Sumber : Google |
Jika
ditanya kepada saya, bagaimana mendeklamasikan sajak dengan betul sebenarnya,
saya sendiri tidak mempunyai jawapan yang tepat mengenainya. Saya sering
mendeklamasikan sajak-sajak yang saya cipta mengikut cara dan gaya saya. Saya
tidak pernah berpegang kepada mana-mana aliran pemikiran tertentu ketika
membaca sajak-sajak saya.
Ketika
menyertai beberapa pertandingan mendeklamasikan sajak, saya hanya mengikut cara
dan gaya saya ketika mendeklamasikan sajak. Saya pernah menang dan pernah kalah
juga. Tetapi saya pernah melihat peserta-peserta lain menyertai pertandingan
yang sama mendeklamasikan sajak lebih bagus daripada saya. Gaya dan intonasi
suara mereka saya kira lebih baik daripada saya.
Saya
mula belajar membaca sajak setelah melihat beberapa orang di sekolah membaca
sajak dalam beberapa majlis keraian. Kemudian saya jadikan apa yang saya lihat
itu sebagai ikutan. Saya juga menonton tokoh-tokoh tertentu membaca sajak di
laman Youtube seperti A. Samad Said, Khalid Salleh, Pyanhabib, dan Rahman
Shaari. Dari situlah saya membentuk cara membaca sajak saya sendiri.
Pernah
seorang rakan menyuruh saya belajar membaca sajak dengan betul. Saya tidak tahu
ukuran apa yang dia guna untuk menentukan cara membaca sajak yang betul. Saya
pun tidak pernah endah akan saranan yang dia berikan. Saya hanya ikut sahaja
cara membaca sajak yang biasa saya gunakan. Ini kerana saya mahu menyampaikan
sajak saya dengan penuh kejujuran.
Tidak
ada cara membaca sajak yang betul pada hemat saya. Terpulanglah kepada penyajak
tersebut mahu membaca sajaknya dengan cara yang bagaimana. Yang dipentingkan
dalam membaca sajak adalah intonasi suara dan cara penyampaiannya.
Dalam
persembahan mendeklamasikan sajak, mesej yang hendak disampaikan kepada
khalayak adalah perkara yang paling mustahak. Bagi sajak-sajak yang mudah
difahami maksudnya, membaca sajak tersebut eloklah dengan cara yang sederhana.
Tetapi bagi sajak yang sukar difahami, cara mendeklamasikan sajak tersebut amat
dipentingkan sama sekali. Cara mendeklamasikan sajak-sajak yang sukar difahami sedikit
sebanyak dapat membantu penonton untuk memahami.
Amat
penting untuk seorang penyajak memahami sajak yang dibacanya ketika membuat
persembahan. Jika tidak, pasti sajak yang dibacanya tidak mempunyai
penghayatan. Itu akan membuatkan mesej yang terkandung dalam sesebuah sajak
gagal untuk disampaikan. Penonton pun akan mudah berasa bosan.
Sebab
itulah bagi mana-mana penyajak yang berupaya menulis sajak mereka sendiri,
mereka lebih selesa untuk membaca sajak yang mereka cipta sendiri. Mereka tidak
akan mendeklamasi sajak-sajak milik orang lain sama sekali (kecuali atas
permintaan). Ini berikutan supaya sajak-sajak yang sedang dibaca dapat difahami
dan dihayati dengan sepenuh hati.
Mendeklamasikan
sesebuah sajak tidak perlulah dengan gaya yang berlebihan. Pergerakan tangan
tidak perlu dilakukan secara besar-besaran. Seorang penyajak perlu tahu pada
perkataan mana yang sepatutnya diberi penekanan (yakni suara perlu ditekan atau
ditinggikan). Pergerakan tangan pun hendaklah selari dengan perkataan yang
sedang disebutkan.
Janganlah
kita mengungkapkan frasa ‘aku menggeletar’ tetapi pergerakan tangan menunjukkan
seolah-oleh kita sedang berlari. Itu menggambarkan sama ada kita tidak
menghayati sajak yang kita sedang deklamasi atau lebih parah sajak tersebut
tidak kita fahami.
Mendeklamasikan
sajak eloklah dengan cara yang sederhana. Tidak perlu ‘bersungguh’ benar
sehingga perlu terjerit-jerit seperti orang gila atau pura-pura menangis
sehingga keluar air mata. Pendengar yang menonton sesebuah persembahan sajak
adalah untuk mendapatkan mesejnya bukan untuk menonton gaya kita yang entah
apa-apa. Perlu diingat kita bukan berada dalam sebuah pertandingan bercerita!
Unsur
yang penting dalam pembacaan sebuah sajak adalah kejujuran. Jangan sesekali
menipu khalayak yang sedang membuat tontonan. Emosi yang terkandung dalam
sesebuah sajak yang sedang kita baca
hendaklah dirasa dalam hati kita terlebih dahulu. Kemudian kita pancarkan
kepada khalayak segala emosi yang mengalir itu. Paling bagus jika kita berupaya
untuk membuat khalayak mengeluarkan air mata tatkala menonton persembahan sajak
kita. Bukan kita sebagai penyajak yang perlu mengeluarkan air mata! Tidak salah
untuk penyajak menangis jika penyajak mahu khalayak merasai emosi yang hendak
disampaikan. Tetapi hal itu tidak perlulah dibuat secara keterlaluan.
Saya
bukanlah seorang penyajak yang bagus serba-serbi. Banyak perkara yang perlu
saya belajar lagi. Tetapi dalam mendekalamasikan sesebuah sajak, yang amat saya
pentingkan adalah kejujuran. Harap segala mesej yang terkandung dalam sesebuah
sajak itu saya boleh sampaikan.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.