Ahad, 2 Oktober 2016

KONSEP ILMU DALAM KARYA SASTERA






Image result for gagasan persuratan baru
Sumber : Google

Apabila Mohd Affandi Hassan – seorang pengkritik sastera yang kritis dan kontroversi – mengemukakan Gagasan Persuratan Baru sebagai satu pendekatan untuk menilai dan mengukur kualiti dalam sesebuah karya sastera, termasuklah karya para Sasterawan Negara, bermacam polemik yang timbul daripada perkara itu. Ada yang bersetuju dengan cetusan idea itu tetapi ramai juga yang menolak idea tersebut. Kedua dua pihak, baik yang menyokong mahupun yang menentang, terdiri daripada para penulis dan ahli akademik belaka. Masing masing ada sebab tersendiri mengapa mereka menyokong ataupun menentang.

Dalam Gagasan Persuratan Baru, konsep ilmu yang benar sangat dititikberatkan dalam sesebuah karya sastera. Sesebuah karya sastera sama ada berbentuk novel, cerpen, puisi, ataupun drama mestilah menekankan konsep ilmu yang benar dalam karya tersebut. Mana mana karya sastera yang tidak menggunakan konsep ilmu yang benar dianggap sebagai sebuah karya picisan sahaja.

Sungguh mengejutkan apabila Mohd Affandi Hassan berani mendakwa bahawa novel Salina karya A. Samad Said, Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan dan lain lain adalah sebuah karya bertaraf picisan!

Pada masa sekarang, polemik tentang konsep ilmu yang benar dalam sesebuah karya mula diperkatakan di sana sini. Ada yang mendakwa bukan mudah untuk meletakkan ilmu dalam sesebuah karya kerana bukan semua orang mampu melakukannya. Ada pula yang mendakwa bahawa sesebuah karya seperti novel misalnya tidak sesuai untuk diletakkan ilmu yang terlalu banyak di dalamnya kerana peranan novel sebagai medan hiburan kepada pembaca akan hilang begitu sahaja. Ada juga yang mendakwa bahawa novel bukan buku teks atau buku akademik untuk diletakkan ilmu yang sarat di dalamnya.    

Kita memang tidak mempertikai niat murni Mohd Affandi Hassan yang mahu meletakkan nilai ilmu dalam sesebuah karya bahkan pada hemat saya, itulah yang sebaik baiknya yang perlu seseorang penulis lakukan. Penulis yang berjaya mestilah boleh mendidik dan mencerdikkan pembaca melalui karya karyanya. Tetapi untuk menjadi seorang penulis yang boleh mencapai taraf itu bukan suatu perkara yang mudah. 

Gagasan yang dibuat oleh Mohd Affandi Hassan itu ditentang bukan sahaja sukar untuk dilaksanakan oleh kebanyakkan penulis bahkan dikhuatiri tiada pembaca yang mahu membaca karya karya yang penuh ilmu sebegitu. Apa gunanya sebuah karya ditulis jika tiada orang yang mahu membacanya? 

Saya sama sekali tidak menentang idea Mohd Affandi Hassan itu bahkan saya mengalu-alukan kepada mana mana penulis yang berkemampuan untuk menghasilkan karya seperti mana yang beliau mahukan. Tetapi untuk memaksa penulis dan pembaca mengikut seperti mana yang beliau mahu itu adalah tidak boleh sama sekali.

Saya sendiri tidak mahu membaca novel novel yang banyak ilmu di dalamnya kerana saya yakin novel itu pasti sebuah novel yang bosan! Tiada orang yang membaca novel semata mata untuk mencari ilmu tetapi tidak lain dan tidak bukan hanya mahu mencari hiburan semata mata di samping mencari pengajaran di dalamnya. Jika di dalam novel pun sudah ada banyak ilmu, apa bezanya sebuah novel dengan sebuah buku akademik?  

Sebuah karya yang baik bagi saya adalah mempunyai idea yang hebat, jalan cerita yang mantap, sarat dengan pengajaran, dan sedikit ilmu pengetahuan. Saya tidak menolak ilmu pengetahuan tetapi membaca novel yang banyak ilmu pengetahuan tidak ramai orang mampu lakukan. Biarlah ada sedikit ilmu pengetahuan di dalamnya asalnya kita boleh mendidik para pembaca yang membacanya. Moga moga ilmu pengetahuan yang kita masukkan dalam karya kita itu boleh mendorong kita mendapat pahala.




1 ulasan:

  1. sejujurnya saya jarang sgt baca buku berkonsep macam ni. terima kasih kerana memberikan sedikit rumusan. Akan cuba mencari at least satu utk buku mcm ni.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.