Isnin, 6 April 2015

ADAKAH NASIB KHAIRY JAMALUDDIN SAMA SEPERTI NASIB ANWAR IBRAHIM?

Sumber : Google

Khairy Jamaluddin (KJ) – Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan. Ramai orang kagum dengan karisma dirinya (termasuk saya). Seorang yang kacak, berani, petah berhujah, lulusan Oxford University, anak diplomat, menantu bekas Perdana Menteri, bijak, bergaya, tegap, kaya, pelakon filem, peragawan dan seribu satu pujian lagi yang dilemparkan oleh pemuja pemujanya sama ada di dalam BN (UMNO) mahupun di luar BN. Lebih menarik, ramai penyokong parti pembangkang pun kagum dengan dirinya!

Pendek kata, Khairy ini satu susuk yang cukup sempurna sebagai seorang ahli politik. Dia juga diramalkan oleh kebanyakkan orang sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia pada masa depan setaraf dengan Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli dalam parti pembangkang. Ramai orang terpesona dengan gayanya. Pembawakkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang berkarisma dan berwibawa telah diakui oleh ramai orang.

Ya, jika diperhalusi secara mendalam Khairy memang layak untuk duduk di jawatan Perdana Menteri itu tetapi saya tidak tahu bila dan selepas siapa. Mungkin beliau akan menjadi Perdana Menteri selepas Hishamuddin Tun Hussein atau Ahmad Zahid Hamidi. Jika bintang politiknya cerah dan terang, jawatan panas itu memang ditempah untuk dirinya tetapi itu pun jika UMNO masih berkuasa di Malaysia!


Namun begitu, Khairy sama seperti Anwar Ibrahim semasa menjadi Ketua Pemuda UMNO dahulu. Pelbagai kontroversi yang dilemparkan dari dalam dan luar parti perlu ditangkis oleh Anwar. Anwar disintuklimaukan (bak kata Yahaya Ismail) oleh Mahathir untuk menjadi bakal penggantinya namun tersingkir pada tahun 1998 kerana kes liwat. Sepanjang tempoh itu, Anwar telah menghadapi pelbagai cabaran seperti fitnah dan cacian bukan sahaja dalam kalangan ahli parti tetapi juga oleh parti pembangkang (PAS dan DAP khususnya!).

Apa yang dihadapi oleh Anwar dahulu telah dihadapi oleh Khairy sekarang. Gelaran ‘Budak Tingkat Empat’ di era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri masih lagi meniti di bibir musuh musuh politiknya. Cakap cakap politik mengatakan, Khairy adalah punca pentadbiran Abdullah lemah dan akhirnya dikuluhumkan oleh rakyat pada PRU12 tahun 2008.

Khairy juga terlibat dalam politik wang semasa merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO tahu ketika kali pertama dia bertanding dalam jawatan itu. Beliau didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO namun masih dibenarkan bertanding dan akhirnya menang. Kemenangan Khairy itu tidak hanya dilaungkan dengan sorakan kegembiraan tetapi juga hentaman dan cacian!

Ramai orang masih ingat Khairy dahulu pernah memberi passport antarabangsa kepada Anwar semasa Anwar mahu berubat di Jerman tidak lama dahulu. Tindakan Khairy itu mengundang tanda tanya dan dan rasa curiga ramai orang kepada menantu bekas Perdana Menteri itu. Hingga sekarang, persoalan itu kekal menjadi misteri. Apa tujuan Khairy beri passport itu kepada Anwar?

Pokok pangkalnya, begitu banyak hambatan ‘kisah buruk’ telah melanda diri Ketua Pemuda UMNO itu sama ada yang kita tahu atau yang kita tidak tahu. Seperti yang saya tulis di atas tadi, apa yang dihadapi oleh Khairy ini pernah dihadapi oleh Anwar Ibrahim dahulu. Pendek kata, wujud persamaan situasi antara Anwar dan Khairy.

Anwar telah diagung-agungkan sebagai Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir. Jawatan terakhir Anwar dalam kerajaan adalah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Muncul persoalan di minda saya, apakah nasib Khairy akan jadi seperti Anwar? Diagung-agungkan sebagai Perdana Menteri dan akhirnya tersingkir daripada parti serta kerajaan lalu menjadi Ketua Pembangkang?

Tidak mustahil apa yang terjadi kepada Anwar bisa terjadi kepada Khairy jika Khairy tidak bijak bermain catur politik. Ingatlah, permainan catur politik Malaysia agak unik, berwarna warni dan penuh pancaroba. Jika Khairy silap langkah, nasib Khairy mungkin sama macam Anwar atau mungkin lebih buruk lagi!

Saya yakin Khairy pasti bercita cita untuk menjadi Perdana Menteri. Itu adalah cita cita setiap ahli politik tetapi untuk sampai ke takhta kuasa itu bukanlah boleh melalui jalan yang mudah. Silap langkah Khairy boleh tersungkur menyembah bumi. Jika Anwar yang bijak, licik, dan petah berkata kata itu pun boleh jatuh, masakan Khairy tidak?


Kesimpulannya, Khairy perlu sedar dan perlu kenal musuh politiknya yang ada di dalam UMNO, di dalam parti pembangkang, dalam kalangan rakyat marhaen, dalam kalangan akar umbi dan dalam kalangan bloggers. Mereka tidak pernah tidur walaupun seminit untuk menjatuhkan Khairy dan sekiranya Khairy terleka walaupun seketika, tidak mustahil nasib Khairy akan sama seperti nasib Anwar Ibrahim yang ada di dalam penjara sana! 

4 ulasan:

  1. KJ memang mengagumkan..mumpunyai pakej lengkap sebagai ahli politik...namun orang-orang yang mempunyai kelebihan seperti ni selalunya tak kan diberi peluang sekiranya berada dalam arena politik sebuah negara yang " Most Corrupt Countries in the world"..kata Dr. M laa..bukan gua yg kata ok ( Takut komen ni orang klasifikasi Akta Hasutan pulak..huhu).. Masih kah kita ingat tentang kebijaksanaan Hang Nadim?? yang bagi idea jadikan batang pisang sebagai benteng semasa Singapura dilanggar todak...Apakah nasib Hang Nadim????...itulah hakikat bila politik yang suci..dikotorkan oleh tangan-tangan yang kotor...Wallahuaqlam..

    BalasPadam
  2. kdg org yg rasa tergugat tu yg akan cuba merancang utk menyingkir ahli yg berwibawa...maka yg tggl hnya "reject" yg tidak banyak menyumbang kepada rakyat...malah lebih menyusahkan rakyat

    BalasPadam
  3. Zumal pun kagum dgn YB KJ , moga jadi pelapis pemimpin utama kita nanti...

    BalasPadam
  4. politik ni kena pandai bersaing.salah langkah,ke belakang la jawabnya.sentiasa ada yang memerhatikan untuk menjatuhkan.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.