Khamis, 21 Januari 2016

GANTUNG, NADIA KHAN, DAN SEKS BEBAS


Sumber : Google

Sepanjang cuti semester ini, saya sempat menghabiskan sebuah novel terbitan Fixi iaitu novel Gantung karya Nadia Khan. Novel ini adalah antara novel popular yang ditulis oleh Nadia Khan selepas novel Kelabu. Pada awalnya, saya tidak berapa minat membaca novel ini. Namun, selepas mendapat respon yang positif dalam kalangan pembaca novel ini di laman Twitter, maka saya memberanikan diri untuk membeli dan membacanya.

Ya, seperti mana persepsi positif yang diberikan oleh pembaca mengenai novel ini, dapat saya simpulkan persepsi positif itu tidak jauh dari realitinya yang sebenar. Novel ini memang bagus kerana ia digarap dengan sempurna. Dari mukasurat pertama hinggalah ke mukasurat terakhir, novel ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa dan pemikiran saya secara lateralnya. Maka, tidak dapat tidak, saya harus mengakui novel ini memang terbaik.

Namun, sebagai seorang blogger, saya juga melihat beberapa kelemahan dalam novel ini sehingga mengganggu pemahaman pembacaan saya. Tujuan saya menulis artikel ini bukan untuk menghentam karya Nadia Khan ini sebaliknya hanya untuk memberi teguran supaya Nadia lebih berhati hati dalam menulis dan dapat menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang. 


Baiklah, sebelum kita pergi dengan lebih mendalam lagi, biarlah saya bersurah mengenai sinopsis novel ini terlebih dahulu. Novel ini menceritakan kisah hidup empat sekawan – Gibbs, Ray, KJ dan Troll yang bersekolah di Sekolah Menengah Cemerlang Gemilang Terbilang (SMCGT). Kelebihan keempat empat mereka adalah dikurniakan dengan wajah yang kacak. Mereka juga turut dikurniakan dengan kelebihan kelebihan yang lain seperti pandai bermakin basketball, pandai menulis skrip dan mengarah drama serta pandai mengenakan orang lain. Dengan kelebihan yang ada pada mereka terutama kelebihan mempunyai wajah yang kacak itu, mereka telah banyak memecahkan dara yakni bersetubuh dengan gadis gadis di sekolah tersebut secara haram.

Namun begitu, mereka berempat telah mencipta Musketeer Code iaitu satu peraturan untuk mereka berempat supaya tidak boleh mempunyai teman wanita. Dalam peraturan itu juga, mereka digalakkan mempunyai skandal dan skandal itu mestilah dikongsi bersama untuk disetubuhi. 

Tragedi dalam novel ini berlaku apabila Deepa – seorang gadis psycho di sekolah tersebut yang sangat meminati Gibss telah muncul dalam kehidupan mereka berempat. Deepa adalah teman sebilik Fara iaitu ketua pelajar sekolah tersebut dan telah menjadi teman wanita Gibbs di pertengahan cerita. Deepa yang begitu obses dengan Gibss sanggup melakukan apa sahaja sehingga tega menggadai maruah diri asalkan dapat bersetubuh bersama Gibbs walaupun dia tahu yang dia bukan sahaja akan disetubuhi oleh Gibss, tetapi juga oleh Ray, Troll dan KJ.  

Bagi mengajar Deepa, KJ dan Troll telah merancang satu rancangan untuk mengenakan Deepa. Rancangan itu berjalan dengan lancar dan dipendekkan cerita Deepa telah membunuh diri di auditorium tempat Kelab Drama yang diasaskan oleh Ray mementaskan dramanya. Sejak itu, kehidupan mereka berempat mula kacau bilau dan huru hara.

Walaupun pada hakikatnya saya beranggapan bahawa Gibbs yang menjadi teraju utama dalam novel ini tetapi setelah membaca sehingga ke pengakhirannya, bagi saya, yang menjadi teraju utama dalam novel ini adalah Ray ataupun Khalil bukan Gibbs.

Keunikan novel ini terletak pada jalan ceritanya yang mempunyai banyak plot twist, berbelit belit dan penuh teka teki. Pembaca perlu memahami dua jalan cerita dalam masa yang sama iaitu semasa Ray bersama dengan Gibbs, KJ dan Troll di zaman persekolahan mereka dan juga semasa Ray bersama dengan Cikgu Fara, Jeremy dan Lina sepuluh tahun selepas zaman persekolahannya.

Jika dibincangkan secara kasar, memang sukar untuk memahami jalan ceritanya kerana ada beberapa perkara di dalam novel ini yang saya sendiri tidak faham. Jika anda mahu memahami dan menikmati novel ini, anda perlu membacanya sendiri. Setakat membaca ulasan saya yang serba ringkas ini, sukar untuk anda memahaminya. Namun, pada hakikatnya, saya menulis artikel ini sekadar mahu membuat ulasan dari sudut pandangan saya dan bukannya untuk menerangkan semula novel ini kepada anda. 

Seperti yang telah saya sebut di atas tadi, novel ini memang unik dan menarik. Saya tidak menyangkal hakikat itu. Namun, apa yang saya tidak faham walaupun saya telah habis membaca novel ini adalah bila masa Ray dan Cikgu Fara berada dalam kehidupan mati Gibbs dan KJ? Saya juga tidak dapat memisahkan watak Ray itu sama ada dia berada pada kehidupannya pada zaman sekolah atau kehidupannya pada masa KJ dan Gibbs telah mati. Jika dipecahkan jalan ceritanya, kita boleh membahagikannya kepada tiga bahagian iaitu jalan cerita Ray di zaman sekolah, jalan cerita Ray selepas kematian Deepa dan jalan cerita Ray bersama hantu KJ dan Gibbs. Sebenarnya untuk menerangkan kepada anda dalam cara menulis ini pun berasa sukar sebenarnya kerana banyak perkara yang saya tidak faham dan ketidakfahaman saya itu sukar untuk saya terjemahkannya dalam bentuk penulisan.

Apa yang pasti, banyak persoalan mengenai watak Ray itu tidak dapat saya fahami. Perkara yang sama juga berlaku pada watak Fara. Entahlah, mungkin jika anda membacanya, anda mendapat kefahaman yang lebih berbanding saya.

Seperti biasa, apabila menyebut tentang novel novel terbitan Fixi, selain daripada idea ideanya yang kreatif dan rare, nilai nilai ‘kotor’ juga diselitkan di sana sini mungkin sebagai ‘penyedap’ bagi jalan cerita. Babak babak lucah digambarkan secara tidak langsung di dalam novel ini sebagai daya penarik untuk pembaca meneruskan pembacaan.

Jika diletakkan novel ini dalam dunia realiti, mungkin Nadia Khan mahu menggambarkan keruntuhan akhlak remaja di sebuah sekolah elit yang gemar melakukan seks bebas sesama mereka tanpa ada sebarang sekatan. Nadia Khan juga mahu menggambarkan kepada pembaca bahawa duit dan pengaruh boleh membeli segala galanya sehingga cerita gempar yang boleh mengaibkan pihak sekolah dapat ditutup begitu sahaja tanpa ada sesiapa yang tahu dengan menggunakan duit dan pengaruh itu tadi.

Sebagai seorang peminat sastera, saya selalu berfikir tentang nilai nilai murni dalam sesebuah karya. Nilai murni di dalam novel itu ada cuma tidak banyak. Perkiraan saya, mungkin Nadia Khan terlupa untuk menghukum mereka yang gemar melakukan seks bebas dalam novel ini sebagai timbal balik di atas keberaniannya menggarap babak babak lucah yang tidak langsung itu. Pelaku pelaku seks bebas seperti Gibbs, Ray, KJ dan Fara dibiarkan hidup gembira di akhir cerita tanpa sebarang hukuman kepada mereka. Malapetaka yang menimpa Gibbs, Ray, Troll dan KJ itu bukan kerana seks bebas tetapi kerana kematian Deepa yang secara tiba tiba kerana perbuatan jahat KJ dan Troll. Sepatutnya, kesemua mereka perlu menerima hukuman yang berat di akhir cerita di atas seks bebas yang telah mereka lakukan.

Di dalam novel ini juga, mungkin Nadia Khan mahu menunjukkan betapa mudahnya maruah dan dara seorang perempuan digadai kerana rasa cinta, ketampanan wajah seorang lelaki, dan atas kehendak kehendak tertentu. Perkara ini boleh dilihat menerusi watak Farah yang telah melakukan hubungan seks beberapa kali dengan Gibbs kerana rasa cintanya pada Gibbs dan kerana ketampanan wajah Gibbs walaupun pada awal cerita dia tidak suka pada remaja lelaki itu.   

Kesimpulannya, novel ini memang menarik dan bagus cuma perlu diperkemaskan jalan ceritanya supaya mudah difahami. Bagi penggemar novel thriller, saya sarankan anda untuk membaca novel ini. Ia sangat menarik dan terbaik. Maaf di atas segala kekurangan dalam ulasan saya mengenai novel hebat karya Nadia Khan ini.


5 ulasan:

  1. Baca apa Haziq kongsi dapat gambarkan betapa blurnya novel tu...

    BalasPadam
  2. Terima kasih kerana sudi berkongsi ulasan buku. Memang membantu untuk para pembaca yang lain. Harap dapat berkongsi lebih banyak bahan bacaan di blog ini. :)

    www.nurinaizzati.com

    BalasPadam
  3. dah baca habis tapi masih tak faham. Nasib lah ada review ni, clear lah sikit pemahaman tp still lagi blurry. Hm,

    BalasPadam
  4. Ray tu kan dah keluar and kerja lepas habis belajar kat sekolah tu..lepas 10 tahun diorang anggap macm Gibbs dengan kj mcm nk buat kacau dengan si lina tu..jadi Cikgu perempuan iaitu Farah panggil Khalil aka ray untuk selesaikan masalah..waktu tu Gibbs masih x tau yg dia tu dah Mati..yg tau hanyalah kj..ray suruh Jeremy buat pementasan drama berkisarkan kisah waktu diorang dibunuh..lepastu baru Gibbs tau yg die dah mati..rasanya macam tulah cerita nya

    BalasPadam
  5. act,ray and farah tu mempunyai deria yg keenam. thats why diorang boleh wujud/ada dlm dunia yg berbeza iaitu zaman giibs and kj & zaman jeremy and lina tu. ray tu asyik kena kacau dgn hantu2 dekat auditorium tu so dikirakan ray tu mcm dh biasa dgn makhluk2 halus tu.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.