Sumber : Google |
Suasana dingin pagi mula mencengkam
tubuhku tatkala aku turun menggunakan eskalator untuk menuju ke stesen kereta
api bawah tanah. Aku melihat jam hitam pemberian ibu. Jarum jam menunjukkan
pada pukul 6.15 pagi bermaksud ada lima belas minit lagi untuk kereta api
sampai. Aku berjalan menuju ke sebuah bangku yang kosong untuk menghilangkan
lelah. Suasana dingin pagi masih mencengkam diriku pada waktu itu.
Aku melilaukan pandangan ke arah beberapa
orang yang sedang duduk berhampiran denganku untuk menunggu kereta api. Ada
Melayu, ada Cina dan tidak kurang juga India. Masing masing mendiamkan diri.
Ada yang termenung, ada yang sedang leka ‘menelaah’ telefon pintar, ada yang
sedang membaca surat khabar The Sun yang diberi secara percuma dan tidak kurang
juga yang termenung jauh.
Aku masih sama. Memerhati dan terus
memerhati orang orang yang ada di situ. Dengan cahaya lampu yang malap, aku
memerhatikan suasana di stesen kereta api bawah tanah itu. Hanya suram dan
sunyi menyelubungi suasana. Inilah sikapku. Entah mengapa aku suka memerhatikan
orang ramai. Aku suka memerhati perlakuan dan gelagat manusia di sekelilingku.
Aku melihat seorang lelaki India
yang sedang membawa surat khabar. Dia memakai baju kemeja berwarna kelabu dan
berseluar slack hitam. Mungkin dia mahu ke pejabat. Itulah yang muncul
di fikiranku. Aku juga melihat seorang perempuan Cina yang sedang leka
‘menelaah’ telefon pintarnya. Mungkin sedang bermain permainan video atau
membaca status status di Facebook atau mungkin juga membaca bait bait kata yang
keluar di Whatsapp.
Perempuan Cina itu hanya memakai baju
T berwarna merah jambu dan berseluar jeans pendek paras paha. Tanpa segan silu,
dia mendedahkan pahanya yang putih melepak itu untuk tatapan umum. ‘Tidak
sejukkah dirinya?’ Itulah persoalan yang bermain di fikiranku.
Mataku tertancap pada seorang
lelaki kacak – orang putih – yang sedang berjalan sambil membawa sebuah beg
sandang yang besar. Dia memakai baju T berwarna hijau dan memakai seluar
berwarna coklat. Dia duduk di sebelahku. Sebuah senyuman dihadiahkan buat
diriku dan sebagai menghormati dirinya, aku membalas jua dengan senyuman. Aku
tidak berbual dengannya kerana penguasaan Bahasa Inggeris aku tidaklah begitu
baik.
Semakin lama semakin ramai orang yang
membanjiri stesen kereta api bawah tanah itu. Seperti aku, mereka juga mahu
menuju ke satu destinasi tanpa aku ketahui untuk memenuhi sesuatu urusan. Jam
sudah menunjukkan pada pukul 6.30 pagi. Bila bila masa sahaja kereta api akan
sampai.
Jadual kedatangan kereta api ini tidak
pernah tetap. Kadang kala cepat dan kadang kala lambat. Jika cepat,
beruntunglah kita kerana dapat sampai ke destinasi tepat pada waktunya. Jika
lambat, hanya keluhan sahaja sebagai pengubat sakit hati. Sebagai pengguna,
kita tidak boleh berbuat apa apa. Perkhidmatan kereta api di negara kita sama
teruk dengan perkhidmatan kereta api di Bangladesh sana!
Lima minit kemudian kereta api yang
menjadi penantian ramai orang di stesen itu telah tiba. Aku dan orang orang
yang mahu menaiki kereta api tersebut telah beratur di hadapan pintu – menunggu
untuk pintu itu dibuka. Apabila pintu terbuka, orang orang dari dalam kereta
api mula berasak asak untuk keluar. Aku dan penumpang penumpang lain perlu
menunggu terlebih dahulu semua penumpang dari dalam keluar supaya tidak berlaku
kesesakan di pintu masuk. Apabila semua penumpang dari dalam keluar, barulah
kami masuk.
Malang nasibku pada pagi itu kerana
tidak ada satu tempat duduk yang kosong untuk diriku. Mahu atau tidak, aku
perlu berdiri. Tempat tempat duduk sudah dipenuhi dengan beberapa orang lelaki
dan wanita. Semuanya dari Bangladesh. Tidak kurang juga dari Indonesia.
Aku melihat seorang lelaki tua
berbangsa Melayu sedang berdiri di hadapan seorang lelaki Bangladesh. Jatuh
kasihan aku melihat lelaki tua itu. Sudahlah membawa banyak barang, kudratnya
untuk berdiri lama jelas berkurangan. Sepatutnya lelaki Bangladesh itu memberikan
tempat duduk kepada lelaki tua itu. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Dia
hanya mendiamkan diri dan sekadar memandang sahaja.
Dari satu stesen ke satu stesen, aku
masih lagi berdiri. Lenguh juga kaki apabila berdiri begitu lama ditambah pula
dengan keadaan kereta api yang sentiasa bergoyang goyang. Silap percaturan
boleh jatuh tersembam! Oleh itu, aku bersandar di tepi dinding untuk
mengelakkan aku terjatuh dihadapan penumpang penumpang yang ada di situ.
Aku memerhatikan lagi penumpang yang
sedang duduk. Ada yang tidur sambil tenganga mulutnya, ada yang baca novel, ada
yang membaca surat khabar, ada yang ‘menelaah’ telefon pintar, ada yang
mendengar lagu menggunakan headphone dan tidak kurang juga yang berbual
bual kosong sehingga seluruh kereta api bisa mendengar suaranya.
Mataku terarah pada sekumpulan lelaki
Melayu muda – lima orang semuanya sedang berbual bual kosong sambil membawa beg
yang besar. Barangkali mereka mahu melancong atau mahu pulang ke rumah. Itu sahaja
perkara yang terlintas di fikiranku pada waktu itu.
Kereta api terus bergerak dan
bergerak. Penumpang terus keluar masuk untuk menuju ke destinasi. Tiba tiba aku
mendengar satu kekecohan tidak jauh dari tempat aku berdiri. Rupanya rupanya ada
penumpang yang telah silap menaiki kereta api. Panik benar lelaki itu. Untung
sahaja ada seorang lelaki lain yang memberitahu apa yang harus dia lakukan.
Lelaki itu harus turun dahulu untuk menukar kereta api bagi memudahkannya
sampai ke destinasi yang ingin dia tuju. Perkara seperti ini memang acapkali
berlaku.
Aku melihat seorang pelajar Cina yang
lengkap dengan pakaian sekolah sedang membaca buku teks sekolahnya sambil
berdiri. Tekun benar pelajar lelaki Cina itu. Mataku juga terarah pada beberapa
orang pemuda India yang sedang berbual bual kosong. Suara mereka sungguh kuat
namun aku tidak dapat memahaminya kerana aku tidak belajar Bahasa Tamil.
Apabila sampai di satu stesen, ramai
penumpang penumpang yang duduk tadi mula meninggalkan kereta api. Oleh itu,
banyak tempat kosong untuk aku duduki. Aku memilih tempat paling hujung sekali
dalam barisan kerusi yang disusun dan dilekatkan di tepi dinding itu. Sakit
sungguh kakiku kerana terlalu lama berdiri. Aku menyandarkan tubuhku untuk menghilangkan
lelah yang bertandang.
Suasana dalam kereta api tidak sama
seperti di stesen. Suasananya agak hiruk pikuk juga. Ada suara tangisan bayi,
ada bunyi nada dering telefon bimbit, ada suara orang berbual, ada bunyi enjin
kereta api yang aku naiki dan juga bunyi kereta api yang berselisih dengan
kereta api yang aku naiki.
Aku melihat tiga orang lelaki Cina
sedang duduk di lantai kereta api yang kotor itu sambil menyiapkan satu kerja.
Kerja apa tidak dapat aku pastikan kerana aku tidak faham bahasa yang mereka
pertuturkan. Sama ada Mandarin, Hokkien atau Kantonis. Aku langsung tidak fasih
dengan bahasa bahasa itu.
Nisbah penumpang yang keluar dengan
penumpang yang masuk agak tidak sekata pada pagi itu. Penumpang yang masuk
lebih banyak dari penumpang yang keluar menyebabkan keadaan di dalam kereta api
agak sesak. Dihadapanku sudah ramai penumpang penumpang yang terdiri dari
pelbagai negara – Bangladesh, Indonesia, Nepal, Vietnam, Myanmar dan banyak
lagi. Mereka bercakap sesama mereka dan seperti biasa, aku langsung tidak faham
dengan bahasa mereka.
Ada seorang lelaki – agak kacak juga –
berwajah kecinaan sedikit tetapi masam. Mungkin dari Vietnam atau Myanmar. Atau
mungkin juga dari Nepal. Air mukanya kelihatan mencuka. Ada tatoo di lengan
kirinya. Memakai baju T tanpa lengan dan memakai seluar jeans lusuh. Setiap
kali aku memandang wajahnya, setiap kali itu juga matanya menikam wajahku.
Sejujurnya aku bukan mahu melihat wajahnya tetapi tattoo naganya! Aku berasa pelik
dengan lukisan tatoo yang menghiasi lengan kanannya.
Aku melihat dua orang penumpang Arab
lelaki masuk ke dalam gerabak kereta api itu. Mereka berbual sesama sendiri.
Memandangkan gerabak itu sudah seperti ikan dalam tin sardin, mereka tidak
dapat masuk ke dalam. Mereka hanya boleh berdiri di muka pintu sahaja
menyebabkan pintu kereta api itu sukar untuk ditutup.
Kelihatan juga seorang wanita Negro
memakai baju dan tudung serba kuning masuk ke dalam kereta api bersama anak
lelakinya yang berumur lebih kurang tiga atau empat tahun. Lasak dan nakal
sungguh anak lelakinya. Berlari lari di celah celah orang ramai sehingga wanita
Negro itu terpaksa berjalan di celah celah kesesakan itu untuk mencari anaknya.
Anaknya bukan sahaja berlari lari, tetapi juga memanjat manjat kerusi yang
diduduki oleh penumpang di dalam kereta api itu.
Tanpa rasa bersalah jauh sekali rasa
malu, dia memanjat peha seorang lelaki Cina untuk melihat keluar menerusi
tingkap besar kereta api. Lelaki Cina itu jelas marah dengan tindakan budak kecil
itu namun tidak dapat melakukan apa apa. Wanita Negro itu pula sekadar menarik
narik anaknya tanpa memarahi walaupun sekali. Jujur, aku geram dengan sikap
wanita Negro itu!
Pandanganku tiba tiba jatuh pada
sepasang remaja Melayu yang sedang seronok menyulam cinta. Kedua duanya bagai
pinang dibelah dua. Sama cantik dan sama padan. Si teruna yang kacak dan si
gadis yang cantik. Gadis bertudung itu meletakkan kepalanya di atas bahu si
teruna sambil berbual bual manakala si teruna pula melayani kekasihnya sambil
memerhatikan telefon pintar yang berada di tangannya. Adakalanya mereka tertawa
sendiri tetapi dengan nada perlahan. Mereka begitu seronok di alam percintaan
mereka tanpa mengira hukum agama dan pandangan masyarakat di atas perlakuan
mereka.
Terdapat seorang lelaki Benggali
sedang menjawab panggilan telefon. Begitu nyaring sekali suaranya sehingga satu
gerabak memandang ke arah dirinya. Mata mata di situ tidak henti henti
memandang ke arah dirinya termasuk diriku. Kebanyakkan kami tidak faham apa
yang dituturkan oleh lelaki Banggali itu tetapi terpancar riak kegembiraan di
wajahnya. ‘Barangkali perniagaannya untung’. Bisik hatiku.
Kereta api terus membelah
kedinginan pagi itu seperti biasa. Seperti hari hari yang aku naikinya tanpa
rasa jemu. Alhamdulillah...setakat ini kereta api itu tidak pernah menghampakan
aku dalam membawa aku ke destinasi yang ingin aku tuju. Aku bersyukur atas
sebab itu. Kereta api itu terus bergerak dan berhenti ke satu stesen ke satu
stesen yang lain.
Diam tidak diam sudah empat puluh lima
minit aku berada di dalam kereta api itu. Tidak lama lagi aku akan sampai ke
destinasi yang aku ingin tuju. Penumpang semakin ramai terutama warga asing. Aku
sendiri tidak dapat menganggar berapa jumlah sebenar mereka di dalam negara
ini. Tanpa aku sedari, mereka telah ‘menguasai’ kereta api itu. Dan tidak
mustahil juga barangkali mereka menguasai negara ini. Oh...tanah airku....
Kereta api telah sampai ke destinasi
yang aku ingin tuju. Aku terus bergerak ke pintu untuk keluar. Apabila kereta
api berhenti dan pintu terbuka, aku melangkah keluar. Aku berjalan di sisi
kereta api yang telah membawa aku ke destinasi ini. Aku memandang ke dalam
kereta api itu melalui cermin tingkap. Ah...ramai sungguh warga asing di
dalamnya...
Nota : sudah lama saya tidak
menulis cerpen akibat sibuk dengan beberapa tugasan dan perniagaan Shaklee
saya. Harap anda terhibur dengan cerpen kali ini. Wassalam...
Menarik cerpen ini... Suasana dalam kereta api dapat diolah dengan sangat baik...
BalasPadam