Ahad, 19 Oktober 2014

ANTARA NAJIB, SEKOLAH CINA DAN KERANDA 152



Antara Najib, Sekolah Cina dan Keranda 152
Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak

       
            Sudah agak lama sebenarnya saya tidak menulis rencana yang mengulas isu isu semasa kerana sibuk menyiapkan entri untuk memasarkan produk Shaklee setelah saya menceburi perniagaan ini pada minggu lepas. Isu begitu banyak untuk diulas namun akibat kekurangan fakta dan maklumat, saya tidak berani untuk menulisnya di dalam blog ini. Saya tidak mahu dilabel sebagai pemfitnah, opportunis, dan menyesatkan pembaca blog saya dengan maklumat yang salah.

         Sudah menjadi amalan saya untuk mengkaji terlebih dahulu sebelum saya berani untuk memberi pandangan tentang sesuatu isu yang hendak saya tulis di dalam blog. Saya akan membaca, mengkaji dan bertanya kepada yang pakar terlebih dahulu sebelum berani untuk mengulas sesuatu isu lebih lebih lagi mengulas isu isu politik dan sensitiviti kaum seperti ini. Jika salah langkah, saya mungkin boleh disaman, ditahan di bawah Akta Hasutan, meringkuk dalam sel polis atau disiasat oleh polis cawangan khas (Special Branch). Minta jauhlah dari perkara perkara itu.

        Baru baru ini ketika Najib merasmikan Perhimpuan Agung MCA, Perdana Menteri bertegas untuk mempertahankan sekolah Cina dan disambut dengan tepukan gemuruh oleh perwakilan dan pimpinan tertinggi MCA di dalam dewan itu. Jelas menunjukkan bahawa Najib ingin benar mahu menarik hati masyarakat Cina supaya memberi sokongan kepada beliau dan BN dalam PRU yang akan datang walaupun dia sendiri tahu bahawa usaha beliau itu hanya sia sia belaka.


       Masyarakat Cina jelas akan bersama DAP dan Pakatan Rakyat. Ada kajian menunjukkan bahawa ramai ahli MCA juga memangkah dan mengundi DAP pada PRU yang lalu dan tidak hairanlah mengapa DAP mendapat banyak kerusi Parlimen berbanding dengan rakan sepakatannya : PAS dan PKR.

           Sudah jelas lagi bersuluh dalam Perlembagaan Malaysia di bawah Fasal I52 bahawa Bahasa Melayu menjadi bahasa tunggal negara selapas 10 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Tidak ada satu fasal pun dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan kedudukan bahasa bahasa lain kecuali Bahasa Melayu tetapi mengapa Najib begitu lantang untuk mempertahankan sekolah Cina yang jelas menggunakan Bahasa Mandarin! Ingatlah, ramai masyarakat Cina menentang pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

         Oleh itu, mengapa Najib mahu mempertahankan SJKC? Bukankah jelas dalam Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1970 menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar persekolahan dari peringkat rendah sehingga ke peringkat menengah?  Tujuan kedua dua penyata ini jelas mahu menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbagai kaum ini di bawah satu pendidikan nasional iaitu melalui Bahasa Melayu tetapi mengapa Najib mahu menafikannya?

         Sayang seribu kali sayang, kedua dua dasar ini telah diseleweng oleh Perdana Menteri selepas Tun Razak termasuklah Najib sendiri. Najib mahu menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan yang terhebat di Asia sehingga lupa kepada Fasal 152 dan dasar yang dibuat oleh Allahyarham ayahandanya dahulu. Selepas era Tun Razak, begitu banyak kolej dan univerisiti swasta dibuka oleh pihak pihak asing yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Bukan itu sahaja, sekarang sudah banyak sekolah rendah dan menengah bertaraf antarabangsa juga dibuka dengan menggunakan Bahasa Inggeris.

         Oleh itu, ramai orang orang kaya termasuklah golongan elit Melayu dan orang politik boleh masuk ke kolej dan universiti swasta ini. Inilah yang menyebabkan Bahasa Melayu seperti hidup segan mati tak mahu kerana anak anak Melayu sendiri lebih suka bertutur dalam Bahasa Inggeris. Mereka boleh bertutur dan menulis dengan baik dalam Bahasa Inggeris tetapi dalam masa yang sama mereka jahanamkan Bahasa Melayu itu sendiri.

          Bagaimana kita mahu membentuk identiti Malaysia melalui dasar pendidikan nasional jika kerajaan yang menggubal dasar itu tidak menyakini bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar? Jika beginilah cara kerajaan untuk menyatupadukan semua kaum di Malaysia, impian untuk semua kaun di Malaysia bersatu padu itu hanya tinggal angan angan Mat Jenin sahaja.

               Sekarang Najib dengan bangganya akan mempertahankan pendidikan sekolah Cina, Tamil dan Inggeris. Jika pemimpin UMNO sendiri tidak memartabatkan Bahasa Melayu bagaimana pula pemimpin UMNO mahu meyakinkan orang Melayu dan orang bukan Melayu bahawa pendidikan melalui Bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi yang baik berbanding Bahasa Mandarin dan Inggeris?

         Jangan mengharapkan bangsa lain untuk mendaulatkan Bahasa Melayu kerana mereka sendiri pun mempunyai bahasa mereka sendiri lebih lebih lagi apabila orang Melayu sendiri meremehkan bahasa ibundannya.

          Saya tidak pernah kata jangan belajar Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris adalah bahasa yang penting dan merupakan bahasa antarabangsa. Tidak salah untuk belajar banyak bahasa tetapi jangan sampai membunuh Bahasa Melayu itu sendiri. Jika kita orang Melayu tidak memartabatkan bahasa kita, siapa lagi? Cuba bayangkan jika suatu hari nanti orang Melayu tidak pandai bertutur dalam Bahasa Melayu seperti orang Melayu di Satun, Thailand, adakah dia masih dianggap sebagai orang Melayu? Tepuk dada dan tanya iman. Ingat, Melayu itu disendikan kepada tiga perkara : beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

         Saya nasihatkan Najib supaya memikirkan tentang bangsanya sendiri berbanding memikirkan bangsa orang lain. Jangan jadi seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Fikirkan tentang nasib bahasa bangsanya yang kian terhakis sejak belakangan ini.  Kalau dahulu Yahaya Ismail pernah memimpin Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan sehingga mengarak Keranda 152 ke rumah Tunku Abdul Rahman untuk memberi amaran kepada Tunku supaya mendaulatkan Bahasa Melayu selepas 10 tahun merdeka, adakah tidak mustahil akan ada orang yang akan mengarak ‘Keranda Najib’ ke rumah Najib kerana banyak menyusahkan rakyat? Sama sama kita nantikan.   





2 ulasan:

  1. salam blogwalking dan salam sukses,
    kunjungi dan komentari balik punya saya ya !!!
    sahabatkelor.blogspot.com

    BalasPadam
  2. Salam ..Selamat petang ..singgah sini

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.