Sumber : Google |
Ramai orang suka dan mahu jadi
pemimpin. Apabila menjadi seorang pemimpin, banyak faedah yang seseorang itu
boleh dapat dengan memimpin. Sama ada faedah itu berbentuk wang atau kuasa
mempengaruhi, itu adalah punca utama seseorang itu berebut untuk menjadi
pemimpin hingga sanggup mati. Tetapi tugas dan tanggungjawab yang berat kadang
kala langsung tidak mahu dipeduli. Tidak ramai manusia yang sanggup jadi
pemimpin dengan rela hati.
Ada banyak sebab mengapa seseorang
itu boleh terpilih sebagai pemimpin untuk memimpin sesebuah organisasi. Ada
pemimpin dipilih kerana dia berwajah kacak, ada pemimpin dipilih kerana dia
boleh menyediakan kepada penyokongnya wang yang banyak, ada pemimpin yang
dipilih kerana populariti atau bakat yang ada pada dirinya, ada pemimpin
dipilih kerana dia tinggi ilmu agama, dan ada juga pemimpin dipilih kerana dia
bijaksana. Pendek kata, seorang pemimpin itu boleh naik sebagai pemimpin dengan
bermacam cara.
Walaupun seseorang itu boleh bergelar
seorang pemimpin, namun belum tentu dia boleh memimpin. Dia naik sebagai
pemimpin mungkin kerana sokongan majoriti dan bukannya kerana bakat kepimpinan
yang ada dalam diri. Sebab itu apabila dia memimpin sesebuah organisasi, sama
ada organisasi itu musnah atau tidak lagi berprestasi tinggi.
Ada banyak ciri yang perlu ada dalam
diri seorang pemimpin untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya. Pemimpin
yang hebat bukan sahaja perlu beriman, malah perlu bertolak ansur, tegas,
berani, berwawasan, dan bijaksana. Kesemua ciri ini adalah sangat penting untuk
memastikan kepimpinannya diterima dan organisasi yang dipimpinnya boleh
berjaya.
Selain itu, seorang pemimpin yang
baik mestilah : (1) mendidik orang bawahan (2) menjaga kebajikan orang bawahan
(3) sentiasa bersama orang bawahan ketika susah ataupun senang (4) sentiasa
bekerjasama dengan orang bawahan (5) membantu orang bawahan untuk berjaya (6)
menghargai orang bawahan (7) dan tidak mudah marah dengan orang bawahan.
Kesemua sikap ini akan membuatkan
kepimpinan seseorang pemimpin itu boleh diterima oleh semua. Apabila
kepimpinannya diterima, orang bawahan akan suka dengannya seterusnya hasil
kerja mereka pun akan bermutu juga. Apabila hasil kerja orang bawahan bermutu,
barulah organisasi yang dipimpinnya akan berjaya dan padu.
Seorang pemimpin yang kurang baik
tidaklah mempunyai ciri ciri pemimpin yang baik seperti di atas. Pemimpin yang
kurang baik hanyalah : (1) mengarah orang bawahan (2) suka menunjukkan yang dia
berkuasa (3) sentiasa menyalahkan orang bawahan jika ada masalah berlaku (4)
mementingkan diri sendiri (5) memeras tenaga dan keringat orang bawahan (6)
meletakkan penghargaan kepada dirinya sendiri dan (7) sering memarahi orang
bawahan.
Pemimpin sebeginilah yang menyebabkan
ramai orang bawahannya benci. Apabila orang bawahannya benci, maka
kepimpinannya turut tidak disukai. Maka hasil kerja orang bawahan pun tidak
sempurna serba serbi lalu organisasinya yang dipimpinnya akan menemui kegagalan
berkali-kali. Pemimpin sebeginilah yang naik sebagai pemimpin kerana sokongan
kroni atau populariti dan bukannya kerana bakat kepimpinan yang ada dalam diri.
Ada juga pemimpin yang bijaksana dan
berwibawa tetapi kerana tiada bakat kepimpinan atau mungkin sikap buruk yang
ada dalam diri menyebabkan organisasi pimpinannya tidak boleh berjaya. Pemimpin
sebegini memang ramai sebenarnya di dalam dunia. Sebab itulah jika kita
melihat, organisasi yang dipimpinnya hanya bertaraf ‘suam suam kuku’ sahaja.
Untuk menjadi seorang pemimpin
bukannya satu kerja yang mudah. Seorang pemimpin perlu banyak menanggung
tanggungjawab dan juga amanah. Pemimpin yang baik mesti disukai oleh orang
bawah. Pemimpin yang kurang baik membawa organisasi menuju musnah! Moga moga
kita semua tidak dipimpin oleh pemimpin yang lemah.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.