Sumber : Google |
Ada banyak sebenarnya ciri yang
perlu ada dalam diri seorang pemimpin untuk membolehkan seorang pemimpin itu
menjadi hebat dan berwibawa. Tetapi dalam rencana ini saya mahu menulis tentang
satu ciri sahaja iaitu pemimpin yang beriman dan bertaqwa.
Mengapa penting kita memilih pemimpin
yang beriman untuk menjadi pemimpin kita? Ini kerana pemimpin yang beriman itu
tahu dosa dan tahu pahala. Apabila dia tahu tentang dosa dan pahala, maka
kuranglah dia melakukan dosa dan banyaklah dia melakukan pahala dalam
kepimpinannya. Segala perbuatan yang boleh mendatangkan dosa seperti pecah
amanah, rasuah, kronisme, dan sebagainya pemimpin itu tidak akan melakukannya.
Sebaliknya dia akan banyak melakukan perbuatan yang mendatangkan pahala seperti
mencegah kemungkaran, menjaga kebajikan rakyat yang miskin, mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat jelata dengan sewajarnya, dan sebagainya.
Jika kita memilih pemimpin yang
beriman maka segala kebajikan kita sebagai rakyat jelata akan terjaga sentiasa.
Ini kerana pemimpin tersebut takut jika kepimpinannya disoal oleh Allah di
akhirat sana. Dia tidak mahu dirinya diazab oleh api neraka kerana tidak
menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemimpin ketika dia masih di dunia. Maka,
dia akan berusaha untuk menyelesaikan segala masalah yang melanda rakyat jelata
dengan segera.
Masalah masalah rakyat seperti
kemiskinan, keadilan, kebajikan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya akan
dijaga oleh seorang pemimpinan yang beriman. Seorang pemimpin yang beriman
tidak akan sanggup melihat rakyatnya dihurung dengan penderitaan. Dia akan
berusaha sedaya upaya supaya rakyatnya boleh menikmati segala kemudahan,
kesenangan, dan keamanan.
Apabila kita diperintah oleh pemimpin
yang kurang iman atau tiada iman, maka rosaklah negara dan watan. Pemimpin
tersebut akan terus melakukan kerosakan. Perkara perkara mazmumah dalam
pentadbiran seperti ketidakadilan, ketirisan, pembaziran, dan ketidaktelusan
akan terus berjalan. Rakyat yang berada di bawahnya akan terus berada dalam
kesengsaraan.
Tidaklah dikata seorang pemimpin yang
beriman itu hanya tahu solat dan tahu puasa sahaja. Pemimpin yang beriman
mestilah pandai dalam banyak perkara seperti politik, ekonomi, kewangan,
perniagaan, dan sebagainya. Seorang pemimpin yang beriman juga mesti bijaksana.
Ini bagi membolehkan dia berhadapan dengan sepak terajang politik di pentas
antarabangsa. Jika dia tidak bijaksana, pastilah dia mudah ditipu oleh orang di
sekelilingnya atau pemimpin dari lain negara.
Selain itu, seorang pemimpin yang
beriman juga mestilah bertolak ansur, kreatif, berwawasan, dan berani. Segala
ciri ini dapat membantu seorang pemimpin yang beriman itu untuk membuat sesuatu
keputusan nanti. Sesuatu keputusan yang bakal diambil oleh seorang pemimpin itu
sangat penting sekali. Jika dia silap membuat keputusan, maka rakyat jelata yang
akan menerima kesusahan.
Model pemimpin yang beriman selain
Rasulullah dan Khulafak Arrasyiddin adalah Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Inilah
pemimpin yang mesti dicontohi dan diikuti oleh semua pemimpin yang ada di dunia
ini. Tetapi sayangnya tidak ramai yang mahu mencontohi pemimpin pemimpin Islam
yang agung ini. Ramai pemimpin kebanyakkannya menjalankan kepimpinan mengikut
‘tekak’ sendiri.
Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan
Agong yang baru iaitu Sultan Muhammad Ke-V daripada negeri Kelantan dipercayai
sebagai pemimpin yang beriman. Dia bukan sahaja disukai oleh rakyat jelata
malah sering pula diberi perhatian. Ini gara gara sifatnya yang gemar
berpakaian biasa dan melayan rakyat jelata dengan mesra. Dia tidak janggal
untuk menjadi imam solat, melakukan penyembelihan korban, dan membantu
memasukkan jenazah ke liang lahad. Tidak ramai raja di dunia dapat buat seperti
mana YDP Agong yang baru boleh buat. Sesungguhnya Baginda adalah seorang Sultan
yang sangat hebat.
Sebab itulah sangat penting kita memilih
pemimpin yang beriman. Pemimpin yang beriman pasti mewujudkan sebuah negara
yang aman dan berkebajikan. Seorang pemimpin yang beriman tidak akan sanggup
melihat rakyatnya hidup dalam kesusahan. Moga moga negara kita ini dapat
dipimpin oleh ramai pemimpin yang punya taqwa dan iman.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.