Isnin, 20 April 2015

BERGURAU PERLU ADA BATAS

Sumber : Google

Sebagai seorang manusia, kita pasti akan bergurau sama ada dengan rakan rakan atau dengan ahli keluarga. Saya yakin hampir setiap hari kita bergurau. Gurauan yang baik dapat menghiburkan dan menceriakan hati yang rawan. Jangan lupa, Rasullulah juga bergurau. Ikuti kisah Rasulullah yang bergurau dengan wanita tua tentang orang tua yang tidak masuk syurga itu. Ini membuktikan gurauan diterima baik di dalam Islam.

Gurauan yang baik bukan sahaja dapat menghiburkan tetapi juga dapat mengeratkan hubungan persahabatan sekaligus hubungan silaturrahim. Tetapi, wujud juga gurauan yang tidak baik. Gurauan yang menyakitkan hati, gurauan yang memperkecilkan kelemahan orang lain dan gurauan yang bersifat menghina adalah contoh gurauan yang tidak baik. Walaupun ia masih dianggap gurauan, namun dianggap tidak baik kerana mengguris hati dan perasaan orang lain.

Masalah orang kita ialah mereka tidak pandai menjaga batasan dalam bergurau. Hampir setiap masa mereka bergurau. Ketika orang lain serius, mereka masih boleh lagi bergurau. Gurauan semacam ini memang menyakitkan hati dan tidak disukai oleh ramai orang. Kita harus ingat, ada masa wajar kita bergurau dan ada masa wajar kita serius. Bukan sepanjang masa kita bergurau dan bukan sepanjang masa kita perlu serius.


Sukar sebenarnya apabila kita berhadapan dengan manusia yang tidak pandai membezakan suasana serius dan suasana bergurau ini. Mereka tidak cekap menganalisis keadaan lalu terkandas dalam situasi yang salah.   

Gurauan yang tidak baik juga terjadi apabila kita menggunakan kelemahan dan kekurangan orang lain sebagai bahan gurauan kita. Sebagai contoh, jika ada kawan kita berbadan besar (gemuk), kita mengutuknya sehabis mungkin atas alasan bergurau. Kita menjadikan tubuhnya yang besar itu sebagai bahan lawak untuk menceriakan suasana. Bagi diri kita, itu mungkin satu gurauan tetapi bagaimana dengan kawan kita yang berbadan besar tadi, tidakkah dia terguris hati mendengar gurauan itu?

Tidak ada masalah jika kawan kita itu jenis manusia yang tahan gurau. Tetapi bagaimana jika kawan kita itu bukan jenis manusia yang sebegitu? Manusia yang sensitif, mudah terasa hati dan hatinya mudah terguris. Tidakkah akan mewujudkan persengketaan kerana gurauan kita itu. Jangan menghukum semua manusia di dalam dunia ini sama. Ada manusia boleh terima gurauan dengan tangan terbuka namun bukan semua manusia sebegitu. Kita tidak boleh sesekali mencemuh manusia yang tidak tahan gurau itu kerana Allah menciptakan manusia berbeza beza dan sudah pasti tidak akan sama.

Gurauan yang tidak baik juga terjadi apabila kita bergurau secara melampau. Kita bergurau sepanjang masa dan gurauan kita itu menyakitkan hati. Sebagai contoh, kawan kita itu ada masalah dalam menguasai Bahasa Inggeris. Hampir setiap masa kita mengutuknya kerana kelemahan dirinya itu. Hari hari kita memperkatakannya sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam hati kawan kita itu. Gurauan semacam itu dikategorikan sebagai gurauan yang melampau!

Gurauan yang melampau juga apabila melibatkan ahli keluarga seseorang. Kita menghina ibu, bapa, adik, abang, anak, dan isteri orang lain atas alasan mahu bergurau. Gurauan semacam inilah yang boleh mencetuskan persengketaan dan pergaduhan. Gurauan yang seperti ini tidak baik dan wajib dihindarkan. Ingatlah, bukan semua perkara kita boleh bawa bergurau. Ada perkara yang tidak patut sama sekali kita jadikan sebagai bahan gurauan seperti ahli keluarga misalnya.

Justeru itu, kita perlu memahami ‘ilmu’ bergurau ini dengan betul dan mendalam supaya gurauan kita tidak tersasar dari landasan yang sepatutnya sehingga boleh mencetuskan perbalahan, pergaduhan, dan persengketaan. Kita mesti tahu menganalisis bila masa kita patut bergurau dan bila masa kita patut serius dan perkara yang paling penting adalah bukan semua perkara boleh dijadikan bahan gurauan dan jangan sesekali bergurau sehingga melampaui batas.

Rumusannya, marilah kita menjadikan gurauan itu sebagai jambatan untuk kita mengeratkan hubungan persahabatan, kekeluargaan dan silaturrahim. Gurauan bukanlah alat untuk kita mencetuskan perbalahan sesam kita. Oleh itu, wajarlah kita mengetahui selok belok ilmu bergurau dengan sebaik mungkin akan gurauan kita itu tidak melampaui batas. Gurauan mesti ada batas!


5 ulasan:

  1. betul tu bergurau nak menghiburkan org tu.. kalau dh sakitkan hati dia bukan lagi bergurau namanya kan

    BalasPadam
  2. Kekadang gurau macam membuli pun ada. Kita kenalah juga jaga hati kawan kita kan...

    BalasPadam
  3. gurau kelemahan orang lain sakit hati bila tak kena tempat dan masa

    BalasPadam
  4. Kdg kan..bila ada org yg suka brgurau..dia suka kena kan org lain...tp bl org lain wat benda yg sama kt dia..terus sentap...huhuhu...

    BalasPadam
  5. kes macam ni selalu terjadi dengan pelawak kita sekarang.nak bergurau,berlawak tapi dah macam mengutuk orang dah.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.