Sumber : Google |
Apabila Mohd Affandi Hassan – seorang
pengkritik sastera yang kritis dan kontroversi – mengemukakan Gagasan Persuratan
Baru sebagai satu pendekatan untuk menilai dan mengukur kualiti dalam sesebuah
karya sastera, termasuklah karya para Sasterawan Negara, bermacam polemik yang
timbul daripada perkara itu. Ada yang bersetuju dengan cetusan idea itu tetapi
ramai juga yang menolak idea tersebut. Kedua dua pihak, baik yang menyokong
mahupun yang menentang, terdiri daripada para penulis dan ahli akademik belaka.
Masing masing ada sebab tersendiri mengapa mereka menyokong ataupun menentang.
Dalam Gagasan Persuratan Baru, konsep
ilmu yang benar sangat dititikberatkan dalam sesebuah karya sastera. Sesebuah
karya sastera sama ada berbentuk novel, cerpen, puisi, ataupun drama mestilah
menekankan konsep ilmu yang benar dalam karya tersebut. Mana mana karya sastera
yang tidak menggunakan konsep ilmu yang benar dianggap sebagai sebuah karya
picisan sahaja.
Sungguh mengejutkan apabila Mohd
Affandi Hassan berani mendakwa bahawa novel Salina karya A. Samad Said, Ranjau
Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan dan
lain lain adalah sebuah karya bertaraf picisan!
Pada masa sekarang, polemik tentang
konsep ilmu yang benar dalam sesebuah karya mula diperkatakan di sana sini. Ada
yang mendakwa bukan mudah untuk meletakkan ilmu dalam sesebuah karya kerana
bukan semua orang mampu melakukannya. Ada pula yang mendakwa bahawa sesebuah
karya seperti novel misalnya tidak sesuai untuk diletakkan ilmu yang terlalu
banyak di dalamnya kerana peranan novel sebagai medan hiburan kepada pembaca
akan hilang begitu sahaja. Ada juga yang mendakwa bahawa novel bukan buku teks
atau buku akademik untuk diletakkan ilmu yang sarat di dalamnya.
Kita memang tidak mempertikai niat
murni Mohd Affandi Hassan yang mahu meletakkan nilai ilmu dalam sesebuah karya bahkan
pada hemat saya, itulah yang sebaik baiknya yang perlu seseorang penulis
lakukan. Penulis yang berjaya mestilah boleh mendidik dan mencerdikkan pembaca
melalui karya karyanya. Tetapi untuk menjadi seorang penulis yang boleh
mencapai taraf itu bukan suatu perkara yang mudah.
Gagasan yang dibuat oleh Mohd Affandi
Hassan itu ditentang bukan sahaja sukar untuk dilaksanakan oleh kebanyakkan
penulis bahkan dikhuatiri tiada pembaca yang mahu membaca karya karya yang
penuh ilmu sebegitu. Apa gunanya sebuah karya ditulis jika tiada orang yang
mahu membacanya?
Saya sama sekali tidak menentang idea
Mohd Affandi Hassan itu bahkan saya mengalu-alukan kepada mana mana penulis
yang berkemampuan untuk menghasilkan karya seperti mana yang beliau mahukan. Tetapi
untuk memaksa penulis dan pembaca mengikut seperti mana yang beliau mahu itu
adalah tidak boleh sama sekali.
Saya sendiri tidak mahu membaca novel
novel yang banyak ilmu di dalamnya kerana saya yakin novel itu pasti sebuah
novel yang bosan! Tiada orang yang membaca novel semata mata untuk mencari ilmu
tetapi tidak lain dan tidak bukan hanya mahu mencari hiburan semata mata di
samping mencari pengajaran di dalamnya. Jika di dalam novel pun sudah ada
banyak ilmu, apa bezanya sebuah novel dengan sebuah buku akademik?
Sebuah karya yang baik bagi saya
adalah mempunyai idea yang hebat, jalan cerita yang mantap, sarat dengan
pengajaran, dan sedikit ilmu pengetahuan. Saya tidak menolak ilmu pengetahuan
tetapi membaca novel yang banyak ilmu pengetahuan tidak ramai orang mampu
lakukan. Biarlah ada sedikit ilmu pengetahuan di dalamnya asalnya kita boleh
mendidik para pembaca yang membacanya. Moga moga ilmu pengetahuan yang kita
masukkan dalam karya kita itu boleh mendorong kita mendapat pahala.
sejujurnya saya jarang sgt baca buku berkonsep macam ni. terima kasih kerana memberikan sedikit rumusan. Akan cuba mencari at least satu utk buku mcm ni.
BalasPadam