I
Mahmudah memasakkan bubur
untuk Sahiril. Perasaan bersalah masih ada dalam hati kerana gara gara
perbuatannya meletakkan ubat julap dalam makanan Sahiril, lelaki itu diserang
penyakit cirit birit. Nasib baik penyakit Sahiril tidak begitu teruk. Pada
awalnya dia hanya sekadar untuk mengajar lelaki itu namun lain pula yang jadi.
Dia berasa amat bersalah pada Sahiril.
Setelah bubur itu siap, dia
meletakkan di dalam mangkuk. Dia membawa bubur tersebut di atas sebuah dulang
kecil bersama segelas air masak. Dia menuju ke bilik Sahiril. Ketika dia masuk
ke bilik lelaki itu dia melihat Sahiril sedang terbaring di atas katil.
Wajahnya kelihatan pucat. Dia meletakkan dulang tersebut di atas sebuah meja
kecil di sudut bilik itu.
“Sahiril, mari makan. Aku dah
masakkan bubur untuk kau.” Panggil Mahmudah lembut. Sahiril mula menyandarkan
dirinya di kepala katil. Mahmudah memberikan bubur tersebut kepada Sahiril.
“Kau dah makan ubat?” Soal Mahmudah lembut. Soalan Mahmudah dijawab secara
anggukan oleh Sahiril.
“Orang yang sakit perut tak boleh makan makanan yang
keras keras. Aku rasa bubur tu sesuai untuk kau.” Ujar Mahmudah.
“Kalau tak ada apa apa aku
keluar dulu. Kau makanlah bubur tu sampai habis. Kalau kau perlukan apa apa kau
panggil saja aku.” Ujar Mahmudah lalu beredar meninggalkan Sahiril yang masih
menikmati bubur tersebut. Walaupun makanan yang disediakan oleh Mahmudah itu
tidak membuka seleranya namun dia perlu menjamahnya juga. Doktor menasihatinya
supaya dia memakan makanan yang lembut lembut sahaja.
Mahmudah turun ke dapur
setelah memastikan Adam tidur dengan lena. Dia tidak mahu Adam terjaga kerana
itu akan mengganggu kerja kerjanya. Dia melihat Irfan sedang asyik menonton
televisyen. Mahmudah terus mendapatkan telefon bimbitnya. Dia mendail nombor Noni.
“Hello!” kedengaran suara Noni di hujung talian. “Hello Noni! Ni aku Mahmudah.”
Ujarnya memperkenalkan diri.
“Hah Mahmudah! Kenapa kau tak
datang kerja hari ni? Encik Sulaiman dah tanya pasal kau.” Ujar Noni.
“Aku
ambil cuti kecemasan hari ni. Aku ada hal. Aku telefon kau ni sebab nak beritahu
hal itu.” Ujar Mahmudah.
“Kenapa kau tak telefon pagi tadi? Kau tahu sajalah
Encik Sulaiman tu. Suka sangat membebel bila ada kakitangan yang ambil cuti tiba tiba. Kalau dia tak apa pula.” Kata Noni tidak berpuas hati.
Mahmudah tersenyum mendengar
kata kata Noni itu. Sudah lapan tahun dia bekerja di syarikat tersebut bermakna
sudah lapan tahun dia bekerja di bawah Encik Sulaiman. Dia sudah masak dengan
kerenah ketuanya yang cerewet itu.
“Okeylah Noni. Aku ada kerja sikit. Esok aku
masuk kerja balik.” Ujar Mahmudah.
“Okey.” Jawab Noni dan memutuskan panggilan
telefon tersebut. Ketika Mahmudah mahu
melangkah ke dapur telefon rumah pula berbunyi. Dia terus menyambut panggilan tersebut.
“Hello! Sahiril ada?” Terdengar suara seorang perempuan di hujung talian. Mahmudah
seolah olah pernah mendengar suara itu
namun sukar untuk dia meneka suara itu milik siapa.
“Sahiril ada tapi dia agak
kurang sihat sedikit. Ni siapa?” Soal Mahmudah pula.
“Kau tak kenal aku ke? Aku
Melisalah!” Jawab perempuan tersebut dengan kasar.
“Bukan tak kenal tapi tak perasan!” Jawab Mahmudah selamba.
“Sahiril sakit? Dia sakit apa?” Soal Melisa
lagi.
“Dia kena cirit birit. Mungkin dia termakan makanan yang dah basi
agaknya.” Jawab Mahmudah.
“Kau ni memang tak boleh harap. Kenapa kau bagi
Sahiril makan makanan basi?” Bentak Melisa kasar. Mahmudah sudah mula hilang
sabar. Mahu sahaja dia menampar mulut Melisa yang celupar itu jika perempuan
itu ada dihadapannya.
“Saya nak tanya Melisa kenapa
awak tak telefon Sahiril sendiri? Kenapa awak telefon ke rumah? Saya tahu mungkin
Sahiril tak nak layan awak sebab dia dah tak tahan dengan perempuan mulut
longkang macam awak.” Kutuk Mahmudah sengaja mahu membakar api kemarahan dalam
hati Mahani.
“Apa kau cakap? Kau memang dah melampau! Kau memang…” belum sempat
Melisa menghabiskan kata katanya, Mahmudah telah meletak ganggang telefon.
“Padan dengan muka kau!” ujar
Mahmudah bersendirian. Dia terus menuju ke dapur untuk mengemas. Dia menyapu
seluruh rumah itu. Setelah habis mengemas, Mahmudah duduk bersama Irfan di
ruang tamu dan menonton televisyen. Tiba tiba loceng pintu rumah itu berbunyi
menandakan ada orang yang datang. Mahmudah segera bangkit untuk membuka pintu.
Dia melihat Melisa tercegat di hadapan pintu rumah itu.
Sebaik sahaja Mahmudah
membuka pintu, Melisa terus masuk tanpa mengucapkan salam terlebih dahulu. Dia
terus berlari ke bilik Sahiril yang terletak di tingkat dua itu.
“Tak ada adab
betul budak ni. Nasib baik bukan adik aku kalau tak dah lama makan penampar.” Mahmudah bermonolog
sendirian.
II
“You tak apa apa
Sahiril? I risau you sakit.” Ujar Melisa sambil duduk di sebelah
Sahiril.
“Macam mana you tahu I sakit?” Soal Sahiril bingung.
Setahunya dia tidak memberitahu sesiapa bahawa dia sakit kecuali Mahmudah dan
ibunya, Datuk Hasanah.
“Tadi I telefon you tapi you tak
angkat. Jadi I telefon rumah. Orang gaji you yang angkat dan dia cakap you
kena cirit birit. Tu I terus datang.” Jawab Melisa dalam nada suara yang
merengek rengek.
“I tak apa apa. I
cuma cirit birit saja. You janganlah risau.” Ujar Sahiril sambil
tersenyum. Walaupun perutnya masih sakit namun dia perlu gembira dengan
kehadiran Melisa di sisi. Dia berasa amat beruntung sekali kerana mempunyai
seorang kekasih yang amat menyayangi dirinya.
“I datang ni pun sebab I
nak ajak you pergi ke majlis hari jadi kawan I malam ni. I
tak ada temanlah. You nak ikut tak?” Soal Melisa.
“Lisa, you tak nampak
ke I tengah sakit ni? Macam mana I nak pergi. You ajak
orang lainlah.” Kata Sahiril.
“Ala..., takkan pergi kejap pun tak boleh? Habis I
nak pergi dengan siapa? Kawan kawan I semua bawa boyfriend dia,
habis I macam mana?” Rengek Melisa lagi. Dia berpura pura merajuk supaya
Sahiril mengikut kemahuannya.
“I am so sorry Lisa. I tak boleh
temankan you malam ni. You ajak orang lain okey.” Pujuk Sahiril.
“You ni teruklah!
Sakit sikit dah manja. Sudahlah, you tidur saja kat situ. I nak
balik.” Bentak Melisa dan terus keluar dari kamar tidur Sahiril itu. Sahiril
benar benar kesal dengan sikap Melisa yang
sukar untuk memahami dirinya. Mahu saja dia mengejar Melisa namun apabila
mengenangkan perutnya masih sakit dia membiarkan saja. Dia berharap Melisa
dapat memaafkan dirinya kerana tidak dapat memenuhi permintaan gadis itu.
Melisa menuruni tangga dengan
perasaan geram bercampur marah. 'Sahiril memang seorang yang mementingkan
diri.' Desis Melisa dalam hati. Dia tidak menyangka yang Sahiril sanggup
menghampakan harapannya waktu itu. Dia mencari idea siapakah teman yang hendak
dibawanya malam ini. Ketika dia sedang menuruni tangga, dia melihat Mahmudah
sedang menonton televisyen sambil melipat pakaian.
Tiba tiba perasaan marah
menyerbu sanubarinya. Dia agak marah dengan tindakan Mahmudah yang meletakkan
telefon sebelum dia habis bercakap. Tambahan pula, dia perlu mencari seseorang
untuk melepaskan geramnya pada Sahiril.
“Hoi pemalas!” Jerkah Melisa sambil
berjalan laju ke arah Mahmudah. Mahmudah yang sedang melipat pakaian itu
tersentak apabila mendengar suara Melisa yang agak kuat itu.
“Kenapa kau beri makanan basi
pada Sahiril? Kau tahu tak sebab kau dia tak boleh keluar dengan aku malam ni?
Kau dengan adik kau sama saja. Sama sama menyusahkan hidup orang lain!” Melisa
menghamburkan kemarahannya pada Mahmudah.
“Dan lagi satu, kenapa kau letak
telefon sebelum aku habis bercakap? Kau ni memang perempuan kurang ajar dan
biadap! Sebab tu kau tak kahwin sampai sekarang. Dasar andartu tak laku!”
Tengking Melisa lagi setelah tidak mendapat sebarang tindak balas dari
Mahmudah. Darahnya agak mendidih dengan
kehadiran Mahmudah di rumah itu.
“Kalau aku andartu sekalipun apa kau susah?
Aku ada minta makan kat kau? Untuk penegtahuan kau, kau tu lagi biadap dan
kurang ajar. Masuk rumah orang main masuk saja tanpa beri salam. Kau tu sepuluh
kali menyusahkan hidup orang lain. Kau dah tahu yang Sahiril dah kahwin kenapa
kau kacau suami orang?” Bidas Mahmudah kegeraman.
“Hoi! Sedar diri tu sikit.
Sahiril tak pernah mencintai adik kau yang kolot tu. Dia mencintai aku.” Balas
Melisa.
“Kalau kau tak kacau hubungan mereka aku yakin Sahiril pasti akan
mencintai Mahani sebab Mahani sepuluh kali lebih cantik dari kau. Kau seorang
yang hipokrit dengan memakai make up tebal tebal macam hantu sedangkan
Mahani mempunyai wajah wanita Melayu yang asli.” Ujar Mahmudah.
Nada suara mereka agak tinggi
hingga mengganggu Sahiril yang mahu tidur. Dia berjalan menuruni tangga dan
melihat Mahmudah dan Melisa sedang bertengkar di ruang tamu.
“Apa bising bising
ni?” Soal Sahiril lemah namun terdapat ketegasan dalam nada suaranya. Dia
tidak boleh menjerit memandangkan perutnya masih sakit.
“Kau tengoklah kekasih
kau ni. Tak pasal pasal nak marah aku pula.” Rungut Mahmudah.
“You tengoklah orang
gaji you ni yang suka sangat cari pasal dengan I.” Rungut Melisa
pula. Dia sengaja memanjakan suaranya untuk mencari simpati Sahiril.
“Lisa, I
think better you go now.” Ujar Sahiril.
“Sahiril, sampai hati
you…” Ujar Melisa.
“I said go! You tak faham ke?” Tengking
Sahiril yang sudah mula naik marah denggn kerenah Melisa sebelum sempat gadis
itu menghabiskan kata katanya.
“Apa tunggu lagi berambuslah
dari sini.” Ujar Mahmudah. Baru puas hatinya melihat Melisa dimarahi oleh Sahiril.
Air mata Melisa sudah mula tumpah. Dia terus berlari keluar dari rumah
tersebut.
“Kau pun satu. Perangai macam budak budak. Kalau nak bergaduh jangan
dalam rumah aku. Pergi cari gelanggang tinju.” Bentak Sahiril marah lalu naik
semula ke atas untuk berehat. Mahmudah hanya tersenyum geli hati.
III
Melisa berasa amat kecewa.
Dia dapat merasakan hubungannya dengan Sahiril sudah retak menanti belah.
Lelaki itu seolah olah tidak lagi menghiraukan dirinya. Rancangan awalnya mahu
mengajak Sahiril ke rumah rakannya. Pada malam ini rakannya mahu membuat
sambutan hari jadi. Dia meminta agar semua jemputan membawa teman istimewa
masing masing.
Memandangkan Sahiril
merupakan kekasih hatinya, dia bercadang mahu mengajak Sahiril ke pesta itu.
Dia cuba menelefon telefon bimbit Sahiril namun tidak dijawab. Apabila dia
menelefon ke rumah, Mahmudah pula yang menjawab panggilan tersebut. Dia benar
benar sebal dengan Mahmudah. Kakak ipar Sahiril itu begitu berani meletakkan
ganggang telefon sebelum dia habis bercakap.
Perempuan itu memang sengaja
meniup api persengketaan dengan dirinya. Dia bertambah benci dengan Mahmudah
dan juga Mahani. Dia benar benar tidak percaya yang Sahiril sanggup
mrnghalaunya keluar dan membela Mahmudah. Ini satu perkara yang amat
menyakitkan hatinya. Sahiril benar benar telah berubah setelah lelaki itu
bernikah dengan Mahani. Lelaki itu seolah olah
menyisihkan dirinya padahal dia amat menyayangi dan mencintai Sahiril.
“Jauh
termenung! Dah sampai mana? England?” Tegur Haiqal yang menjadi pengurus
peribadi kepada Melisa. Melisa tersenyum melihat kehadiran Haiqal. Haiqal sudah
banyak membantu meningkatkan kerjayanya sebagai model. Dia amat berterima kasih
dengan Haiqal.
“Kenapa you menangis
Melisa?” Soal Haiqal lembut. Matanya tajam memandang ke arah model terkenal
itu.
“Mana ada I menangis. Mata I masuk habuklah.” Jawab Melisa
berbohong.
“You guna ayat dalam filem Melayu sebab nak tipu I? I
tengok mata you yang merah tu pun I dah tahu you menangis.
Kenapa Lisa? You ada masalah ke? Kalau ada masalah ceritalah dengan I.”
Ujar Haiqal lembut.
Melisa tahu dia tidak boleh
menipu lelaki itu. Sudah lama Haiqal menjadi pengurusnya bermakna Haiqal sudah
masak dengan perangainya.
“I tak sangka Sahiril sanggup buat macam ni
kat I.” Jawab Melisa. Air matanya tumpah lagi entah buat kali yang ke berapa.
“Apa yang dia dah buat dengan you?” Soal Haiqal lagi.
“Tadi I
ajak dia pergi rumah kawan I malam ni sebab kawan I ada buat
pesta hari lahir. Mula mula dia tak nak pergi lepas tu dia halau I dari
rumah dia.” Jawab Melisa. Dia mengesat air matanya
beberapa kali.
“Sudahlah Lisa. Tak guna you nak menangis. I yakin
nanti Sahiril pasti akan pujuk you balik. Kalau you nak I
boleh temankan you pergi pesta kawan you tu. Itupun kalau you
sudilah.” Ujar Haiqal.
“Betul ke ni?” Soal Melisa. Nada suaranya sudah berubah
ceria.
“Ya.” Angguk Haiqal sambil tersenyum.
“Thanks Haiqal. You
adalah pengurus terbaik di dunia.” Ujar Melisa dan lantas memeluk Haiqal. Haiqal agak tergamam dengan
tindakan Melisa namun dia membalas juga pelukan tersebut.
“Sekarang I
nak you senyum.” Kata Haiqal setelah meregangkan pelukan. Melisa
mengukir sebuah senyuman.
“Macam tulah.” Ujar Haiqal sambil tersenyum.
IV
Mahmudah menuju ke pasar raya
terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Dia mahu membeli sedikit barang kerana
dia merancang untuk membawa Irfan dan Adam berkelah di Sungai Congkak. Sudah
lama dia tidak pergi ke sana. Kali terakhir dia ke sana ketika dia mula mula
sampai di Kuala Lumpur dahulu. Itupun Noni yang menunjukkan tempat tersebut.
Tambahan pula dia kasihan
dengan Irfan yang bosan duduk di rumah sahaja tanpa membuat sebarang aktiviti.
Pada hematnya lebih baik dia membawa Irfan berkelah semasa cuti sekolah ini.
Pasti Irfan akan berasa seronok kerana inilah kali pertama dia bermandi manda di
sungai. Mahmudah mahu Irfan menikmati kedinginan air Sungai Congkak itu.
Seusai membeli barang,
Mahmudah terus mengambil Irfan dan Adam di rumah Maimon. Dia amat berterima
kasih dengan Maimon kerana telah menjaga Adam dan Irfan dengan baik sekali. Dia
melihat Irfan sudah selesa tinggal di rumah Maimon dan begitu juga dengan Adam.
Setelah mengambil mereka berdua, Mahmudah terus memandu pulang ke rumah.
“Irfan, esok mak long nak
bawa Irfan dengan Adam pergi berkelah di Sungai Congkak. Irfan boleh mandi
manda di sana.” Ujar Mahmudah sewaktu dalam perjalanan pulang ke penthouse
Sahiril.
“Betul ke mak long? Seronoknya!” Irfan bersorak kegirangan. Mahmudah
tersenyum melihat keletah anak saudaranya.
“Mak long, esok papa ikut sekali
tak?” Soal Irfan.
“Papa? Siapa papa? Papa mana
yang Irfan cakap ni?” Soal Mahmudah pula dalam keadaan bingung. Setahunya
Irfan memanggil Bakri dengan panggilan ‘ayah’. Sejak bila pula Irfan memanggil
Bakri dengan panggilan ‘papa’.
“Papa Sahiril tu. Dia ikut tak mak long?” Soal
Irfan lagi. Mahmudah sedikit tersentak apabila Irfan memanggil Sahiril dengan
panggilan ‘papa’. Sejak bila pula Irfan memanggil
Sahiril dengan panggilan itu.
“Kenapa Irfan panggil pakcik Sahiril tu papa?” Soal
Mahmudah mahu meminta kepastian dari anak kecil itu.
“Kawan Irfan ramai yang
panggil bapa mereka dengan panggilan papa. Jadi Irfan panggilah pakcik Sahiril
papa. Ibu pernah cakap kat Irfan yang pakcik Sahiril itu bapa tiri Irfan.”
Terang Irfan dengan petah.
Barulah Mahmudah faham
mengapa Irfan memanggil Sahiril dengan panggilan itu. Tapi adakah Sahiril akan
menerima Irfan sebagai anak tirinya? Adakah Sahiril akan menyayangi Irfan?
Semua persoalan itu muncul di benak Mahmudah. Sukar untuk dia meneka semua
jawapan bagi persoalan persoalan tersebut. Dia amat berharap agar Sahiril dapat
menerima dan menyayangi Irfan sebagai anaknya sendiri lebih lebih lagi Adam.
“Itu mak long tak pasti
Irfan. Irfan kena tanya sendiri dengan papa Sahiril kamu tu.” Ujar Mahmudah
setelah agak lama menyepi dalam kereta itu.
“Macam mana kalau papa tak nak?” Soal
Irfan.
“Itu mak long tak tahu.” Jawab Mahmudah dan terus memandu membelah jalan
raya untuk pulang ke rumah. Setelah sampai di penthouse milik Sahiril,
Mahmudah melihat Sahiril sudah berada di rumah. Itu satu perkara yang luar
biasa. Biasanya pada waktu malam
baru Sahiril sampai ke rumah.
“Awal kau balik hari ni?” Sapa Mahmudah sambil meletakkan
barang barang yang dibelinya tadi di atas meja makan.
“Aku kurang sihat hari ni
sebab tu aku balik awal.” Ujar Sahiril yang sedang menonton televisyen.
Mahmudah mengangguk tanda faham. Dia tidak mahu bertanya lagi kerana dia tahu
Sahiril culas mahu menjawab pertanyaannya.
Mahmudah masuk ke kamar
tidurnya lalu menidurkan Adam. Setelah itu, dia membersihkan diri dan menukar
pakaian. Kemudian dia turun ke dapur untuk membasuh baju dan memasak makan
malam.
“Kenapa kau beli barang banyak banyak tu?” Soal Sahiril yang muncul di
muka pintu dapur. Mahmudah yang sedang membasuh pinggan mangkuk untuk sarapan
pagi tadi agak terkejut dengan kehadiran Sahiril secara tiba tiba itu.
“Esok aku nak pergi berkelah.
Aku nak bawa bekalan makanan ke sana.” Jawab Mahmudah sambil meneruskan kerja kerjanya.
“Berkelah? Ke mana?” Soal Sahiril ingin tahu.
“Sungai Congkak. Kau nak ikut
ke?” Soal Mahmudah setelah menjawab soalan lelaki itu.
“Tak naklah. Aku
bukannya suka kat tempat yang kotor dan banyak nyamuk macam tu. Lebih baik aku
mandi kolam kat hotel aku saja.” Ujar Sahiril yang sedikit angkuh itu.
“Suka hati kaulah apa yang
kau nak buat.” Ujar Mahmudah. Dia malas mahu membalas kata kata Sahiril. Tidak
guna bertekak dengan manusia seperti Sahiril. Dia tidak mahu membazir air liur,
suara dan tenaga dengan bertengkar bersama Sahiril.
“Papa, esok kita pergi
Sungai Congkak nak?” Soal Irfan sambil menarik narik seluar Sahiril. Dia begitu
mengharapkan pemergian Sahiril bersamanya esok.
“Kenapa kau tarik tarik
seluar aku ni?” Soal Sahiril marah. Dia menepis tangan Irfan dengan kasar.
“Dan
lagi satu jangan panggil aku papa. Aku bukan papa kau!” Bentak Sahiril marah.
Mahmudah terus mendapatkan Irfan yang sedikit ketakutan kerana diherdik oleh
Sahiril.
“Kenapa kau buat macam tu kat dia. Dia sayang kau sebab tu dia panggil
kau papa.” Ujar Mahmudah membela Irfan.
“Aku tak suka dengar dia
panggil aku papa. Aku bukan bapa dia dan aku tak pernah anggap dia anak aku.”
Bentak Sahiril lagi.
“Kalau macam tu kau pernah ke anggap Adam tu anak kau?” Soal
Mahmudah. Sahiril mula kehilangan kata kata. Dia tidak tahu jawapan apa yang
harus diberinya pada soalan Mahmudah itu. Dia tidak berkata apa apa lalu pergi
meninggalkan Mahmudah bersama Irfan.
Sahiril lantas masuk ke
biliknya. Dia menutup dan mengunci pintu bilik itu rapat rapat. Dia terus
menyandarkan dirinya di kepala katil. Soalan Mahmudah yang baru didengarinya
tadi masih terngiang ngiang di telinganya. “Kalau macam tu kau pernah ke anggap
Adam sebagai anak kau?” Soalan yang dilontarkan oleh Mahmudah itu berkesan di
hatinya.
Jawapan apakah yang paling
sesuai untuk soalan tersebut. Selama ini dia tidak pernah mengambil berat
tentang Adam. Dia langsung tidak peduli dengan kehadiran Adam dalam hidupnya.
Apa yang dia tahu Adam sihat dibawah jagaan Mahmudah walaupun hakikatnya dia
tahu bahawa Adam adalah anaknya. Walaupun sejuta kali dia menafikannya, namun
Adam tetap anaknya bersama Mahani. Ya, Adam lahir hasil dari benihnya walaupun sejuta kali dia cuba menafikan perkara tersebut.
Dia tahu Mahani mencintai
dirinya. Dia bisa melihat dengan jelas dari anak mata Mahani. Jika tidak mengapa wanita itu
boleh betah tinggal bersamanya walaupun hampir setiap hari dia menyeksa wanita
itu. Namun begitu sukar dia mahu menerima Mahani. Dia selalu terkenangkan
kejahatan yang dilakukan oleh Mahani pada dirinya. Secara tidak sedar, juga dia
gembira dengan panggilan ‘papa’ oleh Irfan cuma dia berpura pura tidak suka kerana egonya yang tinggi.
Belum pernah lagi ada seorang
budak lelaki yang memanggilnya dengan gelaran tersebut. Dia berasa seperti
seorang lelaki yang matang apabila dipanggil seperti itu. Dia merasakan dirinya
telah menjadi seorang ayah dengan panggilan itu. Fikirannya terus melayang mengingati hal
tersebut sehingga dia tertidur.
V
Mahmudah memasukkan semua
makanan yang dimasaknya pagi tadi seperti mihun goreng, cucur bilis, kuih
karipap dan sebotol air sirap ke dalam sebuah raga yang besar. Setelah itu dia
mempersiapkan Irfan dan Adam. Dia membawa beberapa helai pakaian untuk dipakai
oleh Irfan apabila anak kecil itu mahu mandi manda nanti. Apabila semuanya
sudah siap, dia turun ke ruang tamu sambil mendukung Adam. Irfan yang berada di muka
pintu sudah tidak sabar sabar lagi. Perasaan teruja bercampur gembira masih
melekat di hatinya.
“Irfan tolong bawa beg ni.” Arah Mahmudah kepada anak
saudaranya itu. Dia mendukung Adam dan membawa raga berisi makanan tadi.
Ketika dia mahu keluar dari rumah dia mendengar suara Sahiril menahannya.
“Kalau
aku ikut sekali boleh kan?” Soal lelaki itu. Sahiril yang kelihatan kacak
dengan mengenakan kemeja berlengan pendek berwarna merah dan seluar jeans
berwarna hitam memandang ke arah Mahmudah. Mahmudah agak terkejut dengan tindakan Sahiril pagi itu. Semalam bukan main dahsyat lagi dia menolak.
“Boleh. Apa salahnya. Lagipun kau
boleh jaga Adam. Aku ingat aku nak mandi manda sekali dengan Irfan.” Jawab
Mahmudah yang kelihatan agak senang kerana Sahiril mahu mengikut mereka.
VI
Mereka menuju ke Sungai
Congkak dengan menaiki kereta milik Sahiril. Mahmudah duduk di sebelahnya
manakala Irfan duduk di bahagian belakang kereta tersebut.
“Sebelum kita pergi
ke sana aku nak ambil Melisa dulu kat rumah.” Sahiril memecahkan kesunyian yang
sudah lama melanda mereka yang berada di dalam kereta itu.
“Apa?! kau nak ambil
Melisa? Kenapa?” Soal Mahmudah bingung.
“Semalam aku ajak dia
sekali.” Jawab Sahiril dengan wajah selamba.
“Apa? kau ajak dia? Kenapa kau
ajak dia? Aku tak pernah suruh kau ajak dia.” Soal Mahmudah yang sedikit
bengang dengan kata kata Sahiril.
“Apa salahnya. Lagipun Sungai Congkak tu
bukan kau punya.” Sindir Sahiril. Mahmudah hanya diam. Dia menyumpah nyumpah
Sahiril dalam hati.
Ketika sampai di rumah
Melisa, gadis itu telah menunggu di hadapan rumahnya. Melisa yang kelihatan
tersengih sengih seperti kerang busuk terus masuk ke dalam perut kereta dan
Sahiril terus meluncur pergi.
“Ini tentu Irfan kan? Irfan tak kenal kakak
Melisa lagi?” Soal Melisa sambil tersenyum ke arah Irfan. Dia terpaksa
menghadiahkan senyuman kepada anak kecil itu untuk menjaga hati Mahmudah.
Dia sudah tidak mahu lagi
bergaduh dengan wanita itu namun kebenciannya pada Mahmudah dan Mahani masih
lagi belum hilang. Ini semua atas permintaan Sahiril yang mahu dia berbaik baik
dengan Mahmudah. Malam semalam ketika Sahiril mengajaknya ke Sungai Congkak dia
agak keberatan untuk pergi. Dia tidak suka berkelah di tempat yang berhutan,
kotor dan banyak nyamuk seperti itu. Dia teringat akan perbualannya bersama
Sahiril melalui telefon semalam.
“Kenapa you telefon I
malam malam ni?” Melisa bertanya dengan agak kasar. Sahiril hanya tersenyum.
Dia tahu Melisa tentu marah padanya kerana dia telah memarahi gadis itu
kelmarin.
“You janganlah marah. Nanti hilang kecantikkan dan keayuan you.”
Sahiril menyatakan dalam nada memujuk. Melisa sekadar mencebik mendengar kata
kata lelaki itu.
“You tak payah nak
berbasa basi dengan I lagi. Kenapa you telefon I malam malam
macam ni? Cakap cepat sebab I nak tidur.” Ujar Melisa mendesak. Dia mahu
merajuk dari lelaki itu. Dia sebenarnya mahu menguji setakat mana cinta Sahiril
pada dirinya.
“I boleh cakap tapi you mesti janji untuk maafkan I.”
Pujuk Sahiril lembut. Dia tahu strategi mahu memujuk hati gadis itu. Melisa bukanlah gadis yang
sukar untuk dilembutkan hatinya.
“Kalau I tak nak maafkan you, you
nak buat apa?” Soal Melisa berbentuk cabaran pada diri Sahiril.
“I akan
datang rumah you dan cium you banyak kali.” Kata Sahiril sambil
tersenyum. Wajah Melisa mula merona merah menahan malu. Hatinya sudah mula
terpujuk dengan kata kata lelaki itu.
“Kalau I tak nak maafkan juga?” Soal
Melisa lagi.
“I akan tangkap you
dan kita akan kahwin kat Siam. Biar you jadi isteri I dan I
boleh selalu pujuk you.” Jawab Sahiril dalam nada suara yang cukup
tenang dan selamba.
“You nak maafkan I tak? I nak minta
maaf banyak banyak. I tengah sakit masa tu sebab tu I cepat
marah. I sebenarnya bukan marah pada you tapi Mahmudah tak guna
tu. I tak nak you bergaduh dengan perempuan kolot macam dia.”
Terang Sahiril.
“Betul you tak marah I?”
Soal Melisa dengan manja.
“Betul.... Takkan I nak marah gadis secantik you.
I lelaki paling malang kalau I buat macam tu.” Jawab Sahiril
lagi.
“Kenapa you telefon I malam malam ni?” Soal Melisa lembut.
Nada suaranya sudah berubah dan tidak seperti mula mula tadi.
“Esok I
nak ajak you pergi Sungai Congkak. You nak tak temankan I
pergi sana?” Soal Sahiril.
“Sungai Congkak? Kenapa you
nak pergi tempat kotor macam tu? You ada projek besar ke kat sana?”
Melisa bertanya dalam keadaan sedikit terkejut.
“Bukan. Esok I nak
berkelah dengan Mahmudah, Adam dan Irfan.” Jawab Sahiril.
“Apa? Berkelah? Tak
ada tempat lain ke you nak pergi? Lagipun kenapa you nak ikut
diaorang? Biarlah tak diaorang nak pergi mana pun.” Melisa bertanya dengan
perasaan sedikit geram. Dia tidak berapa suka apabila
mendengar nama Mahmudah.
“Saja. I tak pernah mandi sungai. Sesekali
menikmati pengalaman mandi sungai pun seronok juga.” Jawab Sahiril.
“I
bukan apa Sahiril. I tak suka pergi tempat macam tu. I lebih
selesa mandi dalam kolam kat hotel you.” Ujar Melisa jujur.
“I
bukan apa. Kita boleh menikmati keindahan alam semulajadi. Kita juga boleh
bergambar kat sana. I yakin mesti you tak pernah pergi tempat
tempat macam tu. Jadi marilah esok kita kutip pengalaman melawat sungai sungai
yang ada kat Malaysia ni. Nanti bila orang tanya tak adalah kita dikatakan
kolot.” Ujar Sahiril. Dia bijak bermain kata kata
untuk memujuk Melisa.
“Baiklah, I setuju. Tapi I tak nak lama
lama kat sana.” Ujar Melisa.
“You dah setuju pun I dah cukup
gembira. Tapi I nak minta pertolongan you.” Ujar Sahiril.
“Apa dia?”
Soal Melisa pula.
“I tak nak you bergaduh dengan Mahmudah. I
nak you berbaik baik dengan dia walaupun you tak suka.” Jawab Sahiril.
‘Tapi kenapa?” Soal Melisa bingung. Permintaan Sahiril itu agak berat untuk
ditunaikan olehnya.
“You kena faham. Dia yang jaga Irfan dan Adam. I
tak nak nanti dia tinggalkan Adam dengan I sebab tak tahan dengan
perangai you. Jadi I harap sangat you dapat tolong I.”
Jelas Sahiril. Melisa mula mengeluh.
“Baiklah, I
setuju.” Balas Melisa.
“Bagus. Kita jumpa esok ya. Bye!” Pamit Sahiril.
“Bye!” balas Melisa lemah lalu mematikan telefon bimbitnya.
VII
“Lisa! Kita dah sampai.”
Suara Sahiril dari luar kereta itu mematikan lamunan Melisa. Dia melihat di
sekeliling. Dia telah pun sampai di Sungai Congkak. Dia dapat mendengar bunyi
air yang deras dan kicauan burung di hutan tersebut. Dia mula melangkah keluar
dari kereta. Dia melihat Mahmudah dan Irfan sedang memandang ke arah dirinya.
“Jom!” Sahiril mengajak Melisa untuk turut serta.
Mahmudah yang sedang mendukung Adam mengikut
Sahiril dan Melisa turun dari sebuah bukit yang kecil. Irfan juga turun dari
bukit kecil itu dengan berhati hati.
“Baik baik Irfan.” Pesan Mahmudah. Dia
khuatir jika Irfan terjatuh.
“Kita berkelah kat sini.” Sahiril berkata setelah
mereka sampai di sebuah batu yang agak lebar. Mahmudah meletakkan Adam di atas
batu itu lalu dia membentang tikar.
Kemudian dia meletakkan bakul
yang berisi makanan dan sebuah beg yang berisi baju di atas tikar itu. Dia
lantas memangku Adam lalu membacakan beberapa potong ayat suci Al Quran di
telinga Adam. Ini bertujuan untuk menghindarkan makhluk halus dari mendekati
bayi itu. Dia melihat Sahiril dan Melisa sudah pun menukar pakaian. Sahiril
memakai seluar pendek tanpa baju manakala Melisa memakai sehelai baju T yang
agak ketat dan sehelai seluar pendek paras peha.
Gaya pemakaian Melisa itu
tidak disenangi oleh Mahmudah. Sepatutnya Melisa perlu memakai pakaian yang lebih
sopan apabila berada dengan seorang lelaki yang bukan muhrim seperti Sahiril.
Namun Mahmudah hanya diam sahaja. Dia malas untuk menegur kerana dia tahu sudah
tentu ibu bapa Melisa telah memberikan didikan agama yang secukupnya pada gadis
itu. Jadi terpulanglah pada Melisa
untuk mematuhinya atau tidak.
“Mahmudah, jom mandi sekali dengan kami.” Laung
Sahiril yang sudah pun berendam di dalam sungai bersama Melisa.
“Betul tu
Mahmudah. Seronok mandi kat sini. Air sungai ni sejuk sangat.” Ujar Melisa
pula.
“Tak apalah. Kamu berdua mandi dahulu.” Mahmudah menolak dengan baik. Sejujurnya
dia tidak suka dengan kehadiran Melisa di situ. Namun dia hanya mampu berdiam
diri. Ini semua adalah rancangan Sahiril.
“Mak long, Irfan nak mandi sungai
boleh tak?” Irfan bertanya untuk meminta kebenaran dari Mahmudah.
“Boleh. Pergi
tukar pakaian dahulu.” Jawab Melisa sambil tersenyum. Dia hampir hampir lupa
pada Irfan. Tujuan asalnya membawa Irfan ke mari adalah untuk anak kecil itu
bersuka ria bermandi manda di sungai.
Dia masih melihat Melisa dan
Sahiril sedang bermandi manda dan bermain air. Perlakuan mereka tidak ubah
seperti pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta. Kelakuan mereka berdua
menimbulkan rasa sakit di hati Mahmudah. Hal ini kerana Sahiril masih lagi
suami Mahani. Sepatutnya Sahiril perlu menjaga statusnya sebagai seorang suami.
Dia berasa amat benci dengan Melisa. Dia dapat merasakan gadis itu
sengaja mahu mengambil kesempatan ke atas diri Sahiril.
“Mak long, Irfan dah tukar
baju. Boleh Irfan mandi sekarang?’ Pinta Irfan pula.
“Baiklah. Tapi jangan pergi jauh jauh.
Nanti kamu lemas. Kamu mandi di tempat yang cetek saja.” Pesan Mahmudah. Irfan
terus terjun ke dalam air. Dia begitu gembira bermandi manda walaupun
kedinginan air sungai itu mencecah ke tulang sumsum.
“Irfan, mari sini. Ada banyak
batu batu yang cantik kat sini.” Sahiril memanggil Irfan.
“Betul Irfan. Mari ke
sini.” Pamit Melisa pula. Belum sempat Mahmudah berkata apa apa Irfan terus
berenang ke arah Sahiril dan Melisa. Dia begitu gembira melihat batu batu
cantik yang ditunjukkan oleh Sahiril dan Melisa.
“Ambil batu ni. Bawa balik ke
rumah.” Ujar Sahiril sambil memberikan Irfan sebiji batu yang berwarna coklat.
Rupa bentuk batu itu sungguh
cantik. Irfan benar benar suka dengan batu itu. Batu yang berbentuk heksagon
itu menarik perhatian Irfan. Mahmudah yang berada di atas batu besar itu hanya
melihat. Walaupun hatinya berat untuk membiarkan Irfan bersama Sahiril namun
jauh di sudut hatinya dia gembira melihat layanan Sahiril kepada Irfan.
“Mari
kita mandi Irfan.” Sahiril mengajak Irfan untuk mandi bersama dengannya. Tanpa membantah Irfan terus
mengikut Sahiril dan Melisa bermandi manda. Sahiril begitu leka berbual dengan
Melisa dan hanya membiarkan Irfan bersendirian. Mahmudah pula membancuh susu
buat Adam yang sedang galak menangis. Ketika semua orang leka membuat aktiviti
masing masing tiba tiba satu jeritan meminta tolong kedengaran.
“Tolong!
Tolong!” jerit Irfan yang kelemasan. Mahmudah yang sedang
menyusukan Adam terperanjat mendengar suara Irfan. Diamelihat Irfan sedang terkapai
kapai meminta pertolongan.
“Sahiril! Tolong Irfan! Dia tengah lemas tu!” Jerit
Mahmudah ke arah Sahiril. Sahiril yang sedang leka bermandi manda bersama
Melisa terkejut mendengar jeritan Mahmudah. Dia segera melihat ke arah Irfan
yang sedang terkapai kapai kelemasan.
Tanpa membuang masa lagi
Sahiril terus berenang untuk mendapatkan Irfan. Dia terus menarik Irfan ke
tepi. Dia mendukung Irfan dan meletakkan di atas batu yang di duduki oleh
Mahmudah itu. Melisa yang mengikuti Sahiril agak terkejut dengan kejadian itu.
Sahiril memberikan bantuan pernafasan kepada Irfan yang sedang pengsan itu.
Dengan kuasa Allah s.w.t Irfan mula sedar.
Dia terbatuk batuk kerana
terlalu banyak tertelan air sungai. Mahmudah yang hampir hampir mahu menangis
itu terasa amat lega melihat Irfan yang telah sedar.
Ya Allah...syukurlah kau selamat nak..." Ujar Mahmudah yang tidak putus putus mengucapkan lafaz syukur setelah melihat Irfan yang selamat. Jika sesuatu yang buruk terjadi kepada Irfan, dia memang tidak dapat memaafkan dirinya. Kemudian segera dia teringat sesuatu. Dia memandang ke arah Sahiril dengan kegeraman.
“Kau memang bodoh! Kenapa
kau tak jaga Irfan dengan baik?” Tengking Mahmudah pada Sahiril. Dia berasa
amat marah dengan kecuaian Sahiril.
“Mana aku tahu. Aku ingat air tak dalam.”
Sahiril membela diri.
“Kau memang bodoh dan cuai!
Disebabkan kau nyawa Irfan hampir hampir melayang.” Bentak Mahmudah.
“Kau
jangan nak salahkan aku pula. Kau yang ajak kami ke mari jadi kaulah yang patut
bertanggungjawab. Lagipun Irfan di bawah jagaan kau. Bukan aku!” Balas Sahiril
dalam nada suara yang amat tinggi.
“Sudah. Tak guna kita bergaduh kat sini. Lagipun
Irfan dah sedar.” Melisa cuba meleraikan pertengkaran yang berlaku antara
Mahmudah dan Sahiril.
“Kau diam Melisa. Ini semua
takkan terjadi kalau kau tak ikut sekali ke mari.” Marah Mahmudah sambil menunding
jari ke arah Melisa.
“Kau jangan salahkan orang lain untuk menutup kesilapan
kau!” Ujar Sahiril membela Melisa.
“Ini semua kau punya pasal. Kalau kau tak
bawa betina gedik ni kat sini tentu perkara ini takkan berlaku.” Mahmudah
berkata pada Sahiril.
“Baiklah. Apa yang buruk
semua kami berdua tapi apa yang baik semuanya kau. Mari Melisa kita balik. Kita
tinggalkan andartu ni seorang diri. Biar dia kahwin dengan putera bunian yang
ada dalam hutan ni.” Ujar Sahiril lalu menarik tangan Melisa. Mereka berdua
terus naik ke atas dan menuju ke kerata. “Pergi berambus kamu berdua. Aku
doakan kamu agar ditimpa kemalangan semasa dalam perjalanan balik ke rumah.”
Mahmudah menyumpah.Dia melihat kereta Sahiril
meninggalkan tempat itu.
“Mak long, macam mana kita nak balik? Papa dah
tinggalkan kita.” Soal Irfan yang kelihatan risau.
“Kamu jangan risau Irfan.
Nanti mak long telefon pakcik Ramli untuk ambil kita kat sini.” Jawab Mahmudah
tenang. Dia berani memberi jaminan itu kerana dia tahu Ramli pasti akan
membantunya.
“Kamu pergilah mandi. Kalau kamu lapar kat sini ada makanan.
Jangan pergi jauh jauh sangat. Mandi kat tepi batu ini saja.” Nasihat Mahmudah.
Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Walaupn pada waktu itu dia ingin pulang saja namun apabila mengenangkan Irfan
masih belum puas bermandi manda di sungai itu, dia memberi kebenaran untuk
Irfan mandi dengan sepuas puasnya.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.