Rabu, 24 Jun 2015

PENULIS NOVEL PERLU KELUAR DARI KEPOMPONG CERITA CINTA

Sumber : Google

Melihat kepada gaya penulisan novel pada hari ini, di samping melihat kepada gaya pembacaan rakyat Malaysia, kesimpulan yang dapat dibuat adalah rakyat Malaysia memang suka membaca novel novel cinta. Penulis penulis novel pun kebanyakkannya gemar menulis cerita cinta dalam novel novel mereka. Jika dilihat kepada senarai novel novel popular, semuanya didominasi oleh novel novel cinta. Jika dilihat kepada novel novel yang dipaparkan di rak rak buku hampir di kesemua kedai buku yang ada di Malaysia ini, novel novel cinta memang banyak dipamerkan. Jelas novel cinta mendapat permintaan tertinggi daripada khalayak pembaca.

Walaupun ada juga novel novel thriller terbitan Amir Muhammad melalui syarikat penerbitan Fixi-nya, dan novel novel thriller yang ditulis oleh Ramlee Awang Murshid melalui Alaf 21 Sdn Bhd, yang juga mendapat tempat di hati pembaca novel tempatan, namun novel novel thriller masih tidak dapat menandingi kehangatan dan kehebatan novel novel cinta. Walaubagaimanapun, saya masih boleh angkat topi dengan keadaan itu. Sekurang kurangnya, ada juga orang yang berminat menerbitkan novel novel thriller secara konsisten, ada juga penulis yang keluar dari kepompong cerita cerita cinta dan selera pembacaan rakyat Malaysia turut berubah sama. Dari suka membaca novel novel cinta menukar selera membaca novel novel thriller.

Pasaran novel novel cinta sangat luas. Tidak hairanlah ramai penulis novel novel cinta popular boleh hidup senang dengan hasil menulis novel sahaja. Novel novel mereka bukan sahaja laris bak pisang goreng panas malah jika bernasib baik, diadaptasi menjadi drama atau filem pula. Untung sungguh menjadi penulis novel novel cinta. Maka ramailah penulis novel novel cinta popular menjadi terkemuka seperti Suri Ryana, Ahadiat Akashah, Damya Hana, Anis Ayuni, Norhayati Berahim dan ramai lagi.

Isnin, 22 Jun 2015

PERBEZAAN TERBESAR BLOGGER PENGEDAR SHAKLEE DENGAN BLOGGER BUKAN PENGEDAR SHAKLEE



Sebagai seorang yang telah berkecimpung dalam dunia penulisan blog selama tiga tahun, saya telah menimba pelbagai pengalaman dalam dunia blog itu sendiri. Namun, pengalaman yang saya perolehi itu tidaklah dapat dibandingkan dengan pengalaman pengalaman yang berjaya dikutip oleh blogger blogger yang sudah sepuluh tahun menulis blog.

Saya ini boleh jadi blogger separuh politik, blogger yang membicarakan isu isu semasa, blogger hiburan, blogger sastera, blogger perniagaan online, blogger pengedar Shaklee, dan blogger sosial. Pendek kata, saya tidak punya niche khusus dalam penulisan blog. Apa sahaja yang saya mahu tulis, saya akan tulis di dalam blog ini untuk dikongsikan dengan blogger blogger lain dan anggota masyarakat di luar sana.

Setelah tiga tahun menulis blog, saya telah meletakkan diri saya sebagai seorang blogger pengedar Shaklee sebagai cara untuk mendapatkan keuntungan hasil daripada menulis blog. Sebelum itu, saya pernah menjadi blogger yang bukan dalam kalangan blogger pengedar Shaklee seperti hari ini.

Ahad, 21 Jun 2015

ANGKAT JUGA NOVEL SASTERAWAN NEGARA


Sumber : Google




Seakan – akan menjadi satu fenomena pula pada masa kini drama drama dan filem filem tempatan diadaptasi daripada novel novel popular untuk tatapan rakyat Malaysia. Playboy Itu Suami Aku, M.A.I.D, Bercakap Dengan Jin, Pilot CafĂ©, Ombak Rindu, Suami Aku Encik Sotong, Suami Aku Ustaz dan sebagainya adalah antara novel novel popular yang diangkat ke layar televisyen dan layar perak bagi memenuhi selera penonton pada waktu ini.

Ada pelbagai pandangan sama ada baik atau buruk dengan pemilihan novel novel popular untuk dijadikan sebuah drama atau filem. Pokok pangkalnya, drama drama atau filem filem yang diadaptasi dari novel novel popular ini mampu untuk menjanjikan pulangan yang lumayan kepada penerbit, pengarah dan pelakon. Filem filem atau drama drama yang diadaptasi dari novel novel popular ini mudah mendapat sambutan penonton pada masa kini.

Penonton yang pernah membaca novel novel popular ini sudah pasti mahu melihat apa yang telah mereka baca itu dipaparkan dalam bentuk visual walaupun mereka sudah pun tahu akan jalan cerita dan pengakhiran cerita tersebut. Tetapi, oleh kerana selama ini mereka hanya membayangkan watak watak yang ada di dalam novel novel melalui imaginasi mereka sahaja, kini mereka boleh melihatnya sendiri di depan mata di dalam bentuk visual yang dipaparkan di televisyen atau layar skrin. Tetapi tidak semua yang mereka bayangkan itu seratus peratus muncul di dalam filem atau drama tersebut.

Sabtu, 20 Jun 2015

K POP PUN AKAN TERKUBUR JUGA?


Sumber : Google




Di seluruh dunia, semua orang – terutama remaja khususnya perempuan tetapi lelaki juga sama – bercakap tentang K Pop yang berasal dari Korea Selatan.  K Pop adalah muzik berentak pop yang dicetuskan oleh penggiat penggiat muzik dari Korea Selatan. Sejak belakangan ini, akibat penangan daripada K Pop itu sendiri, ramai penyanyi, pelakon, pengacara, rancangan, muzik, budaya, makanan, pelancongan dan warisan Korea Selatan menjadi tumpuan di seluruh dunia. Serta merta negara Korea Selatan yang acapkali hampir berperang dengan Korea Utara kerana berlainan ideologi itu menjadi terkenal di seluruh dunia.

Banyak sekali nama nama artis Korea meniti di bibir peminat. Pelakon – Lee Min Ho, Park Shin Hye, Lee Seung Gi, Penyanyi – EXO, BTS, Super Junior, 2PM, Pengacara – Yoo Jae Suk, Kang Ho Dong, Shin Dong Yup dan ramai lagi dikenali oleh rakyat Malaysia dan penduduk dunia. Ada juga rakyat Malaysia yang kenal hampir semua artis Korea tetapi seorang artis Malaysia pun dia tidak kenal!

Pokok pangkalnya, artis artis Korea ini sentiasa menjadi tumpuan remaja remaja dunia. Dengan menawarkan rupa paras yang kacak dan cantik, tubuh yang berotot dan mengiurkan, bakat yang subur dalam seni, kebijaksanaan dalam pendidikan, lawak yang bermutu, dan rancangan yang berkualiti, maka artis artis Korea ini diperhatikan setiap masa. Cerita cerita mereka – sama ada baik atau buruk - senantiasa mahu diketahui bukan sahaja oleh para wartawan tetapi oleh para peminat mereka juga.  

Jumaat, 19 Jun 2015

PECAHKAH PAKATAN RAKYAT DENGAN MUKTAMAR PAS?


Sumber : Google




Muktamar PAS yang berlansung baru baru ini telah membuat ketetapan untuk memutuskan kerjasama politik dengan DAP tetapi masih kekal dalam Pakatan Rakyat. DAP pula mengisytiharkan Pakatan Rakyat telah 'mati' (terbubar) apabila PAS mengambil pendirian begitu dalam muktamarnya. Sama ada Pakatan Rakyat terbubar atau pun tidak masih menjadi tanda tanya ramai orang.

Bagi sesetengah orang, Pakatan Rakyat sudah pun terbubar. Bagi sesetengah orang pula, pakatan itu belum terbubar. Masyarakat menjadi keliru dengan permainan politik yang dimainkan oleh tiga buah parti politik yang dianggap akan bersemayam di Putrajaya tidak lama lagi.

Paling mengelirukan di dalam ketiga tiga parti itu adalah PAS. PAS mengambil pendirian untuk memutuskan kerjasama dengan DAP tetapi masih kekal dalam Pakatan Rakyat. Tindakan PAS itu terus dipersoal sehingga ke hari ini. Apa sebenarnya mainan politik yang mahu digunakan oleh PAS?     

Khamis, 18 Jun 2015

BENARKAH DAP TIDAK FAHAM HUDUD?




Ramai yang marah dan tidak boleh terima apabila pimpinan tertinggi PAS memutuskan kerjasama politik dengan DAP. Ini kerana, pada pendapat mereka, jika PAS memutuskan kerjasama politik dengan DAP, nescaya peluang PAS untuk bersemayam di Putrajaya pada PRU yang akan datang kembali pudar. Hal itu terjadi kerana PAS memerlukan undi kaum Cina yang dikuasai DAP untuk mencapai matlamat itu.

PAS memutuskan hubungan dengan DAP itu sudah pasti mempunyai maksud tertentu. PAS tidak mungkin dengan sengaja mahu memutuskan hubungan dengan parti tersebut tanpa alasan yang kukuh. Jika PAS bertindak sedemikian, PAS tahu sukar mereka mahu kuasai Putrajaya. PAS memutuskan hubungan dengan parti yang dikuasai oleh anak beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu kerana kedegilan mereka untuk menerima Hudud yang mahu dilaksanakan di negeri Kelantan. Di samping itu juga, DAP yang berketuakan Lim Guan Eng itu acapkali menyerang Haji Hadi – Presiden PAS.  Walaupun PAS dan DAP sudah agak lama juga bertahaluf siyasi, namun sikap DAP tentang Islam dan Hudud yang mahu dibawa oleh PAS masih keras umpama batu lagi.

Oleh kerana itu, PAS bertindak ‘berani mati’ dengan memutuskan kerjasama politik dengan DAP tetapi masih kekal dalam Pakatan Rakyat. Dari satu segi, ramai yang melihat tindakan PAS itu tidak bijak kerana akan merencatkan peluang Pakatan Rakyat untuk mentadbir Putrajaya. Dari satu segi pula, ramai yang berpendapat tindakan PAS itu adalah betul demi menjaga kemaslahatan agama Islam itu sendiri.  

Mereka yang menentang PAS memutuskan hubungan dengan DAP atas sebab DAP menentang Hudud mengeluarkan hujah bahawa tindakan PAS itu tidak betul kerana DAP masih tidak faham Hudud. Mereka berpendapat jika DAP diberi kefahaman yang lebih tentang Hudud, pasti orang orang DAP boleh menerima Hudud. Itulah sifir politik dan hujah dangkal yang dikemukakan oleh orang orang yang menentang PAS memutuskan kerjasama dengan DAP.

Pelik bin aneh apabila ada hujah yang mengatakan DAP tidak faham Hudud lalu menyebabkan mereka menolak Hudud. Pada saya, DAP tidak faham Hudud itu adalah satu kenyataan yang dangkal. Orang orang DAP khususnya Lim Guan Eng sudah lama tinggal di sebuah negara Islam bernama Malaysia. Islam acapkali dipaparkan di televisyen untuk tatapan masyarakat sama ada Islam mahupun bukan Islam. Masakan DAP masih tidak boleh menerima Islam yang di dalamnya ada Hudud apabila mereka menonton televisyen tiap tiap hari?

Rabu, 17 Jun 2015

TERIMA KASIH BLOGGER DEANNA MORNI



Baru baru ni saya ada join satu giveaway yang dianjurkan oleh kak Deanna Morni yang merupakan seorang blogger iaitu Giveaway by Kameq Deanna tapi bukan guna blog ni, guna blog yang satu lagi iaitu sasteradanmelayu.wordpress.com. Jujur la saya cakap yang saya dah tak aktif guna blog tu. Blog tu dalam wordpress bukan dalam blogspot macam blog ni. Susah tau sebenarnya nak guna blog wordpress daripada blog blogspot kalau kita tak ada ilmu dan kesungguhan nak guna blog versi wordpress tu.




Tujuan saya join giveaway tu selain nak sokong giveaway yang dianjurkan oleh Kak Deanna, saya juga nak mempopularkan blog tu macam blog ni. Tapi entahlah…bukan senang nak membesarkan sebuah blog setelah kita melahirkannya. Blog Sastera dan Melayu versi blogspot ni membesar pun dengan bermacam macam cara yang saya lakukan dan ia mengambil masa yang sangat panjang. Berkat kesabaran selama tiga tahun akhirnya blog yang anda tatap ni boleh la dikira berjaya. Dari pembaca seorang dua je sehari jadi dua ratus orang sehari. Sekarang dah cecah lima ratus orang sehari!


Selasa, 16 Jun 2015

Isnin, 15 Jun 2015

JADILAH PROFESSIONAL YANG BERFIKIRAN ISLAM




Kemenangan kumpulan pro ulamak dalam menewaskan golongan professional di dalam pimpinan tertinggi PAS yang berlangsung baru baru ini telah mengejutkan ramai orang dan pemerhati politik. Saya juga turut terkejut dengan kemenangan tersebut. Ramai berpendapat ada ‘udang di sebalik batu’ telah berlaku di dalam pemilihan PAS kali ini sehingga hanya satu kumpulan sahaja yang mendominasi pimpinan tertinggi PAS – dari Presiden hinggalah ke Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat.

Saya tidak mahu mengulas berkenaan ‘udang di sebalik batu’ yang dikatakan telah mencacatkan pemilihan kali ini. Saya juga tidak mahu mengulas akan kemenangan besar yang diperolehi kumpulan pro ulamak. Namun saya suka untuk mengulas akan kekalahan yang berlaku kepada kumpulan professional atau kumpulan pro liberal.

Pada hemat saya, kekalahan kumpulan professional dalam pemilihan kali ini bukanlah kerana kumpulan pro ulamak menolak kehadiran kumpulan professional itu. Bukan juga kerana kumpulan ulamak mahu membolot kuasa dan rakus untuk menguasai PAS. Kumpulan ulamak pasti sedar akan kepentingan kumpulan professional yang ada dalam PAS itu. Besar sekali jasa kumpulan professional dalam PAS. PAS diterima oleh semua golongan pada hari ini kerana wujudnya kumpulan professional itu di dalam PAS.  

Ahad, 14 Jun 2015

SAHABAT

Sumber : Google


Dalam perjalanan hidup ini,
Ku cuba mencari seorang sahabat sejati,
Bagi menemani kehidupan ini,
Namun sehingga waktu ini,
Seorang sahabat pun belum bisa kutemui.

Apa maknanya seorang sahabat?
Orang yang bisa bersama kita,
Di waktu susah mahupun lena,
Orang yang bisa menegur  kita,
Tatkala kita melakukan dosa,
Orang yang bisa menerima,
Segala keburukkan dalam diri kita,
Orang yang bisa menjaga,
Hati dan perasaan kita,
Orang yang bisa menghormati diri kita seadanya.

Sabtu, 13 Jun 2015

Jumaat, 12 Jun 2015

MAHATHIR PUN BUKAN TERLALU BAIK

Sumber : Google

Tidak putus putus serangan yang dilakukan oleh Dr. Mahathir kepada Najib sejak belakangan ini. Pelbagai cara yang dilakukan oleh negarawan ulung itu untuk menjatuhkan Najib dari kerusi Perdana Menteri. Dari dunia blog sehinggalah menjelajah ke seluruh negara – untuk meraih sokongan supaya Najib mudah dijatuhkan. Apa yang dilakukan oleh beliau pada Najib itu samalah seperti yang pernah beliau lakukan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu. Tetapi, nasib Tun Abdullah tidak sebaik nasib Najib. Tun Abdullah berjaya dijatuhkan kerana tidak ramai ahli UMNO menyokong beliau seperti mana yang diperoleh oleh Najib pada hari ini. Najib masih berkuasa kerana ahli UMNO dan pemimpin pemimpin lainnya masih menyatakan sokongan kepada beliau.

Pelbagai persepsi sama ada baik atau buruk berkenaan serangan Mahathir itu. Segolongan anggota masyarakat menyatakan sokongan akan serangan Mahathir itu namun segolongan anggota masyarakat lainnya menentang serangan tersebut. Tindakan Mahathir itu mendapat perhatian ramai orang dan dibahaskan di setiap peringkat. Ramai masih berteka teki adakah serangan Mahathir itu masih relevan dan jatuhkah Najib dengan serangan mentor politiknya itu?

Serangan Mahathir berkenaan isu 1MDB, Altantuya, GST, BR1M dan sebagainya telah menyentak Najib dan UMNO dari tidur yang lena dan berpanjangan. Serangan yang dilakukan oleh Mahathir itu bukan sahaja boleh menggerhanakan politik Najib namun politik dan survival UMNO juga. Jika Najib masih mengambil sikap play safe seperti sekarang, saya khuatir UMNO akan menerima padah pada PRU akan datang.

Khamis, 11 Jun 2015

MELAYU : KAYA SEDIKIT, SOMBONG BANYAK!

Sumber : Google

Saya berbangga kerana sudah ramai anak Melayu yang kaya raya dan menjadi jutawan pada hari ini. Jika dahulu di sekitar tahun 60an, 70an, dan awal 80an, begitu sukar sekali mahu mencari orang Melayu yang kaya raya. Jika ada pun terdiri daripada golongan bangsawan dan golongan diraja sahaja. Selebihnya, orang Melayu dihempap kemiskinan sehinggalah Tun Dr. Mahathir menerajui negara ini. Di ketika itu, barulah muncul ramai jutawan jutawan dari kalangan orang Melayu.

Sungguhpun begitu, apabila terlalu ramai orang Melayu yang kaya raya, mereka merasakan mereka telah mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Gaya hidup mereka juga mula berubah. Siapa yang masih mengekalkan cara hidup Melayu/Islam itu haruslah dipuji tetapi bagaimana pula yang mengikut cara hidup orang orang Barat? Arak dan parti liar mula menjadi santapan harian?

Oleh kerana ramai orang Melayu yang kaya raya pada hari ini dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat, mereka mula memandang rendah kepada orang di bawah mereka. Mereka memandang tukang sapu, tukang cuci, promoter pusat membeli belah itu tidak lebih daripada manusia yang tidak sekolah! Mereka memandang hina kepada golongan marhaen ini. Mereka merasakan mereka lebih mulia daripada orang orang yang tidak berharta seperti mereka itu.

MENEGUR, MENGKRITIK, ATAU MENGHENTAM?

Sumber : Google

Jika difahami secara kasar, mungkin istilah menegur, mengkritik atau menghentam membawa maksud yang sama dalam konteks yang kita faham pada hari ini namun pada saya, sebagai seorang blogger dan mahasiswa, ketiga tiga istilah tersebut membawa maksud yang berlainan.

Menegur pada saya lebih lembut dan sopan. Menegur kesilapan seseorang terutama ahli politik adalah perlu untuk memastikan survival agama, bangsa dan tanah air dapat dipertahankan. Apabila kita menegur kesilapan seseorang, orang tersebut mungkin dapat menyambut baik teguran kita kerana kita menyampaikannya dengan cara yang sopan. Menegur selalunya dibuat secara tertutup dan bersemuka. Ia tidak dibuat dihadapan orang ramai kerana untuk menjaga aib orang tersebut. Menegur juga menggunakan bahasa yang baik supaya orang tersebut tidak terguris hati mendengar teguran kita.

Berbeza dengan menegur, mengkritik lebih keras dan pedas. Mengkritik dilakukan apabila pendekatan menegur sudah acapkali dibuat namun tiada apa apa tindakan positif yang berlaku. Untuk pengetahuan semua, bukan semua orang boleh menerima kritikkan kerana mengkritik biasanya menggunakan bahasa yang kasar, keras dan kadang kala bersifat kurang ajar. Mengkritik biasanya dibuat secara berhadapan untuk menyedarkan orang yang dikritik. Mengkritik sebenarnya bergantung kepada niat si pengkritik. Jika seseorang pengkritik itu mahu menyedarkan orang yang dikritik, maka mungkin aib orang tersebut dapat dijaga dan orang yang dikritik mungkin dapat menerima kritikkan tersebut. Tetapi, jika niat si pengkritik memang mahu menjatuhkan aib orang yang dikritik, maka maruah orang yang dikritik akan jatuh dan orang yang dikritik tidak dapat menerima kritikkan tersebut. 

Isnin, 1 Jun 2015

PERANG AGAMA MUNGKIN BERLAKU DI MALAYSIA

Sumber : Google

Entri yang mahu saya tulis ini bukanlah entri yang bersifat hasutan atau menghasut mana mana pihak supaya terlibat di dalam kancah peperangan tetapi sebaliknya sebuah entri yang memberi amaran dan peringatan kepada semua pihak supaya menjaga sensitiviti agama dalam kalangan rakyat Malaysia agar peperangan agama tidak berlaku seperti mana peristiwa 13 Mei 1969 yang telah berlaku dahulu sehingga mengorbankan banyak nyawa.

Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku kerana masalah ketegangan kaum. Peristiwa itu terjadi kerana sensitiviti kaum tidak dipelihara dengan baik sehingga menimbulkan rasa marah lalu berlakulah pertumpahan darah sehingga meragut banyak nyawa. Sudah pastilah kita sebagai rakyat Malaysia tidak mahu peristiwa tersebut berulang lagi.

Jika sensitiviti agama tidak dipelihara atau dijaga dengan baik oleh kerajaan dan rakyat Malaysia, tidak mustahil peristiwa 13 Mei 1969 itu boleh berulang lagi cuma dalam situasi yang berbeza. Kalau dahulu peristiwa tersebut berlaku kerana berpaksikan kepada perkauman tetapi jika peristiwa itu berlaku sekali lagi ia berpaksikan pula kepada keagamaan.

HAK UMAT ISLAM SERING DINAFIKAN

Sumber : Google

Isu Rohingnya kembali ‘meletup’ baru baru ini setelah sepi seketika apabila ramai rakyatnya datang ke negara ini kerana tidak tahan dengan segala siksaan yang diterima oleh mereka di negara mereka sendiri. Kedatangan mereka ke Malaysia bukanlah untuk tujuan lain sebaliknya untuk mencari perlindungan dan keperluan asas.

Nasib yang menimpa orang Rohingnya seakan akan sama dengan nasib yang menimpa orang Palestin dan ramai lagi orang Islam di dunia lain. Majoriti orang Islam di dunia ini tidak berasa bahagia kerana hak mereka sering dinafikan. Mereka ditindas dan disiksa dengan sewenang – wenangnya oleh musuh Islam tanpa ada sifat perikemanusiaan. Mereka dianggap sebagai musuh kerana menganut agama Islam.

Orang bukan Islam yang tinggal di sebuah negara Islam sentiasa dilindungi oleh kerajaan di negara Islam. Mereka boleh hidup bahagia dan boleh menjadi kaya apabila tinggal di dalam negara Islam. Hak mereka sebagai rakyat sentiasa dipelihara dan terpelihara oleh pemimpin dan rakyat di negara Islam tersebut. Kerajaan dan rakyat di negara Islam tidak pernah sekalipun menindas rakyat yang bukan Islam yang tinggal di negara Islam.