Sabtu, 19 Ogos 2017

APA BEZA ANTARA SAJAK DENGAN PUISI?


Image result for sajak
Sumber : Google


Sering saya ditanya apakah perbezaan antara sajak dengan puisi sebenarnya? Pertanyaan itu muncul setelah ramai melihat saya cenderung dalam dunia sastera dan sajak beberapa ketika. Meskipun bidang pengajian saya di universiti adalah bidang bahasa, tetapi bidang sastera tetap menjadi kegemaran saya. 

Sajak dan puisi itu sebenarnya tidak jauh beza. Tetapi puisi lebih sukar difahami dan diteka maksudnya. Namun, kedua-duanya mempunyai bentuk yang sama. Dan kedua-duanya juga amat mementingkan keindahan dan kecekapan berbahasa.

Puisi perlu disampaikan secara tersirat dan maksudnya sukar difahami. Jika maksudnya mudah difahami, ia tidak menjadi puisi lagi. Ia sekadar menjadi sajak sahaja. Namun, jika puisi terlalu kabur maksudnya, seperti puisi-puisi A. S. Amin dan Noor S.I misalnya, ia adalah sesuatu yang tidak bagus juga.   

Saya mula jatuh hati dengan puisi/sajak setelah saya membaca sajak A. Samad Said bertajuk Tetamu Senja. Dari situlah timbulnya minat saya untuk menulis sajak dan menjadi penyajak sebenarnya. Sajak-sajak saya pun dipengaruhi oleh sajak-sajak yang ditulis oleh sajak A. Samad Said kebanyakkannya. 

Meskipun saya dan A. Samad Said mempunyai perbezaan dari segi ideologi (politik), tetapi puisi-puisinya sangat berkesan di hati. Perhatikan sajak Peludah Warna yang ditulis oleh A. Samad Said di bawah : 

“Kuasa gusar kini menggelegak murka / Warna kuning diisytihar racun terbisa / Diragutnya baju-T segeram tenaga / Dan diumum itulah busana bahaya.” 

Sajak di atas sebenarnya adalah sajak perjuangan. Hanya orang yang terlibat secara langsung dalam lapangan perjuangan kepembangkangan (Bersih) sahaja boleh menulis sajak yang indah sedemikian. Bait-bait sajak di atas bukan sahaja menggambarkan luahan simpati, malah turut sama perasaan benci. 

Saya sebenarnya lebih banyak menulis sajak berbanding menulis puisi. Sajak lebih mudah ditulis berbanding puisi. Jika tidak pandai menyatakan sesuatu secara tersirat, menulis sajak adalah sebaik-baik karya seni yang boleh dibuat. Perhatikan bait-bait sajak Alirkan Sokongan yang telah saya cipta baru-baru ini :  

“Sedang enak menghirup kuah keamanan /          Peluru dan bom datang merejam kebebasan / Hidup terus dipangku oleh ketabahan / Hanya mampu bergayut pada dahan keimanan / Dan terus terpasung di penjara kesedihan.” 

Sajak yang saya tulis di atas mudah diteka maksudnya. Ia menggambarkan tentang keadaan seseorang yang sedang menderita. Penderitaan itu adalah kerana peperangan yang menjadi punca.

Kita beruntung kerana mempunyai ramai penulis puisi yang berbakat besar di Malaysia. Usman Awang, Muhammad Haji Salleh, Latif Mohiddin, Baha Zain, Abdul Ghaffar Ibrahim, dan  Siti Zainon Ismail adalah antara beberapa nama. Puisi-puisi mereka sering kali menjadi rujukan ramai penulis puisi di Malaysia. Setiap daripada mereka mempunyai gaya tersendiri dalam penulisan puisi-puisi mereka.

Latiff Mohiddin (seorang pelukis dan penulis puisi) adalah antara penulis puisi yang boleh dibanggakan. Puisinya yang berjudul Sungai Mekong adalah puisi yang telah mencapai tahap kecemerlangan. Perhatikan bait-bait puisi Sungai Mekong di bawah :

“Sungai Mekong / Kupilih namamu / Kerana aku begitu sepi / Kan ku benamkan dadaku ke dasarmu / Kaki kananku ke bulan / Kaki kiriku ke matahari / Kan ku hanyutkan hatimu ke kalimu.” 

Lihatlah bagaimana puisi di atas itu diciptakan. Puisi ini ditulis dengan penuh gaya kesenian. Frasa ‘kan ku benamkan dadaku ke dasarmu / kaki kananku ke bulan / kaki kiriku ke matahari’ sering kali menjadi pertanyaan. Bagi orang yang tidak biasa dengan puisi, pasti maksud sebenar frasa itu begitu sukar untuk difahami.

Pastilah aneh bagaimana seseorang boleh membenamkan dadanya di dasar sungai dan mengangkangkan kakinya – satu ke bulan dan satu lagi ke matahari. Sebenarnya frasa itu tidak mempunyai maksud yang pasti. Penulisnya sahaja yang tahu maksudnya serba-serbi. Cuma apa yang hendak ditekankan di sini, hanya penulis puisi yang menjadi pelukis sahaja yang berupaya berimaginasi dan menulis puisi yang indah sebegini. Mungkin Latiff terpengaruh dengan gaya surealisme semasa menulis puisi ini.  
    
Puisi Sidang Roh nukilan Dr Kassim Ahmad juga adalah puisi yang mengesankan. Tidak hairanlah puisi ini pernah mencipta kontroversi kerana ia menyentuh tentang darihal ketuhanan. Perhatikan bait-bait puisi Sidang Roh ini di bawah :

“Nanti akan padamlah dengan sendiri / Lampu dari menara tinggi / Kerana di bawahnya orang kian mabuk / Dan Tuhan telah mati.”    

Frasa ‘dan tuhan telah mati’ itulah yang mencetuskan kontroversi. Semua orang percaya bahawa Tuhan tidak akan pernah mati. Percaya bahawa Tuhan boleh mati berupaya untuk menggugat akidah sendiri. Inilah bahayanya jika maksud terlalu kabur dalam sesebuah puisi. Orang akan mudah salah tafsir maksud sebenar yang hendak disampaikan. Dan maksud sebenar frasa itu bukanlah apa yang ramai orang fikirkan. 

Puisi itu perlu dibaca secara keseluruhan. Ia adalah berkenaan orang yang melakukan maksiat dan kejahatan. Orang yang banyak melakukan kemaksiatan, dirinya pasti jauh daripada Tuhan. Tuhan (baca : iman) sudah tiada atau mati dalam dirinya. Itulah maksud frasa itu sebenarnya. Frasa itu boleh dianggap terlalu hiperbola (atau mungkin absurd) sifatnya.   

Esei ini bukanlah mencakupi segala-galanya tentang sajak dan puisi. Pastilah wacana tentang sajak dan puisi itu boleh ditulis daripada pelbagai sudut lagi. Apa yang sedang saya bicarakan sekarang adalah perbezaan antara sajak dan puisi. Baik dari segi keindahannya dan juga bentuknya. Latiff Mohiddin dan Kassim Ahmad berupaya menulis puisi tentunya. Dan saya pula hanya mampu menulis sajak sahaja.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.