Sumber : Google |
Nama Tengku Razaliegh Hamzah atau
lebih mesra disapa Ku Li memang tidak asing lagi dalam arena politik Malaysia.
Satu nama ahli politik yang besar dan kadang kala satu nama yang mencetuskan
kontroversi. Pernah menjadi Menteri Kewangan, Menteri Perdagangan Antarabangsa
dan Industri, Pengerusi Petronas dan Pengerusi Pernas. Seorang yang mahir dalam
bidang kewangan dan pentadbiran. Seorang ahli Parlimen UMNO yang tidak pernah
kalah di Parlimen Gua Musang (Kelantan).
Namun namanya kian tenggelam dalam
politik UMNO sejak dia mencabar Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO tahun
1987. Kekalahan beliau di tangan Dr. Mahathir dengan majoriti yang tipis telah
menyebabkan beliau keluar UMNO dan menubuhkan parti Semangat 46 (sempena
mengambil tahun penubuhan UMNO 1946) bersama sama Dr. Rais Yatim dan Tun
Abdullah Ahmad Badawi.
Semua orang tahu tentang cita citanya
untuk menjadi Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia. Tetapi cita
citanya itu terhalang kerana disekat oleh sesetengah pemimpin dan ahli UMNO.
Tinggallah beliau sebagai Ahli Parlimen Gua Musang yang mewakili UMNO dan Ketua
UMNO bahagian Gua Musang. Beliau beberapa kali cuba untuk bertanding jawatan
Presiden UMNO namun gagal atas faktor kuota.
Sejak akhir akhir ini, di waktu
kepimpinan UMNO dan Najib semakin goyah, Tengku Razaliegh mula bersuara. Beliau
mula bercakap tentang kewangan dan hutang negara sementelahan itu adalah bidang
kepakaran beliau. Ucapan beliau di Parlimen baru baru ini memang bernas dan
perlu bagi menyelamatkan negara dari terus dilanda masalah akibat kepimpinan
Najib yang lemah.
Wujud persoalan di benak saya dan
segelintir rakyat Malaysia, apakah beliau sesuai untuk menggantikan Najib
sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri? Jika diukur dari segi kelayakan,
memang Ku Li sesuai untuk menggantikan Najib. Ku Li lebih lama berpolitik
daripada Najib. Ku Li juga pernah mendidik Najib semasa Najib menjadi pegawai
di Petronas dahulu atas arahan Tun Razak.
Ku Li juga memang mahir dalam bidang
kewangan berbanding Najib. Justeru itu, wajarlah Ku Li menggantikan Najib.
Tetapi jalan yang mahu dirintis oleh Ku Li untuk berada dalam kedudukan Najib
sekarang bukan mudah lebih lebih lagi dalam suasana politik yang kian mencabar
pada masa kini.
Ku Li bukan sahaja perlu berhadapan
dengan Najib tetapi juga dengan Muhyiddin dan tiga lagi Naib Presiden UMNO
untuk sampai pada kedudukan itu. Bukan itu sahaja, Ku Li juga perlu berhadapan
dengan penyokong penyokong UMNO yang tidak menyokong beliau. Oleh itu, sukar
untuk Ku Li berada pada kedudukan Najib sekarang.
Suasana politik hari ini tidak sama
dengan suasana politik ketika Ku Li mula mula menceburkan diri dalam dunia
politik dahulu. Suasana politik hari ini lebih lebih lagi politik UMNO sangat
mencabar dan penuh pancaroba. Tidak mudah bagi Ku Li untuk mencapai cita
citanya itu. Politik hari ini adalah politik yang lebih terbuka, bersandarkan
kepada media sosial, berlandaskan kesedaran, bertunjangkan anak muda,
menjunjung demokrasi yang tulen, mengangkat ketelusan dan menolak penipuan.
Justeru itu, adakah Ku Li bersedia
untuk berhadapan dengan semua itu di saat umur Ku Li pun sudah mahu masuk ke
angka 80 tahun? Jika Ku Li mahu menggapai cita citanya, Ku Li mesti bersedia
untuk bertarung dengan semua itu. Jika tidak, mustahil Ku Li boleh menjadi
Perdana Menteri dan Presiden UMNO dengan mudah.
Kelemahan Ku Li adalah cerita cerita
buruk tentang beliau sewaktu menjadi Menteri Kewangan dahulu. Bukan itu sahaja,
faktor umur dan faktor ‘pengkhianatan’ beliau kepada UMNO suatu ketika dahulu
menjadi ‘tangkal azimat’ untuk sesetengah orang di dalam UMNO tidak dapat
menerima beliau untuk menjadi Presiden parti yang dianggotai oleh orang Melayu
yang terbesar itu.
Ramai yang berpendapat, jika Ku Li
boleh menggantikan Najib, sudah pasti UMNO dapat diselamatkan. Setakat mana
teori itu benar tidak dapat dipastikan. Tetapi jika kita menjunjung demokrasi
yang tulin, kita perlu memberi peluang kepada Ku Li untuk duduk di takhta kuasa
itu. Seteruk teruk Ku Li, dia tidak sanggup menggadaikan agama dan bangsanya
demi politik. Beliau memang terkenal dengan sifatnya yang suka membela bangsa,
agama dan tanah air. Jadi, itu satu imbuhan buat beliau untuk menjadi Perdana
Menteri.
Tetapi itu semua belum cukup untuk
ahli ahli UMNO meletakkan beliau di tempat Najib sekarang. Politik Malaysia
satu jenis politik yang ‘unik’ dan penuh warna warni. Tidak semudah itu ahli
ahli UMNO khususnya dan rakyat Malaysia amnya boleh menerima beliau sebagai
Perdana Menteri jika tidak ada sebarang ‘kelebihan’ yang boleh dikecapi oleh
mereka.
Kesimpulannya, jika ahli UMNO
sayangkan UMNO, agama, bangsa dan tanah air, wajarlah mereka menggantikan Najib
dengan kepimpinan yang lebih berwibawa di bawah seorang pemimpin yang hebat
seperti Ku Li misalnya. Jika mereka masih mahu UMNO terus goyang, goyah dan
digoncang, kekalkanlah kepimpinan UMNO sekarang dan kita tidak tahu apa akan
jadi pada UMNO di masa akan datang.
Susah nak cakap kalau politik. Tapi macam biasa, apa pun boleh berlaku..
BalasPadamMalaysia sedia maklum, Kelantan dapat kat Pas sebab kegagalan Ku Li... tapi dulu punya cerita. sekarang pemikiran ku Li sekurang2 lebih cerdik dr menteri2 kabinet sekarang... dan dia lebih mirip Tun M.
BalasPadamZumal sokong gak ^^
Padam