Rabu, 19 Ogos 2015

RAMAI MELAYU JADI SI KITUL MODEN

Sumber : Google

Sayu hati melihat ramai orang Melayu yang beragama Islam sanggup menjadi si Kitul yakni menjadi pengkhianat kepada bangsa dan agama mereka sendiri. Jika saya menyebut Melayu yang menjadi si Kitul terhadap negara, maka bertambah tambahlah lagi jumlah Melayu jenis ini. Maka, saya mahu membahaskan Melayu yang jadi pengkhianat (si Kitul) kepada agama dan bangsa sahaja dalam artikel ini.

Dalam sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis, manusia yang bernama Si Kitul adalah salah satu sebab musababnya. Pengkhianat ini memberikan maklumat kepada pihak Portugis mengenai pertahanan ketenteraan Melaka menyebabkan pertahanan ketenteraan Melaka menjadi kucar kacir lalu Portugis pun berjaya mengalahkan angkatan tentera Melaka dan menguasai kerajaan Melayu/Islam tersebut. Kesan peninggalan penjajahan Portugis masih lagi boleh dilihat di Melaka pada hari ini.

Kisah Si Kitul itu sepatutnya dijadikan iktibar oleh semua orang Melayu pada hari ini. Sikap yang ditunjukkan oleh Si Kitul itu wajarlah dihindari supaya agama, bangsa dan negara ini tidak lagi dijajah oleh mana mana kuasa sekalipun. Tetapi, oleh kerana terlalu ramai orang Melayu yang kurang ilmu, kurang iman, dan kurang sedar, mereka sedikit sebanyak telah mengikut sikap Si Kitul tersebut tanpa mereka sedari. Maka, kelemahan orang Melayu yang sedikit itu menjadi bertambah besar dengan kemunculan orang Melayu yang menjadi Si Kitul itu.
 
Orang Melayu yang menjadi Si Kitul itu mula membahaskan aspek Islam dari sudut pandangan Barat dan bersifat liberal. Sebagai contoh mereka menuntut agar orang Melayu/Islam di Malaysia supaya membebaskan pemikiran daripada Melayu dan Islam itu sendiri kerana mereka mendakwa Islam dan Melayu hanya membebankan pemikiran! Mereka juga menganggap bahawa semua agama itu sama kerana pada hemat mereka, semua agama membawa kepada kebaikkan. Mereka mahukan agama Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya adalah setaraf dengan agama Islam. 

Golongan Melayu berwajah si Kitul juga mahukan kesamarataan dalam negara (bangsa) ini maksudnya apa sahaja faedah yang Bumiputra perolehi, bukan Bumiputra pun boleh juga memperolehinya. Sebagai contoh adalah kemasukkan Bumiputra ke Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dasar UiTM adalah menerima Bumiputra sahaja untuk menjadi pelajarnya dan bukan Bumiputra tidak layak untuk mengikuti pengajian di universiti tersebut tetapi mereka boleh memasuki lain lain universiti yang ada di negara ini sama ada awam atau swasta. Apabila munculnya Melayu yang berwajah si Kitul ini, mereka mendesak agar UiTM memberi peluang kepada pelajar bukan Bumiputra untuk menuntut di universiti tersebut. Mengapa sekian banyak universiti yang ada di Malaysia ini, UiTM yang ‘sekangkang kera’ itu juga yang mahu direbut? Perkara ini berlaku kerana ramainya Melayu yang ‘dirasuk’ oleh ‘saka’ si Kitul itu.

Lebih parah lagi apabila Melayu Melayu berwajah si Kitul ini mendesak agar Malaysia mengiktiraf golongan Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transeksual (LGBT) sebagai satu norma kehidupan manusia seperti mana yang berlaku di negara Barat. Pada mereka, golongan ini berhak untuk hidup bersama masyarakat biasa tanpa perlu takut untuk mendedahkan identiti diri atas dasar hak asasi manusia.

Munculnya Melayu berwajah si Kitul ini telah menyebabkan masyarakat Islam menjadi kucar kacir dan tunggang langgang. Mereka memporak-perandakan agama, bangsa, dan negara dengan menggunakan ilmu dan pemikiran songsang mereka. Masyarakat Melayu menjadi tidak tenteram dengan kewujudan Melayu berwajah si Kitul ini.

Melayu berwajah si Kitul ini juga tidak segan silu untuk menjadi menyokong nombor wahid kepada ultrakiasu walaupun ultrakiasu acapkali mencerca dan mencaci agama dan bangsa orang Melayu. Pada mereka itu adalah normal dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum. Mereka menyokong perbuatan ultrakiasu itu kerana untuk menjaga keharmonian agama, perpaduan kaum, keamanan negara dan mendapat undi dalam pilihanraya. Mereka juga melakukan tindakan itu kerana rasa cinta pada Melayu dan Islam itu sudah hilang dalam sanubari mereka.

Sebagai orang yang mencintai bangsa Melayu dan berpegang teguh dengan tali tali Allah, kita janganlah sesekali terjebak dalam kancah permainan tidak matang yang dimainkan oleh Melayu berwajah si Kitul ini. Kita mesti berhati hati dengan mereka kerana mereka memang pandai memanipulasikan fakta dan hujah supaya apa yang mereka lakukan itu mendapat sokongan dengan Melayu dungu yang lain.

Orang Melayu yang beragama Islam di Malaysia mesti menuntut banyak ilmu supaya kita berupaya untuk mengenal penipuan penipuan yang dilakukan oleh Melayu yang menjadi si Kitul zaman moden ini. Kita juga mesti bersatu padu dan berpegang teguh pada tali tali Allah supaya kita boleh membentengi diri kita daripada diserang oleh aliran pemikiran songsang yang dimainkan oleh Melayu yang berwajah si Kitul itu.   


2 ulasan:

  1. Ye betul..Sila lah dtg ke blog sy..http://ajax85.blogspot.com

    BalasPadam
  2. Sanggup jadi si Kitul dek kerana imbuhannya terlalu besar untuk ditolak..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.