Sabtu, 25 April 2015

KAHWIN LARI BUDAYA ORANG MELAYU?

Sumber : Google

Perjalanan saya dari stesen KTM UKM ke stesen KTM KL Sentral mengambil masa selama 45 minit. Itulah rutin harian saya ketika mahu pulang dari kolej ke rumah yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Baru baru ini, ketika saya pulang ke rumah dengan menaiki coach KTM yang kecil dan sempit itu, saya berpeluang untuk duduk di salah satu kerusi yang disediakan. Kebiasaanya, apabila menaiki coach yang lama itu, saya perlu berdiri memandangkan begitu ramai orang yang menaikinya di samping tempat duduk pula tidak banyak disediakan.

Dalam perjalanan untuk ke KL Sentral, coach yang saya naiki itu berhenti di stesen KTM Serdang. Sudah pastilah ramai orang yang menaikinya yang terdiri daripada pelbagai bangsa – Melayu, Cina, India, Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Nepal dan entah apa bangsa lagi. Memandangkan kerusi banyak yang sudah penuh, kebanyakkan mereka perlu berdiri sementara menunggu kerusi itu kosong sebelum sampai ke destinasi masing masing.

Di hadapan saya, berdiri seorang lelaki muda Melayu, berusia hampir sebaya dengan saya (jika tidak silap), dalam lingkungan awal 20an. Di sebelahnya pula berdiri beberapa orang lelaki India yang berusia dalam pertengahan 30an. Mula mula lelaki muda Melayu itu menaiki KTM tersebut dengan seorang wanita (juga Melayu) yang sedang mendukung bayi, sudah pastilah anggapan saya itu adalah isterinya. Kemudian isteri lelaki Melayu itu duduk apabila diberi tempat oleh salah seorang penumpang di situ. Hanya lelaki Melayu itu sahaja yang berdiri bersama penumpang penumpang lain.


Oleh kerana terlalu bosan, saya tertidur seketika. Apabila saya sedar, saya terdengar butir butir percakapan antara lelaki Melayu itu dengan lelaki India di sebelahnya.

“Sudah berapa lama kahwin?” Lelaki India itu bertanya.

“Baru setahun bang.” Jawab lelaki Melayu itu dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya.  

“Kerja apa?” Tanya lelaki India itu lagi.

“Saya belajar lagi. Tapi malam saya kerja nak bagi isteri makan kan…” Lelaki Melayu itu menjawab.

“Oh…kahwin lari ah?” Lelaki India itu menduga.

“Ish! Saya kahwin betul punya. Kalau kahwin lari tak boleh hidup woo… Hidup mesti susah punya.” Kata lelaki Melayu itu.

“Muda lagi sudah kahwin…”Lelaki India itu berkata.

“Sudah cinta nak buat macam mana…” Mereka berdua tertawa bersama. 

Kemudian lelaki Melayu itu disoal bertalu talu oleh kebanyakkan penumpang yang ada di situ. Mana tidaknya, usianya baru setahun jagung namun sudah mampu untuk bernikah dan mempunyai seorang bayi lelaki. Di zaman sekarang, tidaklah dangkal jika pasangan muda berkahwin awal. Cuma perkara itu masih menjadi sesuatu yang luar biasa bagi kebanyakkan orang.

Apa yang menarik di dalam situasi itu adalah istilah ‘kahwin lari’. Persepsi kebanyakkan orang, jika pasangan muda Melayu berkahwin, mesti kahwin lari padahal hakikatnya tidaklah begitu. Ada diantara mereka yang kahwin atas restu ibu bapa dan sudah pasti atas dasar suka sama suka. Saya mahu bersangka baik dengan pasangan itu yang mereka berkahwin bukan atas alasan hamil sebelum nikah.

Oleh kerana ramai pemuda dan pemudi Melayu kahwin lari, ditambah pula dengan gambaran gambaran yang selalu diberikan di dalam drama atau filem Melayu yang acapkali ditayangkan, maka tanggapan masyarakat terhadap pasangan muda Melayu yang berkahwin awal itu adalah kahwin lari!

Sepatutnya kahwin lari ini perlu dielakkan kerana pelbagai masalah akan timbul di belakang hari. Anak anak muda yang ingin berkahwin, perlu meminta restu daripada ibu bapa masing masing. Ibu bapa pula, jika melihat anak anaknya sudah layak untuk berkahwin, pasangannya pula elok akhlak dan agamanya, sudah mampu untuk berdikari, sudah mampu untuk menyara anak bini, janganlah sesekali menghalang perkahwinan itu.

Kahwin lari itu terjadi kerana berlaku penghalangan yang sangat dahsyat di pihak ibu bapa. Ibu bapa melarang anak mereka berkahwin dengan pasangan masing masing atas alasan yang tidak munasabah. Oleh kerana cinta, mereka melarikan diri ke selatan Thailand atau ke Indonesia untuk berkahwin secara senyap senyap. Akibatnya, mereka menghadapi masalah apabila pulang ke Malaysia.

Bukan kalangan rakyat biasa, golongan ahli politik dan artis pun ramai juga yang kahwin lari. Antaranya kes yang melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan puteri Sultan Selangor, Ku Yah (Tengku Zahariah), yang kahwin lari di selatan Thailand. Kes yang sama juga menimpa pasangan Rita Rudaini – Aidil Zafuan (pemain bola sepak dan pelakon) dan Alyah – Datuk Ramli M.S (penyanyi dan pemuzik). 


Nasihat saya, janganlah sesekali kahwin lari kerana persepsi itu akan melekat kepada bangsa kita di mana orang beranggapan bahawa orang Melayu suka kahwin lari walhal bangsa lain pun ada juga melakukan perkara yang sama. Mungkinlah tidak banyak namun tetap ada juga. Justeru itu, marilah kita mendirikan rumahtangga mengikut adat resam, budaya, dan aturan agama yang dipakai oleh orang Melayu/Islam sejak sekian lama. Jangan sesekali melanggar aturan itu.

4 ulasan:

  1. Sebenarnya yang berumur pun ada yang kahwin lari....

    BalasPadam
  2. kahwin lari sering dikaitkan dengan pasangan muda.padahal yang tua-tua pun ada yang kahwin lari terutama yang kemaruk nak kahwin dua.ehehehe.

    BalasPadam
  3. Rasanye lebih elok dia kawen di usia muda utk cegah perkara xelok kan...yg ptg halal hehehe

    BalasPadam
  4. kahwin muda nie bagus untuk elak maksiat... tengok aje gejala buang bayi, makin hari makin bertambah2...kalau dah ready dan dah bersedia nk pikul tanggungjawab elok nikah cpt2...
    tpi jgn lah kahwin lari,.. klu parents tak restu pun jgnlah sampai nk sorokkan perkahwinan tu.. sbb akan dtg, lgi mcm2 masaalah akan timbul kalau kahwin lari..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.