Sabtu, 28 Januari 2017

PEMIMPIN YANG TIDAK BOLEH JADI PEMIMPIN



Image result for pemimpin jahat
Sumber : Google


Ramai orang suka dan mahu jadi pemimpin. Apabila menjadi seorang pemimpin, banyak faedah yang seseorang itu boleh dapat dengan memimpin. Sama ada faedah itu berbentuk wang atau kuasa mempengaruhi, itu adalah punca utama seseorang itu berebut untuk menjadi pemimpin hingga sanggup mati. Tetapi tugas dan tanggungjawab yang berat kadang kala langsung tidak mahu dipeduli. Tidak ramai manusia yang sanggup jadi pemimpin dengan rela hati. 


Ada banyak sebab mengapa seseorang itu boleh terpilih sebagai pemimpin untuk memimpin sesebuah organisasi. Ada pemimpin dipilih kerana dia berwajah kacak, ada pemimpin dipilih kerana dia boleh menyediakan kepada penyokongnya wang yang banyak, ada pemimpin yang dipilih kerana populariti atau bakat yang ada pada dirinya, ada pemimpin dipilih kerana dia tinggi ilmu agama, dan ada juga pemimpin dipilih kerana dia bijaksana. Pendek kata, seorang pemimpin itu boleh naik sebagai pemimpin dengan bermacam cara. 


Walaupun seseorang itu boleh bergelar seorang pemimpin, namun belum tentu dia boleh memimpin. Dia naik sebagai pemimpin mungkin kerana sokongan majoriti dan bukannya kerana bakat kepimpinan yang ada dalam diri. Sebab itu apabila dia memimpin sesebuah organisasi, sama ada organisasi itu musnah atau tidak lagi berprestasi tinggi. 


Ada banyak ciri yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya. Pemimpin yang hebat bukan sahaja perlu beriman, malah perlu bertolak ansur, tegas, berani, berwawasan, dan bijaksana. Kesemua ciri ini adalah sangat penting untuk memastikan kepimpinannya diterima dan organisasi yang dipimpinnya boleh berjaya.  


Selain itu, seorang pemimpin yang baik mestilah : (1) mendidik orang bawahan (2) menjaga kebajikan orang bawahan (3) sentiasa bersama orang bawahan ketika susah ataupun senang (4) sentiasa bekerjasama dengan orang bawahan (5) membantu orang bawahan untuk berjaya (6) menghargai orang bawahan (7) dan tidak mudah marah dengan orang bawahan. 


Kesemua sikap ini akan membuatkan kepimpinan seseorang pemimpin itu boleh diterima oleh semua. Apabila kepimpinannya diterima, orang bawahan akan suka dengannya seterusnya hasil kerja mereka pun akan bermutu juga. Apabila hasil kerja orang bawahan bermutu, barulah organisasi yang dipimpinnya akan berjaya dan padu. 


Seorang pemimpin yang kurang baik tidaklah mempunyai ciri ciri pemimpin yang baik seperti di atas. Pemimpin yang kurang baik hanyalah : (1) mengarah orang bawahan (2) suka menunjukkan yang dia berkuasa (3) sentiasa menyalahkan orang bawahan jika ada masalah berlaku (4) mementingkan diri sendiri (5) memeras tenaga dan keringat orang bawahan (6) meletakkan penghargaan kepada dirinya sendiri dan (7) sering memarahi orang bawahan.
 

Pemimpin sebeginilah yang menyebabkan ramai orang bawahannya benci. Apabila orang bawahannya benci, maka kepimpinannya turut tidak disukai. Maka hasil kerja orang bawahan pun tidak sempurna serba serbi lalu organisasinya yang dipimpinnya akan menemui kegagalan berkali-kali. Pemimpin sebeginilah yang naik sebagai pemimpin kerana sokongan kroni atau populariti dan bukannya kerana bakat kepimpinan yang ada dalam diri.       


Ada juga pemimpin yang bijaksana dan berwibawa tetapi kerana tiada bakat kepimpinan atau mungkin sikap buruk yang ada dalam diri menyebabkan organisasi pimpinannya tidak boleh berjaya. Pemimpin sebegini memang ramai sebenarnya di dalam dunia. Sebab itulah jika kita melihat, organisasi yang dipimpinnya hanya bertaraf ‘suam suam kuku’ sahaja.


Untuk menjadi seorang pemimpin bukannya satu kerja yang mudah. Seorang pemimpin perlu banyak menanggung tanggungjawab dan juga amanah. Pemimpin yang baik mesti disukai oleh orang bawah. Pemimpin yang kurang baik membawa organisasi menuju musnah! Moga moga kita semua tidak dipimpin oleh pemimpin yang lemah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.