Selasa, 21 April 2015

BLOGGER : TEGURLAH DENGAN CARA YANG BAIK

Sumber : Google

Sebagai blogger, sudah pastilah (kadang kala) kita akan menggunakan pena dan blog kita untuk melahirkan rasa tidak puas hati kita kepada mana mana individu, kumpulan, pentadbiran atau anggota masyarakat yang lain. Apabila kita menghadapi masalah atau berasa teraniaya, selain daripada menggunakan laman sosial seperti Twitter dan Facebook, blog adalah satu medium untuk kita meluahkan rasa marah, kecewa dan geram itu. Itu adalah satu lumrah dalam kehidupan manusia yang terangkum dengan media sosial dan internet pada hari ini.

Apabila melahirkan rasa tidak puas hati, maka timbulah teguran atau kritikkan untuk memperbetulkan keadaan supaya perkara yang sama tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Mungkin juga teguran itu dibuat supaya orang lain tidak menerima nasib yang sama seperti kita. Pada saya, itu adalah satu perkara yang baik memandangkan penyebaran maklumat perlu diberikan kepada anggota masyarakat yang lain supaya mereka lebih berwaspada di masa hadapan.

Kalau dahulu, segala masalah hanya dipendamkan di dalam hati kerana masyarakat tidak mempunyai medium untuk meluahkan rasa hati dan menyampaikan kritikan. Tetapi, apabila kita sudah masuk ke zaman teknologi maklumat yang serba canggih ini, perkara itu tidak menjadi satu masalah lagi. Kita bebas untuk melahirkan rasa marah, kecewa, dan sedih apabila berasa diri kita dianiaya ataupun kita tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara.


Sebagai contoh, kalau dahulu begitu sukar untuk kita mengetahui tentang kebejatan yang dilakukan oleh ahli politik. Oleh itu, ahli politik bebas melakukan rasuah, menipu, menyeleweng dan merompak harta rakyat sesuka hati mereka. Jika dahulu tidak ada pihak yang berani untuk mendedahkan perkara semacam itu kerana medium untuk mereka melakukan perkara itu sangat terhad. Jika ada pun, hanyalah di dalam surat khabar milik parti pembangkang seperti Harakah ataupun melalui buku buku politik yang ditulis oleh penulis politik terkemuka seperti Syed Hussein Al-Attas, Mohd Sayuti Omar, Ahmad Lutfi Othman, Yahaya Ismail dan ramai lagi.

Penulis penulis sebeginilah yang berani mati mendedahkan segala kepincangan yang dilakukan oleh ahli ahli politik. Dari buku merekalah rakyat bisa tahu segala penyelewengan dan penipuan yang ahli ahli politik lakukan. Tetapi sekarang, dengan kewujudan media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog, segala kebobrokkan yang dibuat oleh ahli politik dapat diketahui oleh rakyat dengan tepat, cepat dan boleh dipercayai (tetapi ada yang tidak).

Jika dahulu, susah benar kita mahu membuat kritikan kepada ahli politik, jabatan kerajaan, kakitangan kerajaan, badan berkanun, dan syarikat swasta yang gagal dan lembab dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat kerana kita tidak punya medium seperti sekarang. Tetapi kini, dengan kecanggihan teknologi, semua itu bukan masalah lagi.

Sebagai blogger, apatah lagi blogger yang berpengaruh, amat wajar untuk menggunakan blog mereka untuk membuat kritikan kepada apa dan sesiapa sahaja supaya mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan dan membolehkan masyarakat berwaspada di masa akan datang. Itulah peranan seorang blogger sekarang. Menyampaikan maklumat yang berguna kepada anggota masyarakat yang lain. Sungguhpun begitu, kritikan atau teguran yang mahu dilemparkan kepada seseorang atau sesuatu entiti itu mestilah dengan ketegasan tetapi penuh dengan kesopanan dan tanpa menyakitkan hati subjek kritikkan kita itu.

Sebagai contoh, apabila kita tidak berpuas hati dengan mutu yang ditawarkan di sebuah bank, tegurlah dengan penuh ketegasan tetapi disulami dengan kesopanan. Jangan sampai bank yang menjadi sasaran kritikan kita itu jatuh aib dan  marah dengan kritikan yang kita lakukan. Perkara semacam itu tidak sepatutnya berlaku.

Tidak salah untuk kita mengkritik tetapi kritiklah dengan bahasa yang sopan dan lembut tetapi tegas! Elakkan daripada menggunakan bahasa yang kasar, lucah dan mencarut kerana itu akan mendatangkan kemarahan kepada pihak yang menjadi sasaran kritikkan kita di samping manjatuhkan maruah mereka.

Saya juga acapkali mengkritik individu individu tertentu (terutama ahli politik) di dalam blog ini tetapi saya cuba mengawal bahasa saya agar tidak terlalu kasar. Saya tidak mahu individu yang menjadi sasaran kritikkan saya itu berasa marah dengan kritikkan saya kerana ia akan membawa kesan buruk kepada diri saya juga. Mengkritik ahli politik ini membawa risiko yang besar kepada diri kita. Kita bukan sahaja boleh disiasat polis, tetapi juga dikejar oleh Special Branch, disaman di mahkamah atau mungkin juga ditahan di bawah akta akta tertentu.

Justeru itu, saya cuba untuk tidak membangkitkan kemarahan mana mana pihak yang menjadi sasaran kritikkan saya. Sebab itu saya lebih suka menggunakan istilah menegur daripada mengkritik. Walaupun maksud kedua dua istilah itu hampir sama, namun bagi saya membawa pendekatan yang berbeza. Menegur lebih lembut dan sopan manakala mengkritik lebih kasar dan keras!

Oleh yang demikian, saya sarankan kepada mana mana blogger yang mahu membuat kritikan di blog anda kepada mana mana individu atau badan atau syarikat tertentu, supaya mengkritik dengan bahasa yang baik, sopan tetapi tegas. Elakkan daripada menimbulkan kemarahan mereka dengan bahasa kita yang kasar dan diselangi dengan nada lucah campur mencarut! Jelas, akhlak kita buruk jika melakukan sedemikian.

Akhir kata, marilah kita membuat teguran di blog kita dengan baik untuk tujuan menyedarkan subjek kritikan kita itu akan kesilapan dan kesalahan yang telah mereka lakukan. Jangan sesekali membangkitkan kemarahan mereka dengan kritikan kita yang kasar, lucah dan mencarut itu kerana akan memberi kesan yang tidak baik kepada diri kita dan diri mereka juga.  

    

4 ulasan:

  1. Menegur perlu ada caranya lepas tu baru mudah maklumat tu sampai kaan...

    BalasPadam
  2. setuju bro...walaupun ada yang tak setuju boleh je tegur...elakkan mengutuk dan bahasa kesat...

    BalasPadam
  3. Rasanye kalau menegur dgn bhsa yg kasar belum tentu boleh membetulkan keadaan..even makin mmburukkan keadaan...rasanya xrugi pon kalau kita tegur dgn baik..org pon x sakit hati

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.