Ahad, 11 Mac 2018

MELAYANI KETAGIHAN MENULIS


Image result for penulis
Sumber : Google


Siapa sangka bahawa kerja-kerja menulis atau menjadi seorang penulis adalah ibarat dadah yang mampu mengundang ketagihan. Bagi orang yang tidak suka menulis (atau jarang-jarang menulis) atau tidak berminat untuk menjadi penulis hal-hal seperti ini tidak akan pernah dapat dirasakan. Hanya orang yang suka menulis dan ingin menjadi penulis sahaja yang mempunyai perasaan sedemikian.

Menulis ada banyak medium sebenarnya. Menulis novel, buku, berita, rencana, skrip, puisi adalah di antaranya. Menjadi seorang penulis bukanlah cara mudah untuk seseorang itu menjadi kaya. Jika ingin cepat menjadi kaya maka janganlah jadi seorang penulis sebaliknya jadilah seorang peniaga.

Risiko menjadi seorang penulis ini pun besar sebenarnya. Selain tidak dibayar oleh penerbit (bagi penulis buku dan penulis kolum), menulis juga boleh menyebabkan seseorang itu boleh disumbat ke dalam penjara. Itu belum lagi mendapat cemuhan daripada masyarakat sekeliling yang tidak bersetuju dengan sesuatu pandangan yang dilontarkan oleh seseorang penulis itu lewat tulisan-tulisannya.

Meskipun kerja-kerja menulis itu (kadang kala) tidak berupaya memberikan seseorang penulis itu pulangan apa-apa (seperti wang misalnya), atau berupaya mengheret seseorang penulis itu ke penjara, namun seseorang penulis itu akan tetap menulis sampai bila-bila. Ini semua gara-gara rasa ketagihan yang telah merasuk ke dalam dirinya. Tiada apa yang dapat menghalang seseorang penulis itu untuk terus menulis dengan sebanyaknya.  

Tidak ramai orang yang memahami diri seorang penulis termasuklah ahli keluarga dan kawan-kawan. Hal ini kerana, penulis ialah orang yang banyak berfikir daripada membuat lain-lain pekerjaan (dia kelihatan terasing daripada masyarakat di sekelilingnya). Menulis bagi seorang penulis adalah suatu keindahan dan kepuasan. Menulis juga bagi seseorang penulis adalah suatu hiburan dan keseronokan.

Menulis bukanlah suatu kerja yang boleh dipaksa-paksa. Menulis ialah kerja yang minatnya tumbuh sejak di awal usia. Menjadi seorang penulis pun mestilah banyak membaca. Apabila banyak membaca barulah akan ada banyak idea (untuk menulis). Orang yang banyak membaca barulah layak untuk menjadi seorang penulis. Penulis yang kurang membaca ialah penulis yang muflis!

Siapa sangka ada orang yang boleh menyara hidupnya dengan hanya bergelar seorang penulis sahaja. Penulis sebegini tidak ramai sebenarnya. Subky Latif – penulis utama parti PAS adalah di antaranya. Namun begitu, penulis yang kaya raya dan menjadi jutawan pun tetap ada juga (seperti J.K.Rowling misalnya).

Penulis (bagi sebilangan orang yang bukan penulis) ialah orang yang suka bermimpi. Penulis juga dianggap sebagai orang yang tidak berpijak kepada realiti (terutama kepada penulis puisi). Namun begitu, penulis yang bermimpi dan tidak berpijak kepada realiti ini tetap juga disukai. Tidak hairanlah novel Harry Potter dan Twilight itu ramai juga orang yang beli.  

Setiap penulis pastilah mempunyai sesuatu tujuan ketika dia menghasilkan sesebuah penulisan. Sesebuah penulisan itu mungkin bertujuan untuk menyampaikan maklumat, menghasut, menuduh, didaktik, mengumpan sokongan, atau memberi penerangan. Setiap tujuan itu pastilah untuk mendapatkan sesuatu imbalan. Hanya penulis itu sahaja yang tahu apa tujuan sebenar dia menghasilkan sesebuah penulisan. 

Penulis terbahagi kepada tiga golongan. Golongan pertama ialah golongan yang suka menulis. Golongan kedua ialah golongan yang perlu menulis dan golongan ketiga ialah golongan yang terpaksa menulis.

Golongan yang suka menulis ialah golongan yang menulis kerana dilanda ketagihan. Golongan yang perlu menulis ialah seperti ahli politik yang merasakan perlu menggunakan penulisan untuk mengumpan sokongan rakyat setelah sekian banyak menggunakan ucapan (lisan). Dan golongan yang terpaksa menulis ialah seperti golongan mahasiswa dan pelajar – terpaksa menulis untuk menyiapkan tugasan (assignment) dan menjawab soalan peperiksaan. (Nota : belum pernah lagi saya jumpa pelajar atau mahasiswa yang suka menyiapkan tugasan dan menjawab soalan peperiksaan!)

Negara yang ingin maju mestilah memerlukan ramai penulis di dalamnya. Hal ini kerana, golongan penulislah yang akan menghasilkan penulisan yang mampu menyelesaikan masalah, merakam sejarah, dan memberi pencerahan sebagai pedoman untuk seluruh rakyat jelata. Oleh sebab tidak ramai yang mahu menjadi penulis suatu ketika dahulu, orang Melayu hari ini menjadi bangsa yang kurang maju dan sering keliru. Hal ini kerana, banyak sejarah dan ilmu-ilmu penting yang dipunyai oleh bangsa Melayu tidak berada dalam genggaman orang Melayu. Akibatnya orang Melayu menjadi bangsa yang sering ditipu. Sekiranya ramai penulis dahulu aktif menulis (baca : mendokumentasikan) sejarah dan ilmu-ilmu penting yang dipunyai oleh orang Melayu, pasti bangsa Melayu hari ini boleh menjadi bangsa yang maju.   

Penulis, selain banyak melontarkan pertanyaan dan mengadakan perbincangan, ialah orang yang sanggup menghambakan dirinya kepada kerja-kerja menulis tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Ramai orang tidak faham dengan diri seorang penulis. Hanya penulis yang memahami diri seorang penulis. Kawan bagi seorang penulis ialah pena. Penulis ialah pekerjaan yang bukan untuk mencari nama.