Jumaat, 17 April 2015

PAS DAN UMNO SAMA SAMA NAKAL

Sumber : Google

Lucu juga apabila ada orang PAS menunding UMNO sebagai sebuah parti yang nakal (jahat). Memang tidak dinafikan bahawa UMNO memang parti yang nakal. Pelbagai kenakalan yang dibuat UMNO terhadap negara ini sehingga membebankan rakyat. UMNO dilihat lebih banyak membuat masalah daripada menyelesaikan masalah.

Pada saya, yang salah bukan UMNO tetapi pemimpin UMNO dan penyokongnya. Mereka inilah yang acapkali membuat kenakalan sehingga menyusahkan ramai orang. Oleh kerana mereka terlalu nakal, maka rakyat menghukum mereka dalam dua pilihanraya iaitu PRU12 dan PRU13 di mana UMNO gagal mempertahankan majorit dua pertiga mereka di Parlimen dalam kedua dua pilihanraya itu.  

Masalah begitu banyak melanda UMNO sekarang. Masalah masalah itu datangnya bukan baru. Ada yang datang sejak UMNO ditubuhkan lagi tetapi berjaya ditutup oleh pemimpin pemimpin mereka supaya masalah itu tidak diketahui oleh orang ramai. Namun, oleh kerana kecanggihan teknologi pada masa kini, sedikit demi sedikit tembelang UMNO pecah. Justeru itu, UMNO mula dianggap sebagai parti tidak relevan sejak akhir akhir ini. Rakyat sudah muak dengan UMNO dan mahu menukar segera parti keramat itu dengan parti lain, Pakatan Rakyat khususnya. 


UMNO perlu ingat dan faham. Jika mereka masih lagi mengamalkan sikap yang sama, tidak membuat sebarang perubahan yang berkesan pada parti dan negara, nescaya masa depan UMNO akan terus kelam. Gelombang rakyat sudah semakin banyak yang menolak UMNO. Oleh itu, UMNO wajar membuat anjakan paradigm dalam partinya sendiri.

Oleh kerana UMNO telah mentadbir negara sejak merdeka ataupun hampir enam puluh tahun, maka jelaslah kenakalannya. Berbeza dengan PAS, parti Islam itu tidak dilihat terlalu nakal walaupun mereka juga tidak kurang juga nakalnya. Nakal PAS tidak sama seperti nakal UMNO. Nakal UMNO lebih banyak daripada nakal PAS kerana UMNO telah mentadbir banyak negeri dan telah lama mentadbir negara pula.

PAS tidak dilihat terlalu nakal berbanding UMNO kerana PAS tidak pernah mentadbir negara. PAS lama mentadbir Kelantan, lima tahun mentadbir Kedah dan Terengganu (jika saya tidak silap) dan tidak lama mentadbir Perak. Oleh itu, kenakalan PAS tidak banyak jika hendak dibandingkan dengan UMNO walaupun kadang kala PAS pun nakal juga.

Seperti UMNO, PAS juga punya pemimpin dan ahli yang nakal yang sentiasa membawa masalah kepada parti itu. Jika UMNO menggunakan media medianya untuk menutup segala masalah itu, PAS pula menggunakan Islam untuk menutup segala kelemahan dan masalah yang mereka lakukan. Jadi, PAS tidaklah kelihatan terlalu nakal kerana mereka berselindung di sebalik jubah dan bacaan ayat ayat Al Quran serta petikan hadis hadis yang dibaca diwaktu ceramah.

Penyokong PAS merasakan bahawa parti mereka terlalu baik kerana memperjuangkan Islam. Itu pandangan mereka walaupun ada sesetengah ajaran Islam ciptaan PAS telah banyak menyongsang daripada ajaran Islam yang sebenar. Oleh kerana fatwa PAS-lah, hingga sekarang ‘sembahyang dua imam’, ‘kafir mengkafir’ dan ‘bercerai suami isteri kerana politik’ masih berlaku. Itu semua kerana kenakalan pemimpin pemimpin PAS semata mata mahu mendapatkan kuasa politik.

Oleh kerana ramai penyokong mereka yang taksub pada pemimpin dan parti itu, mereka merasakan apa sahaja yang dibuat oleh PAS itu betul walaupun ia bersifat nakal. Mereka sangat mengagungkan pemimpin mereka sehingga pemimpin mereka tidak boleh dikritik. Saya sendiri pernah dituduh murtad oleh kawan saya (penyokong PAS) kerana mengkritik arwah Nik Aziz tidak lama dahulu!

PAS mungkin dilihat tidak terlalu nakal kerana mereka tidak berada di tempat UMNO. Jika mereka sudah berada di tempat UMNO, mereka pasti akan sama nakal dengan UMNO atau lebih nakal daripada UMNO. PAS tidak diuji dengan kuasa, pangkat dan harta yang sangat besar lagi banyak daripada Allah s.w.t lagi seperti mana Allah menguji UMNO sekarang. Jika mereka diuji sebegitu, saya tidak tahu apakah imej PAS akan kekal sama seperti sekarang atau akan bertukar menjadi lain.  

Maaf cakap, pemimpin PAS bukan nabi yang maksum dan terlepas daripada melakukan khilaf dan dosa. Pemimpin PAS juga manusia biasa cuma PAS lebih sedikit daripada UMNO kerana PAS mahir dalam selok belok agama dan duduk dalam parti Islam pula. Dari segi lain, tidak banyak perbezaan antara PAS dan UMNO.

Tidak mustahil segala kesilapan yang dibuat oleh UMNO kini boleh dibuat oleh PAS kelak jika PAS diberi mandat untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti. PAS juga manusia biasa dan sudah tentulah PAS juga boleh berlaku nakal seperti mana UMNO berlaku nakal sekarang. Jadi, tidak wajarlah PAS melabel UMNO sebagai nakal kerana PAS pun mungkin akan ikut UMNO jadi nakal juga jika diberi peluang duduk di tempat UMNO sekarang.

Tiada manusia yang sempurna di dunia ini…  


1 ulasan:

  1. Kita ni cuma manusia biasa...melakukan kesilapan tu sudah pasti..namun adalah menjadi kerugian kalau kita xpernah belajar dr kesilapan tersebut

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.