Selasa, 17 Oktober 2017

BERTEMAN DENGAN SENI

Image result for seni
Sumber : Google

Sepi yang lena telah keluar dari kamar kalbu,
Runsing yang pegun telah berdiri tanpa kaku,
Petaka yang senyap sudah tidak lagi membisu,
Setelah sekian lama bermusuh dengan diri,
Meramas cahaya benderang sang mentari,
Melapah ketenangan yang menunggang sanubari.

Seni yang terbang dengan sayap keharmonian,
Tanpa diduga lantas menghantar pertolongan,
Supaya diri sentiasa dipagari oleh kawalan,
Agar tidak terus disebat dengan seutas cemeti rawan,
Yang mampu mengoyakkan kulit perasaan,
Atau mencantas bunga waras di taman fikiran.  

Seni yang indah akan menemani sentiasa,
Menghembuskan rasa damai ke dalam jiwa,
Dan melukis alpa di kertas sementara.  

Seni yang hadir sambil memandu keseronokkan, 
Tidak lupa untuk membawa sekali sepotong keberanian,
Supaya diri boleh menggigit erat pendakap kekuatan,
Bagi menghadapi singgahsana kenyataan. 



Isnin, 16 Oktober 2017

TIGA CARA MUDAH MENDAPATKAN PAHALA MELIMPAH RUAH



Kesibukan kerja sering kali melanda kita semua. Kita sibuk dengan kerja kerana kita mempunyai banyak keperluan dan komitmen seperti membayar pinjaman rumah dan pinjaman kereta. 

Meskipun kita sibuk dengan kerja, itu bukan bermakna kita boleh lupakan perkara-perkara yang berkaitan dengan amalan kita untuk bekalan di akhirat sana. Kita tidak boleh menjadi orang yang hanya berjaya di dunia. Di akhirat pun kita mesti berjaya juga.

Oleh yang demikian, kita perlulah membuat banyak amal kebaikkan di samping kita menjaga amal ibadat kita seperti puasa dan solat contohnya.  

Islam adalah sebuah agama yang banyak rahmatnya. Ada banyak amalan yang kita boleh lakukan untuk kita menambah pahala. Oleh itu, pada hari ini, saya ingin kongsikan kepada anda semua amalan-amalan yang boleh membantu anda di luar sana untuk meraih banyak pahala. 

Jika anda mahu tahu apakah amalan yang banyak pahala itu, jom terjah ---> Tiga Cara Mudah Mendapatkan Pahala Melimpah Ruah <--- untuk mengetahuinya. 

Bacalah artikel yang saya kongsikan itu. Semoga Allah memberi anda semua syurga. Amin...

Ahad, 15 Oktober 2017

HATI HATI PAKAI PENDAKAP GIGI

Image result for gambar pendakap gigi rosak
Sumber : Google

Kes penangkapan seorang doktor gigi palsu baru-baru ini telah menggemparkan seluruh negara. Tidak disangka sama sekali doktor gigi palsu memang benar-benar wujud di Malaysia. Selama ini yang kedengaran hanyalah khabar-khabar angin sahaja. Namun, dengan penangkapan doktor gigi palsu bernama Farahanis Ezatty Adli itu, barulah sekian ramai orang dalam negara mula mengambil tahu.
Kes-kes sebegini memang tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana, perkhidmatan pergigian bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan oleh seorang doktor gigi palsu (yang belajar memasang pendakap gigi hanya dari laman Youtube). Seandainya orang yang menjalankan perkhidmatan pergigian itu tidak mempunyai kelayakkan, ia sudah pasti akan mengancam kesihatan dan keselamatan.
Oleh yang demikian, pihak berkuasa perlu mengambil cakna hal-hal sebegini. Diharapkan pada masa akan datang hal-hal sebegini tidak terjadi.
Telah diberitakan bahawa ada beberapa (mungkin lebih ramai) orang telah datang untuk menggunakan perkhidmatan doktor gigi palsu itu. Semuanya gara-gara ingin kelihatan cantik dan bergaya selalu. Untuk kelihatan cantik dan bergaya itu bukanlah suatu kesalahan. Tetapi janganlah sampai terjebak dengan perkhidmatan pergigian yang tidak mempunyai kelayakan.
Namun, oleh kerana terlalu ramai yang mahu kelihatan cantik dan bergaya, tetapi tidak mahu mengeluarkan banyak belanja, maka kelayakkan doktor yang menawarkan perkhidmatan pergigian itu tidak diselidiki dengan sebaiknya. Mereka hanya terima sahaja pendakap gigi yang dipasang oleh doktor palsu tersebut kepada gigi mereka. Kesan buruk di atas kecuaian mereka langsung mereka tidak fikirkan. Apa yang mereka fikir hanyalah kecantikan.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh salahkan seratus peratus kepada semua yang menggunakan perkhidmatan doktor gigi palsu itu. Mereka yang hadir itu adalah mereka yang tidak tahu. Pasti kelayakkan doktor gigi palsu itu mereka tidak pernah fikirkan. Mereka memberi kepada doktor gigi palsu itu seratus peratus kepercayaan.
Dengan terjadinya kes sebegini, diharapkan agar semua yang berada di luar sana perlu berhati-hati. Seandainya teringin benar memakai pendakap gigi, pergilah ke klinik gigi yang doktornya mempunyai kelulusan universiti. Doktor itu pun mestilah juga diiktiraf oleh kerajaan sebagai seorang yang layak untuk menjadi doktor gigi.
Seandainya kita pergi kepada doktor gigi yang tidak mempunyai kelayakkan, kita khuatir akan banyak berlaku kesilapan. Apabila berlaku kesilapan, pasti gigi kita akan mengalami kerosakkan. Pada awalnya kita ingin mendapatkan gigi yang lebih elok. Sebaik sahaja mendapatkan rawatan, gigi kita bertambah buruk!
Di zaman ini ramai orang suka mengejar keuntungan. Mereka tidak peduli bagaimana keuntungan itu boleh didapatkan. Sama ada keuntungan itu boleh menyebabkan kematian atau mengancam keselamatan, hal-hal sebegitu memang tidak pernah difikirkan. Apa yang ada dalam fikiran mereka hanyalah mengaut sebanyak-banyaknya keuntungan. Sistem ekonomi kapitalis sememangnya menghancurkan kemanusiaan. Sebab itulah sifat berhati-hati adalah suatu keperluan.
Kepada yang berada di luar sana, seandainya ingin kelihatan cantik dan bergaya (dengan memakai pendakap gigi misalnya), eloklah diselidik terlebih dahulu kelayakkan doktor gigi yang kita ingin guna perkhidmatan mereka. Janganlah kita pergi kepada doktor gigi yang sebarangan. Kelak gigi kita akan mengalami kerosakkan.

Sabtu, 7 Oktober 2017

PERJUANGAN TANPA MUSIM

Image result for keranda 152
Sumber : Google

Menggunakan pena dan juga kertas,
Kita tulis bantahan dengan sangat keras,
Ketika kita turun ke jalan raya,
Kita arakkan keranda satu lima dua.

Semakin negara menuju kemodenan,
Bahasa Melayu semakin terkorban,
Sebelum bahasa kita hilang di bumi,
Peringatan awal telah pun kita beri.

Sudah pasti kita akan terus dihina,
Hanya kerana ingin menjulangkan bahasa,
Tetapi tekad kita sebagai pejuang,
Janganlah pernah sesekali kita buang.

Kita adalah pejuang yang memartabatkan bahasa,
Supaya bahasa kembali bermaruah dalam negara.

Rasa cinta kita terhadap bahasa,
Satu saat pun janganlah pernah kita lupa,
Supaya bahasa tidak terus diperkosa,
Kita akan terus berjuang menyelamatkannya.  

Ahad, 1 Oktober 2017

TEORI SEPI TINGGI DALAM ISU ARAK DAN DOBI

Image result for arak
Sumber : Google

Dalam Teori Sepi Tinggi, jauh di belakang setiap konflik adalah rasa sepi. Konflik yang diwujudkan adalah untuk menentang rasa sepi.

Ramai manusia tidak tahan diseksa dengan rasa sepi. Menghilangkan rasa sepi adalah sesuatu yang sentiasa dicari. Salah satu cara untuk menghilangkan rasa sepi adalah dengan menimbulkan keriuhan. Keriuhan akan timbul apabila konflik dicetuskan.

Teori Sepi Tinggi ini saya fikir molek diaplikasikan dalam isu pesta arak dan kedai dobi yang tercetus baru-baru ini. Saya yakin di belakang kedua-dua isu ini adalah kerana timbulnya rasa sepi.

Setiap orang, bangsa, dan agama ada sensitivitinya. Segala sensitiviti itu wajiblah dihormati dengan sebaiknya. Saya yakin hampir seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa arak adalah sesuatu yang sangat sensitif bagi ramai orang Islam. Justeru, pesta arak itu tidak perlulah dibuat secara besar-besaran.

Begitu banyak premis menjual arak ada di negara kita. Orang bukan Islam yang mahu meneguk arak tidak pernah dihalang untuk melakukannya. Orang Islam di Malaysia amat memahami hal itu dan mereka menghormatinya. Jadi, tidak perlulah dipukul canang darihal pesta arak itu di mana-mana.

Tetapi oleh kerana terlalu ramai orang berada dalam kesepian, maka pesta arak itu sengaja dibuat secara besar-besaran. Ini kerana mereka tahu pesta arak itu pasti akan mendapat bantahan. Apabila ada bantahan, pastilah konflik akan timbul lalu akan mencetuskan pergaduhan dan keriuhan (terutama dalam media sosial). Maka,  kesepian yang menyelubungi mereka tadi dapat dihilangkan.

Mencabar sensitiviti umat Islam di negara ini bukanlah sesuatu perkara yang baru. Hal-hal yang lebih kurang sama sebegini memang sudah acapkali berlaku. Sesetengah pihak di negara kita memang suka mencabar sensitiviti. Ini semua bagi menghilangkan rasa sepi. 
  
Modus operandi yang sama juga berlaku terhadap isu kedai dobi. Perniagaan dan organisasi yang hanya menerima sesuatu kaum atau agama sahaja bukanlah sesuatu yang baru di negara ini. Tetapi oleh kerana isu kedai dobi itu orang Islam yang lakukan, maka reaksi yang dilempar sengaja dilebihkan.

Syarikat yang hanya menerima kaum tertentu sahaja sebagai pekerja tidak pernah mendapat kecaman. Hal sebegitu pun tidak diperbesarkan. Tetapi apabila sebuah kedai dobi yang hanya menerima orang Islam sahaja sebagai pelanggan, entah mengapa begitu banyak menerima kecaman. 

Orang yang membesarkan isu kedai dobi itu berada dalam kesepian. Oleh kerana sudah tidak ada lagi isu yang hendak ditimbulkan, maka isu kedai dobi untuk pelanggan Islam itu menjadi perhatian. Apabila isu itu diperbesarkan, maka konflik pun diwujudkan. Konflik itulah yang akan menentang kesepian.

Menghadap laman sosial dua puluh empat jam juga adalah salah satu cara untuk menentang kesepian. Pengguna laman sosial yang sepi akan sengaja mencari isu untuk disensasikan. Apabila isu arak dan dobi itu terjadi (sama ada mereka yang mentularkannya atau ditularkan oleh pengguna lain), maka sebilangan pengguna laman sosial yang sepi akan membuat serangan provokasi. Mereka akan berkongsi (share), membuat ulasan (comment), menulis status (di Facebook), dan berkelahi dengan pengguna laman sosial lain untuk menentang rasa sepi.  

Bagi tokoh-tokoh politik tertentu (misalnya) yang merasakan diri dan perjuangan mereka sudah mula dipandang sepi, mereka pasti bertindak supaya diri dan perjuangan mereka boleh terus dilihat lagi. Sama ada mereka yang mencetuskan konflik atau mereka yang mengeluarkan kenyataan kontroversi sebagai maklum balas terhadap isu yang terjadi, itu adalah salah satu cara supaya diri mereka boleh terus meraih populariti. Semuanya dilakukan untuk mendapat banyak undi dalam pilihan raya yang akan dijalankan nanti.

Berdasarkan Teori Sepi Tinggi, kesepian adalah sesuatu yang amat bahaya sama sekali. Konflik dan pertelingkahan mampu diwujudkan akibat timbulnya rasa sepi. Apa yang penting sensitiviti kaum dan agama orang lain hendaklah dihormati. Barulah hidup bermasyarakat kita berada dalam keadaan tenteram dan harmoni.

Selasa, 26 September 2017

ULAS NOVEL : SUAMIKU DAJJAL KARYA AIMAN BANNA



Novel didaktik! Itulah tanggapan awal ketika saya mula-mula menatap novel ini. Ternyata tanggapan awal saya itu tidak tersasar sama sekali (seusai saya membacanya). Sifat didaktik memang wujud di dalam novel ini.

(Nota : novel didaktik adalah novel yang cuba mengajar pembaca tentang sesuatu perkara. Novel jenis ini sarat dengan ilmu atau unsur khutbah di dalamnya.)

Tanggapan awal itu muncul apabila melihat nama penulisnya. Aiman Banna adalah penceramah agama muda yang memang terkemuka. Kerjayanya sebagai penceramah agama itu sedikit sebanyak dituangkan ke dalam novelnya.

Meskipun novel ini didaktik sifatnya, namun saya masih lagi boleh sampai ke pengakhiran cerita. Ini berbeza ketika novel Imam karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein yang pernah saya baca. Sehingga sekarang saya masih belum tahu lagi apa kesudahannya. Ini kerana, jalan cerita novel itu bukan sahaja bergerak dengan sangat perlahan, unsur khutbah di dalamnya juga terlalu berlebihan. 

Saya tidak kata semua novel yang bersifat didaktik itu tidak seronok dibaca. Novel Sebarkan Cintamu karya Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin adalah sebuah novel didaktik yang masih seronok dibaca meskipun unsur khutbah sangat banyak di dalamnya. Membaca novel itu bukan sahaja mengundang keseronokkan, malah ilmu juga boleh kita dapatkan.

Walau bagaimanapun, novel ini bukanlah bersifat didaktik serba-serbi. Novel ini tidak kuat sifat didaktiknya seperti mana kedua-dua novel yang telah saya sebutkan di atas tadi. Unsur khutbah itu tidaklah terlalu mendominasi.

Saya yakin novel ini masih belum mencapai tahap yang dikehendaki oleh Gagasan Persuratan Baru (cetusan Mohd Affandi Hassan yang disokong oleh Prof Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir dan Prof Madya Dr Zariat Abdul Rani). Seandainya novel Imam itu pun masih gagal mengikut kehendak gagasan itu, novel ini saya fikir lebih rendah daripada itu.

Walau bagaimanapun, saya tetap mahu mengatakan bahawa novel ini mempunyai kelasnya yang tersendiri. Meskipun tema dan persoalan yang dikemukakan amat biasa ditemui, namun Aiman bijak menggarapnya dengan cara yang agak berbeza sama-sekali. Unsur-unsur cliché begitu sukar untuk dijumpai.

Teknik penulisan novel yang berasaskan dua sudut pandang yang berbeza (watak Adam Wafiy dan Anis Safia) amat jarang digunapakai oleh novelis di Malaysia. Kebiasaan novelis di Malaysia menggunakan sudut pandang orang pertama atau sudut pandang daripada pelbagai watak-wataknya. Penggunaan teknik penulisan sebegini membuatkan novel ini berbeza dengan novel-novel lain yang ada di pasaran sana.

Seperti mana novel-novel didaktik lain yang pernah saya baca, novel ini juga lebih kurang sama sifatnya terutama dari segi pergerakan jalan cerita. Jalan cerita dalam novel ini bergerak dengan agak perlahan. Membacanya perlu diusung dengan penuh kesabaran. Saya beberapa kali terpaksa menangguhkan pembacaan.

Saya fikir situasi yang berulang-ulang seperti situasi di pesta buku itu perlu dielakkan (terutama pada Bab 11 dan Bab 12). Meskipun situasi itu digarap dari dua sudut pandang yang berbeza, namun membacanya tetap diikuti dengan rasa bosan juga. Ini kerana, situasi tersebut sudah pun diketahui oleh pembaca.

Watak adalah antara unsur terpenting untuk menjadikan sesebuah novel itu mempunyai tarikan. Aiman sedaya upaya untuk menjadikan watak Adam Wafiy sebagai watak yang mempersonakan. Tetapi percubaan Aiman itu telah menemui kegagalan. Watak Adam masih gagal untuk menjadi satu daya tarikan kepada keseluruhan jalan cerita. Watak Adam masih gagal untuk memukau pembaca.

Meskipun watak Adam digambarkan sebagai watak yang penyabar, tabah, tenang, berilmu, mempunyai iman yang tinggi, dan telah menempuh pelbagai dugaan, tetapi watak ini masih gagal melekat di ruang fikiran (pembaca). Saya fikir Aiman perlu mengembangkan lagi watak Mujahid Aiman (nama Aiman Banna sendiri?) atau watak Ameerul Mukmin atau watak Aniq Hamdi supaya mempunyai lebih peranan. Ini bagi membolehkan novel ini mempunyai watak yang lebih mempersonakan (sekiranya Aiman mahu kekalkan watak Adam dengan cara sebegitu). 
 
Aiman agak bijak menimbulkan unsur suspen dalam novel ini. Pembaca pasti tertanya-tanya siapakah Encik Kopiah yang sering disebut secara acapkali (oleh Anis Safia). Meskipun watak Encik Kopiah itu sudah boleh diteka siapa, namun Aiman bijak menyembunyikan watak itu di pertengahan cerita. Pembaca pasti tertanya-tanya dan terkeliru mengenai watak Encik Kopiah yang sebenarnya. Identiti sebenar Encik Kopiah hanya terbongkar setelah pembaca sampai ke akhir cerita. Unsur suspen yang digarap oleh Aiman ini telah dilakukan dengan agak sempurna.

Bagi saya, cara Adam Wafiy mengenakan Anis Safiya semasa percutian ke Lombok dan London itu adalah sesuatu yang perlu ditukar sebenarnya. Saya tidak fikir cara sebegitu boleh mengundang ‘sweet moment’ dalam diri pembaca. Saya yakin Aiman pasti dapat menghasilkan ‘sweet moment’ yang lebih baik lagi sebenarnya.

Memandangkan novel ini didaktik sifatnya, sedikit sebanyak ilmu yang terkandung di dalam novel ini boleh diserap oleh pembaca. Novel yang bersifat didaktik ini memang bagus sebenarnya. Cuma janganlah diperlahankan pergerakan jalan cerita. Kelak rasa bosan pasti akan menyelubungi diri pembaca.

Seperti yang telah saya sebut di atas tadi, novel ini berada di kelasnya yang tersendiri. Novel ini walau apa pun tetap juga boleh dipuji. Saya mengharapkan Aiman boleh menulis novel yang lebih baik daripada novel ini. Semoga Aiman Banna akan terus berkarya lagi.


Ahad, 24 September 2017

PENTING! LIMA CARA SUPAYA ANAK ANDA TIDAK TERJEBAK DENGAN JENAYAH!

Image result for budak sekolah jahat
Sumber : Google

Seperti yang kita sedia maklum, zaman sekarang ini memang ramai ibu bapa sering mendedahkan kepada anak mereka dengan perkara-perkara yang orang dewasa selalu lakukan. 
Contohnya seperti berswafoto, memakai pakaian yang cantik-cantik kemudian  ambil gambar ‘OOTD’ (outfit of the day) dan pelbagai lagi. 
Semua perkara tu memang elok jika dilakukan oleh kanak-kanak, lebih lebih lagi jika mereka mahir memperagakan pakaian mereka. 
Tetapi untuk pengetahuan anda, tingkah laku sebegini boleh membawa kepada perkara yang tidak elok di masa hadapan. 
Mana tidaknya, awal-awal lagi sudah diajar untuk melakukan semua hal begitu. Apabila mereka sudah besar, dikhuatiri mereka terjebak! 
Saya mahu memberi sedikit perkongsian untuk ibu bapa di luar sana tentang apa yang patut anda lakukan supaya anak-anak tidak terlalu bebas dari segi pergaulan dan sentiasa akan menjaga tingkah laku mereka sejak kecil lagi.
Mari baca ---> LIMA CARA SUPAYA ANAK ANDA TIDAK TERJEBAK DENGAN JENAYAH! <--- untuk mengetahuinya. 
Selamat membaca...

Ahad, 17 September 2017

KITA HILANG RAMAI INTAN DALAM AGAMA


Image result for pusat tahfiz ittifaqiyah
Sumber : Google


Berita kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah yang berlaku baru-baru ini telah menggemparkan sekian ramai orang dalam negara. Kebakaran yang tragik itu telah mengorbankan  sebanyak 23 nyawa. Ramai yang sedih dan sayu tatkala menerima berita itu. Ramai yang tidak sangka hal sebegitu boleh berlaku. 

Berita itu mendapat perhatian meluas oleh masyarakat kerana kebakaran tersebut telah menyebabkan ramai kanak-kanak yang masih kecil telah terkorban. Ramai orang mahu pihak berkuasa segera mencari punca-punca kebakaran. Ini dilakukan supaya keadilan untuk kanak-kanak yang tidak berdosa itu boleh ditegakkan. 

Setakat ini biarlah pihak berkuasa yang melakukan siasatan. Usahlah kita sebagai anggota masyarakat menyebarkan berita yang bukan-bukan. Perbuatan itu bukan sahaja boleh mengganggu siasatan, malah boleh mengguris hati ahli keluarga mangsa yang sedang mengalami kehilangan. 

Menyalahkan orang lain atas apa yang telah berlaku tidaklah menyelesaikan masalah. Biarlah pihak berkuasa yang menangkap sesiapa sahaja yang sememangnya bersalah. Kita sebagai anggota masyarakat usahlah mengecam dan berkelahi. Tunggulah hasil siasatan yang akan dikeluarkan nanti. 

Kematian kanak-kanak pusat tahfiz dalam kebakaran itu wajar ditangisi oleh kita semua. Kematian mereka merupakan bukan sahaja kehilangan besar buat ahli keluarga mereka, malah kehilangan besar buat agama juga. Islam telah banyak rugi dengan kematian mereka. 

Tidak ramai kanak-kanak di dunia yang mahu menjadi penghafal Al-Quran. Kanak-kanak lain kebanyakkannya suka menjadi doktor, peguam, jurutera, atau ahli perniagaan. Tetapi kanak-kanak yang terkorban itu sanggup dan suka menjadi penghafal Al-Quran. Orang yang menghafal Al-Quran mempunyai kedudukan yang tinggi dalam agama. Banyak manfaat yang Islam boleh dapat daripada diri mereka. Barangkali apabila mereka dewasa, ilmu Al-Quran yang mereka dapat itu boleh mereka sebarkan kepada anak-anak orang lain pula. Lalu ilmu Al-Quran itu akan kekal tersebar di mana-mana. 

Apabila mereka telah tiada, maka kuranglah orang yang berpotensi untuk mengajar Al-Quran dengan sebanyaknya. Sebab itulah umat Islam telah rugi dengan kehilangan mereka.  

Pujangga bermadah : kalau tinggi untung jadi bintang, kalau rendah masih jadi intan. Anak-anak yang terkorban itu belumlah menjadi bintang dalam agama memandangkan usia mereka masih muda. Tambahan pula jasa mereka kepada agama belum terserlah dengan sebanyaknya. Tetapi mereka telah pun menjadi intan dalam agama. Keinginan mereka untuk menjadi penghafal Al-Quran adalah sesuatu yang sangat mulia.

Apa yang telah menimpa ke atas kanak-kanak dan dua orang guru tahfiz itu adalah sesuatu yang amat menyayat hati. Kita berharap agar kejadian semacam itu tidak berulang lagi. Wajar kita berdoa supaya mereka semua dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga. Sesungguhnya mereka adalah intan dalam agama. Al-Fatihah…

Nota : Perkembangan terbaru setakat ini, suspek yang membakar pusat tahfiz tersebut telah ditahan. Sama-samalah kita menunggu hasil siasatan lanjut yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa.