Sabtu, 26 Disember 2015

HUKUMLAH SESEORANG DENGAN SEWAJARNYA

Sumber : Google

Setiap manusia biasa di dunia ini pasti akan melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang tidak pernah buat silap tidak kira sama ada dia adalah seorang guru, pelajar, ahli politik, ustaz, ataupun wartawan. Jika dia adalah seorang manusia biasa, kesilapan atau kesalahan itu sudah menjadi resam dalam kehidupannya.

Namun begitu, jika kita melakukan kesilapan, kita sewajarnya mengaku kesilapan kita. Jangan sesekali menegakkan benang yang basah dengan mempertahankan kesilapan atau kesalahan yang telah kita lakukan. Sangat merbahaya jika kita mempercayai kesilapan yang kita buat itu adalah suatu perkara yang betul. Jika perkara itu berlaku, bermakna kita berada dalam kesesatan yang nyata.

Apabila kita telah membuat salah atau silap terutama kepada individu lain, kita wajar untuk meminta maaf dan mengaku salah. Kita mesti berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan tidak baik itu lagi. Kita mesti benar benar menyesal atas kesilapan yang kita lakukan. Sama ada orang itu mahu memaafkan kita ataupun tidak itu menjadi soal kedua tetapi apa yang penting kita mesti mengaku salah dan memohon kemaafan kepada orang yang telah kita buat silap.

Isnin, 21 Disember 2015

KAU TELAH MENYESAL

Sumber : Google


Kami terdengar khabar tentang dirimu,
Kau telah menyesal seperti yang kami tahu, 
Berpuluh tahun dahulu,
Kau menjadi pejuang hak asasi manusia, 
Kini baru kau kembali ke pangkuan agama.


Perlembagaan terbarai dan Islam tergadai,
Bahasa Melayu dirantai dan hak istimewa bercerai, 
Terpakainya hukum sama rata sama rasa, 
Itulah nama dasar Malaysian Malaysia.


Dari jauh terdengar sendu tangisan kering
Menyanyikan suara rintihan anak bangsa merdeka.


Kau menjadi ultrakiasu kerana kau sudah lama jemu, 
Kau telah bina sebuah budaya politik baru, 
Sakit perit menjadi bangsa Rohingya, 
Sekarang giliran kau pula yang merasa.


Malaysia yang aman masih menunggu,
Banyak berbeza berbanding masa dahulu,
Tetapi Melayu masih kekal begitu, 
Bangsanya masih lagi kacau bilau dan haru biru.

Jumaat, 11 Disember 2015

KITA PUN AKAN MENYUSUL MEREKA

Sumber : Google

Beberapa minggu kebelakangan ini kita dikejutkan dengan pemergian tiga insan yang mempunyai nama besar di Malaysia iaitu pelakon veteran - seniwati Mariani, pelawak terkemuka - Yus Jambu, dan Tunku Laksamana Johor - Tunku Jalil ibni Sultan Ibrahim. Pemergian mereka yang secara tiba tiba itu mengundang rasa terkejut di hati peminat dan rakyat Malaysia.

Tiga tokoh yang mempunyai nama besar ini mempunyai peranan dan tanggungjawab mereka yang tersendiri sehingga kehilangan mereka ditangisi oleh segenap lapisan masyarakat. Bukan ahli keluarga mereka sahaja yang sedih, masyarakat yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan mereka juga turut sama menumpang sedih. Ini membuktikan, kehadiran mereka di dalam masyarakat itu mempunyai kesan yang sangat besar.

Sebagai seorang manusia yang mempunyai rasa simpati, saya turut berasa sedih atas kehilangan mereka bertiga. Saya hanya mampu menitipkan doa kepada Ilahi semoga roh mereka bertiga dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang orang beriman.

Sabtu, 5 Disember 2015

SIFAT HORMAT PENTING DALAM KELUARGA

Sumber : Google

Keluarga adalah institusi asas yang membentuk masyarakat. Jika institusi asas ini hancur kerana tidak dijaga dengan baik, maka masyarakat pun boleh terheret sama dalam kancah kehancuran tersebut. Oleh itu, pada pandangan saya, antara salah satu cara untuk menjaga institusi keluarga adalah dengan saling menghormati antara satu sama lain.

Konteks hormat ini bukan hanya ditujukan kepada anak dengan ibu bapa sahaja tetapi juga mesti ditujukan dalam konteks ibu bapa dengan anak sama. Maksudnya di sini, bukan anak sahaja yang mesti menghormati ibu bapa seperti yang sepatutnya, ibu bapa juga mesti menghormati anak seperti yang sepatutnya. Bagaimana anak mahu menghormati ibu bapa jika ibu bapa sendiri tidak pandai menghormati anak? Ingatlah, pepatah Melayu ada menyebut : bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Jika kita imbas kembali segala masalah sosial yang berlaku pada hari ini sebahagian besarnya adalah berpunca daripada keluarga. Oleh kerana keluarga sendiri itu gagal menjadi keluarga yang baik, maka anak anak secara tidak langsung telah dihinggapi dengan penyakit yang tidak baik. Anak anak memprotes dengan cara mereka sendiri dengan menggunakan kaedah yang salah sebagai menunjukkan sikap pesimis mereka terhadap kegagalan institusi keluarga tersebut.

Selasa, 1 Disember 2015

BAHASA MELAYU : CABARAN DAN KEJAYAAN

Sumber : Google

Bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu dalam Perkara 3 (1) telah memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hendaklah ditulis dalam apa apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang undang Parlimen. Ini bermaksud, bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang tinggi di Malaysia berbanding dengan bahasa bahasa yang lain.

Walaupun bahasa Melayu mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi oleh kerana beberapa kekangan yang berlaku menyebabkan bahasa Melayu seperti hidup segan mati tak mahu di negara ini. Banyak pihak seolah olah tidak mengambil cakna akan kepentingan bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang penting dan mesti dipertahankan supaya kekal terpelihara sampai bila bila.

Antara masalah yang dihadapi untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah pengaruh bahasa asing terutama bahasa Inggeris. Banyak perkataan dalam bahasa Inggeris cuba dimelayukan seperti perkataan transformasi, reformasi, transaksi, finalis dan sebagainya. Pelik bin aneh apabila orang Melayu sendiri lebih suka menggunakan perkataan perkataan dalam bahasa Inggeris yang dimelayukan ini berbanding dengan menggunakan perkataan perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu itu sendiri. Mengapa kita tidak guna sahaja perkataan perubahan, pembaharuan, urusniaga, peserta akhir dan sebagainya untuk menggantikan perkataan dalam bahasa Inggeris tersebut? Inilah masalah kita orang Melayu. Terlalu mengagungkan bahasa Inggeris sehingga bahasa Melayu dianaktirikan.         
  
Pengaruh bahasa rojak juga antara penyebab mengapa bahasa Melayu semakin hilang ‘seri’ di tanah tercinta ini. Ramai orang Melayu terutama golongan artis, ahli ahli politik dan orang orang Melayu yang mendapat pendidikan Barat gemar menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan mereka seharian. Bukan sahaja mereka, pelajar pelajar Melayu yang menuntut di IPT yang tidak mempelajari bidang bahasa Melayu turut mengalami fenomena yang sama. Mereka gemar mencantumkan ayat di dalam bahasa Melayu dan ayat di dalam bahasa Inggeris melalui pertuturan mereka seharian. Perkataan perkataan seperti  ‘actually’ ,  ‘so’  , ‘even’ dan sebagainya menjadi ‘santapan’ mereka seharian dalam pertuturan. Sikap mereka inilah sedikit sebanyak telah membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda mereka.  

Sejujurnya kebanyakkan orang Melayu telah mengalami krisis jati diri yang teruk. Ramai orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak menyedari atau sengaja tidak menyedari akan kepentingan bahasa Melayu di negara ini. Kerajaan yang dipegang oleh orang Melayu pun dilihat gagal untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara ini. Mereka sepatutnya mewajibkan pihak swasta dan jabatan jabatan kerajaan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam segala urusan baik secara rasmi ataupun scara tidak rasmi. Sebagai contoh, dalam temuduga kerja sama ada di syarikat swasta atau di jabatan kerajaan hendaklah dibuat di dalam bahasa Melayu. Jika mereka ingkar dengan cara menggunakan bahasa Inggeris juga, tindakan tegas wajarlah diambil. Ini bukan soal kekejaman sebaliknya soal prinsip dan jati diri yang wajar dipertahankan.  

Sabtu, 21 November 2015

BERTEMU AIMAN BANNA DI MASJID TUANKU MIZAN

Sumber : Google

Aiman Banna – kalau nama ini disebut sudah pasti belia belia Melayu Islam kenal dengan lelaki ini. Seorang pendakwah muda yang comel, berkarisma, berani dan berwawasan. Memang Aiman Banna – setahu saya – tidak pernah masuk ke dalam mana mana program televisyen namun remaja yang berusia 19 tahun ini sangat terkenal di dunia Twitter dan mungkin juga di dunia blog (jika saya tidak silap).

Baru baru ini, persatuan PEMBINA UiTM Shah Alam menganjurkan sebuah forum berkenaan dengan remaja Islam (saya lupa nama tajuk forum dalam Bahasa Inggeris itu) di mana Aiman Banna menjadi salah seorang daripada panelisnya. Seorang lagi panel adalah Ustaz Abdul Rahman – juga seorang pendakwah yang popular – tetapi saya tidak mengenalinya. Saya pada awalnya sekadar suka suka sahaja datang ke majlis ilmu itu. Tidak sangka pula dapat bertemu dengan Aiman Banna di sana.

Saya mengenali Aiman Banna melalui Twitter. Pada awalnya saya tidak kenal siapakah pemilik akaun Twitter yang mempunyai ribuan malah ratusan ribu pengikut (followers) itu, tetapi saya tahu dia acapkali menulis berkenaan dengan dakwah melalui tweet tweetnya. Kemudian saya mendapat tahu dia menulis buku dakwah yang berjudul Henshin (saya tidak sempat membeli buku ini) yang merupakan sebuah buku yang agak laris di pasaran. Mungkin berada di tempat ketiga sebagai buku paling laris di kedai buku MPH (jika saya tidak silap).

Jumaat, 13 November 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN AKHIR

Sumber : Google


          Pagi Ahad itu Iqwan bangun pada pukul enam pagi. Kebiasaanya, bila tiba hari Ahad, pukul sepuluh atau pukul sebelas pagi baru dia bangun daripada tidur kerana hari Ahad adalah hari cuti. Entah mengapa dia boleh tersedar awal pula pada hari itu seperti mana yang sering dia lakukan pada hari hari dia bekerja.

      Dia meraup mukanya dengan kedua dua tapak tangan. Pandangannya melayang pada tingkap rumah yang langsirnya tidak ditutup. Keadaan di luar masih gelap lagi.

       Sejujurnya dia masih tidak tahu apa yang harus dia lakukan saat itu. Tiba tiba dia teringat akan pesanan Haiqal dua hari lepas. Pesanan Haiqal yang mengingatkannya mengenai ketuhanan dan keagamaan. Pesanan Haiqal yang menyentuh tentang Allah, Islam, naluri, perasaan, takdir, iman dan akidah. Hatinya agak terkesan dengan pesanan itu. Pesanan dari seorang yang mempunyai persamaan dengan dirinya dari segi perasaan.

       Iqwan lantas bangkit dari katil dan segera mencapai tuala yang tersidai elok di penjuru biliknya. Kemudian dia bergegas masuk ke bilik air untuk membersihkan diri. Seusai mandi, dia segera berwuduk lalu menunaikan solat Subuh. Jarang sekali dia menunaikan kewajipan itu. Seingatnya, kali terakhir dia menunaikan solat Subuh adalah pada tahun lepas kerana kolej kediamannya ada membuat program qiamulail sebagai satu program tahunan kolej kediaman tersebut.

        Selepas menunaikan solat Subuh, dia menadah tangan untuk memohon keampunan daripada Allah Taala di atas semua dosa dosanya. Dia benar benar rasa menyesal atas apa yang dia pernah lakukan dahulu. Sambil berdoa, air matanya merembes keluar. Jujur dia katakan, selepas mendengar nasihat daripada Haiqal kelmarin, dia betul betul bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Dia betul betul bersyukur kerana Allah masih menyayangi dirinya sebagai hambaNya yang hina dina. Dia tahu Allah sedang mengujinya dengan perasaan songsang itu. Dia memohon kepada Allah supaya memeliharanya daripada terjerumus ke lembah dosa dan maksiat.

Sabtu, 7 November 2015

FENOMENA DOKTOR KACAK DAN ISTERI GERSANG

Sumber : Google

Dr. Shazril Shaharuddin memanglah tidak popular seperti mana Remy Ishak atau Fahrin Ahmad namun ketampanan dan kesasaan tubuhnya memang tidak terkalah dengan dua orang pelakon kacak itu. Dia pernah beberapa kali muncul dalam iklan televisyen dan majalah majalah tempatan sebagai ikon pertandingan badan cantik yang sudah menjadi satu trend kegemaran lelaki masa kini. Sebagai seorang doktor, jarang sekali golongan professional sepertinya mahu menceburi bidang sebegitu (jika saya tidak silap).

Saya mengetahui nama Dr. Shazril melalui majalah majalah yang saya baca. Namanya seangkatan dengan nama ikon badan cantik yang lain antaranya Faez Nick, Dino Azizi dan ramai lagi. Anda boleh tahu mengenai mereka jika anda mempunyai akaun Instagram atau membaca majalah Maskulin, Mangga dan Lelaki selain ‘bertanya sendiri’ dengan Dr. Google.

Nama Dr. Shazril yang selama ini hanya ‘suam suam kuku’ sahaja tiba tiba panas apabila diundang menjadi tetamu jemputan dalam satu rancangan sebuah stesen radio popular iaitu Hot FM. Orang tidak pertikaikan kehadirannya sebagai tetamu di stesen radio itu tetapi orang pertikaikan panggilan yang dibuat oleh sekumpulan pendengar wanita kepadanya melalui stesen radio tersebut. Masyarakat menjadi bingung mengapa pendengar wanita terutama dari golongan ibu sanggup bertindak ‘liar’ sebegitu? 

Jumaat, 6 November 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN 3

Sumber : Google

         Iqwan memakirkan keretanya di bawah kolej kediaman tempat Haiqal tinggal. Sebenarnya memang salah untuk orang luar masuk ke dalam kolej kediaman itu tetapi oleh kerana kawalan keselamatan di universiti itu tidak berapa ketat sebelum pukul sebelas malam, maka dia boleh masuk ke kolej kediaman itu tanpa apa apa pemeriksaan. Sebelum pukul sebelas dia harus segera pergi dari kolej kediaman itu jika tidak mahu menimbulkan apa apa masalah dengan sekuriti yang bertugas di pintu pagar utama universiti.

       Haiqal melihat jam di tangannya. Jam sudah menunjukkan pada pukul 8.45 malam. Masih banyak masa lagi untuk dia bertemu dan berbual bual dengan Haiqal mengenai masalah yang dihadapinya bersama Aidil. Sebelum dia datang ke sini, dia sudah pun memberitahu kepada Haiqal melalui whatsapp. Haiqal menyuruhnya segera datang dan memberinya nombor bilik. Setelah memastikan keretanya berkunci dengan rapi, dia lantas menuju ke lif untuk ke tingkat lapan. Bilik Haiqal berada di tingkat lapan.

     Kolej kediaman yang Haiqal tinggal itu mempunyai enam belas tingkat. Menurut Haiqal, kolej kediaman itu dikongsi oleh pelajar pelajar dari Fakulti Pengajian Bahasa, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan. Bagi menampung jumlah pelajar yang terlalu ramai, pihak universiti perlu membina kolej kediaman yang besar, banyak, dan tinggi. Kolej kediaman itu bukan hanya diduduki oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda sahaja, pelajar Diploma dan pelajar Ijazah Sarjana turut tinggal di kolej kediaman tersebut.

         Setelah sampai di tingkat lapan, Iqwan segera mencari bilik nombor tujuh kerana Haiqal tinggal di dalam bilik itu. Beberapa minit sahaja Iqwan sudah menjumpai bilik tersebut. Dia lantas mengetuk pintu sambil memberi salam.

       “Assalamualaikum...” Ucap Iqwan sambil tangannya mengetuk pintu beberapa kali.

Ahad, 25 Oktober 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN 2


Sumber : Google

          Sudah seminggu Aidil tidak menghubungi Iqwan apatah lagi menemuinya. Lelaki itu seolah olah cuba menjauhkan diri daripada Iqwan. Iqwan acapkali menghantar whatsapp kepada lelaki itu namun langsung tidak dibalas. Hanya bluetick sahaja yang kelihatan namun balasan tetap tiada. Memikirkan sikap Aidil itu, Iqwan menjadi runsing. Iqwan tertanya tanya, apakah yang menyebabkan Aidil menjadi seperti itu? Adakah dia telah melakukan kesalahan kepada Aidil? Masakan Aidil terlalu sibuk sehingga langsung tidak mahu membalas whatsapp darinya. Jika Aidil membalas dengan menggunakan perkataan ‘okey’ sekalipun, dia sudah cukup berpuas hati.

       Tetapi, Aidil langsung tidak memberi apa apa balasan atau jawapan. Apabila dihubungi lelaki itu, langsung tidak diangkat. Dia tidak mahu selalu sangat menghubungi Aidil kerana Aidil pernah menegahnya melakukan seperti itu. Menurut Aidil, dia tidak mahu isterinya curiga jika Iqwan selalu sangat menghubunginya. Aidil mahu mereka berdua berkomunikasi melalui whatsapp sahaja.

      Kehilangan Aidil selama seminggu itu benar benar telah meresahkan jiwa Iqwan. Dia rindukan Aidil. Dia rindukan pelukan Aidil. Dia rindukan kuncupan Aidil. Sudah agak lama juga nafsunya tidak dipuaskan oleh Aidil kerana Aidil mahu memenuhi nafkah batin isterinya terlebih dahulu. Permintaan Aidil itu meresahkan jiwa dan batin Iqwan. Oleh itu, hati Iqwan sejak akhir akhir ini sering berasa tidak sedap. Dia sangat khuatir yang Aidil akan meninggalkan dirinya. Dia dapat merasakan yang Aidil semakin menjauhi dirinya. Iqwan dapat merasakan yang Aidil semakin rapat dengan isterinya berbanding diri Iqwan sendiri.    

Khamis, 22 Oktober 2015

UMNO MESTI PERTAHAN SAIFUDDIN ABDULLAH

Sumber : Google

Pelbagai reaksi diterima dari masyarakat tentang kemasukkan bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ada yang menyokong tidak kurang juga yang menentang. Namun, beberapa pendapat yang dikeluarkan oleh sekumpulan orang UMNO, kemasukkan Saifuddin ke dalam PKR itu bukanlah suatu perkara yang mengejutkan. Menurut mereka, banyak pegangan Saifuddin sama dengan pegangan pemimpin pemimpin pembangkang. Jadi, jika Saifuddin masuk pembangkang pun, itu memang sudah lumrah kerana apa yang Saifuddin cuba perjuangkan, sama seperti pembangkang perjuangkan.

Sekumpulan orang UMNO menganggap Saifuddin agak lunak dengan pembangkang. Aspirasi Saifuddin sama seperti aspirasi pembangkang. Jadi, sekumpulan orang UMNO itu merasakan lebih baik Saifuddin masuk pembangkang kerana tindak tanduk Saifuddin itu bertentangan dengan tindak tanduk yang UMNO suka. Tindak tanduk Saifuddin lebih mirip kepada tindak tanduk pembangkang.

Dalam soal universiti, AUKU, belia, orang muda, mahasiswa, kebebasan,  dan banyak lagi, fahaman yang Saifuddin pegang sama macam fahaman yang pemimpin pembangkang pegang. Oleh sebab itulah, ramai orang UMNO benci kepada Saifuddin. Saifuddin dianggap sebagai jurucakap pembangkang di dalam UMNO. Saifuddin dianggap sebagai ‘Rafizi Ramli’ dalam kelompok UMNO.

Ahad, 18 Oktober 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN 1

Sumber : Google

         Hujan turun dengan lebatnya pada pagi itu. Hari itu adalah hari Sabtu. Sepatutnya hari cuti begini dia akan bersiar siar di bandar. Namun, oleh kerana hujan lebat yang seakan akan tidak mahu berhenti itu, niatnya terbantut seketika. Dia sekadar berbaring di sofa sahaja sambil berselimut kerana kesejukkan. Kesejukkan yang hadir disebabkan kehujanan. Rumahnya sengaja dibiarkan gelap. Lampu dan kipas sengaja tidak dipasang. Tingkap dan langsir pun sengaja tidak dibuka. Suasanan gelap yang sesekali diterangi cahaya suram yang datang dari tingkap itu telah memberi ketenangan kepada dirinya. Dia suka dan selesa dengan keadaan itu.

       Dia teringat sewaktu dia kecil dahulu, apabila hujan lebat tiba dan televisyen pun tidak boleh dibuka, dia dan ibunya akan berbaring di ruang tamu rumah mereka sambil berselimut. Entah kenapa, walaupun sudah dewasa kini, dia tidak dapat meninggalkan tabiat itu. Apabila hujan sahaja, dia pasti akan berbaring sambil berselimut dan kalau nasibnya baik, matanya akan mengantuk lalu tidurlah dia di dalam selimut yang dapat membentengi dirinya dari kesejukkan yang melanda.

       Iqwan, seorang lelaki kacak tetapi jambu terus berbaring di atas sofa di ruang tamu rumahnya pada pagi Sabtu yang disirami hujan lebat itu. Dia mencapai telefon pintarnya yang terletak di atas meja kopi. Dia cuba melihat kalau kalau ada whatsapp atau panggilan daripada Aidil namun hampa. Satu whatsapp pun tidak dihantar oleh lelaki itu kepadanya. Dia sangat merindui lelaki itu sebenarnya. Sudah dua hari Aidil tidak menghubunginya. Mungkin Aidil sibuk dengan isteri yang baru dikahwininya.

Sabtu, 10 Oktober 2015

CINTA DAN DARIHAL KEHIDUPAN

Sumber : Google


Wajah itu datang lagi,
Dan cinta pun hadir bersemi,
Tiap kali wajah itu muncul kembali,
Tiap kali juga cinta itu tumbuh sekali.

Apabila cinta itu menjadi obsesi,
Cinta itu tidak bisa dimiliki,
Wajah itu sekadar boleh diperhati,
Dan hanya memandang tubuh yang seksi,
Lalu terkuburlah cinta itu di dalam hati.

Cinta itu memang tidak terperi,
Tetapi ia dilaknat oleh Nabi,
Juga dicemuh oleh sekalian manusiawi,
Itulah darihal kehidupan yang diiktiraf ukhrawi.

Bersyukurlah sendiri,
Kerana cinta yang hadir ini,
Tidak mampu menyesatkan diri,
Ia adalah satu perjuangan suci,
Juga satu ujian buat sanubari,
Yang terpilih dan dipilih oleh Ilahi,
Di atas muka bumi,
Yang disimbah oleh cahaya mentari,
Hampir setiap hari.



Isnin, 5 Oktober 2015

MAHASISWA : ANTARA PELAJARAN DAN PERJUANGAN

Sumber : Google

Gerakan perjuangan mahasiswa yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim sejak tahun 70an dahulu telah berkembang pesat sehingga ke hari ini walaupun pada pandangan sesetengah pihak, perjuangan mahasiswa pernah melalui zaman kelesuannya setelah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikuatkuasakan. Namun, setelah melalui zaman reformasi 1998, perjuangan mahasiswa mula bangkit kembali sehinggalah ke hari ini.

Di seluruh dunia termasuklah Malaysia, mahasiswa pasti akan berjuang menuntut itu dan ini untuk memastikan apa yang jelik di mata mereka boleh diperbaiki. Kejelikkan itu pun sebenarnya boleh dibuat tafsiran yang pelbagai. Kejelikkan yang bagaimana yang mahu diperjuangkan untuk diperbaiki oleh mahasiswa itu? Kejelikkan yang sememangnya bersifat kejelikkan atau kejelikkan yang diwar-warkan oleh orang politik yang hanya mengikut logik akal semata mata. Walau apa pun tafsiran kejelikkan yang hendak diperjuangkan oleh mahasiswa supaya boleh diperbaiki, mahasiswa itu dianggap sebagai golongan anak muda yang mempunyai intelektual yang tinggi, berani, dan mempunyai nilai sedar yang hebat.

 Cabaran dalam perjuangan memang tidak dapat dipisahkan. Oleh sebab mahasiswa itu dianggap sebagai pejuang, sudah pasti mereka perlu menghadapi pelbagai cabaran supaya perjuangan mereka itu boleh disedari dan diterjemahkan di dalam bentuk tindakan. Cabaran utama mahasiswa dalam perjuangan bagi saya adalah pelajaran. Sebagai mahasiswa yang berjuang untuk mengubah kejelikkan yang berlaku di dalam sesebuah masyarakat dan negara, mereka perlu pandai membahagikan masa antara perjuangan dan pelajaran. Jika mereka gagal menguruskan masa dengan baik, mereka pasti akan tercicir dalam pelajaran kerana mengejar perjuangan tadi. Apabila sudah tercicir dalam pelajaran mereka di universiti, mereka tidak boleh dipanggil sebagai mahasiswa sebaliknya pelajar universiti tercicir!

Sabtu, 26 September 2015

DARI PERNIAGAAN KE BAHASA MELAYU



Alhamdulillah…saya bersyukur ke hadrat Allah Taala kerana diberi peluang untuk belajar dalam bidang yang saya minati iaitu bidang Bahasa Melayu sekarang. Saya telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam dalam program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Melayu Komunikasi Professional.

Walaupun pada hakikatnya saya lebih cenderung kepada bidang kesusasteraan Melayu dalam cabang kemelayuan itu sendiri namun saya tetap optimis apabila diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang saya ambil kini. Bermula dari 7 September 2015, bermulalah kehidupan saya sebagai seorang mahasiswa di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sebenarnya saya tidak kisah pun jika tidak berpeluang untuk menyambung dalam bidang kesusasteraan Melayu kerana bagi saya, apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu, memang menjadi minat saya untuk mendalaminya. Mungkin kerana pemikiran Melayu sangat tebal dalam diri saya menyebabkan saya jadi begitu namun saya bukan manusia rasis. Saya hanyalah seorang Islam yang cintakan Islam, Melayu, dan Malaysia.

Ahad, 20 September 2015

CENDEKIAWAN PERLU BEBAS IDEOLOGI POLITIK KEPARTIAN




Sumber : Google

Dalam artikel ini, saya merujuk cendekiawan itu sebagai ahli akademik (pensyarah universiti), ulamak, dan mufti, penulis terkemuka (juga wartawan), dan sasterawan. Jika ada orang mempersoalkan apa beza ulamak dengan mufti, saya menjawab semua mufti itu ulamak tetapi bukan semua ulamak itu mufti. Ahli akademik, ulamak, dan mufti adalah golongan cerdik pandai (cendekiawan) yang sudah pasti mendapat kedudukan tinggi dalam masyarakat. Pendapat dan kata kata mereka sudah pasti diterima oleh kebanyakkan orang kerana mereka pakar dan mempunyai ilmu yang tinggi di dalam bidang masing masing.

Oleh sebab mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan kata kata mereka diterima pula oleh ramai anggota masyarakat, mereka perlulah membebaskan diri mereka daripada sebarang ideologi politik kepartian. Maksudnya di sini mereka tidak boleh menganut apa apa fahaman politik atau menyokong mana mana parti politik. Mereka bebas berbahas dan berbicara mengenai apa apa isu atau masalah politik tetapi mereka tidak boleh menyebelahi mana mana parti politik.

Apabila seseorang cendekiawan itu sudah menganut sesuatu fahaman politik atau menyokong mana mana parti politik, pendapat yang mereka keluarkan sudah menjadi tidak relevan lagi. Ini kerana mereka pasti tidak membuat keadilan dalam menyampaikan kebenaran terhadap sesuatu perkara, masalah, atau isu. Pendapat dan ilmu mereka pasti akan terkongkong dalam ideologi politik kepartian yang mereka anuti itu.

Khamis, 17 September 2015

PECAHNYA PAS KERANA KESOMBONGAN

Sumber : Google

Menurut kepercayaan saya, mana mana parti politik yang sombong pasti akan ditimpa pelbagai masalah. Jika anda tanya sebabnya, saya sendiri tidak tahu mengapa saya boleh berpegang kepada kepercayaan itu. Mungkin kerana sombong itu satu sifat yang dicela oleh Allah, mana mana orang atau pertubuhan (yang sudah pasti dianggotai oleh orang) yang mengamalkan sifat sombong dalam diri mereka, pasti akan menerima kifarah daripada Allah.

Buktinya berlaku kepada PAS sejak akhir akhir ini. PAS bukan lagi sudah berpecah dua, malah sudah pun berada di ambang peperangan apabila tertubuhnya Parti Amanah Negara yang juga dianggotai oleh bekas ahli ahli PAS yang kecewa dengan kepimpinan ulamak dalam PAS. Mereka marah kepada ulamak PAS kerana mereka tewas dalam pemilihan parti yang lalu dan mereka marah kepada ulamak PAS kerana putuskan hubungan DAP. Jadi, mereka luahkan rasa amarah atau mungkin kekecewaan mereka dengan cara keluar beramai ramai dari PAS dan menubuhkan parti baru. 

Apa maksud saya PAS berada di ambang peperangan? Dalam pilihanraya umum nanti, sudah pasti banyak kerusi parlimen (terutama kawasan majoriti Melayu) akan ditandingi oleh PAS, PAN (singkatan kepada Parti Amanah Negara) dan UMNO. Maka, suka ataupun tidak, PAS perlu berperang dengan PAN (bekas ahli partinya sendiri) untuk merebut kerusi parlimen tersebut. Jika PAS bergabung dengan UMNO, mungkin PAS tidak perlu berperang dengan UMNO. Namun, usaha untuk PAS bergabung dengan UMNO seperti sukar nampaknya memandangkan UMNO sendiri pun punya banyak masalah sekarang ini.

Sabtu, 12 September 2015

MANA BAGUS : BABI ATAU SAKA?


Sumber : Google

Di akhir akhir tempoh ‘percutian’ saya sebagai seorang pelajar sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda tidak lama lagi, saya sempat menghabiskan dua buah novel yang agak popular yang dipinjamkan oleh kawan adik saya kepada saya iaitu novel Babi dan novel Saka tulisan Azwar Kamaruzaman yang diterbitkan oleh Lejen Press.

Menikmati dua buah novel yang saya anggap membicarakan tentang isu isu kemasyarakatan ini memang bagus terutama dalam memahami kemelut yang berlaku di sekeliling kita. Di dalam artikel ini, saya ingin mengulas tentang kekuatan dan kelemahan kedua dua buah novel ini untuk menjadi tatapan pembaca. Ulasan saya ini bukanlah semata mata untuk mencari kelemahan ataupun kekuatan kedua dua buah novel ini sahaja tetapi juga, pada masa yang sama untuk mencari cara meningkatkan mutu novel novel tempatan supaya setaraf dengan karya karya antarabangsa atau setidak tidaknya novel ini bolehlah diiktiraf sebagai sebuah karya sastera hampir setaraf dengan karya karya yang pernah dihasilkan oleh Sasterawan Negara.