Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan oleh kerajaan sehingga 14 April telah
menggusarkan ramai pihak. Bukan sahaja pergerakan kita untuk ke mana-mana
menjadi terbatas, untuk membeli barang keperluan harian pun sudah semakin
susah. Ini semua gara-gara kerajaan ingin memastikan wabak Covid-19 itu tidak
terus merebak dengan lebih dahsyat dan membunuh lebih banyak nyawa.
Dalam
tempoh PKP ini sedang berlangsung, bagi yang bekerja dan mendapat gaji secara
bulanan, tentulah tidak berasa apa-apa. Lagi-lagi apabila mereka mendapat
majikan yang prihatin yang tidak memotong gaji mereka gara-gara PKP ini. Bagi
yang mendapat gaji harian seperti saya ataupun bagi yang mencari pendapatan
hasil berniaga, PKP ini benar-benar menyukarkan kehidupan.
Bukanlah
saya dan sekalian yang berniaga itu tidak suka akan PKP ini. Kami tahu niat
kerajaan melaksanakan PKP ini untuk mengekang wabak Covid-19 itu agar tidak
menjadi lebih teruk. Namun, gara-gara PKP ini, secara realitinya, ia menggugat
pendapatan dan periuk nasi kami.
Seperti
saya yang bekerja kilang dengan gaji dibayar secara harian, jika tidak bekerja,
maka gaji tidak dibayar. Jika PKP ini terus dilanjutkan, maka banyak harilah
saya tidak turun bekerja. Banyak hari tidak turun bekerja bermakna banyak
harilah gaji saya tidak dibayar. Hendak makan apa saya ini jika gaji tidak
dibayar? Hutang pelajaran MARA, bil telefon dan internet serta duit insurans
semua perlu dibayar. Hendak dibayar guna apa jika saya tidak turun bekerja
gara-gara PKP?
Bukan
saya sahaja, orang-orang yang berniaga secara kecil-kecilan turut sama berasa
susah. Jika mereka tidak berniaga, maka tiadalah hasil pendapatan mereka. Jika
mereka tiada pendapatan, bagaimana mereka mahu membeli barang keperluan harian?
Bagaimana mereka mahu membayar segala bil dan hutang piutang?
Inilah
dugaan yang Tuhan beri kepada kami yang berpendapatan harian dan berniaga
secara kecil-kecilan ini. Tiada apa yang dapat kami lakukan selain redha dan
berdoa agar wabak berbahaya ini akan segera hilang dan PKP itu tidak
dilanjutkan.
Mujur
kelmarin (ketika artikel ini ditulis) kerajaan mengumumkan pakej rangsangan
ekonomi berjumlah RM250 bilion bagi membantu semua rakyat Malaysia sama ada
yang terjejas mahupun yang tidak terjejas akibat PKP ini. Kita beruntung kerana
mempunyai kerajaan yang masih prihatin dengan kesusahan rakyat. Dengan segala
bantuan yang diumumkan oleh kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi itu,
sedikit sebanyak ia dapat membantu kami.
Saya
dan sekalian rakyat jelata yang terjejas kehidupan gara-gara PKP ini
mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana keprihatinan mereka memahami
masalah yang kami hadapi. Kami juga sangat berharap agar wabak Covid-19 ini
akan segera hilang supaya kami dapat mencari rezeki semula seperti biasa.