Sabtu, 4 April 2015

NAJIB WAJAR IKUT NASIHAT TUN MAHATHIR

Sumber : Google

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed telah meminta Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO bagi menyelamatkan negara dan Barisan Nasional selepas merasmikan persidangan ‘What Youth Should Know’ di Cyberjaya, Sabtu lalu. Sebagai bekas negarawan, saya melihat tindakan Mahathir itu adalah betul dan tepat.

Kepimpinan Najib yang lemah di sana sini telah menyebabkan Mahathir ‘terpaksa’ melakukan tindakan tersebut bagi menyelamatkan Malaysia dan Barisan Nasional. Najib bukan sahaja lemah, tetapi juga pelbagai skandal telah menghambat dirinya sejak sekian lama. Skandal dirinya itu sudah terjadi sebelum dia menjadi Perdana Menteri lagi. Cerita cerita buruk mengenai Rosmah Mansur telah menyebabkan bintang politik Najib menjadi malap malah bakal padam tidak lama lagi!

Bukan sahaja masalah Rosmah, masalah Altantuya, masalah pembaziran wang negara, masalah kepimpinan dalam UMNO, masalah beliau menangani parti pembangkang, masalah rasuah yang berleluasa, masalah 1MDB, masalah GST dan seribu satu masalah lagi telah menghambat Najib dan kepimpinannya sejak sekian lama. Segala masalah itu bukan sahaja memberi kesan kepada politik Najib tetapi juga masa depan UMNO dan Barisan Nasional.  


Justeru itu, sudah tiba waktunya Najib perlu berundur daripada jawatan yang dipegangnya sekarang. Najib tidak boleh jadi buta, pekak dan bisu berkenaan masalah ini. Jika Najib masih mengambil jalan yang beliau ambil sekarang, masa depan BN, agama Islam dan bangsa Melayu bakal kelam tidak lama lagi. Tetapi saya tidak fikir Najib akan fikir soal itu. Najib hanya fikir akan survival politiknya sahaja!

 Saya bukan mahu menjadi rakyat yang kurang ajar kepada pemimpin negara tetapi melihat kepada keadaan sekarang, saya perlu senada dan seirama dengan Tun Mahathir walaupun banyak perkara yang orang tua itu buat dahulu saya tidak setuju. Pada saya, pandangan negarawan itu adalah tepat dengan keadaan sekarang. Sampai bila Najib mahu duduk di kerusi empuk Perdana Menteri itu disaat pelbagai masalah negara dan parti sentiasa menghambat dirinya.

Najib sudah tidak boleh bertangguh lagi. Najib perlu segera menyerahkan kuasa kepada Muhyiddin secepat mungkin untuk menyelamatkan UMNO dan negara. Adakah Najib fikir yang beliau mahu diturunkan seperti Hosni Mubarak? Saya tidak fikir begitu kerana politik Malaysia dan rakyatnya tidaklah seagresif itu tetapi perkara itu tidak mustahil berlaku.

Jika Najib terus berdegil dengan keputusannya, sudah tiba masanya beliau perlu dicabar dalam pemilihan parti akan datang. Sudah tiba masanya pemimpin UMNO yang berwibawa menentang Najib untuk menyelamatkan keadaan yang kian parah ini. Ahli ahli UMNO juga wajar menyokong pemimpin yang berwibawa itu untuk ‘menggulingkan’ Najib dari takhta kuasa tersebut!

Jika ahli dan pemimpin UMNO masih lagi bermain play safe dalam politik, nescaya masa depan UMNO akan gelap gelita selepas ini. Bukan sahaja masa depan UMNO, malah masih depan negara dan bangsa akan turut terheret sama. Ahli dan pemimpin UMNO yang lain wajar bertindak radikal bagi mengatasi masalah ini jika mereka benar benar sayangkan UMNO, agama, bangsa dan tanah air tercinta ini. Ahli dan pemimpin UMNO wajar membuat perubahan yang drastik dalam parti itu tanpa rasa takut dan gentar.  

Ingatlah, UMNO dan BN hampir tewas dalam pilihanraya yang lalu. Pelbagai musibah yang telah menimpa negara ini di bawah pemerintahan Najib. Tidak mustahil ini adalah amaran daripada Allah supaya Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Jangan sampai Allah melenyapkan Najib dan UMNO terus daripada muka bumi ini kerana keingkaran mereka yang gagal menangani pelbagai masalah rakyat!

Kesimpulannya, Najib wajar meletak jawatan jika benar beliau mahu selamat. Jika beliau masih berdegil, jangan menangis tidak berlagu jika UMNO dan BN dikuluhumkan oleh rakyat pada PRU14 nanti. Ingatlah, masa semakin pendek dan tidak pernah menunggu kita. Lambat bertindak nahas pasti menanti!


2 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.