Sabtu, 22 Oktober 2016

SUKARELAWAN : SUATU PERJUANGAN UNTUK KEMANUSIAAN



Setelah tamat program Generasi Bumi Hijau Kolej Teratai


Jarang sekali saya mahu menulis tentang catatan peribadi mengenai diri sendiri di dalam blog ini. Tetapi memandangkan ia adalah suatu perkara yang penting dan menyeronokkan, maka saya tulis juga sebagai panduan dan pedoman. Moga moga catatan ini memberi anda semua sedikit ilham dan pencerahan.



Entah mengapa sejak akhir akhir ini saya sangat suka dengan kerja kerja sebagai sukarelawan. Walaupun saya bukanlah seorang yang suka membuat kerja kerja berat, tetapi saya tertarik hati untuk menceburkan diri dalam dunia kesukarelawanan yang tidak dapat lari daripada melakukan kerja kerja berat. Mungkin kerana di dalam kerja kerja sukarelawan itu ada nilai nilai kemanusiaan, maka saya dengan penuh berani terjun ke dalam bidang yang biasanya saya jauhkan.


Sebelum aktiviti mengindahkan kawasan kolej dimulakan


Saya tidak menganggap diri saya sebagai seorang pejuang kemanusiaan. Tetapi saya suka menganggap diri saya sebagai aktivis kemanusiaan. Melihat penderitaan yang begitu banyak di negara negara Islam, maka hati saya memberontak untuk memberi bantuan. Selain daripada menderma, bantuan juga boleh dihulurkan dengan menjadi seorang sukarelawan.



Langkah pertama saya sebagai sukarelawan buat masa sekarang adalah dengan menyertai seberapa banyak aktiviti sukarelawan yang boleh. Dan baru baru ini saya menyertai satu aktiviti sukarelawan yang dibuat oleh pihak kolej - Kolej Teratai UiTM Shah Alam. Saya anggap ini adalah langkah awal saya untuk menjadi seorang sukarelawan pada masa akan datang.

Gambar diambil ketika sedang membersihkan outdoor gim sebelum dicat


Aktiviti sukarelawan yang dianjurkan oleh kolej saya itu mudah sahaja tetapi ia tetap memberi saya satu pengalaman yang cukup berharga. Saya dan beberapa orang rakan lagi membantu pihak kolej untuk membersih dan menceriakan kawasan kolej. Kami mengecat, mengutip sampah, dan melakukan beberapa lagi aktiviti untuk membantu mengindahkan kolej.



Seperti yang telah saya sebut di atas tadi, sukarelawan sangat berkait rapat dengan kemanusiaan. Menjadi sukarelawan boleh mendekatkan diri kita dengan nilai nilai kemanusiaan. 

Menang hadiah kerana menghantar gambar selfie terbaik


Kolej di sesebuah universiti diduduki oleh para pelajar. Dan sekalian pelajar yang tinggal di kolej itu sudah semestinya seorang manusia. Dengan membantu pihak kolej, kita membantu ramai manusia. Dan membantu ramai manusia itu adalah salah satu bentuk aktiviti kemanusiaan.



Menyertai aktiviti sukarelawan yang dibuat oleh pihak kolej itu, ia bukan sahaja mendekatkan diri saya dengan kemanusiaan, malah merapatkan hubungan antara kawan dan menambah jaringan persahabatan. Sebelum ini kita tidak kenal dengan ramai kawan, dengan menyertai aktiviti sukarelawan, kita boleh menambah seorang dua kawan. Dan antara cara untuk menjadi orang yang hebat adalah dengan mengumpul kawan.



Saya memang suka berkawan tetapi saya ada masalah dalam mencari kawan. Ini kerana, saya ada sikap malu dalam diri yang sukar untuk dilawan. Dengan menjadi seorang sukarelawan, ia adalah peluang terbaik untuk menambah kawan.



Walaupun aktiviti sukarelawan yang dibuat oleh kolej itu tidaklah menunjukkan jalan jalan untuk bertemu dengan ketulenan nilai nilai kemanusiaan, tetapi ia tetap juga boleh memberi saya pengalaman berkenaan kemanusiaan. Dan ia adalah satu langkah awal untuk saya bergelar sukarelawan pada masa hadapan.



Menjadi seorang sukarelawan memang menyeronokkan walaupun ia menuntut kesabaran dan pengorbanan. Tetapi bagi mana mana orang yang mahu hampir dengan pengalaman kemanusiaan, menjadi seorang sukarelawan adalah salah satu jalan.       


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.