. Yalah, walaupun Hafreez itu hanya sekadar anak angkat, namun dia amat disayangi oleh ibu bapanya. Hafreez itu umpama anak emas dalam keluarganya. Oleh sebab itulah, mengapa wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarganya sehingga ke hari ini.

      “Long, kalau ada apa apa, just call je Hafreez okay. Ibu dan ayah pun sama. Kalau ada apa apa, tepon saja Hafreez. Nanti Hafreez datang.” Hafreez berpesan.

      “Baiklah nak. Tapi Hafreez telefon la ibu selalu. Tapi ibu akan baik baik sahaja kat sini. Kak long kau kan ada nak tengok tengok kan ibu dan ayah.” Kata Fauziah sambil memandang Hafizah dengan segaris senyuman.

      “Kak long, jaga ibu dan ayah baik baik ye. Kalau ada masalah call Hafreez tau.” Pesan Hafreez lagi kepada Hafizah.

      “Ya Hafreez. Kau janganlah risau. Tahulah kak long apa nak dibuat.” Ujar Hafizah.

     “Okeylah kalau macam tu. Hafreez balik dulu ye. Assalamualaikum.” Ucap Hafreez dan dia lantas menuju ke keretanya. Setelah menghidupkan enjin kereta, dia memandu pergi meninggalkan rumah Hafizah. Setelah menjawab salam yang diberi, Hafizah, Fauziah dan Razali sekadar menghantar Hafreez dengan pandangan mata sahaja. Mereka memandang kereta Hafreez sehingga hilang dari pandangan. Tatkala itu, ia adalah satu permulaan baru dalam kehidupan Fauziah dan Razali di rumah Hafizah, anak sulung mereka yang bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah swasta itu.

     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.