Selasa, 21 Julai 2020

BILA SEMENANJUNG JADI SEMENANJING

Terkejut saya apabila seorang kawan dari Sabah menggelar seorang lagi sahabat saya dari Semenanjung dengan gelaran orang Semenanjing. Saya tidak tahu sama ada itu sekadar gurauan ataupun bukan tetapi pada hemat saya, perkataan begitu tidak sepatutnya diucapkan.

Semasa saya menuntut di UiTM, memang saya ketahui bahawa sentimen orang Sabah dan Sarawak yang tidak suka kepada orang Semenanjung. Mereka sering mengatakan bahawa orang Semenanjung sering merompak kekayaan negeri mereka dan membawa ke Semenanjung sekaligus memajukan negeri-negeri yang ada di Semenanjung. Manakala negeri Sabah dan Sarawak kekal miskin dan mundur.

Selain itu, mereka sering mengatakan bahawa orang-orang Semenanjung tidak menghormati Perjanjian Malaysia 1963 yang dimeterai lama dahulu antara pemimpin Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Sukar saya mahu membahas darihal negeri Sabah dan Sarawak ini kerana isu ini adalah isu yang sensitif. Saya khuatir jika saya bercakap mengenai hal ini, ramai orang akan salah faham.

Memang diakui bahawa terdapat ketidakadilan dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan yang dipimpin rata-ratanya oleh orang Semenanjung sehingga menyebabkan negeri Sabah dan Sarawak menjadi miskin dan mundur. Kerajaan Persekutuan bermula dari Tunku Abdul Rahman sehinggalah ke Najib Tun Razak dilihat gagal memajukan kedua-dua negeri Malaysia Timur itu.

Namun, hendak menyalahkan kerajaan Persekutuan sepenuhnya tidak boleh juga. Sabah dan Sarawak dipimpin oleh anak jati negeri tersebut. Jika Sabah dan Sarawak mundur, bukan sahaja kerajaan Persekutuan yang salah, pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak yang menjadi Ketua Menteri dan Menteri juga turut bersalah.

Sejak Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada tahun 1963, sekalian Ketua Menteri dan Menteri kedua-dua negeri tersebut telah gagal memajukan negeri masing-masing. Mengapa mereka sebagai pemimpin yang diberi amanah dan kuasa oleh rakyat Sabah dan Sarawak tidak buat kerja memajukan negeri? Mengapa mereka harus takut dan mengikut telunjuk kerajaan Persekutuan jika mereka punya hak dalam Perjanjian Malaysia 1963?

Jika Sabah dan Sarawak mundur, pihak yang harus disalahkan dahulu ialah pemimpin-pemimpin di kedua-dua negeri itu bukannya pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan. Jika benar pun pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan yang bersalah, mengapa rakyat Semenanjung pula yang menjadi mangsa kemarahan penduduk Sabah dan Sarawak?

Jangan dilupa bahawa bukan semua negeri di Semenanjung maju dan kaya-raya. Negeri Kelantan yang diperintas PAS selama 20 tahun pun kekal mundur dan miskin. Semuanya gara-gara kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri itu kerana tidak menyokong mereka.

Tidak salah orang Sabah dan Sarawak marah kepada pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan tetapi usahlah benci dan marah kepada rakyat di Semenanjung. Rakyat Semenanjung tidak bersalah kerana bukan mereka yang memiskinkan dan memundurkan Sabah dan Sarawak.

Apa yang sepatutnya kita semua perlu lakukan ialah menaikkan pemimpin yang adil dan amanah sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri supaya negeri-negeri di Malaysia ini seimbang pembangunan dan pemodenannya. Saling membenci sehingga keluar perkataan Semenanjing bukanlah sesuatu yang molek. 

Ahad, 12 Julai 2020

LELAKI LEMBUT : ANTARA SPM DAN IJAZAH

Saya ini seorang lelaki lembut. Tetapi bukanlah bermakna saya seorang pondan atau gemar menjadi perempuan. Diri saya ini cuma berperwatakan lembut.

Oleh kerana saya 'berbeza' dengan lelaki yang lain, maka 'kelembutan' saya sering kali menjadi bahan ejekan dan usikan rakan-rakan.

Tidak semua orang boleh menerima diri saya sebagai lelaki lembut. Bagi yang  boleh menerima, mereka tidak kisah akan kelembutan saya. Bagi yang tidak boleh terima, mereka akan menjadikan saya sebagai bahan jenaka.

Sepanjang pemerhatian dan pergaulan saya, orang yang berpelajaran tinggi atau berkelulusan universiti (secara majoritinya) biasanya tidak menjadikan kelembutan saya sebagai isu. Tetapi bagi orang yang berkelulusan rendah (SPM misalnya), gemar menjadikan kelembutan saya sebagai bahan usikan.

Saya bergaul dengan semua orang. Baik yang berkelulusan tinggi mahupun yang berkelulusan rendah. Oleh itu, saya dapat merasai perbezaan penerimaan kedua-dua golongan itu.

Walau bagaimanapun, saya tidaklah mahu pukul rata dengan mengatakan semua golongan berkelulusan tinggi itu dapat menerima kelembutan saya manakala semua golongan berkelulusan rendah itu tidak dapat menerima kelembutan saya.

Sebagai manusia, semua golongan tidak sempurna. Ada yang berkelulusan tinggi itu tidak boleh terima dan ada yang berkelulusan rendah itu boleh terima.

Sebagai manusia biasa, saya sudah tentu mempunyai hati dan perasaan. Apabila kelembutan saya dipersendakan, sudah tentu hati saya menjadi sakit. Tetapi oleh kerana saya tidak mampu berbuat apa-apa, maka saya hanya mendiamkan diri sahaja.

Diskriminasi terhadap lelaki lembut ini ada di mana-mana. Oleh kerana kami sering didiskriminasi, maka kebanyakan golongan seperti kami memilih untuk berkawan dan bergaul sesama sendiri. Akibatnya, ada di antara kami yang memasuki dunia pondan.

Apabila memasuki dunia pondan, golongan seperti kami semakin dihina. Pelbagai cercaan dan cacian akan diberikan. Tetapi sedarkah anda semua bahawa anda adalah antara (ulang : antara) penyebab golongan lembut seperti kami ini sanggup memasuki dunia pondan.

Sepatutnya mana-mana golongan lelaki lembut ini jangan dihina sejak dari awal lagi. Terimalah diri mereka sebagai lelaki yang mempunyai sedikit 'kecacatan' dan 'perbezaan' daripada lelaki yang lain. Apabila kami sering dihina, maka ada di antara kami merasakan kami diasingkan dan terasa terasing daripada masyarakat. Oleh sebab itulah ada di antara kami sering  berkawan dengan kumpulan pondan sekaligus menukar diri sendiri menjadi pondan.

Saya bersyukur, meskipun saya sering dihina dan didiskriminasi, tetapi saya tidaklah sampai mahu memasuki dunia pondan. Mungkin kerana kawan-kawan saya bukanlah terdiri daripada golongan itu, maka saya terhindar daripada memasuki dunia tersebut. Saya berdoa kepada Allah moga-moga saya kekal menjadi diri saya sekarang sampai bila-bila.