Sabtu, 21 Mac 2015

TENGKU RAZALIEGH PERDANA MENTERI?

Sumber : Google

Nama Tengku Razaliegh Hamzah atau lebih mesra disapa Ku Li memang tidak asing lagi dalam arena politik Malaysia. Satu nama ahli politik yang besar dan kadang kala satu nama yang mencetuskan kontroversi. Pernah menjadi Menteri Kewangan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pengerusi Petronas dan Pengerusi Pernas. Seorang yang mahir dalam bidang kewangan dan pentadbiran. Seorang ahli Parlimen UMNO yang tidak pernah kalah di Parlimen Gua Musang (Kelantan).

Namun namanya kian tenggelam dalam politik UMNO sejak dia mencabar Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO tahun 1987. Kekalahan beliau di tangan Dr. Mahathir dengan majoriti yang tipis telah menyebabkan beliau keluar UMNO dan menubuhkan parti Semangat 46 (sempena mengambil tahun penubuhan UMNO 1946) bersama sama Dr. Rais Yatim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.     

Semua orang tahu tentang cita citanya untuk menjadi Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia. Tetapi cita citanya itu terhalang kerana disekat oleh sesetengah pemimpin dan ahli UMNO. Tinggallah beliau sebagai Ahli Parlimen Gua Musang yang mewakili UMNO dan Ketua UMNO bahagian Gua Musang. Beliau beberapa kali cuba untuk bertanding jawatan Presiden UMNO namun gagal atas faktor kuota.
  
Sejak akhir akhir ini, di waktu kepimpinan UMNO dan Najib semakin goyah, Tengku Razaliegh mula bersuara. Beliau mula bercakap tentang kewangan dan hutang negara sementelahan itu adalah bidang kepakaran beliau. Ucapan beliau di Parlimen baru baru ini memang bernas dan perlu bagi menyelamatkan negara dari terus dilanda masalah akibat kepimpinan Najib yang lemah. 

Wujud persoalan di benak saya dan segelintir rakyat Malaysia, apakah beliau sesuai untuk menggantikan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri? Jika diukur dari segi kelayakan, memang Ku Li sesuai untuk menggantikan Najib. Ku Li lebih lama berpolitik daripada Najib. Ku Li juga pernah mendidik Najib semasa Najib menjadi pegawai di Petronas dahulu atas arahan Tun Razak.

Ku Li juga memang mahir dalam bidang kewangan berbanding Najib. Justeru itu, wajarlah Ku Li menggantikan Najib. Tetapi jalan yang mahu dirintis oleh Ku Li untuk berada dalam kedudukan Najib sekarang bukan mudah lebih lebih lagi dalam suasana politik yang kian mencabar pada masa kini.

Ku Li bukan sahaja perlu berhadapan dengan Najib tetapi juga dengan Muhyiddin dan tiga lagi Naib Presiden UMNO untuk sampai pada kedudukan itu. Bukan itu sahaja, Ku Li juga perlu berhadapan dengan penyokong penyokong UMNO yang tidak menyokong beliau. Oleh itu, sukar untuk Ku Li berada pada kedudukan Najib sekarang.  

Suasana politik hari ini tidak sama dengan suasana politik ketika Ku Li mula mula menceburkan diri dalam dunia politik dahulu. Suasana politik hari ini lebih lebih lagi politik UMNO sangat mencabar dan penuh pancaroba. Tidak mudah bagi Ku Li untuk mencapai cita citanya itu. Politik hari ini adalah politik yang lebih terbuka, bersandarkan kepada media sosial, berlandaskan kesedaran, bertunjangkan anak muda, menjunjung demokrasi yang tulen, mengangkat ketelusan dan menolak penipuan.

Justeru itu, adakah Ku Li bersedia untuk berhadapan dengan semua itu di saat umur Ku Li pun sudah mahu masuk ke angka 80 tahun? Jika Ku Li mahu menggapai cita citanya, Ku Li mesti bersedia untuk bertarung dengan semua itu. Jika tidak, mustahil Ku Li boleh menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO dengan mudah.

Kelemahan Ku Li adalah cerita cerita buruk tentang beliau sewaktu menjadi Menteri Kewangan dahulu. Bukan itu sahaja, faktor umur dan faktor ‘pengkhianatan’ beliau kepada UMNO suatu ketika dahulu menjadi ‘tangkal azimat’ untuk sesetengah orang di dalam UMNO tidak dapat menerima beliau untuk menjadi Presiden parti yang dianggotai oleh orang Melayu yang terbesar itu.

Ramai yang berpendapat, jika Ku Li boleh menggantikan Najib, sudah pasti UMNO dapat diselamatkan. Setakat mana teori itu benar tidak dapat dipastikan. Tetapi jika kita menjunjung demokrasi yang tulin, kita perlu memberi peluang kepada Ku Li untuk duduk di takhta kuasa itu. Seteruk teruk Ku Li, dia tidak sanggup menggadaikan agama dan bangsanya demi politik. Beliau memang terkenal dengan sifatnya yang suka membela bangsa, agama dan tanah air. Jadi, itu satu imbuhan buat beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Tetapi itu semua belum cukup untuk ahli ahli UMNO meletakkan beliau di tempat Najib sekarang. Politik Malaysia satu jenis politik yang ‘unik’ dan penuh warna warni. Tidak semudah itu ahli ahli UMNO khususnya dan rakyat Malaysia amnya boleh menerima beliau sebagai Perdana Menteri jika tidak ada sebarang ‘kelebihan’ yang boleh dikecapi oleh mereka.

Kesimpulannya, jika ahli UMNO sayangkan UMNO, agama, bangsa dan tanah air, wajarlah mereka menggantikan Najib dengan kepimpinan yang lebih berwibawa di bawah seorang pemimpin yang hebat seperti Ku Li misalnya. Jika mereka masih mahu UMNO terus goyang, goyah dan digoncang, kekalkanlah kepimpinan UMNO sekarang dan kita tidak tahu apa akan jadi pada UMNO di masa akan datang.


3 ulasan:

  1. Susah nak cakap kalau politik. Tapi macam biasa, apa pun boleh berlaku..

    BalasPadam
  2. Malaysia sedia maklum, Kelantan dapat kat Pas sebab kegagalan Ku Li... tapi dulu punya cerita. sekarang pemikiran ku Li sekurang2 lebih cerdik dr menteri2 kabinet sekarang... dan dia lebih mirip Tun M.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.